18 October, 2011

Al-Fatihah Buat Bekas Pengetua Kolej UKM

Pada 16 September 2011, di hari kita meraikan kelahiran negara Malaysia, kami para pengetua kolej kediaman UKM menerima berita perginya ke rahmatullah Dr Warnoh Katiman, bekas pengetua Kolej Ungku Omar. Allahyarham juga merupakan bekas pensyarah Fakulti Pendidikan UKM di dalam bidang pentadbiran pendidikan.

Allahyarham merupakan bekas seorang guru dan pengetua sekolah sebelum menjawat jawatan sebagai pensyarah di Fakulti Pendidikan UKM. Seterusnya diberikan kepercayaan oleh Tan Sri Prof Dr.Mohd Salleh Yassin, Naib Canselor ketika itu untuk memegang jawatan pengetua kolej kediaman Ungku Omar UKM (2000-2003) mengantikan Dr. Fauzi Musa juga bekas pensyarah di Fakulti pendidikan UKM.

Saya mengenali allahyarham sebagai rakan karib dan juga rakan sekerjaya. Allahyarham ketika itu adalah pengetua yang paling  senior di kalangan semua pengetua kolej (dari segi umur), terkenal sebagai seorang yang sangat mengambil berat berkaitan kebajikan pelajar UKM. Antara perkara yang paling dititikberatkan ialah soal akhlak dan ibadat pelajar Melayu. Beliau sangat tegas dengan soal pembangunan akhlak dan moral para pelajar.

Pernah satu hari selesai kami bermesyuarat berkaitan pengurusan kolej yang di pengerusikan oleh Yang Berbahagia Prof Dato' Dr Mohd Wahid Samsudin TNC HEPA di bangunan canselori, saya dan allahyarham berkongsi kereta untuk balik ke pejabat kami di Fakulti Pendidikan. Sampai di persimpangan Kolej Burhanuddin Helmi untuk ke Fakulti Pendidikan, allahyarham tiba-tiba memberhentikan keretanya di tepi jalan (di depan bangunann PPU sekarang) semata-mata tidak puas hati melihat  seorang pelajar membuang bekas botol plastik di bawah pokok. Beliau keluar dari kereta, berjalan ke arah pelajar berkenaan dan dengan tegas mengarahkan pelajar berkenaan mengambil kembali sampah tersebut dan meminta pelajar itu berjalan ke arah tong sampah yang berada tidak jauh dari situ dan membuangnya. Beliau sanggup menunggu sehingga pelajar berkenaan benar benar membuang sampah tersebut.  Pada beliau soal ibadat, akhlak dan moral adalah asas dalam kehidupan. Beliau selalu berkata tidak guna selepas seseorang pelajar berjaya berjawatan tinggi, kaya raya dan berkuasa tetapi  akhlak dan moralnya rendah. "Jika akhlak dan moral rendah, itu maknanya pendidikan kita gagal", "itu maknannya guru juga gagal" sering disebut berkali kali prasa ini oleh beliau.

Pada saya, allahyarham adalah model guru yang sebenarnya. Hampir 40 tahun berkhidmat, barulah beliau bersara. Tetapi beliau tetap sibuk dengan projek pembangunan resort dan kem latihannya di Hulu Langat. Di sana beliau telah membeli 26 ekar tanah hutan yang mempunyai anak sungai dan kawasan perkelahan. Cantik dan tenang bila berasa di sana. Beberapa kali sempat saya ke sana menziarahi allahyarham. Begitu bersemangat beliau meceritakan rancangannya untuk terus membangunkan resort tersebut. Memang semangat 'cikgu' kukuh tersemat di dalam jiwa beliau.

Kini saya kehilangan seorang kawan karib dan juga rakan seperjuangan dalam pendidikan. Pemergiaan beliau menginsafkan saya tentang makna hidup dan mati. Pemergian beliau mengajar saya erti kasih sayang dan kematian. Pemergian beliau juga mengajar saya makna permusuhan dan kematian. Juga tentang jawatan, kuasa, harta dan keseronokan kehidupan di dunia. Mohon dijauhkan hidup kita semua dari perkara yang mungkar dan mohon Allah rahmati dengan semua perkara yang maaruf di dalam kehidupan yang sementara ini.

Al Fatihah buat sahabatku Allayarham Dr Haji Warnoh bin Katiman, semoga ditempatkan bersama orang orang yang beriman dan beramal soleh..Semoga anak-anak saudara yang soleh dan solehah menjadi pendoa yang istiqamah, harta dan rezeki yang saudara cari di dunia dulu menjadi sedekah jariah yang berterusan pahalanya dan semua ibadah yang telah saudara tunaikan semasa di dunia dulu menjadi peneman abadi di alam yang baru. Kami di sini bila sampainya masa akan pasti juga ke sana...seperti yang telah Allah janjikan. al fatihah.