05 October, 2011

Pesta Konvo UKM..Selepas 22 tahun mengunjungi dan memerhatikannya...

Saya menjadi warga UKM sejak tahun tahun 1989. Hingga tahun ini sudah hampir 22 tahun terus setia di UKM. Sejak itu juga tidak pernah sekalipun terlepas berkunjung ke Pesta Konvo anjuran PMUKM. Malah sekali pernah terlibat sebagai Ketua Setiausaha pesta ini.Maknanya sudah 22 kali pesta konvo saya kunjungi.

Terlebih dahulu tahniah pada seluruh jentera Pesta Konvo yang telah memikul tanggungjawab berat ini sebaiknya. Pesta Konvo adalah satu program yang berprestij di kalangan program-program pelajar di UKM. Prestijnya pesta ini hinggakan semua bahagian, fakulti, institut, kolej, persatuan diminta untuk turut serta. Jabatan pembangunan, pihak bendahari apatah lagi pasukan HEPA berpadu menjadi tulang belakang agar program anjuran PMUKM ini berjaya dan lancar.

Mudah untuk kita fahami kenapa sokongan tidak berbelah bagi ini diberikan kepada Pesta Konvo. Pertama ia adalah acara pelengkap meraikan majlis  rasmi iaitu Majlis Konvokesyen. Kedua, program tahunan ini diberikan gelaran "kemuncak segala program pelajar' dan hendaklah diutamakan.

Apabila Pesta Konvo telah diberikan prestij ini, harapan seluruh warga UKM ialah pesta ini menjadi wadah, simbol dan kebanggaan UKM khususnya HEPA. Oleh itu kejayaan Pesta Konvo adalah cerminan kekuatan HEPA, kekuatan JPPEL dan kekuatan kepimpinan pelajar di UKM khususnya PMUKM. Pesta Konvo tidak boleh dilihat sebagai satu program yang sekadar diselesaikan semata-mata. Asal jadi, kata orang orang tua. Pesta ini adalah manifestasi kepada sesuatu yang jauh lebih besar. Pesta ini menjadi panduan kepada majikan, pihak kerajaan (KPT) dan masyarakat sekitar UKM untuk menilai sejauh mana kehebatan pelajar UKM. kayu ukurnya seperti berapa syarikat swasta yang menyertai pameran, berapa syarikat yang membuka kedai-kedai jualan, berapa pula bilangan jabatan kerajaan yang ikut turut serta dalam pameran atau membuka kaunter perkhidmatan. Seterusnya syarikat GLC atau multi-billion company mana pula yang menjadi penaja platinum, emas atau perak. Pesta Konvo juga menjadi medan untuk stake-holders menilai keupayaan pemimpin pelajar UKM memnganjurkan program sepanjang pesta ini berlangsung. Adakah wujud kerjasama dengan syarikat besar untuk program seperti career talk, forum dengan NGO atau badan sukarela bertaraf antarabangsa, public lecture dari tokoh akademik tempatan atau antarabangsa. Apakah ada juga pelancaran kempen atau kutipan amal untuk kumpulan masyarakat yang memerlukannya.Tidak dinafikan gerai jualan seperti baju, makanan ringan dan sebagainya masih perlu tetapi janganlah sampai boleh dijadikan ukuran kejayaan sebenar pesta terbesar UKM ini.

Bagaimana pula dengan kejayan promosi? Siapakah duta pesta konvo UKM kali ini? Apa salahnya diangkat mana-mana artis atau ikon orang muda yang bergelar graduan, berperwatakan menarik serta popular sebagai duta pesta konvo. 

Mengapa hal seperti ini nampaknya tidak berlaku? Ada dua sebab utama. Pertama kurang kemahiran komunikasi di kalangan AJK dan keduanya srategi penjanaan kewangan yang lemah. Sebab yang pertama memang jelas wujud dan sukar diperbaiki dalam masa yang singkat. Ini ada kena mengena dengan cara kita memilih pemimpin pelajar. Amalan pemilihan pimpinan PMUKM melalui piliharaya kampus memang diraikan tetapi ada kelemahannya. Misalnya di dalam kes ini, seseorang yang menang pilihanraya tidak semestinya adalah yang terbaik di dlam urusan berkaiatn komunikasi dan membina jaringan dengan sektor swasta atau kerajaan.

Kita kena akui dalam hal promosi, penjanaan kewangan, pemasaran dan jaringan dengan penaja, kekuatan tersebut ada di kalangan pelajar berbangsa Cina. Mungkin ada yang menafikan, Itu tidaklah menjadi hal pada saya.Mungkin ada di kalangan pelajar Melayu yang berwibawa tetapi jumlahnya tidak ramai.Malah menjadi cabaran untuk universiti meningkatkan kemahiran begini pada pelajar Melayu. Cara lain, mengapa tidak pemimpin pelajar Melayu berkerjasama dengan pemimpin pelajar Cina untuk menyelesaikan masalah ini. Malangnya kerana budaya 'politik membunuh" (telah dibincangkan di dalam siri sebelum ini), perasaan curiga politik, sikap berpuak puak menyebabkan tiada kerjasama yang baik antara PMUKM dan juga perkumpulan kepimpinan pelajar Cina. Hal ini merugikan pesta konvo sebenarnya. Saya sempat berbual panjang dengan kumpulan pemimpin pelajar Cina dan mereka memang ingin membantu Pesta konvo jika diberikan peluang. Akhirnya kita yang rugi.

Mungkin satu satunya pandangan yang agak jelik bila melihat promosi program pesta konvo ialah masih menggunakan kain putih yang dicat tulisannya! Ini membuka lipatan kenangan saya pada tahun tahun 1990an dulu sebelum diperkenalkan printer untuk banner. Sedangkan majlis gotong royong dan majlis tahlil di kolej-kolej kediaman pun kini sudah menggunakan banner warna yang bercetak. Begitu juga kertas kertas promosi progarm pesta konvo yang difotostat hitam putih yang diedarkan dan bertaburan di masjid UKM selesai solat jumaat. Kata seorang rakan pensyarah yang sama sama berjalan keluar masjid " bila tengok kertas promosi, hilang selera nak pergi tapak pesta". Saya tersenyum paksa.. bukan menyokong tetapi bimbang dan sedih dengan kata-katanya

Mungkin alasan untuk berjimat akan diberikan tetapi sekarang sudah banyak syarikat yang sanggup menaja banner atau bunting program pelajar asal sahaja logo syarikat mereka dimasukkan bersama. Soalnya AJK pesta konvo perlukan kemahiran berunding dan menyakinkan penaja. Juga wujudnya hubungan baik ysecara berterusan juga banyak membantu. Agaknya, sebagai pasukan pemimpin pelajar di sebuah universiti bertaraf kebangsaan di Malaysia, PMUKM perlu belajar untuk membina reputasi yang tinggi, bukan sahaja harus 'dilihat' tinggi ketokohannya (dengan kot hitam lengkap bertali leher UKM, berjalan berkumpulan melawat kawasan dan petah berkata) tetapi juga harus 'merasa' tinggi ketokohan mereka (memiliki yakin diri dan harga diri yg hebat, bila bercakap ada idea, bila berdebat ada sopannya bila tidak bersetuju ada adabnya, sentiasa meraikan pandangan orang lain)

Saya yakin Pesta Konvo mempunyai kekuatan dan kesungguhan di kalangan jentera pelaksananya. Apa yang kurang ialah jaringan, pengurusan dan IDEAS! Semoga Pesta konvo di bawah  PMUKM akan datang terus berusaha memperkukuhkan ketiga-tiga kelemahan ini. Amalan politik membunuh sebenarnya banyak menyumbang kepada kelemahan ini. Konsep 'lautan biru' mungkin ubat kepada pengukuhan kepimpinan pelajr UKM bukannya amalan politik. Sebenarnya di kalangan pelajar UKM,mereka bukanlah berbeza ideologi politik, mereka sebenaranya sekadar berbeza pandangan semata-mata...maka pilihlah pandangan yang terbaik dan membawa manafaat sekalipun pandangan itu datangnya dari mereka yang anda anggap sebagai 'musuh politik'...