20 August, 2014

BILA SISTEM PENDIDIKAN TIDAK LAGI MENDIDIK HIDUP BERTAMADUN...

1) Anak saya mengadu sudah beberapa kali kelas Siviks dan kewarganegaraan guru tidak masuk mengajar. Saya hanya senyum dan katakan "Cikgu sibuk mungkin? Kebetulan guru yang mengajar ialah guru penyelia petang.

2)Saya sudah lama perhatikan, memang menjadi amalan di sekolah negara ini, matapelajaran Siviks dan Kewarganegaraan akan diajar oleh samada pengetua, penolong kanan atau penyelia petang. Jarang jarang guru biasa yang mengajar mata pelajaran ini.

3) Ada beberapa sebab. Yang pertama, guru tidak cukup untuk mengajar matapelajaran ini. Kedua, guru yang major dalam matapelajaran siviks dan kewarganegaraan memang tidak ada di negara ini.  Yang ada ialah guru 'bidan terjun' sahaja.

4) Ketiga, yang paling utama ialah sikap dan persepsi di kalangan ahli politik yang memikirkan dasar pendidikan, ahli akademik, pegawai KPM, hinggalah pegawai JPN, PPD, pengetua, guru di sekolah dan ibubapa sendiri yang menganggap matapelajaran siviks dan kewarganegara sebagai tidak penting, tidak berfaedah dan tidak perlu pada pelajar.

5) Betul, memang ada dokumen kurikulum mata pelajaran ini, memang ada buku teks dan segala macam dokumen seolah olah memaklumkan matapelajaran ini kelihatan penting, tetapi biarlah kita semua jujur. jawablah samada Betul atau tidak kita semua menganggap matapelajaran siviks dan kewarganegaraan ini tidaklah sepenting  Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains? Maaf jika bahasa saya yang agak berterus terang, tetapi kita kena jawab secara jujur betul atau tidak?

6) Jika matapelajaran ini penting, mengapa matapelajaran ini diajarkan oleh pengetua yang sangat sibuk dengan pentadbiran sekolah, mesyuarat PPD, JPN dan KPM. Mengapa matapelajaran ini tidak ada status yang tinggi sebagai pengiktirafan kita pada BI, Matematik, Sains, BM atau sejarah?

7) Pendidikan Siviks dan kewarganegaraan ini sangat penting. Di dalamnya terbina ilmu pendidikan sahsiah, celik demokrasi, menghormati pemimpin yang sah, celik pengguna, celik undang undang, belajar cara hidup bermasyarakat yang harmoni, membina perpaduan apatah lagi negara multi etnik seperti malaysia, belajar toleransi, menikmati dan bersyukur dengan keamaman dan muhibbah dan belajar saling menghormati agama, budaya dan cara hidup rakan rakan sesama warganegara Malaysia.

8) Hari ini kita melihat ada orang yang kurang ajar dan biadap membakar bendera Malaysia hanya kerana tidak bersetuju dengan parti yang menjadi kerajaan. Mereka sudah tidak mampu membezakan antara bendera Malaysia yang lambang kenegaraan dengan dengan hal politik. Hari ini kita lihat  ramai 'orang gila' membuang sampah ikut tingkap kenderaan, kita lihat  semakin 'haiwan bernama manusia' mendera anak kecil, isteri, ibubapa sendiri. Kita mengeluh dan bersedih sedangkan puncanya kerana generasi kita sudah hilang adap dan moral kemanusiaan.

9) Kita juga sudah lihat orang 'kurang akal yang berani mati' melintas jalan yang sibuk tanpa menghormati undang undang jalanraya, orang yang memandu laju sehingga membunuh orang lain. Kita keluh dan marah tetapi kita juga salah kerana tidak mendidik apa maknanya moral dan sahsiah yang baik pada anak anak kita.

10) Di Jepun misalnya, semua anak kecil diajarkan nilai siviks dan kewarganegaraan. Anak anak mereka diajarkan makna bantu membantu di sekolah. mencuci meja makan bersama, mengaturkan kasut rakan, menyusun buku rakan rakan sekelas dan sebagainya. Adap dan moral dahulu yang diajarkan dulu di Jepun untuk bangunkan  pembangunan diri, baru belajar kemahiran matematik sains atau apa juga ilmu pembangunan material.

11) Sistem pendidikan kita sebenarnya betul tetapi sedikit demi sedikit semakin sudah tersasar. Kita semakin tersilap dalam merangka kurikulum dan dasar pendidikan untuk masa depan.

12) Dulu sebab kita dunia negara ketiga, kita ingin segera keluar dari kelompok itu, jadi kita tumpukan kepada ilmu pembangunan material negara. Kita mahu anak kita jadi jurutera, doktor, peguam, arkitek dan berbagai lagi. Kita (pembuat dasar terdahulu) telah pinggirkan ilmu berkaitan agama, moral, sivik dan kewarganegaraan) berbanding matapelajaran yang di anggap sangat penting.

13) Hari ini alhamdullilah, kita sudah lebih baik dari sudut pembangunan material negara. Tetapi data jenayah, data pelanggaran peraturan, data gejala moral dan jauhnya anak anak kita dari agama sudah tidak boleh kita abaikan sahaja. betulkanlah keadaan ini. Bukan saya atau anda tetapi pihak kementerian Pendidikan harus ambil tindakan membaiki keadaan ini.

14) Pendidikan seharus membina tamadun, moral dan kesejahteraan untuk manusia. maju dalam teknologi, bangunan yang tinggi adalah sebahagian daripadanya. Kita juga perlu kemajuan moral, sahsiah, budaya baik dan amalan beragama.

15) Apakah kita sedang tersasar dari membina sistem pendidikan yang membina masyarakat yang bertamadun, besar jiwa dan jatidirinya? Ya, pada saya, kita semakin tersasar ....