30 December, 2012

Sucinya Perjuangan Hak Mendapatkan Pendidikan: Tahniah HAM 2@IZISH

Majalah TIME keluaran Disember memang ditunggu tunggu oleh mereka yang ingin mengetahui siapakah yang dinobatkan sebagai "Person of The Year" bagi tahun 2012. Ramai yang sudah dinobatkan termasuklah Mark Zuckerberg dan Steve Job pada tahun- tahun yang lepas. Tahun ini agak menarik kerana bukan seorang tetapi lima orang yang dinamakan sebagai 'Person of the Year". Di tangga pertama seperti yang diduga ramai, Presiden Barrack Obama yang berjaya memenangi jawatan bagi penggal kedua mengalahkan Romsey.

Tokoh kedua ialah Malala Yousafzai, seorang kanak kanak yang cedera parah ditembak kumpulan Taliban di Pakistan. Tokoh ketiga juga sudah dijangka iaitu Tim Cook, CEO Apple yang mengantikan mendiang Steve Job. Tokoh keempat juga sudah diramalkan iaitu Mohammad Morsi, Presiden Mesir yang menjadi Presiden pertama di bawah sistem demokrasi terbuka dan tokoh kelima seorang ahli saintis fizik wanita berbangsa Itali, Fabiola Gianotti yang berjaya menemui sub atom partikel. Jumpaan saintis ini akan meningkatkan secara keseluruhan kajian bidang fizik sub atom yang dikatakan telah dimulakan sejak 50 tahun yang lalu.

Setiap tokoh ini mempunyai kelebihan masing masing, yang paling penting sumbangan meraka sangat siknifikan kepada perkembangan manusia global bagi tahun 2012.

Mungkin yang lain sudah dikenali ramai. Tetapi mungkin tidak ramai yang mengenali siapakah Malala Yousafzai. kanak kanak ini menjadi pilihan majalah Time untuk berada di kedudukan kedua hanya selepas Barrak Obama, meninggalkan CEO Apple, presiden mesir dan saintis terunggul di awal abad ke 21.

Siapakah Malala Yousofzai? Apakah sumbanganya? Beliau baru berumur 14 tahun bila satu pagi pada 9 Oktober 2012, sekumpulan anggota Taliban naik ke bas sekolah yang dinaiki Malala, memanggil namanya dan tanpa belas kasihan menembak di kepalanya. Akibatnya Malala telah mengalami kecederaan parah sehingga terpaksa dibawa ke hospital di Birmingham UK untuk melalui pembedahan. Tempurung kepalanya yang pecah akibat tembakan terpaksa digantikan dengan kepingan titanium. Otaknya juga membengkak dan terpaksa dibedah beberapa kali. Apakah yang telah beliau lakukan sehingga kumpulan Taliban sanggup melakukan pembunuhan ke atasnya?

Malala Yousufzia merupakan kanak kanak luar biasa. Ketika berumur 2 tahun setengah, beliau sudah diletakkan di dalam kelas untuk pelajar berumur 10 tahun. Pada umurnya 11 tahun, Malala telah memberikan satu ucapan 'berani mati' di hadapan para media yang bertajuk " How Dare the Taliban take away My Basic Right to Education?"yang mengecam puak taliban yang menhalang anak anak perempuan di Afganistan mendapat pendidikan di sekolah. Pada umur 15 tahun beliau telah diiktiraf sebagai masyarakat dunia sebagai pejuang kepada mendapatkan hak pendidikan untuk kanak kanak perempuan di Pakistan dan Afghanistan.

Tindakan beliau mendapat tentangan daripada puak Taliban. Sebelum kejadian pada 9 Oktober 2012, beliau dan keluarga beliau telah beberapa kali menerima ancaman bunuh dari anggota kumpulan Taliban. Sebabnya hanya kerana beliau hadir ke sekolah dan mengajak kawan kawan perempuannya supaya jangan berhenti sekolah.

Puak Taliban sentiasa mengugut pelajar perempuan dan keluarga mereka supaya jangan ke sekolah. Tetapi semangat juang dan keberanian Malala telah mengenepikan ancaman keselamatan terhadap dirinya. Beliau terus menerus pergi ke sekolah ketika semakin ramai pelajar perempuan lain mula berhenti sekolah.

Kedegilannya menyebabkan beliau menjadi sasaran puak Taliban. Tetapi keberanianya tidak pernah tergugat. Ketika terlantar di hospital Birmingham, beliau dilaporkan masih meneruskan usahanya dengan menelefon kanak kanak perempuan di Pakistan dan Afghanistan menyampaikan pesanan supaya jangan sekali kali berhenti bersekolah.

Tentunya beliau akan dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan dalam masa terdekat. sehingga Disember 2012, seramai 500 ribu orang telah menandatangani memorandum mencalonkan beliau sebagai penerima hadiah utama tersebut.

Beliau masih muda, terlalu muda. Tetapi semangat dan kesedarannya tentang pentingnya pendidikan melangkau umur dan tahap pengalaman hidupnya. Malala memberikan inspirasi kepada kita tentang betapa besarnya makna pendidikan. Setiap orang kanak kanak berhak mendapat pendidikan. Sekurang kurangnya pendidikan asas.

Semalam, para pelajar IZISH turun ke Sungai Lalang, Semenyih untuk melaksanakan tanggungjawab mereka memberikan kesedaran tentang makna dan hak pendidikan kepada anak anak masyarakat orang asli di sana. Satu usaha yang selari dengan apa yang dilakukan oleh Malala Yousufzai di Pakistan sana. Tinggal lagi perjuangan kita di Malaysia tidak sesukar apa yang terpaksa di lalui oleh Malala di Penshwar.

Usaha para Izishian ini adalah sesuatu yang terpuji dan harus diteruskan pada masa depan. Laporan UNDP (2010) menunjukkan lebih kurang 40,000 kanak kanak di Malaysia (khususnya di kalangan anak anak masyarakat orang asli) yang tidak bersekolah. Ada pula yang tercicir selepas setahun dua berada di sekolah. Begitu juga dengan masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak di kawasan pendalaman. Juga kumpulan kanak kanak gelandangan di badar bandar besar seluruh negara. Mereka masih perlu dibantu.

Sesungguhnya perjuangan hak mendapat pendidikan adalah sesuatu yang suci dan pasti akan dirahmati. Tahniah team Hak Asasi Manusia II untuk tahun 2012...



29 December, 2012

Pelajar UKM Perlu Lebih Hati Hati....

Setiap kali saya bertemu, berbual dan bertanya khabar dengan pelajar samada di kolej atau di fakulti, saya sering melihat kelakuan mereka. Sesuatu yang tidak dapat saya elakkan. Saya melihat cara mereka berpakaian, cara mereka mengemaskan rambut, pakaian yang mereka pakai dan cara pertuturan yang mereka lakukan. Tidak ketinggalan saya melihat apakah mereka itu jenis pemalu, rendah diri yang berlebihan dan tidak mempunyai 'keyakinan' untuk melakukan 'eye contact' dengan saya.

Jangan ingat saya sahaja yang melakukannya. Sebenarnya hampir semua orang termasuk anda juga melakukannya samada anda sedar antau tidak. Anda juga melakukan penilaian terhadap orang lain. Sebab itu kita akan kata 'bagus pelajar itu', 'sopan betul dia', 'wah,cantiknya dia', atau 'alangkah baiknya kalau aku secantik dia' dan berbagai lagi cara penilaian yang anda lakukan.

Saya seperti juga orang lain akan membuat persepsi bila berhadapan dengan pelajar. Bila berjumpa dengan pelajar yang mempunyai kemahiran bertutur dengan baik, lancar, yakin, punyai 'eye contact' yang berkesan, gaya berdiri yang baik, berjalan dengan kemas dan selalu tersenyum pasti saya akan mengatakan 'ini seorang pelajar yang berkeyakinan tinggi'.

Pada masa yang sama saya juga selalu berjumpa pelajar yang murung, tidak suka tersenyum, kelihatan lesu, berjalan dengan membongkok badan dan menundukkan kepala, berjalan dengan menyeret kasut sehingga mengeluarkan bunyi yang binggit, tidak ada kemahiran bertutur dengan baik dan tidak memandang wajah saya bila bertutur. Tanggapan saya selalu akan berkata " pelajar ini tiada atitud diri yang berkesan".

Jika anda dalam kumpulan ini, jangan merasa marah atau benci pada saya kerana SEMUA penemuduga juga akan melakukan persepsi yang sama pada anda bila anda melangkah masuk ke bilik temuduga nanti. Kalau anda ingin berniaga pun pelanggan anda juga akan melakukan tanggapan sedemikian. Anda tidak dapat lari dari kenyataan ini.

Oleh kerana semua penemuduga adalah orang yang biasanya sudah berpengalaman membaca perlakuan dan gaya dan isyarat badan seseorang calon, dalam masa 60 saat sahaja mereka sudah membuat keputusan samada untuk menolak terus atau menimbangkan seseorang calon yang ditemuduga. Jika mengambil keputusan untuk terus menimbangkan, mereka akan memerlukan beberapa minit lagi untuk samada menerima atau tetap menolak permohonan anda bekerja di syarikat mereka. Biasanya dalam tempoh 120 saat, seseorang penemuduga sudah membuat keputusan muktamad samada menerima atau menolak calon yang ditemuduga. Mudah bukan kerja mereka!

Mudah buat penemuduga tetapi sangat sukar buat calon yang ditemuduga. Untuk berjaya membina persepsi positif dalam masa 60 saat pertama, sebagai calon yang ditemuduga, anda memerlukan sesuatu yang 'outstanding' atau X factor. Cara anda berpakaian, cara kekemasan rambut dan solekan, personaliti luaran, gaya berjalan, cara bertutur memperkenalkan diri, penguasaan bahasa kedua dan ketiga, eye contact dan sebagainya akan berlaku pada tempoh ini. Tentunya semakin mencabar jika temuduga dijalankan dalam kumpulan di mana lebih dari satu calon ditemuduga dalam satu masa. Persaingannya tentu lebih hebat, yang lebih yakin diri pasti akan menonjol membayangi yang pendiam, yang tiada personaliti dan sebagainya.

Nasib anda di 60 saat yang kedua akan ditentukan oleh pengalaman anda. Soal akademik sudah tidak timbul lagi ketika ini. Itu telah diteliti semasa anda di pilih untuk datang ke temuduga. Di dalam bilik temuduga ialah masanya untuk anda menyakinkan penemuduga bahawa anda adalah pilihan yang paling tepat untuk syarikat mereka. Seolahnya rugilah kalau mereka lepaskan anda...

Apa yang ingin anda cakap ketika ini? Apa yang ingin anda 'highlight' tentang keupayaan anda? Apa kehebatan anda? Apa yang menguntungkan syarikat kalau memilih anda untuk bekerja dengan mereka? Apakah nilai tambah yang ada pada anda selain akademik, komunikasi yang berkesan, dan kekemasan fizikal? Apakah anda ada bukti tentang inovasi, kreativiti, pengiktirafan antarabangsa, marketing skills, problem solving semasa di kampus dan sebagainya? Sebab itu jangan diperkecilkan idea bagaimana menguruskan gangguan binatang liar di kampus atau projek kitar semula atau seumpamanya kerana mungkin jika anda telah berjaya menyumbang kepada selesaikan isu itu, majikan lebih berminat untuk mendengar cerita tersebut dari mendengar skor PNGK anda 3.50!

Atau kisah bagaimana anda telah berjaya mengumpulkan dana projek puluhan ribu ringgit semasa di kampus untuk tujuan kebajikan untuk mangsa bencana di dalam dan luar negara? Atau kisah banyaknya jaringan anda dengan para pegawai syarikat syarikat yang pernah bekerjasama dengan anda semasa menganjurkan aktiviti di kampus dulu? Paling asas pun berapa rakan baik anda yang buka dari kumpulan etnik anda sendiri ? Jika anda orang Melayu berapa ramai kawan karib anda yang berbangsa Cina dan India ?

Dunia di luar kampus akan menjadi semakin sukar...cabaran dan persaingan menjadi sengit. Kadang kala seperti tidak akan bersimpati dengan anda. Jadi berhati hatilah untuk terus berjaya di luar sana...



Mahasiswa UKM Harus Lebih Bersedia Untuk Masa Depan

Sekarang warga pelajar UKM akan memasuki minggu yang penuh kesunyian. Masing masing dengan dunia masing masing. Semua sibuk menyiapkan assingment, tugasan, kertas kerja dan sebagainya. Siang dan malam. Makan, tidur dan rehat apatah lagi bersantai bukan lagi menjadi keutamaan. Malah semakin ramai mula 'matikan buat sementara' facebook, twitter dan segala macam 'mainan' yang sejak sekian lama 'memakan masa' mereka. Ada yang menyesal dan merasakan bahana 'membuang masa' yang berlebihan di facebook dan internet. Saya pernah tulis di blog ini tidak berapa lama dulu sebagai mengingatkan pelajar dengan tajuk "pelajar ukm jangan membuang masa'. Apapun masa yang ada harus digunakan sebaiknya..better late than never..

Saya tinggalkan hal itu. Sebenarnya pelajar UKM tidak pernah terlewat selagi mereka belum bergraduan. Hanya bila bergraduan sahaja barulah ada yang rasa beruntung dan ada yang rasa rugi atas masa yang mereka gunakan semasa di UKM dulu.

Pagi ini saya terima berita beberapa pelajar UKM yang graduat dua tahun lepas sedang menghadiri 'majlis konvo' mereka sempena menerima sijil GIATMARA dalam kemahiran sulaman dan bakery. Rasa bangga dan sedih datang sekaligus dalam hati saya. Bangga kerana setelah 4-5 tahun belajar dan bergraduan di UKM, mereka masih ingin meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang yang tidak mereka terokai semasa di UKM dulu. Sedih bila memikirkan setelah begitu lama di UKM, rupa rupanya ijazah sarjana muda yang mereka perolehi GAGAL membantu mereka mendapat pekerjaan yang sesuai sehingga terpaksa mengikuti sijil kemahiran di GIATMARA. Apakah selama bertahun tahun belajar di UKM dulu, ijazah tersebut terpaksa disorokkan begitu sahaja dan mencari peluang bekerja dengan sijil kemahiran GIATMARA!

Saya harap pelajar UKM yang sedang bertungkus lumus menelaah pelajar lebih bersedia menghadapi hari depan mereka. Mereka bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik tetapi juga harus hebat dalam kemahiran berkomunikasi (ada yang masih belum faham maksud kemahiran komunikasi. Maksud mudahnya ialah bijak berkomunikasi mengikut konteks. Bagaimana berkomunikasi di dalam tutorial, di dalam seminar, di talian telefon, di dalam bilik temuduga, berbual bersama orang tua, berinteraksi bersama pensyarah, bersantai bersama rakan rakan, berhubungan bersama majikan dan sebagainya. Harus kita faham bahawa setiap konteks memerlukan kemahiran berkomunikasi yang berbeza beza).

Percaya atau tidak bahawa, majikan hari ini lebih cenderung untuk melihat kemahiran personal ini berbanding kecemerlangan akademik semata mata. Majikan khususnya di syarikat multinasional sudah tahu bahawa sistem pendidikan di malaysia sangat terikat dengan sistem pembelajaran berasaskan hafalan, memorization, exam oriented dan sebagainya. Mencari pelajar yang cemerlang akademik dalam acuan 'rote-learning' bukan sesuatu yang sukar. Tetapi mencari pelajar yang mempunyai kemahiran komunikasi, bijak membuat keputusan, tahan saingan, bijak menguruskan tekanan, memiliki karisma kepimpinan jauh lebih sukar. Ini memerlukan gabungan antara bijak akademik (mampu aplikasi ilmu dalam kuliah) serta bakat yang terserlah.

Soalnya kemahiran ini bukan hanya ada di dalam dewan kuliah dengan sekadar mendengar kuliah para pensyarah. pelajar harus melibatkan diri dengan berbagai aktiviti luar dewan kuliah. Terlibat dengan aktiviti kampus, terlibat dengan politik kampus yang sihat, aktif dalam khidmat masyarakat dan kesukarelawanan, keusahawanan dan sebagainya. kemahiran ini juga tidak diperolehi sekelip mata, sekadar terlibat dalam satu dua aktiviti sahaja. Perlu konsisten dan bersungguh sungguh. Juga tidak cukup sekadar terlibat hanya untuk suka suka, atau hanya untuk melengkapkan LC semata mata!

Tidak salah mengikuti apa juga sijil kemahiran pasca bergraduan, samada di GIATMARA, kolej komuniti, kolej teknikal, atau apa sahaja. Soalnya mengapa tidak segera tingkatkan kemahiran interpersonal semasa di UKM. Tingkatkan nilai diri supaya lebih beketerampilan, bijak berkomunikasi (khususnya bahasa kedua samada bahasa Inggeris, Arab atau Mandarin). Bukankah itu lebih baik dan selari dengan usaha memperolehi ijazah sarjana muda dalam bidang masing masing?

Apapun semuanya terpulang pada diri sendiri, tepuk dada tanya selera. Bagaimana dan apakah yang anda ingin untuk masa depan anda selepas bergraduan nanti? Apapun yang pasti setiap dari anda harus bersedia dari sekarang..saya maksudnya SEKARANG...SELAMAT TAHUN BARU 2013..



19 December, 2012

Isu Palestine, Syria, Rohingya: Sampai Bila Mahasiswa UKM Sanggup Menyumbang?

Izinkan saya memulakan tulisan ini dengan berkata "Bersedekah satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam". Selagi terdaya, kita akan terus bersedekah untuk kemaslahatan umat Islam di seluruh dunia.

Petang tadi selepas solat maghrib,  saya bersama sama warga pelajar di Masjid UKM untuk satu majlis penyerahan sumbangan jawatankuasa UKM4Palestine pada wakil Aqsa Syarif Berhad dan wakil Aman Palestin. Semua sumbangan ini kemudiannya akan disalurkan kepada saudara Islam di Palestine.

Saya juga ingin ambil kesempatan di awal penulisan ini untuk merakamkan ucapan tahniah pada sekretariat UKM4Palestine yang telah berjaya mengumpul dana sumbangan berjumlah lebih RM40,000 dari warga UKM Bangi dan KKL serta masyarakat sekitar Bangi, Kajang, Putrajaya dan sebagainya.

Ini satu usaha yang tiada tolok bandingnya dalam menyatakan sokongan kita terhadap perjuangan membebaskan bumi dan rakyat palestine dari cengkaman kaum yang dilaknat oleh Allah swt, iaitu kaumYahudi berideologi Zionis di Israel.

Atas asas keperimanusian dan atas nama kesucian Islam, kutipan dana dijalankan oleh sekumpulan pemimpin pelajar UKM yang berbeza pandangan politik (ISIUKM dan ASPIRASI), berbeza matlamat dan tujuan tertubuhnya persatuan (JAKSA, Persatuan Fakulti) dan atas nama perseorangan telah melakukan sesuatu yang murni dan berani. Mereka berbincang, berpakat dan akhirnya wujud sebuah jawatankuasa bertindak yang bertemakan UKM4Palestine.

Kerana tujuan pakatan ini jelas, berfokus serta ikhlas, mereka berjaya mengumpulkan dana seperti yang diharapkan (malah dengan izin dan rezeki Allah swt, melebihi daripada sasaran awal). Insyaallah semua dana yang terkumpul akan diserahkan kepada badan yang akan menyalurkannya kepada saudara saudara Islam di bumi Palestine.

Tiada kata yang dapat kita bayangkan betapa kejam serta tiada keperimanusiaan manusia yahudi Zionis membunuh, mendera dan menyiksa kehidupan umat Islam termasuk kanak kanak dan wanita di Palestine.Kita membaca  umat Islam bukan sahaja ditindas, tersiksa, terpinggir serta dimusuhi di Palestine.

Pada ketika Palestine memerlukan sokongan dan bantuan umat Islam seluruh dunia, kita juga menerima berbagai kisah bagaimana umat Islam dengan begitu sedih disiksa, didera, dibunuh dan diperlakukan dengan begitu sadis di Syria, Rohingya dan beberapa kawasan di Afrika. Semua kisah ini dapat kita tonton di youtube pada setiap hari. Ini juga perlukan bantuan, pembelaaan serta perhatian dari seluruh umat Islam, termasuk juga mahasiswa dan warga UKM.

Tentu sahaja kita boleh mengutip dana setiap kali kisah mereka dihebahkan oleh media. Seperti biasa, setiap kali serangan besar besaran tentera Zionis ke atas Palestine, pasti akan ada usaha kutipan sumbangan dijalankan di negara ini. Sejak dari dulu begitulah caranya. Soalnya sekarang, dengan berbagai isu seperti Rohingya, Syria dan sebagainya, mampukan dana secara besar besaran akan terus dikutip oleh kita?

Maka selain dengan mengumpulkan sumbangan, kaedah lain harus dicari. Kaedah yang lebih konsisten, berterusan serta tidak menghilangkan keinginan penyumbang memberikan sumbangan.

Sudah sampai masanya pelajar UKM yang berusaha mendapatkan dana kepada umat palestine memikirkan sesuatu yang lebih berdaya maju. Di Malaysia kita sudah ada berbagai NGO yang berhubung terus dengan pertubuhan di Palestine. Tetapi kita perlukan lebih banyak NGO yang boleh mengumpulkan dana sebanyak mungkin dan secepat mungkin.

Maka itu, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah perlunya satu bentuk perniagaan/keusahawan sosial yang dipopularkan oleh Muhammad Yunos (penerima Nobel Keamanan) di bumi UKM ini. Pelajar UKM melalui Sahabat Aqsa perlu memulakan perniagaan  untuk saudara di Palestine.

Mulakanlah apa juga perniagaan yang mudah dan baik, dari menjual makanan, pakaian terpakai, perkhidmatan dan sebagainya. Keuntungan bersih akan dijadikan sumbangan kepada rakyat Palestine.

Jika dahulu kolej menganjurkan hari keluarga kolej dengan berbagai jualan, pada masa depan hari keluarga kolej seharusnya didedikasikan untuk mengumpulkan sumbangan demi umat Islam di seluruh dunia. Beberapa kolej termasuk IZISH telah memulakannya pada tahun tahun yang lalu. Tetapi aktiviti sebegini sifatnya tidak tekal dan berterusan. Maka sekretariat UKM4Palestine dan Sahabat Aqsa UKM harus diperkasakan agar usaha seperti ini dapat dipertingkatkan.

Kita biasa mendengar nama nama perniagaan seperti Oxfam, The Charity Shop dan sebagainya di barat. Di negara ini usaha ini walaupun ada tetapi masih banyak ruang untuk dipertingkatkan. Semoga pelajar UKM akan mempelopori usaha ini di peringkat IPTA Malaysia.

Sehingga tibanya waktu itu, sekalung tahniah untuk sekretariat UKM4Palestine yang telah mencapai objektif pakatan mereka.


17 December, 2012

Menjayakan MPP UKM: Bukan Sekadar Bermain Politik

 Semasa belajar di Universiti of London dulu, saya berpeluang terlibat dengan aktiviti pelajar melalui Universiti London Union (ULU) mewakili biro Asia Tenggara. ULU merupakan sebuah kesatuan induk pelajar di Universiti London dan dengan melibatkan diri banyak memberikan pengaruh kepada saya tentang cara dan bagaimana sepatutnya sesebuah kesatuan atau persatuan mahasiswa harus beroperasi.

Kami di ULU menguruskan sepenuhnya kesatuan pelajar universiti. ULU merupakan gabungan semua persatuan pelajar Universiti London yang mempunyai lebih 300 persatuan pelajar fakulti, institut, sekolah pengajian dan sebagainya.

ULU mempunyai pejabatnya sendiri (tetapi pejabat MPP UKM di PUSANIKA jauh lebih terserlah dari segi lokasi dan saiz lantai pejabat berbanding ULU yang terletak di aras 'basement' bangunan lama universiti). Bagaimanapun pejabat ini sentiasa sibuk dikunjungi oleh para pelajar. Banyak maklumat serta urusan universiti boleh diperolehi dari pejabat ULU. Tentunya pejabat ULU juga menjadi 'meeting point' untuk bertemu dengan rakan rakan sekuliah.

Dua perkara menarik tentang ULU ialah pertama, pejabatnya diuruskan oleh beberapa kakitangan (pekeranian dan pencucian) sepenuh masa yang gajinya di bayar oleh pihak ULU sendiri.

Keduanya, pendapatan utama ULU datang dari tiga sumber iaitu pertama, dana tetap dari pihak universiti yang kadarnya sekitar 30% sahaja. Kedua, sumbangan tetap dari persatuan alumni universiti yang merangkumi hampir 30%. Selebihnya diperolehi melalui perniagaan yang diuruskan oleh syarikat di bawah ULU.

Seingat saya tiga perniagaan utama ULU ialah perniagaan berkaitan travel & tours yang merangkumi perkhidmatan agen jualan tiket kapalterbang, program pakej percutian yang  mengunakan kad pelajar universiti (maksudnya ULU menjadi agen pendaftaran jika ada pelajar ingin bercuti di England, Scotland, Wales, Europe dan bahagian lain.Asalkan sahaja percutian tersebut membenarkan penggunaan 'student card' untuk mendapat harga yang paling murah.

Satu lagi perniagaan yang dijalankan oleh ULU ialah menguruskan cafe pelajar sendiri. Bukan sahaja cafe ini mengajikan pekerja sepenuh masa, segala galanya dari penyewaan, pembelian stok bahan mentah dan sebagainya diuruskan oleh para pelajar.

Cafe ini memberikan hasil yang cukup menguntungkan, pelanggannya bukan sahaja di klangan pelajar malah turut dikunjungi oleh para ahli akademik dan masyarakat sekitar. makanannya yang setanding dengan cafe lain di bandar London, pengurusan yang cekap serta perkhidmatan yang memuaskan. paling penting harganya lebih murah berbanding cafe cafe lain yang berdekatan.

Selain itu, pendapatan juga datang dari  penjualan buku buku, hasil dari jualan barangan cenderamata dari kedai souveneir milik ULU, sewaan tapak dari aktiviti jualan mingguan ala-flea market dan sebagainya. ULU tidak kekeringan pendapatan kerana bentuk perniagaannya adalah tetap dan mendapat sambutan para pelajar.

Oleh itu saya merasakan sudah sampai masanya MPP UKM mengerakkan ide untuk menjana kewangan mereka sendiri dengan menyediakan pakej pelancungan, homestay dan sebagainya sebagai satu bentuk perniagaan di pejabat MPPUKM. Selain itu ada baiknya dibangunkan cafe di depan pejabat PMUKM (nama lama MPPUKM) sebagai satu aktiviti tetap.

Keuntungan dari aktiviti perniagaan ini pastinya akan menampung keperluan MPPUKM melaksanakan aktiviti. Tetapi yang lebih penting, apabila melaksanakan perniagaan yang sesuai dalam kampus, MPPUKM akan dilihat bukan sekadar hanya aktiviti bermain politik  semata mata.

14 December, 2012

Trek Kesihatan Kampus: Agenda Pertama IZISH Bagi Tahun 2013


Tangga IZISH
Nada blog kali ini sedikit berbeza. Saya ingin berkongsi apa yang ingin kami di IZISH UKM lakukan pada awal 2013. Mungkin boleh juga dikatakan satu azam baru buat kami. 

IZISH melalui Pelan Strategik 2011-2013 menyatakan hasratnya untuk menjadi sebuah kolej yang mengamalkan amalan lestari dalam kehidupan para warganya. Usaha ini sedang berterusan dan telah menunjukkan kejayaanya. Selain menerima pengiktirafan sebagai kolej lestari, penganjuran beberapa aktiviti pelajar yang mendukung usaha ini telah berjaya dilaksanakan.

Oleh itu bagi tahun 2013, agenda pertama IZISH ialah melaksanakan satu program menaiktaraf  kawasan tangga IZISH sebagai satu ikon IZISH kolej lestari dan akan dinamakan sebagai TREK KESIHATAN IZISH-UKM.

Kaedah pelaksanaan

a) Fasa I (Januari-Februari 2013) – ZON HERBA

Pada sesiapa yang pernah berkunjung ke IZISH dengan berjalan kaki pasti akan melalui satu tangga yang agak panjang untuk ke Pusanika. Saya difahamkan jumlah anak tangganya melebihi 200. Pada yang tidak biasa, memanjat anak anak tangga ini memang melelahkan. Tetapi ini juga satu latihan fizikal yang sangat baik dan sesuai sekali.

Dalam program ini, kawasan tangga IZISH akan dibahagikan kepada empat bahagian utama, mewakili setiap blok pelajar IZISH (Merah, Biru, Kuning dan Hijau).

Satu gotong royong perdana akan dijalankan untuk membersihkan kawasan tangga ini mengikut zon yang ditetapkan mengikut rumah pelajar IZISH. Seterusnya setiap rumah pelajar akan menanam sekumpulan pokok pokok bertemakan tumbuhan herba secara berkelompok mengikut blok masing masing. Konsep herba yang dicadangkan ialah zon herba  masakan, zon herba perubatan, zon herba penjagaan kulit dan zon herba penjagaan kesihatan. Semua zon akan dilabelkan pokok pokok herba seperti nama pokok, asal usul herba, kegunaan dan faedah pada manusia serta maklumat unik tentang pokok berkenaan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

b) Fasa Dua (Februari-Mac 2013)-  ZON MAKLUMAT PENYAKIT

Fasa ini akan memberikan maklumat kesihatan kepada pengguna tangga. Misalnya jumlah kalori yang dibakar selepas memanjat tangga IZISH, input penyakit gayahidup (zon penyakit jantung, zon penyakit diabetis, zon darah tinggi dan zon obesiti )

c) Fasa Tiga (Mac 2013) :  PROMOSI TANGGA IZISH SEBAGAI “TREK KESIHATAN 
                                           KAMPUS’

Penyediaan Pamplet, poster dan banner yang akan mempromosikan tangga IZISH sebagai Trek Kesihatan Kampus. Perasmian juga akan diadakan bagi mengesahkan program ini di peringkat UKM. Setiap blok pelajar akan menjadikan zon masing masing sebagai zon angkat mereka.



Contoh Lanskap Zon Herba Trek Kesihatan IZISH-UKM


Input Kesihatan dan Kelestarian akan diletakkan sepanjang trek kesihatan IZISH UKM.



12 December, 2012

MPP-UKM: Tidak Bersatu Bukan Bermaksud Tidak Boleh Bersama


Terus terang saya katakan, senario kepimpinan MPPUKM sesi ini jauh lebih baik dan matang berbanding sesi lepas. Samada disebelah 'GMUKM' mahupun Aspirasi. Kedua-duanya sangat jauh lebih baik. Jika ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya, tidaklah menjadi satu kerisauan pada saya. Ini adalah pemerhatian dan pendirian saya secara ikhlas.

Nampak jelas di mata saya ( saya pasti sebahagian para pelajar UKM juga melihatnya) bahawa pimpinan kalangan MPP ASPIRASI dan MPP 'GMUKM' (tanda '...' maknanya GMUKM masih belum didaftarkan secara sah di UKM) sedang bekerja keras menambat hati para pengundi UKM. Tidak seperti sesi lalu, ASPIRASI sesi ini berusaha gigih untuk memberikan isyarat pada pengundi bahawa undian mereka bukan sia sia untuk ASPIRASI.

Mereka tahu akan tanggungjawab serta keperluan mereka menjalankan peranan mereka secara bersungguh sungguh. Samada ASPIRASI  yang 'memerintah' atau tidak di Pusanika, mereka nampaknya terus melaksanakan amanah mereka. Tahniah buat MPPUKM ASPIRASI. Malah kesempatan meninjau ke laman blog MPP Aspirasi sesi ini, semakin banyak aktiviti yang dilakukan dan semakin aktif mereka 'turun padang' menemui para warga pelajar UKM.

Pada masa yang sama pimpinan MPP 'GMUKM' juga semakin aktif mendekati hati para warga pelajar UKM. Kemenangan mereka dua sesi berturut turut membuka peluang untuk pelajar UKM menilai kemampuan mereka. Jika tersilap langkah atau 'lupa diri', mungkin akan berakhir cita cita membuat 'hatrick' jika PRK 2013 jatuh ke tangan Aspirasi. Masing masing kumpulan berjaya merancang dan melaksanakan berbagai agenda khusunya agenda kebajikan pelajar. MPP Aspirasi dan 'GMUKM' nampaknya bingkas menjuarai isu keselamatan kampus, isu kemudahan bas, isu kewangan pelajar dan kebajikan pelajar kolej.

Antara pimpinan di kalangan MPP Aspirasi dan MPP 'GMUKM' memang tidak akan bersedia untuk bersatu. Sekurang kurangnya itulah senario sejak puluhan tahun politik kampus wujud di UKM. Saya juga tidak melihat apa untungnya jika mereka bersatu. Atas nama untuk mengelak perpecahan? Pada saya, tidak bersefahaman dalam politik bukan semestinya membawa maksud telah berlaku perpecahan. Dalam BN, UMNO dan 14 parti komponen tidak pernah bersatu menjadi satu parti tunggal sepenuhnya.

Walaupun tidak bersatu, ada antaranya dalam BN sejak merdeka telah bersama. Sudah lebih 50 tahun, konsep bersama tanpa perlu bersatu berjaya direalisasikan oleh BN (dulunya Perikatan). Begitu juga dengan konsep dalam Pakatan Rakyat. Parti PAS, DAP dan PKR boleh sahaja bersama, tetapi itu tidak bermaksud mereka akan bersatu sebagai sebuah parti. Dan saya pasti mereka juga tidak pernah ada niatpun untuk bersatu menjadi satu parti pada masa akan datang.

Persaingan dalam berpolitik kadangkala lebih baik sekadar bersama berbanding bersatu. Saya juga maksudkan hal ini dalam politik kampus. Kepelbagaian kumpulan yang saling bersaingan meraih undi, kadang kala lebih memberikan keuntungan pada para pengundi. Walaupun kadangkala ada pandangan mengatakan tiada penyatuan bermakna ada perpecahan dan pepecahan mengundang kerugian. Saya tidak bersetuju 100 peratus pada pandangan itu. Bergantung dalam konteks mana perbincangan itu dilakukan.

Jika ada dua atau lebih kumpulan pelajar yang bersaing untuk menambat hati pelajar demi meraih undi, tentunya yang paling untung adalah pelajar terbanyak. Masalah mereka didengar, isu mereka dibawa ke atas dan seterusnya sentiasa dimaklumkan perkembangannya. Jika hanya ada satu kumpulan (atau semua kumpulan bersatu), bukan sahaja amalan berpolitik akan mati, pilihanraya sebagai bentuk latihan kepimpinan juga tentunya tidak perlu lagi diadakan.

Tinggal lagi politik persaingan harus sihat dan bermaruah. Harus berintergriti dan bersantun. Tiada celaan, fitnah memburukan peribadi lawan, mengheret isu perkauman dan menggunakan kesucian agama untuk tujuan mengambil kesempatan untuk membina rasa bersalah pada lawan dan para pengundi. Maka persaingan politik yang sihat bukan sahaja mengharmonikan kampus malah meningkatkan keupayaan kepimpinan mahasiswa secara positif. Ini adalah bahagian yang paling sukar dilakukan.

Maka pada saya tiada salahnya ada dua atau tiga atau empat kumpulan pelajar yang berpolitik secara sihat dan penuh demokrasi di peringkat PRK UKM. Apa yang penting semua yang berpolitik meletakkan teras perjuangan ialah memartabatkan UKM, berlumba lumba menjaga kebajikan mahasiswa dan menganjurkan aktiviti untuk meningkatkan iman, ilmu dan amal seperti yang yang digagaskan dalam falsafah UKM. Maka jika ada berbagai bentuk kreativiti dan inovasi berpolitik secara bermaruah dalam meningkatkan sokongan para pengundi UKM. Teruskanlah...

Saya sudah lihat bukti bukti awal kebersamaan ASPIRASI, 'GMUKM' dalam cara mereka berpolitik. Malah dalam membuktikan kematangan politik, kumpulan MPP Aspirasi, MPP 'GMUKM' dan juga di kalangan pimpinan JAKSA Kolej Kediaman (yang agak dingin dengan MPP sesi lalu),  atas usaha dan kesedaran sendiri telah berjaya bermesyuarat serta mendapat persetujuan bersama sama untuk berganding bahu mengumpulkan dana sebanyak RM 20,000 serta meningkatkan semangat membantu Palestine di kalangan warga UKM (difahamkan telah mencapai lebih kurang RM21,000 sejak rencana ini mula ditulis).

Tanpa rasa sangsi siapa yang akan 'keuntungan politik' atas usaha murni ini, semua pihak dari kumpulan Aspirasi, JAKSA Kolej, ISIUKM, persatuan Fakulti dan 'GMUKM' bergerak bersama, walaupun mereka tidak bersatu. Saya rasa pimpinan pelajar UKM sudah menunjukan iltizam akan membina politik yang matang di UKM. Tahniah untuk semua. Kesannya mereka berjaya mencapai matlamat pengumpulan dana, semua pihak memberikan sokongan dan ini saat saat yang membangggakan semua pihak khususnya pihak pengurusan UKM.

Tentunya ujian terbesarnya bukan sekarang tetapi bila musim PRK 2013 tiba nanti. Ketika itu sekali lagi semua pimpinan khususnya Aspirasi dan'GMUKM' akan diuji  untuk menunjukkan kematangan politik bermaruah mereka. Sejauh mana pimpinan mahasiswa UKM boleh menunjukan arah baru budaya kepolitikan akan diperhatikan oleh semua pihak. Harapnya nanti bila tiba musim PRK 2013, jangan pula ada kumpulan tertentu yang akan katakan kejayaan pengumpulan dana UKM4Palestin ini adalah usaha mereka sahaja dan menafikan usaha orang lain. Harapnya jangan jadi begitu.

Sehingga tibanya PRK 2013, teruskan usaha memberikan perkhidmatan terbaik pada warga UKM. Saya sebenarnya sentiasa berdoa dan  ingin sekali melihat budaya 'berdebat' yang ada sekarang ditranformasikan menjadi budaya berdiskusi. Misalnya atas tajuk "MEMPERKASA KEBAJIKAN PELAJAR UKM", wakil MPP GMUKM dan wakil MPP Aspirasi dapat membentangkan agenda mereka kepada pelajar.

Dalam berdiskusi tiada yang menang atau kalah. Yang ada ialah gabungan idea terbaik. Cuma pelajar yang menonton dapat melihat kewibawaan idea di kalangan ASPIRASI dan 'GMUKM'. IZISH sejak dulu sentiasa terbuka untuk menjadi tuan rumah kepada diskusi sebegini. Mungkin pimpinan 'GMUKM' dan pimpinan 'ASPIRASI' boleh bersetuju untuk membentang idea mereka di pentas IZISH.

Dalam berdiskusi, tidak perlu salah menyalah antara satu sama lain. Tak perlu menyatakan 'aku benar, engkau salah". Adalah lebih baik membina pemikiran berdiskusi seperti "ini idea dan agenda kami, saudara saudari dengar, lihat dan fikirkan dan bandingkan dengan idea mereka". Pengundi UKM sudah bijak dan mereka boleh berfikir mana yang lebih baik. Biarkan mereka membuat keputusan dan ini satu penghormatan kepada kebijaksanaan pengundi.

Isu Palestin membuktikan pimpinan MPPUKM yang berbeza pandangan boleh bersama. Tentunya tidak sukar untuk semua pimpinan ASPIRASI dan 'GMUKM'  bersama menjadikan persaingan dalam PRK 2013 sesuatu yang dihormati, sekalipun tiada keinginan untuk mereka semua bersatu.....

10 December, 2012

Tahniah Buat Warga Kerja Konvensyen Kampus Lestari IZISH 2012




Terlebih dahulu saya rakamkan tahniah buat semua warga kerja Konvensyen Lestari IPT IZISH yang telah berlangsung dengan jayanya sepanjang dua hari lepas (8 dan 9 Disember 2012). Ini yang selalu saya katakan projek pelajar yang berimpak tinggi. Kita bukan sahaja menganjurkan projek untuk suka suka tetapi mempunyai satu wawasan yang besar, membina jaringan kerjasama serta menggunakan 'akal intelek' untuk memikirkan keperluan dan masalah masyarakat.

Selain begitu banyak kertas kerja akademik yang telah berjaya dibentangkan (akan dibukukan), KKL 2012 juga mengumpulkan
hampir 200 mahasiswa dari 8 buah IPTA (antaranya UKM, USM, UTM, UTHO, Unimep) untuk duduk bersama mendengar dan berbincang tentang isu alam sekitar dalam kampus bersama ahli akademik dan  badan NGO.

Selain itu pertandingan poster lestari, fotografi lestari dan kertas kerja pelajar juga membuktikan kejayaan projek ini. Difahamkan 10 kertas akademik oleh pensyarah dan penyelidik, 63 penyertaan fotogafi, 24 poster dan 12 kertas kerja peringkat pelajar telah diuruskan dengan baik dan lancar.

Malah IZISH juga berbangga bila juri profesional memberikan pengiktirafan kepada saudara Zulhilmi ) pelajar IZISH dari fakulti FEP yang berjaya mengondol pembentangan kertas kerja terbaik dan menerima hadiah wang tunai (RM1,500), sijil dan plak kemenangan.

Kejayaan ini adalah hasil kerjasama yang erat di kalangan pentadbiran, rakan felo IZISH dan jentera KKL 2012. Sesungguhnya, kerjasama ini menghasilkan sesuatu yang sangat bermakna khususnya kepada AJK KKL 2012. Pengalaman melalui kesukaran, konflik, mengerakkan rakan rakan dalam menjayakan KKL 2012 serta cabaran cabaran lain adalah pengalaman yang sangat berharga. tentunya tidak boleh dibeli di mana mana juga.

Semoga kita akan berjumpa lagi di KKL di tahun tahun yang seterusnya..di IZISH, kita ingin menjadi menjayakan agenda kampus lestari, menjadi peneraju kesejahteraan komuniti..TAHNIAH KKL-2012.

 Foto Sekitar KKL 2012...







06 December, 2012

Bagaimana Aktiviti Khidmat Masyarakat Pelajar UKM boleh berimpak tinggi?

Aktiviti khidmat masyarakat dikenalpasti sebagai aktiviti yang paling banyak dianjurkan oleh pelajar UKM sejak dahulu lagi. Malah bagi tahun 2011-2012, rekod di JPPEL menunjukkan aktiviti ini jauh meninggalkan aktiviti aktiviti pelajar yang lain ( hampir 30% aktiviti pelajar UKM adalah dalam bentuk khidmat masyarakat). Manakala 70% lagi adalah aktiviti yang dikongsi oleh kepimpinan, ICT, lawatan sambil belajar, keagamaan, perpaduan, perucapan awam, keusahawanan, inovasi, sukan, keseniaan dan juga badan beruniform.

Dengan kata lain pelajar UKM benar benar berjaya merealisasikan aspirasi pemimpin terdahulu yang membina UKM sebagai sebuah universiti rakyat atau "The People University' di negara ini. Ini juga menunjukan pelajar UKM (tentunya juga dengan sokongan tenaga kerja di HEPA) benar benar telah melaksanakan UKM sebagai sebuah universiti yang ditubuhkan oleh rakyat dan untuk rakyat.

Maka kejayaan pelajar UKM dari segi kuantiti sudah terbukti. Soalnya, bagaimana pula dari segi kualiti penganjuran? atau dari segi keberkesanannya kepada kumpulan sasaran? khususnya kepada masyarakat dan pelajar yang terlibat?

Sejak dahulu khidmat masyarakat mempunyai budaya 'touch and go' dalam penganjurannya. katakanlah, tahun ini persatuan A menganjurkan di kampung X, tahun depan persatuan ini akan di kampung Y dan begitulah seterusnya bertukar tukar tempat sasaran pada setiap tahun. Tujuanya agar lebih banyak kumpulan sasar yang dapat didekati.  Jika setiap tahun ada ratusan khidmat masyarakat pelajar UKM yang dianjurkan, maka berubah ubahlah tempat penganjuran tersebut. Temanya juga berbagai. Ada yang berasaskan pendidikan, ada pula berasaskan ekonomi, perubatan dan sebagainya.

Melihat kepada senario ini, timbul pertanyaan, Apa impaknya selain berjaya anjur aktiviti khidmat masyarakat yang begitu banyak? Sukar untuk kita lihat kesannya kertana berubah saban tahun. Cara kerja ini sebenarnya warisan dari bentuk khidmat masyarakat yang diamalkan sejak tahun 1970an lagi.

Ketika itu masih banyak kampung di negara ini, dan kampung maksudnya orang melayu. Era DEB dan perjuangan mahasiswa UKM ketika itu ialah membangunkan orang Melayu yang terpinggir dan ketinggalan di kampung kampung. Hari ini keadaan telah banyak berubah.

Dekad 1980an dan ke atas migrasi Melayu ke bandar telah berlaku dengan pesat. Sekarang orang Melayu sudah ramai di bandar. Ekonomi orang Melayu walaupun masih rendah tetapi jauh lebih baik berbanding dekad 1970an. Hari ini kemiskinan dan kesukaran hidup dihadapi oleh orang kampung dan juga orang bandar. Bukan sahaja Melayu tetapi juga orang Cina dan India.

Malah hari ini semakin ketara isu kanak kanak gelandangan, kanak kanak berisiko tinggi tercicir pendidikan serta maslaha kumpulan ibu ibu tunggal yang terdesak kehidupan mereka yang tinggal di bandar bandar besar. Maka isu kesihatan, hak dan keselamatan hidup, kemiskinan, pendidikan, gejala moral dan sebagainya semakin meruncing di bandar bandar berbanding kampung tradisi.

Bagaimana dengan isu masyarakat kampung? Mereka masih ketinggalan tetapi bukan keperluan mereka untuk mahasiswa jayakan gotong royong dan sekadar bersihkan kubur. Mereka perlukan ilmu dan maklumat tentang banyak perkara. Tentang bagaimana membuat pinjaman perniagaan, bagaimana anak anak mereka memilih kursus pengajian di universiti, bagaimana meningkatkan keselesaan dan penjagaan kesihatan akibat penyakit gaya hidup (lemah jantung, diabetis dan darah tinggi) dan sebagainya. Oleh itu bentuk serta tema khidmat masyarakat mahasiawa UKM harus berubah selari dengan keperluan masyarakat sasaran.

Saya juga melihat bahawa budaya 'touch and go' dalam khidmat masyarakat walaupun baik tetapi impaknya kepada kumpulan sasar agak rendah berbanding dengan aktiviti masyarakat yang bersifat berfokus dan 'berjangka panjang'.

KSU KPT Dato Rahim Mohd Noor pernah menyebut hal ini semasa beliau hadir ke majlis jamuan menghargai peserta khidmat masyarakat anjuran UKM dan KPT di Johor tahun lepas. Menurut beliau, adalah lebih baik jika satu-satu persatuan pelajar di UKM yang ingin mengadakan khidmat masyarakat memilih satu kumpulan sasaran (samada satu kampung,  satu taman perubahan, satu NGO seperti rumah anak yatim/orang tua, satu isu seperti anti dadah, anti rokok, HIV dan sebagainya). Seterusnya secara konsisten dan berjangka panjang menjayakan khidmat masyarakat dalam tema tersebut. Ibarat menggunakan kanta pembesar untuk membakar sesuatu, semakin ditumpukan kepada satu titik cahaya matahari, kepanasannya akan lebih terasa berbanding tidak ada penumpuan.

Saya setuju dengan pandangan beliau. Bayangkan kalau di UKM ada 100 persatuan yang saban tahun menganjurkan khidmat masyarakat secara konsisten berkaitan isu, tema atau kumpulan sasar yang terfokus dan sama, maka semakin tinggi keberkesanan yang dapat dicapai melalui khidmat masyarakat tersebut. Ini tentunya memerlukan idea dan sokongan semua pihak khususnya pihak yang menguruskan aktiviti pelajar di UKM.

Bagaimana pula dengan keberkesanan kepada pelajar UKM yang terlibat? kita perlu ada strategi  untuk meningkatkan keberkesanan ini. Seperti yang pernah saya sebut dalam tulisan saya yang baru lalu, setiap aktiviti pelajar perlu ada peringkat peringkat pembangunannya sebagaimana aktiviti pasukan PALAPES, SUKSIS, SISPA dan PBSM.

Konsep ini juga terpakai kepada pelajar yang terlibat dengan aktiviti khidmat masyarakat. Bayangkan bila seseorang pelajar telah memilih khidmat masyarakat sebagai ko kurikulumnnya, beliau akan mula melibatkan diri sebagai peserta khidmat masyarakat di tahun satu pengajian. Mungkin dua aktiviti khidmat masyarakat di dalam dan luar kampus pada semester pertama sebagai pendedahan awal. belaiu akan memperolehi 2 kredit (1 kredit x 2 aktiviti)  hasil penglibatan dalam dua aktiviti tersebut.

Di semester yang kedua beliau akan terlibat dalam satu aktiviti khidmat masyarakat (bertaraf universiti/kolej/fakulti) dengan memegang jawatan (2 kredit). Di semester ketiga, beliau akan terlibat di peringkat negeri atau kebangsaan (2 kredit), manakala di semester yang keempat beliau akan mula melibatkan diri dalam khidmat masyarakat di peringkat antarabangsa -tidak semesti keluar negara (2 kredit).

Dan setiap pelajar di tahun akhir akan berdaftar sebagai ahli dengan sekurang kurang satu NGO luar kampus bagi meneruskan aktiviti khidmat masyarakat mereka. Malah perlu ada usaha untuk memastikan setiap pelajar UKM yang menjalankan aktiviti ko-k berteraskan khidmat masyarakat memiliki sijil, pengiktirafan atau lesen sebagai seorang sukarelawan profesional.

Jika melihatkan bilangan pelajar yang terlibat dengan aktiviti khidmat masyarakat pada tahun 2011-2012, saya membayangkan UKM mampu mengeluarkan hampir 1,000 sukarelawan berdaftar dengan NGO yang sah pada setiap tahun. Tentunya dalam pelbagai bidang khidmat masyarakat, dari pencinta hidupan liar, pencinta alam sekitar, pendidikan, perubatan dan kesihatan, ICT, dakwah dan agama, hak asasi, hak penguna dan berbagai bidang lagi.

Ilmu yang diperolehi dalam khidmat masyarakat pastinya tidak terhenti sebaik sahaja selesai khidmat masyarakat tetapi berterusan dalam kehidupan mereka jika mereka berdaftar dengan NGO. Lebih manis bila semakin ramai graduan UKM akan terlibat dengan khidmat masyarakat di peringkat antarabangsa samada di Palestine, Afrika, negara negara dunia ketiga dan negara negara yang ditimpa bencana.

Bayangkan sepuluh tahun akan datang jika usaha ini berterusan, jumlah sukarelawan UKM pasti akan mencecah puluhan ribuan orang...hebatkan aktiviti pelajar UKM...

03 December, 2012

Meneroka Aktiviti Baru Pelajar UKM

Aktiviti pelajar lahir bersama kewujudan sesebuah universiti. Menyelungsuri kembali aktiviti pelajar UKM, 30 tahun lalu aktiviti pelajar selalunya bertemakan kepimpinan, khususnya aktiviti berpolitik. Kemudian di era 1980an, mula berkembang aktiviti berbentuk khidmat masyarakat. Saya masih ingat berbondong-bondong bas UKM masuk ke kampung kampung untuk memberikan khidmat kepada masyarakat. Pelajar pula ketika itu sentiasa akan sibuk membersihkan kubur, surau, balairaya, sekolah dan sebagainya apabila terlibat dengan aktiviti tersebut. Ada pula yang membina dan membaiki rumah orang kampung.

Maka istilah 'keluarga angkat' sering disebut sebut oleh pelajar UKM. Saya juga masih ingat ada seorang rakan sekuliah saya yang punyai lapan keluarga angkat kerana pada setiap semester beliau akan turut serta dalam program khidmat masyarakat.

Tiba era 1990an, pelajar mula aktif  dengan aktiviti kesenian, sukan dan perucapan awam di UKM. Sebelumnya juga ada aktiviti sebegini tetapi mula dipertingkatkan bila adanya SUKEM. Aktiviti bimbingan kerjaya dan pengantarabangsaan juga mula berkembang. Hari ini, semua aktiviti tersebut masih berlaku, berkembang dan aktif dilaksanakan. Tetapi kita patut juga menyoal, apakah aktiviti sebegini akan terus memberikan nilai tambah kepada kehidupan pelajar yang semakin mencabar pada masa depan.

Saya yakin aktiviti sebegini akan  masih relevan tetapi pelajar UKM perlu segera menerokai aktiviti baru untuk mendepani kehidupan mereka selepas bergraduan. Salah satu yang saya percaya pelajar UKM boleh terokai ialah aktiviti  PERNIAGAAN ON-LINE secara kecil kecilan tetapi secara serius, berkualiti dan berkomitmen tinggi.

Di IZISH, saya sudah mula mengerakkan usaha ini, walaupun baru bermula dan secara perlahan lahan tetapi akan dipastikan berterusan. Saya juga secara peribadi telah menetapkan sasaran pada sesi 2014-2015 depan, akan ada 20% pelajar IZISH (sekitar 80 orang) mempunyai perniagaan 'on line' mereka sendiri. Hari ini jumlahnya sudah sekitar 10 orang, berjalan secara kecil kecilan, ada yang sudah mula serius tetapi ada yang masih mencari cari kekuatan dalam barangan dan perkhidmatan mereka. Saya berazam untuk segera merangka strategi bagaimana semangat 'usahawan muda' UKM boleh "diledakkan". Mereka perlukan sokongan dan bimbingan untuk menjayakan cita cita mereka.

Saya sudah melihat ada pelajar yang memulakan perniagaan kuih, perkhidmatan kereta menghantar dan menjemput pelajar dari stesen komuter (dari siswi untuk siswi), perniagaan tudung, perniagaan make-up, perkhidmatan percetakan, tempahan makanan, t-shirt bercetak. Ada juga yang cuba cuba menjalankan perniagaan fotografi, baikpulih laptop dan komputer dan sebagainya. Saya ucap TAHNIAH dan berbangga dengan  pelajar IZISH yang ingin mencabar diri mereka dalam online business. Nanti mereka akan belajar erti perniagaan dan persaingan, strategi dan kreativiti. Keterujaan dan keletihan.

Bagi menjayakan semangat ini, saya dan felo IZISH telah mulakan tiga agenda keusahawanan di UKM. Pertama,  menganjurkan Youth Business Challenge (YBC) yang telah dilaksanakan dengan jayanya minggu lepas, kedua menganjurkan Beauty With Brains (BWB) yang mendedahkan sepenuhnya pelajar kepada peniagaan online dan ketiganya menwujudkan "UKM Virtual Mall" (UVM) yang akan menjadi hub perniagaan online pada pelajar IZISH dan UKM seluruhnya.

Bayangkan jika ada 100 orang pelajar UKM mendaftar dan mempunyai ' kedai maya'  di dalam UVM ini. Bila UVM benar benar matang dan berjaya, saya yakin setiap hari pasti ribuan pelajar UKM akan masuk dan 'shopping' di UVM ini. Kerja kerja awal telah dilaksanakan dalam usaha mewujudkan UVM di UKM, yang pertama seumpamanya di IPTA negara ini.

Inilah antara bentuk aktiviti UKM pada masa depan. Pelajar UKM harus berupaya dan berani meneroka cabaran baru, peluang baru dan percaya mereka boleh lakukan. Saya punya kepercayaan bahawa pelajar UKM hebat dan boleh jayakan apa sahaja. Dan kepercayaan ini tidak pernah berubah sejak dahulu lagi...

29 November, 2012

Orang Melayu dan "Celik Politik"...

Bila kita berbicara soal celik politik atau 'political literacy', kita akan ketemu dengan banyak pandangan. Dan harus kita ingat bahawa setiap pandangan tersebut pasti ada kekuatan dan kekurangannya. Tetapi perkara pokok yang paling penting, 'political literacy' adalah faktor penting dan penentu untuk menzahirkan sebuah negara yang demokratik.

The Economist's Democracy Index as published in December 2011, with greener colours representing more democratic countries and clearly authoritarian countries in dark red.
Beberapa hari lalu saya terima pertanyaan melalui 'message facebook' saya dari seorang pelajar (jangkaan saya). Walaupun tak pasti mengapa beliau mengutuskan 'message' tersebut, saya masih berhajat untuk memberikan jawapan saya. Sehingga sekarang pun saya masih belum ketemu jawapan mengapa beliau mengutuskan 'message' tersebut. Saya pun tidak berhasrat bertanya. Apa pun itu tidak penting, sekadar bersangka baik mungkin beliau ini sekadar ingin meminta pandangan saya sahaja.

Sebenarnya saya ada juga menerima banyak message pelajar sosial sains (yang ada antaranya saya tidak kenali)  meminta pandangan bagaimana untuk merangka assingment mereka. Bila ada kelapangan, saya akan berikan pandangan serta nasihat saya. Biasanya di akhir ayat, saya akan katakan "ini pandangan saya, anda bebas untuk bersetuju ataupun tidak. Anda yang putuskan".

Berbalik pada soalan pelajar tadi, beliau bertanya "apakah pandangan tuan tentang senario politik khususnya politik orang Melayu sekarang? Wow, satu soalan yang sangat sukar dijawab, apatah lagi dalam bentuk message di facebook? Lalu saya balas dan tanyakan padanya, "sebelum saya menjawab, boleh saya dapatkan pandangan saudara terlebih dahulu", tujuan pertanyaan saya supaya, jika beliau betul betul berminat beliau tentu akan jawab dan dengan jawapan tersebut lebih mudah memberikan pandangan saya.

Tidak berapa lama kemudian beliau menjawab. Lebih kurang begini jawapannya (maaf kerana saya tidak berniat untuk "cut & paste"pandangan beliau di sini), jawab beliau "Saya merasa kerana hal politik, orang melayu semakin berpecah belah, mereka semakin saling benci membenci dan meruntuhkan sesama sendiri. Keadaan ini tidak baik untuk masa depan orang orang Melayu. Sepatutnya mereka perlu lebih bijak berpolitik tanpa merosakkan perpaduan Melayu...". Pandangan beliau yang panjang lebar saya baca dan kemudian saya terus jawab secara ikhlas dari pandangan saya, sekadar yang saya tahu dan saya faham. Kisahnya tamat di situ.

Cumanya saya ada katakan pada beliau, walaupun ada beberapa perkara yang saya setuju dengan pandangan beliau, saya juga tidak bersetuju bahawa apa yang berlaku pada politik orang Melayu mutakhir ini menunjukkan orang Melayu 'melangkah ke belakang'. Sebenarnya orang Melayu sedang melangkah laju ke hadapan. Episod pertentangan idea, konflik demi meraih sokongan, perdebatan agenda dalam politik orang Melayu khususnya di kalangan ahli UMNO, PAS dan PKR adalah satu situasi yang memberikan peluang kepada semua orang Melayu memperolehi pendidikan 'celik politik' yang sangat 'mahal harganya'.

Berbanding dulu, hari ini orang Melayu dalam UMNO, PAS dan Keadilan menjadi lebih kritikal, berani bersuara kepada pemimpin dalam parti mereka dan juga kepada pemimpin parti lawan. (walaupun kadangkala cara mereka merimaskan). Mereka berpeluang melihat politik sebagai satu wadah yang perlu disertai. Bayangkan kalau kebanyakan orang Melayu tidak kisah dengan politik mereka. Tiada perbincangan, tiada suara, tiada perdebatan dan tiada tindakan yang menunjukkan mereka setuju atau tidak bersetuju dengan pemimpin mereka, apakah itu bermakna orang Melayu sudah sempurna politik mereka?

Pada dekad 1920an, pertentangan kaum muda dan kaum tua di negara ini telah membawa kepada pembaharuan/pemurnian minda dalam mereka dan kita memahami cara hidup Islam. Bayangkan bila ada orang agama era tersebut mengatakan kereta atau apa sahaja yang dibuat oleh orang bukan Islam, tidak boleh di gunakan apatah lagi untuk tujuan dibawa beribadat? Malah pernah timbul isu memakai tali leher juga diharamkan kerana dikatakan mengikut cara orang bukan Islam berpakaian. Penggunaan lampu kalimantang juga pernah menimbulkan perdebatan ketika itu. Begitu juga dengan penggunaan sudu dan garpu. Semua itu telah berjaya diuruskan setelah masyarakat Melayu Islam semakin celik dan faham apakah itu ajaran serta amalan hidup yang dibenarkan oleh Islam.

Bagaimana kita hendak menjelaskan berduyun duyun orang Melayu (termasuk yang aliran agama) satu ketika dulu ke pantai pantai untuk mandi Safar kononnya untuk menolak bala? Bagaimana pula kita hendak jelaskan begitu ramai orang Melayu yang membeli kaset kaset lagu Arab apabila selesai mengerjakan haji tanpa mengetahui makna lagu lagu yang dinyanyikan oleh Ummi Kalsum dan sebagainya adalah sebenarnya kisah cinta muda mudi dan bukannya lagi lagu memuji kebesaran Allah? Kerana perdebatan dan pertentangan idea inilah akhirnya berjaya membuka kepada 'celik agama' dan mengubah dimensi menjadikan orang Melayu lebih memahami Islam sebagainya yang sepatutnya.

Celik politik juga sedang dan akan melalui proses yang sama. Perdebatan idea, konflik mendapatkan sokongan, saling bertentangan agenda akan membuka dimensi baru kepada cara orang Melayu memahami politik mereka. Tapi tentulah ada sempadannya. Bila misalnya ada parti melayu yang telah menolak demokrasi sebagai cara kita menguruskan politik, memilih anarki atau sebagainya maka keadaan itu sudah terkeluar dari maksud 'celik politik' yang kita pegang sekarang.

Maka kebebasan bersuara dengan mengambilkira sensitiviti agama, kaum dan budaya perlu diraikan. Pemeliharaan dan perlindungan kepada hak hak asasi individu mestilah ditegakkan. Selebihnya setiap orang Melayu sendirilah menentukan kepada siapa sokongan yang ingin mereka berikan.

Ada kumpulan politik melayu gunakan agenda pembangunan dan kesejahteraan ekonomi serta Islam yang berorientasikan kesederhanaan. Ada pula menggunakan syariah Islam sebagai tawaran untuk mereka disokong, ada pula menggunakan konsep kesamarataan dan adil untuk memikat hari orang Melayu. Maka orang melayu yang terdedah kepada 'celik politik' boleh membuat keputusan mereka sendiri.

Jadi pada saya, tiada perlu ada kerisauan dengan apa yang sedang berlaku. Ini adalah satu proses pendidikan 'celik politik' kepada orang Melayu. Saya juga yakin semua pemimpin Melayu ingin bangsanya berada dalam 'celik politik'. Baik di kalangan pemimpin UMNO, PAS atau Keadilan. Mereka semua ingin bangsa Melayu berkembang maju dalam sebuah masyarakat yang demokratik. Kalau itulah prinsip politik mereka, itu tandanya mereka ikhlas memimpin orang Melayu di negara ini.

Apa yang saya bimbang dan risaukan bila semakin ramai anak muda Melayu yang tidak mengendahkan tentang politik, "kerana politik itu kotor"..kata mereka.


28 November, 2012

Sudah Masanya Aktiviti Pelajar UKM Diperhebatkan

Tahun 2012 akan menutup tirainya sebulan dari sekarang. Sebagai refleksi, dua hari lalu, saya sempat meneliti senarai aktiviti pelajar UKM bagi tahun 2012. Tahniah pada seluruh pimpinan MPPUKM yang lalu, JAKSA Kolej, ASPIRASI, ISIUKM dan semua persatuan pelajar samada di fakulti atau di Pusanika kerana berjaya anjurkan ratusan aktiviti tahun ini. Berbagai aktiviti dari khidmat masyarakat, peningkatan kerohanian, inovasi, alam sekitar, keusahawanan, kebudayaan, sukan dan sebagainya berjaya dianjurkan. Juga dari peringkat blok kediaman hinggalah ke peringkat antarabangsa.

Melihat banyaknya aktiviti pelajar UKM samada dibiayai dengan peruntukan ratusan ribu ringgit dari pihak pengurusan universiti dan puluhan ribuan ringgit tajaan pihak luar kampus, tidak syak lagi pelajar UKM memang hebat menganjurkan aktiviti. Malah jika dikumpulkan, kita pasti terkejut entah berapa banyak projek pelajar yang menggunakan ribuan ringgit duit kocek mereka sendiri, semata mata memastikan projek anjuran mereka berjaya sepenuhnya.

Jika dikumpulkan 'man hours' atau jumlah masa bekerja yang telah diperuntukan untuk menjayakan projek ini, angkanya pasti mencecah ratusan ribu jam bekerja. Bagaimana pula dengan pengorbanan tenaga kudrat, masa rehat dan masa kuliah, semuanya terpaksa dikorbankan semata mata demi menjayakan projek mereka.

Selepas begitu banyak masa, tenaga, wang ringgit yang telah dikorbankan, tentulah tiba masanya mahasiswa bertanya pada diri sendiri soalan soalan berikut, dan mereka harus menjawabnya secara tulus dan ikhlas.

Ambil masa dan jawab soalan berikut:

1. Apakah projek projek yang telah dan sedang saya sertai telah BENAR-BENAR mengubah saya menjadi insan yang lebih mahir (mahir komunikasi, kerja berpasukan, membuat keputusan, kreativiti dan sebagainya) berbanding sebelum terlibat dengan projek itu?

2. Jika BENAR-BENAR mengubah saya, adakah perubahan tersebut kekal dalam diri saya sebagai satu perlakuan, tabiat atau budaya harian saya atau saya kembali kepada kelakuan asal saya sebelum berprojek?

3. Adakah perubahan dalam diri akibat projek tersebut telah meningkatkan prestasi akademik saya? 

4. Apakah keyakinan saya bertambah untuk berbincang dan berdiolog dengan pensyarah saya adalah sumbangan dari kegiatan dalam projek yang saya sertai?

5. Adakah nilai yang saya pegang lebih baik sebelum terlibat dengan projek itu? Adakah nilai ibadah, toleransi, sikap tanggungjawab, ikhlas, amanah, menyayangi orang lain semakin meningkat?

5. Bagaimana dengan kualiti diri saya? Misalnya pengurusan masa yang lebih baik, kekemasan diri yang lebih meyakinkan, kualiti berkaitan protokol, etika dan profesional mengikut konteks jauh lebih baik selepas saya menyertai projek?

Setiap dari anda WAJIB menjawab soalan ini..dengan penuh ikhlas. tak perlu sesiapapun membantu anda untuk menjawab semua soalan ini. Selepas menjawab, anda tahu di mana kekdudukan anda sebenarnya. Tak perlu juga untuk sesiapa pun mengetahuinya.

Saya sebut hal ini kerana semakin lama saya menjadi sedikit bimbang, apakah aktiviti pelajar UKM semakin hari semakin membina kemahiran, nilai dan kualiti diri mahasiswa UKM? Apakah dengan terlibat dalam satu dua aktiviti yang bercampur campur setiap semester akan mengubah diri pelajar menjadi lebih baik? Apatah lagi jika niat menyertai aktiviti tersebut sekadar melengkapkan kredit LC bukan membangunkan kemahiran, nilai dan kualiti diri sendiri.

Sebab itu sejak dulu saya sangat cenderung agar aktiviti pelajar UKM menggunakan model PALAPES, PBSM, SUKSIS atau Kor-SISPA. Selain dijalankan secara teratur dan sistematik, setiap pelajar berpeluang samarata di dalam keterlibatan mereka dalam beraktiviti. Mereka akan melalui satu persatu aktiviti secara terancang dan kontruktif. Tiada konsep 'last  minute' atau 'ikut suka mana yang sempat' di dalam mereka beraktiviti. Malah bentuk pengiktirafan dan penilaian yang dilaksanakan dalam PALAPES, PBSM, SUKSIS atau Kor-SISPA juga jelas serta mempunyai tahap reabiliti dan validiti yang baik.

Oleh itu saya selalu mengharapkan dan membayangkan bentuk aktiviti pelajar UKM harus ditranformasikan dengan menggunakan model badan badan beruniform di UKM. Misalnya jika ada pelajar yang melaksanakan aktiviti keusahawanan, pelajar akan mula menjalankan perniagaan samada di kolej, pusanika, teres niaga, fakulti atau di luar kampus secara berterusan dan konsisten. Maka berniagalah mereka dari tahun satu hingga tahun akhir. Selain melengkapkan 8 kredit LC, pembinaan kemahiran, nilai dan kualiti diri boleh disusunkan secara lebih terancang.

Begitu juga jika ada pelajar minat dengan khidmat masyarakat. Mereka akan mula menganjurkan aktiviti dalam kampus dan di sekitar bangi pada tahun satu. Bila di tahap yang lebih tinggi, mereka akan mula beraktiviti hinggalah ke antarabangsa di tahun tahun pengajian seterusnya. Tentunya akan ada pelajar UKM yang akan ke Gaza, India, Indonesia. Tibet. Myanmar, Afrika dan sebagainya untuk melaksanakan khidmat masyarakat. Begitu jugalah dengan inovasi, kebudayaan, sukan dan sebagainya.

Jika ini dilaksanakan, saya membayangkan pasti nanti ramai pelajar UKM yang bila bergraduan bukan sahaja dianugerahkan ijazah pengajian mereka, tetapi juga akan ada yang diiktiraf sebagai leftenan muda, Ketua Inspektor Polis, Penolong Penguasa JPAM, Jurulatih Bertauliah PBSM. Jika dalam bidang sukan pula akan ada yang memperolehi sijil kejurulatihan profesional sukan, jika dalam bidang kesenian pasti ada antara mereka akan dianugerahkan sijil jurulatih profesional tarian. muzik dan sebagainya. Jika dalam usahawan mereka akan ada syarikat berdaftar sendiri. Jika dalam bidang inovasi, akan ada pelajar UKM bila graduan nanti punyai prototaip ciptaan mereka yang boleh dikomersialkan. Malah pada pimpinan pelajar yang aktif berpolitik di dalam kampus, mereka jika masih berminat boleh sahaja menjadi calon sayap Pemuda atau sebagainya untuk pemilihan dalam parti parti politik di luar kampus. Ilmu politik di kampus yang diperolehi sejak tahun satu pengajian sepatutnya digunakan untuk memberikan kebaikan kepada ahli ahli parti masing masing.

Pada saya inilah makna sebenar kepada apa yang dimaksudkan sebagai hasil akhir aktiviti berimpak tinggi pelajar UKM. Kita sepatutnya sudah mula meninggalkan aktiviti 'olok-olok' dan picisan. Kita harus mula menganjurkan sesuatu aktiviti yang boleh diteruskan selepas tamat pengajian.

Cabaran di luar kampus selepas bergraduan tentunya hebat sekali. persediaan pelajar UKM juga pastinya harus seiring dengan cabaran di luar sana. Istilah 'majikan yang terlalu memilih', 'persaingan yang hebat' dan 'expectation' yang tinggi perlu dihadapi oleh mahasiswa UKM. Selain kecemerlangan akademik yang akan membantu graduan UKM, aktiviti berimpak tinggi juga pasti meningkatkan siap siaga pelajar UKM.

Maka sudah sampai masanya aktiviti pelajar UKM diperhebatkan mulai tahun depan...dengan kaedah dan cara yang lebih mendepani cabaran dan tanggapan masyarakat luar kampus.