06 October, 2011

PMUKM Perlukan Post-Mortem

  1. AUKU pindaan 2010 sebagai punca kuasa telah memperuntukan satu persatuan atau perkumpulan pelajar mestilah ditubuhkan di setiap badan universiti di negara ini. Dalam bahasa yang mudah menjadi kewajipan pihak berkuasa universiti memastikan satu badan berbentuk persatuan, pertubuhan atau jawatankuasa peringkat pelajar wujud di sesebuah universiti.
  2. Kaedah penubuhannya tidak dinyatakan secara jelas, oleh itu bolehlah dilaksanakan dalam bentuk piliharaya, pemilihan, perwakilan, perlantikan dan sebagainya yang difikirkan sesuai oleh pihak berkuasa universiti.
  3. UKM sejak ditubuhkan telah menggunakan akta ini dengan sebaiknya. Setiap tahun tanpa gagal, satu piliharaya pelajar diadakan untuk membentuk kabinet yang menganggotai Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia atau ringkasnya PMUKM. 
  4. Pada masa kini perkataan pilihanraya telah ditukarkan kepada Pemilihan Pelajar. Bagaimanapun bentuk perlaksanaan masih kekal seperti sebelumnya.
  5. Bagi universiti  seperti UKM yang memilih untuk mengadakan piliharaya, tujuan asal mengapa piliharaya diadakan ialah memenuhi tujuan tujuan pendidikan. Melalui kaedah ini pihak berkuasa universiti berharap pelajar akan dapat berlatih, mendapat pengalaman serta mencari ilmu berkaitan kepimpinan, kerja berpasukan serta mengamalkan politik yang sihat dan matang.
  6. Pada yang tidak menjadi berhasrat menjadi pemimpin dan lebih berminat bertindak sebagai pengundi, pengalaman piliharaya kampus diharap menjadi medan untuk membina nilai serta moral seorang warganegara yang celik politik melalui tanggungjawab sebagai pengundi.
  7. PMUKM sebagai badan induk diberikan mandat untuk memimpin pelajar UKM selama satu sesi. Peranan besar mereka ialah menjadi suara pelajar di dalam sesi pertemuan, perbincangan dan majlis bersama pihak berkuasa universiti atau badan luar universiti yang dibenarkan oleh pihak berkuasa universiti.
  8. Sebagai induk, PMUKM adalah anggota penting dalam satu badan yang bernama UKM. PMUKM tidak boleh bertindak sebagai orang luar tetapi harus bersama-sama dengan pihak berkuasa universiti di dalam apa juga hal. Jika wujud ketidaksefahaman pendapat antara PMUKM dan pihak berkuasa universiti, perbincangan dalaman harus diamalkan sepenuhnya. 
  9. Selain memastikan peranannya sebagai orang tengah antara pelajar dan pihak berkuasa universiti, peranan besar yang lain ialah meningkatkan citra serta nama baik UKM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Peranan ini semakin penting terutamanya ketika UKM sedang melakukan transformasi yang melibatkan agenda pengantarabangsaan.
  10. Peranan utama yang lain, PMUKM sebagai satu badan yang dipilih melalui piliharaya kampus, harus bersedia untuk mengeratkan kembali 'perpecahan' akibat perbezaan pandangan di kalangan pelajar ketika proses pilihanraya diadakan. Adalah menjadi tanggungjawab untuk PMUKM menyatupadukan pelajar kerana semua pelajar bernaung di bawah payung PMUKM. Jika ada kalangan pelajar yang rasa terpinggir, maka ini harus difahami sebagai kegagalan PMUKM melaksanakan tugas asasi badan induk pelajar di UKM.
  11. Selain itu anjakan paradigma kepimpinan PMUKM harus dilakukan, PMUKM bukan hanya pengadu kepada masalah pelajar tetapi juga penyelesai, pemudahcara serta pembimbing kepada masalah pelajar. Hal ini kurang dipraktikan oleh PMUKM. Setiap tahun antara kejayaan utama PMUKM ialah mengumpulkan senarai masalah pelajar. Biasanya semua masalah tersebut akan diselesaikan samada aduan itu dikumpulkan atau tidak oleh pihak PMUKM kerana sistem aduan di UKM telah berjalan dengan berkesan. Malah setiap unit seperti fakulti, kolej, pusat dan institut juga telah melaksanakan sistem aduan masing masing yang bersifat terus dengan pelajar.
  12. PMUKM harus membuka minda dan melihat iniasiatif inisiatif baru di dalam menguruskan hal ehwal pelajar. Sebagai contoh PMUKM harus mula segera menganjak paradigma di dalam mendefinisikan makna 'memperjuangkan kebajikan pelajar'. Jika dulu maksudnya merujuk kepada memperjuangkan soal kemudahan untuk pelajar seperti pengangkutan bas dalam kampus, yuran dan kemudahan penginapan di kolej, kemudahan perpustakaan, isu tempat letak kenderaan pelajar, masalah air dan isu keselamatan, hari ini maksud 'kebajikan pelajar' telah berkembang kepada peranan dan tanggungjawab pemimpin persatuan pelajar merancang dan melaksanakan program untuk memastikan masa depan pelajar lebih baik, memiliki tahap kebolehpasaran yang tinggi, memiliki keupayaan keusahawanan dan sebagainya. Tak tercapai maksud 'perjuangan untuk kebajikan pelajar' jika di kampus segala kemudahan pelajar berjaya diperjuangkan tetapi sebaik sahaja tamat pengajian, mereka tidak dibekalkan dengan kemahiran, pengalaman serta keupayaan untuk bersaing untuk mendapat pekerjaan.
  13. PMUKM harus bersikap adil pada semua pelajar samada yang mengundi atau tidak mengundi mereka. Budaya berpuak (jika ada) haruslah ditegah oleh PMUKM agar pelajar UKM menjadi satu dan berpadu. Agenda besar PMUKM tidak harus disamakan dengan JAKSA kolej kediaman yang lebih bertindak sebagai satu jawatankuasa kebajikan semata-mata. Sebarang bentuk persaingan PMUKM dengan JAKSA, Kelab di fakulti atau urusetia di HEPA haruslah dielakkan kerana bukan sahaja kerana status PMUKM yang lebih tinggi tetapi juga hasrat dan harapan yang di letakkan oleh warga UKM pada PMUKM jauh lebih penting, besar dan berharga.