23 November, 2015

Mengapa Melayu Berpecah?

Salah satu topik yang agak kontroversi dalam matapelajaran sejarah di sekolah ialah berkaitan semangat kebangsaan (nasionalisme). Apa yang kontroversi? Ada dua. Pertama, penyimpangan makna nasionalisme atau semanagat kebangsaan, dan keduanya mengapa dalam negara kita telah wujud kepelbagaian bentuk semangat nasionalisme.

Makna nasionalisme yang menyimpang. 

Sebelum merdeka makna nasionalisme kita mungkin tidak menjadi isu. Sejarah negara kita penuh dengan episod menentang penjajahan, menentang komunisme dan sosialisme kiri memudahkan kita memberikan makna kepada apa itu nasionalisme pra merdeka. Kita mungkin boleh sahaja menggunakan takrif nasionalisme barat dari Stuart Hall, John Amstrong, Anthony Smith atau yang lain untuk menjelaskan nasionalisme pra merdeka. Malah itulah makna yang digunakan oleh para sarjana tempatan sejak sekian lama. 

Selepas merdeka, takrifan yang tidak berubah itu sudah tidak tepat sebenarnya, malah dalam beberapa situasi, bila menggunakan makna nasionalisme barat ia telah memecahbelahkan rakyat khususnya orang Melayu. 

Barat mentakrifkan nasionalisme sebagai sifat yang memisahkan urusan agama dan kenegaraan. Nasionalisme takrifan barat menggunakan kerangka sekular. Urusan agama dipisahkan untuk membenarkan urusan kenegaraan berjalan lancar. Itu cara dan takrifan mereka, atas sejarah yang mereka lalui dari era kegelapan dan era kebangkitan (Renaisance). 

Malangnya, di negara ini takrifan begitu telah menyebabkan bangsa kita berpecah. Di satu ketika, sekitar tahun 80an, label kafir diberikan pada orang Melayu yang menyokong parti berteraskan kebangsaan dan tidak membetikan undi pada parti yang perjuangkan Islam. 

Akibatnya bangsa Melayu berpecah belah, adik abang bergaduh, ibu anak bermasam muka, suami isteri bercerai berai, masyarakat bermusuh, kata mengata dan tuduh menuduh bermaharajalela. Puncanya, atas dasar "aku perjuangkan agama, kamu perjuang kebangsaan. Aku Islam, kamu nasionalis yang sekular". 

Hakikatnya tidak begitu. Bila negara ini dibentuk hasil merdeka, agama Islam dinyatakan sebagai agama rasmi negara, maknanya agama tidak pernah dipisahkan dari urusan kenegaraan. Dasar kebudayaan Kebangsaan juga meletak asas agama dalam rukun dasarnya. Bila Rukunegara pula dibina, teras pertama ialah Kepercayaan  kepada Tuhan. Maknanya urusan beragama menjadi teras pertama kerukunan bernegara. Ini memberikan maksud yang jelas bahawa nasionalisme atau semangat kebangsaan kita di negara ini adalah diasaskan kepada agama. Berbeza sekali dengan piagam, perlembagaan dan takrifan nasionalisme buatan barat. 

Jadi bertahun tahun lamanya bangsa Melayu bertelagah kerana mereka amal, faham dan bulat bulat telah terima pakai takrifan nasioalisme barat yang menyimpang dari sejarah dan budaya masyarakat kita. Hakikatnya orang Melayu memperjuangkan hal yang sama. Tidak ada bezanya antara mereka.

Jika kita ingin lihat bangsa Melayu bersatu, kita kena betulkan hal ini, kita perlu takrif kembali dan perhalusi naratif nasionalisme yang lebih terangkum dengan agama yang tersulam dengan persekitaran sejarah dan budaya kita.

Bahasa Perpaduan

Di dalam penyediaan dasar dan polisi negara, acapkali bahasa penguasa di atas dan bahasa orang yang dikuasai di bawah berbeza. 

Sebagai contoh mudah, istilah perpaduan adalah bahasa orang atas. Tetapi orang bawah biasanya menggunakan istilah persahabatan, kejiranan, gotong royong atau rakan sekerja. Mereka yang di bawah tak sebut "marilah kita bersatupadu" tetapi mereka selalu ucapkan "mari kita bergotong royong". 

Orang Melayu, Cina , Sikh atau India di bawah sentiasa bersahabat, maknanya mereka sudah bersatupadu. Bila antara jiran yang berbeza bangsa tolong menolong, memberi dan menerima makanan atau pertolongan jiran, maksudnya itulah perpaduan.

Tetapi perpaduan pada yang di atas ialah program Rukun Tetangga, RIMUP atau Kelab Rukunegara. Itulah makna perpaduan pada mereka. Bila RIMUP tidak berjaya, Rukun Tetangga tiada sambutan atau Kelab Rukunegara tidak aktif, mereka yang di atas akan katakan "rakyat negara ini semakin kurang perpaduan". Hakikatnya tidak semestinya begitu. Kegagalan sesuatu program tidak semestinya perpaduan tidak ada. Perpaduan yang realistik tidak hanya sekadar boleh dioperasikan dari istilah orang di atas. Makna Perpaduan juga harus juga mengambilkira makna yang dikuasai oleh orang di bawah.

Nampaknya bila  bahasa perpaduan antara orang di atas dan orang di bawah tidak sama, kekusutan penyelesaian pasti mula bercambah.

Islamism dan Pemikiran

Islam hanya satu, Islam bukan ideologi tetapi agama dari Allah swt yang syumul sifatnya. Tetapi manusia memecahkan Islam mengikut apa yang mereka tahu atau mahu... maka lahirlah ideologi Islamism yang menggunakan nama Islam mengikut keinginan mereka dan nafsu mereka. Sekarang berbagai nama wujud dari pemikiran Islamism ini seperti Islam fundamentalis, modernis dan liberalis.... tak puas dengan itu, lahir pula Islamism dengan idea reformis, Radikalis, Revolusionis dan terkini barat wujudkan label extremis pula. Satu perkara yang jelas tetapi sering dilupakan ialah semua tradisi pelabelan -ism ini datangnya dari orientalis barat dan bukannya dari dunia Islam. Tradisi barat era Renaissance Age di Eropah yang memulakan -ism ini, di saat mereka ingin keluar dari zaman kegelapan Eropah dan inginkan kehidupan serba baru yang berpegang kepada sekularisme. Orang Islam khususnya para intelektual Islam pula kemudiannya di era kolonialism terpesona dan mula menjadi pengguna setia dan percaya dengan semua label label -ism  ini. Mereka mengkaji, menulis dan menerbit dengan kerangka -ism barat. Apa akibatnya bila acuan tradisi barat tidak sesuai dengan alamiah kehidupan muslim? Tentulah orang Islam  sesama mereka berpecah belah sejak sekian lama kerana kuatnya mereka berpegang kepada Islamism yang diasaskan oleh label label -ism barat. Semakin kuat muslim berpegang pada  acuan-ism, maka semakin jauhlah mereka dari agama.

UPSR Bhg 1

(1) UPSR adalah satu ujian pencapaian yang penting. Tujuannya untuk memastikan anak anak di sekolah rendah mencapai tahap yang telah di tetapkan sebelum melangkah ke sekolah menengah.

(1) Tetapi sejak dulu saya tidak setuju dengan cara pihak sekolah, Kementerian Pelajaran dan media perdana meraikan pencapaian ini secara agak berlebihan. Kadang kala agak pelik juga pada saya. Ini hanya Ujian Pencapaian sahaja. Yang dapat A maknanya telah capai standard, yang tidak capai A maknanya perlukan intervensi supaya mencapai standard yang ditetapkan. Itu sahaja tujuan UPSR. Tetapi lain pula jadinya. Siap berkumpul di dewan ambil keputusan, panggil seorang demi seorang, kemudian yang dapat 5A dikumpulkan, diberikan ucap tahniah, bergambar dengan ahli politik, pengarah dan pengetua, ada pula yang diadakan jamuan kesyukuran khas. Dapat hadiah, bunga dan dipeluk tahniah oleh para cikgu. Media pula melapurkan agak berlebihan. Hari ini sahaja, dua mukasurat penuh akhbar Utusan Malaysia hanya tentang UPSR!! Begitu juga dengan beberapa akhbar utama yang lain.

(3) Di peringkat ibubapa, saya tidak nampak ini satu masalah. Tentu kita sebagai ibubapa gembira bila anak anak berjaya. Maka kita raikanlah kejayaan anak anak kita di rumah. Puji dan banggalah anak kita atas kejayaan dan usaha mereka. Mereka patut diraikan. 

(4) Tetapi di sekolah, mengapa anak yang dapat 5A telah diraikan secara berlebihan sehinggakan pelajar yang dapat 4A 1B atau yang kurang dari itu menjadi 'mangsa psikologi' pelabelan yang serius. Kalau ditanya berapa markah beza A dan B dalam UPSR, bezanya hanya 2-10 markah sahaja. 

(5) Tetapi hukuman psikologi yang dikenakan pada pelajar yang dapat 4A 1B sangat berat. Mereka dilayan macam manusia gagal. Apatah lagi yang dapat 4A 1B bila pulang ke rumah, disambut pula dengan wajah kecewa dari ibubapa.

(6) Setiap tahun hampir 500 ribu yang ambil UPSR, hanya 30 ribu sahaja yang dapat semua A. Ada hampir 50 ribu dapat 4A dan ratusan ribu yang lain dapat 3A dan 2A. Bayangkan bagaimana anak anak yang tidak dapat semua A menerima tekanan paikologi? Mereka masih terlalu muda untuk dilabelkan sebagai gagal...

(7) Saya pernah mengajar pelajar tingkatan satu dulu. Saya pernah dengar sendiri anak anak dalam kelas saya berkata " saya tak pandai cikgu, sebab UPSR dulu saya hanya dapat 4A saja". 

(8) Kelihatannya anak anak ini hilang keyakinan diri, hilang motivasi dan hilang kepercayaan pada potensi mereka, hanya kerana di sekolah rendah mendapat 4A dalam UPSR. Berbaloikah mereka dihukum begitu?

UPSR: Bhg 2

UPSR bermaksud Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Matlamatnya ialah mengukur adakah anak anak di peringkat sekolah rendah sudah atau belum lagi mencapai tahap minima yang ditetapkan sebelum ke sekolah menengah. Dan jika belum mencapai maka langkah langkah intervensi pendidikan perlu segera diambil selepas UPSR, sebelum anak anak ini memulakan persekolahan sekolah menengah.

Bagi tahun 2015, seramai 38,344 (8.67%) pelajar mendapat keputusan semua A. Tahniah atas pencapaian mereka. Manakala 255,801 (57.6%) pula lulus UPSR minima sekurang kurang mendapat gred C dalam semua  matapelajaran. 

Di bawah sekali, terdapat seramai 152,262 (34.3%) pelajar yang dilabelkan oleh sistem pendidikan sebagai GAGAL dalam UPSR kerana hanya mendapat gred D atau E sahaja dalam semua matapelajaran UPSR.

Ada dua soalan untuk kita bersama fikirkan.

1. Mengapa dan siapa calon UPSR yang dapat gred D dan E ini? Dalam sidang media, hanya disebut sekolah yang dapat semua A sahaja, itu sahaja yang diberikan perhatian, mengapa sekolah yang banyak pelajar dapat gred D dan E tidak pula diberikan perhatian? Apakah ini kumpulan sekolah kawasan pendalaman? Atau sekolah yang terpinggir dari bantuan sebagaimana yang diperolehi oleh sekolah prestasi tinggi, sekolah kluster atau sekolah elit? Siapa kumpulan ibubapa pelajar yang mendapat gred D atau E ini? Buruh? Pekerja kilang? Petani dan nelayan? Kita tidak diberitahu.

2. Tujuan UPSR sebagai ujian pencapaian ialah memastikan intervensi dapat dilakukan pada yang pelajar yang pencapaian lemah. Jadi apakah agenda intervensi pada pelajar lemah selepas keputusan UPSR diumumkan? Amalan sekarang selepas UPSR, pelajar tidak lagi ada sebarang proses pengajaran dan pembelajaran kerana sukatan pelajaran telah tamat. Bagaimana dengan anak anak yang 'gagal' UPSR ini? Apakah anak anak ini yang mendapat gred D dan E akan terus juga ke sekolah menengah dalam keadaan mereka tidak mencapai tahap minima pendidikan sekolah rendah? Dan mereka akan kekal lemah di sekolah menengah nanti?