05 October, 2011

Manual Panduan Aktiviti Pelajar UKM

Hari ini saya dimaklumkan JPPEL UKM telah mengadakan mesyuarat pertama membina Manual Panduan Aktiviti Pelajar UKM. Tahniah buat JPPEL atas usaha ini. Saya masih ingat beberapa bulan lalu saya telah mengusulkan akan perlunya satu garis panduan aktiviti pelajar diwujudkan supaya wujud keselarasan di dalam menguruskan pentadbiran aktiviti pelajar di UKM. Tahniah juga pada team felo IZISH yang diberikan kepercayaan oleh JPPEL untuk menjadi tulang belakang kepada penyediaan Manual Panduan Aktiviti Pelajar UKM.

Mengapa Garis Panduan Aktiviti Pelajar UKM ini penting?

1.Kepelbagaian Pelajar UKM. Hari ini UKM mempunyai hampir 25,000 orang pelajar (Pra-siswazah dan Siswazah). Terdapat juga pelajar program eksekutif dan juga separuh masa di UKM. Maka wujud latar pembelajaran yang berbeza antara setiap kumpulan ini. Maka itu kefahaman, keperluan serta pengetahuan berkaitan aktiviti pelajar adalah berbeza antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. Hal ini memerlukan satu garis panduan yang diguna sama oleh setiap orang pelajar di UKM.

2. UKM mempunyai lebih 180 persatuan pelajar. Keadaan ini memerlukan satu garis panduan yang sesuai digunakan untuk semua persatuan (PMUKM,Fakulti, Kolej, urusetia dan pusat kegiatan pelajar seperti PUSKEB dan Pusat Sukan).

3. Perkembangan terbaru ialah UKM telah memperkenalkan Kontrak Pembelajaran sebagai salah satu elemen pengajaran dan pembelajaran di bawah payung eko-sistem ilmu UKM. Maknanya setiap pelajar samada melalui persatuan atau tidak (asalkan minima 5 orang dan ada penyelia) boleh menganjurkan aktiviti bagi memenuhi hasil pembelajaran yang diperakuikan di dalam kontrak pembelajaran. Oleh itu satu garis panduan aktiviti pelajar amat diperlukan supaya semua pelajar yang ingin anjurkan aktiviti mempunyai panduan yang jelas berkaitan penganjuran aktiviti (bermula daripada memahami perihal statut, peraturan dan akta berkaiatan aktiviti hinggalah kepada paling akhir iaitu penyediaan dan penyerahan laporan akhir aktiviti).

LIMA perkara yang harus diambilkira di dalam penyediaan Manual Panduan Aktiviti Pelajar UKM.

1. Pindaan di dalam AUKU yang melibatkan maksud dan kebenaran penglibatan pelajar di dalam menganjur, melibatkan diri serta penyertaan di dalam aktiviti di UKM dan luar UKM. Semakin banyak ruang beraktiviti telah dibuka di dalam pindaan AUKU yang baru yang harus diterjemahkan di dalam manual Panduan Aktiviti Pelajar UKM. oleh itu manual ini harus mengambilkira keperluan penyesuaian dengan keadaan yang baru ini.

2. Perkembangan di pasaran kerja berkaitan kebolehpasaran dan keusahawanan menuntut UKM segera memahami apakah keperluan pengetahuan dan kemahiran pelajar yang harus diutamakan. Misalnya kemanakah peruntukan aktiviti pelajar harus difokuskan? Tentulah tidak sesuai lagi peruntukan besar yang diberikan kepada penganjuran aktiviti yang secara jelas tidak meletakkan keutamaan kebolehpasaran dan keusahawanan sebagai fokus penganjuran program. Manual ini harus boleh menjelaskan kepada pelajar apakah keutamaan aktiviti pelajar UKM misalnya (tujahan utama-niche), impak utama dan juga citra utama. Maka setiap aktiviti harus boleh menjelaskan tiga keutamaan ini sebelum mendapat peruntukan dari UKM untuk menjalankan aktiviti. Amalan sekarang, peruntukan diberikan tanpa sebarang panduan yang akan meningkatkan imej aktiviti pelajar UKM dalam jangka panjang.

3. Kontrak Pembelajaran adalah usaha yang menyokong Pelan Tranformasi UKM yang sedang berjalan. Oleh itu Kontrak Pembelajaran akan menjadi induk kepada amalan penganjuran aktiviti pada masakini dan akan datang di UKM. Mengapa? Kerana Kontrak Pembelajaran menawarkan kredit pembelajaran berjumlah 8 kredit bagi aktiviti pelajar yang bersifat ko-kurikulum. Oleh itu manual garis ini harus mengambilkira syarat dan kriteria yang telah ditetapkan oleh Senat (diuruskan oleh Pusat Akreditasi Pembelajaran). Oleh itu manual yang dibina harus mengambilkira semangat memudahcara kepada pelajar bila mula untuk menganjurkan aktiviti bagi tujuan memenuhi 8 kredit ko-kurikulum tersebut.

4. Sifat aktiviti pelajar adalah dinamik. Jika pada tahun 1970. 80an dan 90an, kebanyakan aktiviti berteraskan operasi khidmat masyarakat (gotong royong bersih kubur, surau, rumah anak yatim dan sebagainya) hari ini khidmat masyarakat telah  semakin berkembang. Kita harap akan dapat melihat pelajar kita menjalankan khidmat masyarakat di hospital, SPCA, di luar negara seperti musim haji bersama Tabung Haji, di negara yang telah melalui bencana seperti Aceh, Somalia dan Bangladesh.(saya lebih gemar menggunakan istilah kesukarelaan kerana ia bersifat student centred dan membawa maksud membina nilai individu). Selain itu akan ada juga pelajar kita menjadi sukarelawan on line melalui internet atau telefon seperti khidmat nasihat, kaunseling dsbnya. Ini baru khidmat masyarakat, bagaimana dengan sukan lasak, kebudayaan (k-pop) dan sebagainya. Kita mungkin berkata, itu semua tidak penting, tetapi kita harus sedar ini adalah sesuatu yang penting pada perspektif pelajar. saya sering mendengar rakan akademik berkata apa yang penting sangat dengan politik kampus? atau sukan pelajar? atau seni tari pelajar? Pada sesetengah orang memang tidak penting, tetapi pada yang mementingkan pembangunan pelajar, semua hal ini sangat penting dan mengujakan.

5. Kehendak dan aspirasi pelajar di dalam beraktiviti harus diambilkira di dalam manual ini. Pelajar hari ini memerlukan sokongan UKM di dlam beraktiviti dan bukannya pembuat keputusan untuk mereka semasa beraktiviti. Keadaan ini harus difahami sebagai memberikan kepercayaan kepada pelajar mennetukan apa yang terbaik untuk kemajuan mereka. tentunya dalam membuat keputusan, ada kalanya mereka buntu dan memerlukan sokongan dan bimbingan. Maka pegawai (misalnya di JPPEL, Felo)  haruslah membantu mereka. Manual ini adalah dibina dengan hasrat membantu bukannya bertujuan membina halangan-halangan untuk pelajar beraktiviti. Sebagai contoh perlukah setiap aktiviti perlu ada perasmian? Perlukan setiap aktiviti ada buku cenderamata? Jika pelajar rasa mereka ingin melakukannya dan mohon bimbingan maka kita sokonglah kemahuan mereka. Oleh itu ada baiknya wakil di kalangan pelajar juga dijemput memberikan input di dalam penghasilan Manual Aktiviti Pelajar UKM yang sedang diusahakan oleh JPPEL.