03 April, 2013

PNGK 3.67 dan Ke Atas Milik Siapa di UKM?

  1. Hari ini saya menerima data berkaitan PNGK atau CGPA (Cumulative Grade Point Average) prestasi akademik pelajar pra siswazah UKM semester lepas. Data ini  penting pada orang seperti saya dan mungkin juga orang lain, yang melihat pencapaian pendidikan dan kecemerlangan akademik sebagai suatu wasilah yang  mengubah masa depan anak anak bangsa menjadi lebih baik, lebih lebih pelajar yang datangnya dari keluarga yang miskin.
  2. Saya setuju maksud cemerlang di dalam konteks universiti adalah pelbagai. Ada pelajar yang cemerlang akademik, ada pula yang cemerlang sukan, cemerlang kesenian, atau kepimpinan dan berbagai lagi. Oleh itu, mencari makna pelajar paling cemerlang di peringkat universiti mungkin akan menjadi sesuatu yang sia sia. Walaupun ada pelajar yang hebat akademiknya, hebat sukan, kepimpinan dan berbagai lagi, pada akhirnya beliau tetap kena memilih apakah yang ingin beliau paling cemerlang sekali. Faktor minat, sokongan keluarga, pengaruh rakan rakan, idola, kemudahan sokongan yang disediakan dan pengiktirafan pihak universiti akan menjadi faktor penentu kepada keputusan seseorang memilih.
  3. Saya mengenali beberapa pelajar yang mempunyai karisma kepimpinan, bijak berpidato tetapi tidak memilih untuk menjadi pemimpin persatuan pelajar sebaliknya memilih untuk menjadi pengiat khidmat masyarakat dengan caranya sendiri. Di IZISH dulu, seorang pelajar siswi yang sudah mewakili negerinya dalam SUKMA dalam acara memanah memilih untuk menjadi cemerlang dalam bidang kesenian kerana ketika itu sistem sokongan tidak ada bila UKM belum mempunyai padang sasar untuk sukan memanah.
  4. Tetapi apapun hujah kita tentang maksud kecemerlangan pelajar, kita tetap bersetuju mengakui bahawa kecemerlangan akademik masih merupakan kecemerlangan yang paling atas kedudukan dalam sistem pengajian universiti yang konvensional seperti di UKM. Juga di semua IPTA lain di Malaysia. Malah itulah juga yang masih dipegang kukuh oleh kebanyakan universiti di dunia (khususnya di negara negara membangun).
  5. Universiti konvensional meletakkan kecemerlangan akademik di tingkat tertinggi, manakala pada masa yang sama mencuba-cuba untuk mengiktiraf kecemerlangan lain seperti cemerlang sukan, kesenian, kepimpinan, khidmat masyarakat dan sebagainya. Memang ada, dan telah pun diterima, tetapi sifat penghormatannya tidaklah setinggi kita menerima pengiktirafan kecemerlangan akademik. Oleh itu samada kita suka atau tidak, cemerlang dalam bidang akademik adalah sesuatu yang sangat penting dan dituntut, termasuklah kepada semua pelajar UKM.
  6. Data keputusan akademik yang ada pada saya menunjukan pada sesi lepas terdapat 11,156 pelajar UKM yang mengikuti pengajian pra siswazah di semua fakulti di UKM. Dari jumlah tersebut hanya 722 orang pelajar atau 6.47% sahaja yang telah berjaya memperolehi PNGK 3.67 dan ke atas. Manakala 3,050 (27.34%) pelajar pula berada pada PNGK 2.50-2.99. Jumlah yang paling besar iaitu sebanyak 6,302 atau (56.49%)berada antara skor PNGK 3.00-3.66. yang paling rendah iaitu berada di bawah PNGK 2.00 adalah seramai 288 pelajar atau 2.56%. Kumpulan Sederhana rendah (2.00-2.49) mempunyai seramai 794 pelajar atau 7.12%.
Apa yang boleh kita belajar dari angka angka ini? Pada saya ada empat perkara yang penting dihayati;
  • Angka angka ini mengambarkan kumpulan yang cemerlang di UKM tidaklah ramai hanya sekitar 6% sahaja. Maknanya jika anda boleh berada dalam kelompok terbaik (3.67 dan ke atas), anda sebenarnya sudah berjaya berada di hadapan 94% pelajar yang lain dalam persaingan mendapat pekerjaan atau kerjaya terbaik. Tentulah ini baru satu dari faktornya. anda tetap perlukan komunikasi, bahasa Inggeris serta kemasan diri yang hebat semasa ditemuduga nanti. Tetapi sekurang kurangnya anda telah jauh di hadapan pesaing anda.
  • Pelajar yang average (sederhana atau biasa biasanya sahaja) adalah yang paling ramai di UKM. Dalam kes ini, gabungan kumpulan sederhana yang memperolehi PNGK 2.50-2.99 dan 3.00-3.66 mewakili hampir 83.84%. Maknanya persaingan dalam kumpulan ini sangat sangat hebat dan sukar sekali. Jika saya seorang pelajar, saya akan  memilih untuk tidak berada dalam kumpulan ini dan akan berusaha bersungguh sungguh untuk berada dalam kumpulan 6% terbaik kerana ini akan memudahkan masa depan saya. Persaingan dalam kumpulan 6% peratus adalah lebih mudah untuk mendapat kerjaya yang baik kerana saya awal awal lagi sudah "menang" dalam persaingan denagn kumpualn sederhana ini. Memanglah untuk berada di dalam kumpualn 6%, saya harus belajar sangat kuat dan bersungguh sungguh.
  • Pelajar yang cemerlang akademik mempunyai cara belajar yang mungkin tidak ada pada pelajar yang average atau yang lemah. Mungkin sekali lihat semua pelajar belajar dengan cara yang sama. Kajian oleh pelajar sarjana saya (saya adalah penyelia tesisnya) menunjukkan cara belajar di kalngan pelajar cemerlang dan pelajar sederhana adalah berbeza. Malah sangat jauh berbeza antara cara atau gaya belajar pelajar cemerlang dengan pelajar lemah (PNGK di bawah 2.00). Jika pelajar sederhana dan lemah tidak segera melakukan intervensi (perubahan) gaya pembelajaran mereka, maka sukar untuk mereka meningkatkan prestasi akademik mereka dalam masa yang singkat. Misalnya pelajar cemerlang (dalam kebanyakkan keadaan) mempunyai cara belajar yang konsisten sejak awal semester, walaupun mereka aktif dalam sukan, seni atau berpersatuan, mereka tidak 'melepaskan fokus belajar' dan tetap belajar pada setiap hari.
  • Berada dalam kumpulan yang berprestasi sederhana tinggi-PNGK 3.00-3.66 (seramai 56.49% di UKM) sebenarnya sesuatu yang tidak boleh membuat kita rasa selesa. Sebagai pelajar, berada dalam kelompok ini adalah sesuatu yang pada saya secara peribadi,sangat merimaskan. Bayangkan jika saya tamat dengan 3.60 atau 3.65, saya berada cukup dekat untuk memperolehi 3.67 atau ijazah kelas Pertama (First Class). Mengapa tidak saya usaha lebih lagi untuk mendapat PNGK 3.67. Walaupun rezeki anugerah Tuhan, kita juga percaya bahawa man jadda, wajada (sesiapa yang berusaha dia akan memperoleh hasilnya)
Melihat kepada keputusan ini, sebaiknya pelajar UKM kembali sedar akan tujuan asas mereka ke universiti. Janganlah kita asyik dengan bermain politik sahaja. Atau terlalu bermuka buku (FB) sahaja. Asas kepada mencari ilmu walaupun luas dan bertujuan membina insan yang celik tentang alam sekelilingnya, ia masih bermula dengan mencapai keputusan akademik yang baik. Jadilah apa pun yang kita inginkan, samada pejuang rakyat, pembela masyarakat atau pejuang kebenaran atau apa sahaja, tetapi asasnya mencapai prestasi akademik yang cemerlang masih amanah yang wajib kita selesaikan.

Bersyukurlah, Allah telah berikan rezeki yang hebat untuk kita belajar di IPTA yang penuh dengan segala kemudahan seperti di UKM. Kita juga jangan sekali kali  lupa bahawa duit rakyatlah yang menanggung 90% kos pengajian kita, kita cuma tanggung 10% sahaja. Kita telah gunakan banyak duit rakyat. Jangan sekali kali kita lupa jasa rakyat. Jika kita lupa tentang hal ini, apa bezanya  antara kita dengan mereka yang makan rasuah atau yang membazirkan wang rakyat. Kita dan mereka sama sahaja.

Rakyat menuntut kita menjadi pelajar universiti yang cemerlang akademik, tinggi sahsiah dan murni moralnya. Rakyat mengharapkan kita menjadi pemaju masa depan negara, agama dan bangsa. Jangan sekali kali kita lupa tentang hal ini. Bimbang nanti, kalau kita ditanya di akhirat kelak, "mengapa kamu tidak laksanakan tanggungjawab untuk mencapai kecemerlangan dalam pengajian setelah dilimpahkan dengan berbagai rezeki!" agaknya apakah jawapan terbaik yang kita akan berikan!  Maka belajarlah bersungguh sungguh. InsyaAllah, PNGK 3.67 dan ke atas, pasti juga menjadi milik anda!