25 October, 2019

API DALAM SEKAM..

Oleh: Anuar Ahmad

Minggu ini sekitar 50,000 pelajar baru mendaftar sebagai mahasiswa baru di IPTA seluruh Malaysia.
Berpuluh ribu yang lain akan mendaftar di lebih 500 universiti dan kolej swasta. Belasan ribu pula akan mula belajar di universiti luar negara di seluruh dunia khususnya di China, Singapura, Taiwan, Jepun, Australia, UK, Kanada dan USA. Maksudnya hampir 150,000 pelajar baru di negara ini akan melanjutkan pelajaran peringkat universiti secara keseluruhannya .

Pada 2017, Bank Negara melaporkan sekitar 204,000 graduan pelbagai peringkat (diploma, ijazah, ijazah tinggi) yang menganggur.Terkini, tiada rekod rasmi yang lengkap dari pihak kerajaan berapakah bilangan graduan yang menganggur. KPM pada 2018 melaporkan hanya 58% sahaja graduan bekerja (termasuk gaji di bawah kelayakan) selepas 6 bulan menamatkan pengajian.

Secara kasar, jika 58% dari anggaran 150,000 yang masuk universiti, maka setiap tahun akan ada hampir 70,000 graduan yang menganggur. Jika dicampurkan sejak lima tahun yang lepas, angka graduan menganggur diyakini sangat besar sekali.

Siapa yang ramai menganggur?

Laporan Bank Negara menunjukkan majoriti graduan yang menganggur ialah Melayu Bumiputera. Setakat ini isu pengangguran bukanlah satu isu yang besar pada graduan Cina. Mengapa majoriti graduan Melayu tidak dapat kerja? Mengikut Laporan Kajian JobMalaysia, majikan memaklumkan bahawa graduan menganggur (majoriti Melayu) mempunyai tahap komunikasi yang lemah , tidak menguasai bahasa Inggeris dan menuntut gaji yang tinggi.

Mereka juga dikatakan tidak pandai membawa diri (adaptability) Maka mereka dikatakan tidak sesuai diambil bekerja. Tetapi ada kajian menunjukkan ramai juga graduan Melayu yang menguasai Bahasa Inggeris dengan baik tetapi tetap juga menganggur.

Berapakah gaji yang dibayar pada graduan? Di kalangan graduan yang telah bekerja, hampir 2/3 menerima gaji di bawah 3000 ringgit (kelompok B40). Biasanya yang menerima gaji lebih tinggi ialah graduan yang bekerja di syarikat multinasional dan agensi swasta.

Paling ramai graduan menerima gaji bawah RM2,000. Majikan nampaknya   'tarik tali' dan tidak mahu membayar gaji yang sesuai dengan kelayakan sebagai graduan.
Data menunjukkan ada graduan yang menerima gaji di bawah gaji minima RM1,050.

Graduan Melayu perlu lakukan sesuatu apabila mula masuk universiti. Mereka pasti akan menganggur jika melakukan hal yang sama seperti senior mereka. Mereka harus cakna isu pengangguran graduan.

Pemimpin Melayu kena cakna isu graduan Melayu yang semakin kritikal ini. Graduan Melayu adalah peneraju kepimpinan bangsa Melayu pada masa depan.

Membiarkan graduan Melayu menganggur adalah satu musibah dan malapetaka kepada pembangunan ekonomi orang Melayu.

Janji sejuta pekerjaan oleh kerajaan harus dilunaskan walaupun secara beransur ansur. Setakat ini belum diumumkan secara rasmi berapa peratuskah peluang pekerjaan telah diwujudkan dari jumlah sejuta yang dijanjikan. Isu pengangguran graduan Melayu dan bumiputera membuktikan akan wujud jurang kekayaan di dalam masyarakat mengikut etnik pada masa akan datang.

Jika tidak diuruskan dengan baik,  isu seperti ini akan menjadi seperti 'api dalam sekam' kepada negara. Apinya memang kita tak nampak, tetapi jika tidak dipadamkan, pasti membakar sampai habis semuanya.

Rujukan
https://vulcanpost.com/591984/malay-graduates-job-seekers-discrimination-malaysia/
https://umexpert.um.edu.my/file/publication/00006071_99752.pdf

https://www.jobstreet.com.my/career-resources/employers-fresh-graduates-unrealistic-expectations/#.XW5YnboRWEc

SURAT TERBUKA BUAT YB DR MAZLEE

 "Kaji Lebih Mendalam Program Sarapan Percuma Demi Kebaikan Rakyat"

Salam YB Menteri.

Didoakan semoga YB sentiasa sihat dan diberikan kesejahteraan oleh Allah swt.

Terlebih dahulu diucapkan tahniah dan setinggi penghargaan atas usaha dan cadangan YB untuk mengadakan program sarapan percuma untuk semua pelajar sekolah rendah mulai 1 Januari 2020.

Tentulah projek ini satu usaha yang sangat baik. Seperti kebanyakan rakyat, saya menyokong penuh usaha ini demi kebajikan anak-anak kita.

Sesuai dengan niat untuk menyokong usaha baik ini, izinkan saya memberikan sedikit pandangan sebagai seorang ahli pendidikan.

Yang dikasihi YBM,

Pertama, peruntukan sekitar RM2 billion ringgit adalah satu jumlah yang sangat besar. Soalnya adakah semua pelajar sekolah rendah di negara ini memerlukan sarapan percuma pada setiap pagi persekolahan?

Di dalam ilmu pembangunan manusia, kita tahu keperluan manusia berbeza-beza. Termasuklah di dalam hal berkaitan keperluan pemakanan.

Memang ada pelajar yang perlukan sarapan percuma kerana badan mereka kekurangan zat dan nutrisi.

Kajian oleh Prof Diraja Ungku Aziz pada tahun 1965 sudahpun mengesahkan perlunya pemakanan yang mencukupi untuk anak-anak kita sihat supaya ini dapat  meningkatkan pembelajaran dan pendidikan mereka.

Tetapi kita juga tahu ada pula kumpulan pelajar yang tidak perlukan sarapan percuma tetapi mereka sangat perlukan bimbingan pemakanan sihat kerana mereka sudahpun dalam keadaan obesiti dan ukuran BMI mereka sudah melepasi apa yang sepatutnya.

Jangan kita lupa tentang masalah obesiti di Malaysia adalah antara yang paling tinggi di Asia. Hampir  separuh kanak-kanak di Malaysia cenderung ke arah obesiti.

Kajian oleh "Nutrition Society of Malaysia" pada 2016 mengesahkan bahawa 30% kanak kanak dan remaja berumur antara 6-17 tahun  terlebih berat badan dan alami obesiti. Peratus obesiti kanak-kanak ini meningkat setiap tahun.

Mereka yang mengalami masalah lebih berat badan dan obesiti ini lebih perlukan bimbingan kaunselor pemakanan sihat dan guru jasmani yang mahir untuk mendidik mereka menjaga kesihatan dan berat badan. Mereka tidak perlukan sarapan percuma.

Oleh itu, bukankah lebih baik cadangan asal program sarapan percuma berharga RM2 bilion ini diangkat sebagai agenda lebih besar sebagai "PROGRAM PEMAKANAN DAN GAYA HIDUP SIHAT KEBANGSAAN" untuk pelajar sekolah rendah?

Bukankah lebih baik KPM mula berjiwa besar dan bercita- cita menyediakan kanak-kanak yang 20 tahun lagi akan menjadi dewasa yang lebih sihat berbanding orang dewasa sekarang?

Bukankah dengan membelanjakan RM2 billion hari ini, kita akan mengurangkan berbilion billion kos perubatan kerajaan pada masa depan?

Bukankah dengan kos RM2 billion ini, Malaysia akan menghasilkan lebih ramai warganegara yang sihat pada masa depan?

Oleh itu, KPM sepatutnya boleh merancang projek sarapan percuma ini mengikut keperluan tumbesaran dan tahap kesihatan pelajar.

Sebaiknya pada pelajar kurang zat dan nutrisi, atas sebab kemiskinan atau masalah kesihatan,  mereka perlukan sarapan, maka disediakan sarapan.

Pada pelajar yang mengalami obesiti pula eloklah disediakan guru dan kaunselor diet pemakanan untuk membimbing mereka secara individu.

Malah sebahagian kecil bajet RM2 billion itu bukankah sebaiknya disediakan gimnasium sekolah yang berkualiti untuk kegunaan pelajar supaya mereka dilatih tentang gaya hidup sihat sejak awal?

Setiap 3 bulan, adakan juga pemeriksaan tahap kualiti kesihatan dan rekodkan berat badan pelajar untuk pantauan oleh pihak sekolah.

Biarlah bajet RM2 billion digunakan sebaiknya mengikut keperluan pemakanan dan kesihatan pelajar.

Yang dikasihi YB,

Perkara kedua untuk perhatian YB Menteri ialah bagaimana sepatutnya rezeki dari peruntukan RM2 billion ini dapat juga disebarluaskan untuk menyambut konsep kemakmuran bersama yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri.

Idea sarapan percuma adalah baik. Anak-anak bertuah dapat makanan percuma. Dijangkakan 2.7 juta pelajar akan menerima rezeki ini. Sepatutnya KPM boleh kembangkan lagi faedah rezeki ini.

Bagaimana?

Pihak KPM sebaiknya juga melibatkan para pekebun kecil sayur, perternak ikan kecilan, pekebun buah-buahan dan nelayan kecil di kawasan kedaerahan komuniti sekitar sekolah sebagai pembekal tetap bahan mentah di dalam program sarapan percuma ini.

Secara langsung limpahan rezeki dari 2 billion ini akan dapat dinikmati oleh para pekebun kecil ini. Libat uruskan pihak sekolah, PIBG dan PPD. Juga majlis Daerah, pusat Kesihatan Daerah bersama para pekebun dan nelayan ini.

Untuk lebih baik, tetapkan syarat dan sediakan bimbingan penanaman dengan bantuan kepakaran dari Jabatan Pertanian Daerah supaya pekebun kecil tidak menggunakan racun serangga dan sebagaimananya.

Mereka juga boleh belajar bagaimana kaedah pembungkusan dan penyimpanan bahan mentah yang lebih sistematik.

Dan percayalah, pekebun akan pasti lebih berhati-hati untuk menjaga kualiti bahan mentah kerana sebahagian anak-anak mereka juga mungkin makan sarapan percuma hasil dari kebun mereka sendiri.

Inilah kemakmuran bersama yang harus dimulakan oleh KPM. Bukan sahaja pelajar dapat.rezeki, komuniti setempat juga akan merasai rezekinya.

Sekian YB Menteri.

Saya memohon maaf jika pandangan ini tidak manis di mata YB Menteri. Sesungguhnya apa yang baik adalah untuk kebaikan anak-anak kita di sekolah.

Semoga usaha YB dan pasukan KPM berjaya dan akan dirahmati oleh Allah swt. Ameen.

Yang Benar,

ANUAR AHMAD,
Fakulti Pendidikan, UKM

*****
Rujukan:
Ungku Aziz, A. (1965) “Poverty, Proteins and Disguised Starvation”, Kajian Ekonomi Malaysia, 2(1).:7-48.

www.nst.com.my/node/502533/amp

https://today.mims.com/fattest-kids-in-asia--malaysia-s-childhood-obesity-a-fast-growing-concern

KERAJAAN PATUT SOKONG SIAPA? RAKYAT ATAU PEMAJU?

Oleh:Anuar Ahmad

Orang muda kena ambil peduli. Ini isu kehidupan anda..isu masa depan anda.

Negara yang ingin maju perlukan pembangunan fizikal yang pesat. Oleh itu, bagi memastikan pembangunan negara sentiasa berdaya maju, para pemaju hartanah haruslah dibenarkan membuat keuntungan yang munasabah.

Tapi jika harga bangunan (kedai dan rumah kediaman ) yang ditawarkan oleh pemaju sudah tidak masuk akal mahalnya, kerajaan kenalah masuk campur. 

Kerajaan kena ambil peranan untuk mengimbangi ketamakan pemaju. Pemaju yang tamak tidak patut disokong.

Pengumuman kerajaan menaikkan tempoh membayar pinjaman rumah sehingga 40 tahun baru baru ini adalah tidak sesuai.

Bayangkan pinjaman dipanjangkan 40 tahun, kakitangan kerajaan yang mula kerja umur 25, dan sampai pencen pun belum habis bayar hutang rumah.

Bagaimana pula seseorang yang hanya membeli rumah pada usia 35 tahun?

Di awal bekerja gaji hanya cukup untuk bayar sewa rumah, bayaran ansuran kereta (itupun kereta terpakai)?

Maksudnya umur 75 tahun baru selesai bayar ansuran rumah.  Bayangkan umur 75 tahun!!

Maksudnya ramai dari rakyat Malaysia akan mati dulu dalam keadaan berhutang ansuran rumah.

Kerajaan nampaknya memgambil sikap lebih suka mempertahankan  pihak pemaju hartanah dan tidak bercadang mendesak pemaju menurunkan harga rumah mereka.

Sebaliknya kerajaan membuat keputusan untuk  'menekan rakyat' dengan strategi menaikkan tempoh masa  pinjaman perumahan.

Nampak macam baik sebab ansuran bulanan lebih murah 20% tetapi rakyat rugi sebab tempoh masa lebih panjang.

Apa yang akan berlaku selepas ini, rakyat terpaksa membayar kadar faedah yang lebih tinggi apabila membeli rumah.

Sudahlah harga rumah yang dibeli mahal. Bayaran  faedah juga meningkat dengan banyak.

Siapa yang untung? Pertama, tentulah pemaju sebab mereka masih dapat jual rumah dengan harga yang mahal.

Kedua, pihak bank akan untung sebab pulangan dari faedah pinjaman akan yang  lebih tinggi. Rakyat?

Di mana logiknya, harga rumah dibiarkan kekal mahal tetapi rakyat miskin ditekan oleh pemaju dengan harga yg mahal.

Apa usaha kerajaan yang lebih baik dari sekadar memanjangkan tempoh bayar balik pinjaman?

Kerajaan yang sepatutnya mendesak harga rumah diturunkan oleh pemaju mengambil sikap menyokong harga pemaju dengan membenarkan rakyat pendapatan rendah membuat pinjaman lebih lama yang sebenarnya merugikan mereka.

Tindakan kerajaan  walaupun memberikan keuntungan pada pemaju dalam jangka pendek, sebenarnya tetap tidak sihat untuk rakyat dan negara.

Mengapa?

Kerana dalam jangka panjang kenaikan harga rumah yang tidak masuk akal ini akan mewujudkan inflasi dan secara langsung meningkatkan paras kemiskinan rakyat.

Rakyat tidak gembira dan timbul perasaan marah pada kerajaan.

Ekonomi negara akan terancam dan rakyat kita terdedah kepada hutang yang terlalu besar dan terlalu lama tempoh masanya.

Hutang yang terlalu tinggi tidak baik untuk negara. Akhirnya semua akan rugi. Termasuklah pemaju yang tamak.

Panduan saya mudah. Semua pakat -pakat tangguhkan pembelian rumah buat sementara.

Gunakan kuasa anda sebagai penguna yang bijak. Insyaallah, harga akan turun juga nanti.

Kedua, terlalu banyak rumah yang siap dan dalam pembinaan sekarang masih tidak terjual. Puncanya harga yang tidak munasabah mahalnya.

Oleh itu kita jangan mudah terpengaruh dengan promosi pemaju yang bukan-bukan.

Anda terpengaruh, andalah yang rugi. Pilihan yang rasional di tangan anda. Buat keputusan yg bijak..

Rujukan
https://www.globalpropertyguide.com/Asia/Malaysia/Price-History

https://www.theedgemarkets.com/article/state-nation-house-prices-now-severely-unaffordable-levels

ISU KEMERDEKAAN TANAH MELAYU ..

Malam ini 62 tahun lalu, tepat jam 12 malam, bendera Union Jack diturunkan. Dinaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Esok pagi 62 tahun lalu, tepat jam 9.30 pagi YTM Tunku Abdul Rahman telah membacakan Dokumen Bersejarah Pemasyhuran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Peristiwa bersejarah ini diakhiri dengan laungan MERDEKA.. MERDEKA.. MERDEKA sebanyak tujuh kali oleh Tunku Abdul Rahman yang disambut hampir 20,000 rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka.

Jika anda mahir membaca tulisan Jawi, tentu anda boleh baca isikandungan dokumen bersejarah ini. Dokumen ini adalah 'sijil lahir' negara ini. Besar maknanya.

Isi utama dokumen ini antara lain ialah:

"Dan bahawasanya kerana dengan perjanjian yang disebut namanya Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, maka, telah dipersetujui bahawa Negeri-negeri Melayu, iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang, mulai 31 hari bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu."

"Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak dalam perjanjian tersebut, iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu".

Sekitar tahun 2011, ada pandangan dari ahli sejarah negara (Mendiang) Tan Sri Prof Khoo Kay Kim bahawa dokumen pengisytiharan merdeka ini secara jelas membuktikan bahawa selain Melaka dan Pulau Pinang, negeri -negeri Melayu yang lain tidak pernah dijajah oleh Inggeris. Sebab itulah dokumen ini mempunyai dua bahagian.

(1) Pergabungan Negeri-negeri Melayu dan Negeri Selat membentuk sebuah negara baharu bernama Persekutuan Tanah Melayu.

(2) Tamatnya Melaka dan Pulau Pinang daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen.

Bagaimana pun pandangan mereka berdua ditolak oleh para pemimpin kerajaan dan sebahagian besar rakyat pada ketika itu. Kisah itu  tergantung tanpa keputusan dan terus menjadi tanda tanya sehingga sekarang.

Jika anda tidak mahir membaca tulisan Jawi, anda boleh juga rujuk salinan kedua dokumen ini yang telah ditulis dalam bahasa Inggeris dalam tulisan rumi.

Rujukan

https://sarawakvoice.com/2018/09/17/malaysia-tidak-pernah-dijajah-british-khoo-kay-kim/amp/

http://paspb2.blogspot.com/2011/09/prof-khoo-kay-kim-kata-negara-tidak.html?m=1

KALAU SAYA 'MENTERI PELAJARAN'...

Kalau hari ini saya dilantik sebagai 'Menteri Pelajaran', bagi saya 24 jam, bukan 24 hari, bukan 24 bulan.. 24 jam. Saya akan umumkan:

1. DASAR SIFAR GURU DUKALARA-  sebab adalah kejam pisahkan suami dan isteri hanya kerana mereka terpaksa bertugas ditempat yang berjauhan.

2. DASAR TIADA LAGI KERJA RUMAH untuk pelajar. Semua tugasan dan latihan mestilah dirancang olah guru supaya diselesaikan di sekolah. Kerja rumah membuktikan perancangan pembelajaran sudah gagal. Banyak kajian menunjukkan kerja rumah tidak perlu bila pengajaran guru berkesan.

3. DASAR SEMUA PENGETUA CEMERLANG DAN GURU CEMERLANG yang baru di lantik wajib mengajar dan menyelesaikan masalah di sekolah risiko tinggi, sekolah pencapaian rendah dan sekolah pendalaman kurang kemudahan. Mereka akan diberikan elaun khas atas kecemerlangan mereka. Selepas 3-5 tahun berkhidmat di sekolah berkenaan dan berjaya mencapai sasaran kerja, mereka diberikan keutamaan untuk memohon berpindah ke mana- mana sekolah lain yang mereka berminat bergantung pada kekosongan.

4. DASAR 25 pelajar satu kelas dilaksanakan sepenuhnya secara beransur ansur dalam tempoh tiga tahun. Selepas tiga tahun tidak ada lagi bilik darjah yang mempunyai pelajar melebihi 25 orang.

5. DASAR ETIKA GURU  - Semua guru besar dan guru yang mempunyai masalah disiplin dan etika kerja , selepas melalui proses kaunseling dan amaran mestilah ditamatkan perkhidmatannya dalam tempoh enam bulan selepas laporan lengkap masalah mereka diperakukan oleh Jabatan Pendidikan. Kelambatan memproses guru bermasalah akan menyebabkan pelbagai pihak menjadi mangsa khususnya para pelajar.

6. DASAR RINGANKAN BEG SEKOLAH. Semua buku teks sekolah rendah tidak perlu di bawa pulang setiap hari. Pelajar sekolah rendah boleh meninggalkan buku teks mereka di dalam loker yang disediakan di sekolah.

7. DASAR PEMERKASAAN BAHASA INGGERIS PERBUALAN. Subjek bahasa Inggeris akan hanya bermula di tingkatan satu sehingga tingkatan tiga. Di kebanyakan negara maju bukan penutur Bahasa Inggeris, subjek bahasa Inggeris hanya bermula di sekolah menengah. Yang penting ialah keberkesanan pembelajaran bukannya berapa lama Bahasa Inggeris diajarkan. Dalam tempoh tiga tahun, semua pelajar mestilah dipastikan menguasai bahasa Inggeris perbualan. Kaedah mengajar sangat perlu di transformasikan. Pelajar tingkatan tiga akan lalui penilaian MUET lisan bahasa Inggeris untuk memastikan pencapaian mereka.. Bahasa Inggeris kemudian akan lebih didalami di tingkatan empat dan lima sehingga ke universiti. Tidak ada mata pelajaran bahasa Inggeris di sekolah rendah. Pelajar sekolah rendah wajib belajar bahasa Melayu dan bahasa Ibunda sahaja.

8. DASAR SIFAR GURU PONTENG KELAS. Pentadbir Sekolah wajib pastikan tiada guru melakukan perbuatan ponteng kelas. Semua ketidakhadiran guru ke bilik darjah mestilah dimaklumkan lebih awal pada pelajar dan direkodkan serta mendapat kelulusan bertulis dari guru besar/pengetua terlebih dahulu.

Ada soalan? Atau ada yang nak bangkang cadangan "Menteri Pelajaran" ni...

#inisekadargurauanpetang
#inihanyalahrekaansematamata

WAJARKAH SARAPAN PERCUMA UNTUK SEMUA PELAJAR?

Kementerian Pelajaran Malaysia dijangka akan membelanjakan sekitar RM1.6 billion setahun untuk program sarapan percuma bagi 2.7 juta pelajar sekolah rendah seluruh negara mulai Januari 2020.

Sekali fikir tentulah projek ini sangat baik. Apa salahnya anak-anak disediakan makanan sarapan percuma sebelum mereka memulakan pembelajaran.

Itu sekali fikir. Tetapi bila difikirkan beberapa kali ada beberapa isu yang harus difahami.

Ini bukan soal samada keputusan KPM itu salah atau betul. Ini soal keutamaan. Ini soal antara keputusan yang baik dan keputusan yang lebih baik.

Untuk itu kita kena jawab soalan paling asas. Kumpulan pelajar manakah yang sebenarnya sangat perlukan sarapan percuma ini?

Adakah semua 2.7 juta pelajar sekolah rendah atau kumpulan pelajar tertentu sahaja?

Kita sedia maklum sebahagian besar pelajar akan mengambil sarapan di rumah. Ibubapa akan sediakan sarapan untuk anak-anak mereka. Itu amalannya.

Tiada ibubapa yang merungut untuk sediakan sarapan untuk anak sendiri. Anda pernah dengar ada ibu yang  merungut kerana terpaksa sediakan sarapan untuk anak-anak?

Yang selalu saya dengar ialah ramai ibu merungut anak mereka tak mahu makan sarapan yang telah pun disediakan. Betul kan?

Malah kerana sayangkan anak, setiap ibu sudah pun merancang dan membayangkan apakah sarapan untuk anak-anaknya esok pagi sebelum mereka masuk tidur pada malamnya.

Tetapi kita juga tahu memang ada sebahagian kecil ibubapa yang tidak MAMPU atau tidak SEMPAT menyediakan sarapan pagi untuk anak anak mereka.

Pelajar dari kumpulan keluarga B40  memang perlu dibantu. Mereka tidak mampu.

Memang ada di kalangan anak-anak keluarga miskin yang tidak bersarapan bila ke sekolah. Jadi program sarapan percuma di sekolah sangat baik.

Ada juga ibubapa yang bekerja shif malam atau mula keluar bekerja  seawal jam 4 pagi. Mungkin mereka MAMPU tetapi mereka tidak SEMPAT untuk sediakan sarapan untuk anak-anak mereka di waktu pagi.

Jadi anak-anak mereka juga perlu diberikan sarapan percuma di sekolah. Eloklah dibantu.

Tetapi lebih ramai ibubapa lain yang tidak perlu kepada program sarapan percuma ini untuk anak-anak mereka.

Mereka mampu dan ada masa untuk sediakan sarapan untuk anak-anak sendiri.

Malah dalam banyak keluarga, masa sarapan inilah masa berkualiti untuk interaksi keluarga sebelum masing masing sibuk dengan urusan seharian.

Selepas bersarapan bersama-sama, ibubapa akan ke tempat kerja dan anak-anak pula ke sekolah.

Mungkin lewat petang atau sebelah malam nanti baru mereka akan berinteraksi lagi semasa makan malam.

Bagi kumpulan ini, program sarapan percuma bukanlah satu KEPERLUAN tetapi hanyalah satu PILIHAN sahaja. Kalau rezeki dah datang bergolek, ambil sajalah.

Saya sendiri tak akan menolak rezeki ini. Kalau saya ada 5 anak, seorang RM5 sehari belanja sekolah, saya dah jimat duit RM25 sehari. Sebulan? Setahun? Jadi tentulah saya suka.

Tapi pernahkah saya tahu keadaan bilik darjah anak saya belajar? Pernah saya rasa macamana suasana belajar dalam keadaan yang panas, bising, bersesak dan rimas?  Tidak bukan?

Tak ramai ibubapa yang akan faham bagaimana rasanya semua ini. Cuba hadir ke sekolah dan duduk di dalam kelas waktu tengahari. Rasakan sendiri.

Sebab itu walaupun program sarapan percuma ini baik, ada lagi tujuan yang lebih baik untuk digunakan peruntukan ini.

Secara mudahnya dari 1.6 billion itu, sewajarnya RM600 juta sahaja digunakan untuk program sarapan percuma khusus untuk kumpulan B40 dan berkeperluan khas. Oleh itu masih ada RM1 billion baki dari peruntukan tersebut.

Jika tidak semua pelajar perlukan sarapan percuma, untuk apa baki RM1 billion ini boleh digunakan? Apakah ada keperluan kritikal yang lain untuk pendidikan anak-anak kita?

Jawapnya memang ada. Sekolah kita masih berhadapan isu bilik darjah sesak dengan pelajar.

Kerana terlalu sesak, pembelajaran menjadi terganggu dan fokus akan hilang kerana rimas dan panas.

Banyak kajian mendapati pelajar cepat hilang motivasi bila belajar dalam keadaan yang tidak kondusif. Pembelajaran yang berkesan sangat dipengaruhi oleh persekitaran.

Persekolahan di negara ini memang pelik. Ada standard persekolahan yang dibeza-bezakan.

Ada sekolah premier yang bilik darjah siap dipasang penghawa dingin, dalam kelas pula hanya ada 25 pelajar. Mereka belajar dalam keadaan yang cukup selesa.

Ada pula sekolah yang kelasnya daif, kipas angin pun rosak tidak dibaiki, kerusi meja pecah, dalam kelas pula sampai 45 pelajar dan ada yang lebih dari itu. Bagaimana anak-anak ini nak belajar dengan tenang?

Tapi ironinya, bila keputusan peperiksaan UPSR atau SPM diumumkan, sekolah-sekolah premier diberikan pujian melambung tinggi kononnya telah menunjukkan prestasi cemerlang.

Kalau kelas dah macam sardin, amalan dan strategi pengajaran yang lebih berpusat kepada pelajar pasti tidak dapat dijalankan. Bagaimana pelajar nak cemerlang?

Ramai guru berkata walaupun mereka telah diberikan latihan, bengkel dan kursus kaedah pengajaran yang berkesan tetapi mereka tidak dapat lakukan semua itu disebabkan kelas terlalu sesak dengan pelajar.

Akhirnya jutaan ringgit yang dibelanjakan untuk meningkatkan kemahiran dan keberkesanan pengajaran guru dibazirkan begitu sahaja. Ada kemahiran tetapi tidak dapat dilaksanakan.

Gunakan peruntukan RM 1 billion untuk tambah bilik darjah. Pastikan setiap kelas mempunyai maksimun 25 pelajar sahaja. Dengan baki RM1 billion, jika kos menambah setiap bilik darjah ialah RM20 ribu, KPM boleh menyediakan 50,000 bilik darjah tambahan.

Bilangan 50 ribu bilik darjah tambahan ini dapat menyuraikan kesesakan bilik darjah kerana seramai 1.25 juta pelajar (jika satu bilik darjah dimuatkan dengan 25 pelajar) akan dapat belajar di bilik darjah tambahan.

Sebenarnya bukan 1.25 juta pelajar sahaja dapat faedah kerana dengan sekali belanja bina bilik darjah baru, bertahun-tahun faedahnya untuk berjuta-juta pelajar.

Walaupun sarapan untuk semua pelajar adalah program yang baik, Bukankah membina tambahan bilik darjah adalah lebih wajar?

Ibubapa tentu sangat menghargai KPM dengan penyediaan bilik darjah yang lebih kondusif untuk anak-anak mereka berbanding pembaziran menyediakan sarapan percuma pada kumpulan pelajar yang belum tentu akan menjamahnya...

https://malaysiagazette.com/?p=268564

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/sarapan-percuma-buat-pelajar-sekolah-rendah-mulai-januari-2020-maszlee-malik-215947?amp=1

SIAPAKAH MARHAEN YANG TELAH SEKIAN LAMA "TERSEMBUNYI'?

Semalam pakar PBB maklumkan yang  kadar kemiskinan Malaysia sebenarnya 15% dan bukannya 0.4%. Itu hasil kajian beliau selepas berada di negara ini.

Maksudnya, kadar kemiskinan di Malaysia sebenarnya sangat tinggi tetapi telah 'tersembunyi' selama ini. Rakyat sekian lama hanya tahu bahawa kadar kemiskinan negara ialah sekitar 0.4% sahaja.

15% atau 0.4%? Mengapa ada perbezaan kadar kemiskinan yang sangat besar?

Tapi melihat realiti keadaan hidup masyarakat,  saya lebih percaya pada kadar 15% berbanding 0.4%.

Di pendalaman Kelantan, Kedah, Sarawak dan Sabah kumpulan masyarakat miskin masih cukup ramai.

Orang awam seperti saya pasti tertanya- tanya. Mengapa kadar ini berbeza sangat?

Adakah konsep kemiskinan yang digunakan oleh pakar ekonomi negara ini berbeza dengan pakar dari PBB?

Bagaimana pula boleh berbeza? Konsep siapa yang lebih tepat? Siapa sebenarnya yang boleh kita percayai?

Adakah konstruk kemiskinan yang digunakan sebagai alat ukuran juga berbeza anti mereka ?

Alat ukur siapa yang betul? Pakar PBB atau pakar ekonomi tempatan?

Perbezaan yang sangat besar menunjukkan ini bukanlah bersifat teknikal.

Tetapi lebih disebabkan perbezaan konsep atau metodologi pengukuran yang digunakan oleh kedua pihak.

Jika pakar PBB yang salah ukur, impaknya tidaklah sebesar mana.

Tetapi kalau pakar ekonomi tempatan yang salah ukur kesannya sangat besar.

Selama ini kita biasanya akan gunakan kajian dan angka dari pakar dan institusi tempatan untuk membuat perancangan berkaitan kemiskinan.

Bayangkan apa akan jadi bila kadar kemiskinan 0.4% ini digunakan untuk merancang program basmi kemiskinan dan bukannya kadar sebenar kemiskinan 15%?

Bayangkan berapa juta nasib rakyat Malaysia yang selama ini miskin tetapi tidak terbela kerana selama ini mereka tiada dalam pengiraan kadar kemiskinan  0.4% ?

Mereka ini sebenarnya cukup miskin dan tidak ada kemampuan tetapi telah 'dipinggirkan secara tidak sengaja'  kerana kita percaya bahawa kadar kemiskinan Malaysia hanyalah 0.4% sahaja.

Mereka ini ibarat "masyarakat marhaen yang 'tersembunyi' dari pandangan..."

*******
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/08/599191/nilai-semula-kadar-kemiskinan-negara-pelapor-khas-pbb

....2x5.....


Kepimpinan KPM nampaknya tidak belajar dari kesilapan lalu. Kalau mereka belajar tentu sahaja isu jawi tidak melarat seperti sekarang.

Cuba belek balik sejarah pendidikan lepas. Dulu apabila PPSMI dibantah, KPM di bawah pentadbiran kerajaan lama telah memperkenalkan Dual Language Programme (DLP).

DLP adalah satu dasar yang sangat pelik. DLP juga satu dasar pendidikan yang tidak bijaksana. DLP menyebabkan kecamuk sistem pendidikan negara ini.

Dasar DLP menyebabkan KPM ketika itu telah mengambil sikap 'lepas tangan' apabila membuat keputusan untuk serahkan pada pihak sekolah dan ibubapa untuk memilih samada mahu menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris di dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Jadi ada sekolah memilih bahasa Melayu dan ada sekolah memilih bahasa Inggeris untuk pengajaran Sains dan Matematik.

Lebih parah, ada juga dalam satu sekolah ada kelas menggunakan bahasa Melayu dan ada kelas yang menggunakan bahasa Inggeris.

Akibat dasar DLP yang tidak jelas, anak anak sekolah berhadapan dengan banyak masalah.

Pertama, DLP telah melanggar Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan berkaitan isu bahasa pengantar yang tidak menggunakan bahasa pengantar bahasa Melayu.

Kedua, anak-anak yang telah belajar Sains dan Matematik di dalam bahasa Melayu akhirnya terpaksa pula melakukan penyelarasan kefahaman ke bahasa Inggeris apabila masuk ke universiti.

Di universiti penggunaan istilah, jargon konsep dan operasi ilmu sains dan matematik adalah dalam bahasa Inggeris.

Didapati DLP memberi kelebihan pada pelajar universiti yang memilih untuk belajar sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris semasa di sekolah.

Hari ini, KPM di bawah pentadbiran Pakatan Harapan juga telah menggunakan kesilapan yang sama untuk perlaksanaan tulisan Jawi di sekolah vernakular.

KPM nampaknya  'lepas tangan' apabila membuat ketetapan  dalam isu perlaksanaan tulisan Jawi, terserahlah pada pihak PIBG sekolah Cina dan Tamil untuk menentukannya cara perlaksanaannya.

Malah tidak menjadi masalah pun kalau ada sekolah Cina dan Tamil yang tidak mahu melaksanakan tulisan Jawi

Dasar 'lepas tangan' sebegini adalah dasar pendidikan yang tidak tepat.

Apakah ini akan jadi satu budaya kerja KPM? Bila timbul sahaja isu yang tidak boleh diuruskan oleh KPM, caranya ialah serahkan pada sekolah dan PIBG untuk buat keputusan.

Dasar 'lepas tangan' sebegini akan meningkatkan lagi kerencaman, kacaubilau dan akhirnya melemahkan usaha membina masyarakat Malaysia melalui satu sistem pendidikan.

"CUBALAH...KAMU FIKIR AKU TAKUT?"


Sepanjang bulan Ogos 2019 ini, seluruh rakyat Malaysia ditontonkan bagaimana Perdana Menteri dan sebahagian Menteri didesak secara terbuka oleh para pemimpin parti dalam komponen Pakatan sendiri. Isu tulisan Jawi, Zakir Naik, Lynas adalah antara yang paling ketara.

Sebenarnya sikap pemimpin parti komponen yang mendesak pemimpin kerajaan secara terbuka dalam parti komponen yang sama ini bukan baru.

Sejarah menunjukkan telah ada peristiwa yang hampir sama berlaku sejak pilihanraya umum negara yang pertama selepas merdeka pada 1959.

Pada Ogos 1959, genap 60 tahun yang lalu dikisahkan telah berlaku pertentangan dan desakan secara terbuka pemimpin MCA yang diketuai oleh Dr Lim Chong Eu terhadap pemimpin UMNO iaitu Tunku Abdul Rahman.

Puncanya Dr Lim Chong Eu menuntut tambahan kerusi sebanyak 40 kawasan untuk pilihanraya pertama Malaya selepas merdeka yang akan diadakan pada 19 Ogos 1959.

Alasan Dr Lim Chong Eu  ialah bilangan penduduk kaum Cina telah bertambah berbanding pilihanraya 1955.

Memang betul. Pertambahan penduduk kaum Cina telah berlaku dalam jumlah yang besar apabila Malaya merdeka pada 1957, kerana orang Cina dan India telah mendapat kerakyatan secara jus soli.

Hasilnya penduduk kaum Cina telah bertambah kepada 35.6% pada 1959 berbanding hanya 11.2% pada tahun 1955. Lebih satu juta imigran Cina mendapat kerakyatan penuh ketika itu.

Dalam sejarah politik Malaysia, hanya PAS (PIMP sebelum 1973) adalah parti yang secara tegas menolak peruntukan Jus Soli dilaksanakan di Tanah Melayu.

Parti lain seperti Parti Negara tidak juga menyokong Jus Soli tetapi tidak lantang seperti PAS.

Malah pada pilihanraya umum 1959, salah satu janji dalam manifesto PAS ialah akan menolak dan menghapuskan perlaksanaan Jus Soli di Malaya.

PAS berpendirian semua pemberian kerakyatan pada imigran harus melalui proses permohonan biasa. Bukan diberikan secara automatik melalui peruntukan Jus Soli.

Peruntukan Jus Soli pada 1957 telah menyebabkan berlaku pertambahan lebih sekali ganda warganegara dari kaum Cina iaitu kenaikan 120%  berbanding sebelum merdeka.

Oleh kerana pertambahan penduduk Cina yang sangat ramai dan secara mendadak ini, Dr Lim Chong Eu menggunakan peluang ini untuk mendesak Tunku supaya memberi lebih banyak agihan kerusi kepada MCA khususnya di kerusi kawasan bandar.

Pada pilihanraya 1955 sebelumnya, MCA telah mendapat  agihan 15 kerusi sahaja dari Perikatan.

Pada pilihanraya 1959, MCA menuntut tambahan 25 lagi kerusi untuk menjadikan 40 kerusi untuk orang Cina.

Jumlah kerusi yang dipertandingkan di seluruh Malaya pada 1959 ialah 104 kawasan.

Desakan Dr Lim Chong Eu kepada Tunku dilakukan dengan cara menulis satu surat 'dua tuntutan'.

Tuntutan pertama, Dr Lim Chong Eu  telah mendesak untuk Tunku memberikan 40 kerusi pada MCA.

Tuntutan kedua,  Dr Lim Chong Eu menyatakan bahawa MCA tidak bersetuju dan menolak Laporan Pelajaran Razak 1956.

Pemimpin MCA yang lain merasakan surat Dr Lim Chong Eu  terlalu 'lembut' dan apologetik.

Oleh itu, sebahagian dari mereka telah membuat keputusan mengadakan kenyataan akhbar bahawa jika Tunku tidak bersetuju dengan permintaan MCA untuk mendapatkan 40 kerusi, pemimpin MCA mengugut akan keluar dari Perikatan.

Mereka mengancam bahawa calon MCA akan bertanding akan tiket bebas atau di atas tiket parti lain dan bukan lagi atas tiket Parti Perikatan di bawah pimpinan Tunku jika kedua-dua tuntutan mereka ditolak.

Selepas menerima surat berkenaan, Tunku pada mulanya menjadi serba salah.

Beliau tahu MCA mempunyai kekuatan untuk parti Perikatan mendapat sokongan orang Cina.

Tanpa MCA, sokongan pada Perikatan pasti akan merosot dengan banyak.

Akhirnya Tunku mengambil keputusan mengadakan mesyuarat tergempar UMNO untuk membuat keputusan berkaitan tuntutan MCA.

Menerima tuntutan MCA bermakna 40 kawasan pilihanraya akan diserahkan pada MCA dan Laporan Pelajaran Razak mungkin akan dimansuhkan.

Menolak pula bermakna sokongan orang Cina pada Parti Perikatan akan jatuh merudum. Perikatan kemungkinan besar akan kalah dalam pilihanraya umum 1959.

Jika anda di tempat Tunku Abdul Rahman, apakah keputusan anda? Menerima atau menolak tuntutan MCA?

Setelah selesai mesyuarat tergempar UMNO, dan atas persetujuan sebulat suara ahli UMNO, Tunku telah menulis surat pada Dr Lim Chong Eu memaklumkan bahawa tuntutan MCA ditolak sepenuhnya.

Tunku  juga mencabar Dr Lim  jika MCA mahu keluar dari Parti Perikatan, UMNO  tidak akan menghalang.

UMNO dan MIC akan terus kekal sebagai komponen dalam Parti Perikatan untuk pilihanraya umum 1959 yang tinggal beberapa hari sahaja lagi walaupun tanpa MCA.

Tunku Abdul Rahman sebenarnya telah memberikan isyarat yang cukup jelas pada kepimpinan MCA. Isyaratnya  "Cubalah... Kamu fikir aku takut?"

Dr Lim Chong Eu dan kepimpinan MCA terkejut dengan keputusan Tunku Abdul Rahman dan ahli UMNO.

Mereka tidak menjangka yang tuntutan mereka akan ditolak bulat-bulat oleh Tunku.

Mereka lebih menjangkakan yang Tunku akan berunding dengan pihak MCA dan proses tawar menawar agihan kerusi akan berlaku.

Melalui tawar-menawar tersebut, kepimpinan MCA mengharapkan akan ada pertambahan kerusi walaupun mungkin akan berkurangan dari 40 yang diminta oleh MCA pada peringkat awal. Rupanya mereka tersalah langkah.

Akhirnya, dalam keadaan terkejut, Dr Lim Chong Eu  sebagai presiden MCA setelah berbincang dengan Tun Tan Cheng Lock (penasihat MCA) telah membalas surat memohon maaf serta memohon Tunku menerima kembali MCA di dalam Parti Perikatan.

Selepas membaca surat Dr Lim Chong Eu, Tunku mengarahkan Dr Lim Chong Eu menarik balik semua tuntutan jika mahu kembali kepada Parti Perikatan.

Tunku juga membuat keputusan bahawa senarai nama calon pilihanraya untuk kerusi MCA akan ditentukan sepenuhnya oleh beliau sendiri.

Tunku juga menuntut Dr Lim Chong Eu mengugurkan semua kepimpinan MCA yang bertanggungjawab membuat tuntutan tambahan kerusi dan menolak Laporan Razak.

Berikutan tindakan itu, kepimpinan Jawatankuasa kerja Pusat MCA marah dan menentang keputusan Tunku.

Beberapa pimpinan tertinggi MCA seperti Yong Fung How dan Too Joon Hing mengambil keputusan memboikot Perikatan dan meletak jawatan mereka dalam MCA.

Tunku telah bersedia lebih awal dan terus mengemukakan senarai calon MCA untuk bertanding di bawah tiket Perikatan.

Semua calon MCA yana disenaraikan oleh Tunku adalah dipastikan bebas dari kumpulan yang membuat tuntutan.

Malah Dr Lim Chong Eu sebagai  presiden MCA sendiri telah digugurkan namanya sebagai calon Perikatan oleh Tunku.

Nampaknya Tunku Abdul Rahman betul-betul bertegas dalam peristiwa ini. Ketegasan beliau datangnya dari sokongan sebulat suara ahli dan kepimpinan UMNO.

Semua ini berlaku kurang dua minggu dari tarikh pilihanraya 19 Ogos 1959. Sangat kelam kabut Parti Perikatan ketika itu.

Akhirnya pilihanraya umum  berjalan pada 19 Ogos 1959.

Apabila keputusan diumumkan, walaupun Parti Perikatan masih membentuk kerajaan pusat, Parti Perikatan mengalami kemerosotan sokongan yang sangat besar.

Pada pilihanraya 1955 sebelumnya, peratus sokongan pada Perikatan ialah 81.7%, tetapi pada 1959, sokongan pada Perikatan merosot kepada hanya 51.5% sahaja.

Walaupun Tunku Abdul Rahman dan ahli UMNO tahu, menolak tuntutan MCA akan melemahkan sokongan pengundi khususnya pengundi Cina pada Perikatan, atas nama prinsip perjuangan UMNO mempertahankan kuasa politik Melayu, tuntutan MCA terpaksa mereka tolak.

Ahli dan pemimpin UMNO juga sebulat suara menolak tuntutan pemansuhan Laporan Pelajaran Razak demi memastikan kedudukan Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa pengantar di dalam sistem pendidikan negara.

Pemimpin Melayu UMNO ketika itu telah bersedia untuk hilang sokongan orang Cina dalam pilihanraya 1959 tapi mereka  sama sekali tidak rela mengkhianati dan lari dari prinsip perjuangan UMNO-demi agama, bangsa  dan tanahair.

Begitulah sekelumit kisah para pemimpin politik Melayu yang terdahulu dari kita.

"Sejarah adalah guru yang terbaik"

****
Rujukan
Ramlah Adam, 2009, Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putra, DBP, mukasurat 297-299.

Heng Pek Koon (1996), Chinese Responses to Malay Hegemony in Peninsular Malaysia 1957-96, Journal of Southeast Asia Studies, Volume 34, No 3, December.