31 March, 2013

Membina Pelajar UKM Menjadi Mahasiswa Usahawan...


Artikel ini pada mulanya saya tulis sekembalinya saya dari kota London selepas menghadiri program di University Oxford, dan kemudiannya tulisan ini telah disiarkan di Utusan Malaysia beberapa hari selepas diberikan amanah memimpin Bahagian Akademik Kolej di Pusat Perkembangan Pelajar (PPP-UKM) pada 2009. Saya kemudiannya di jemput oleh KPT untuk beberapa sesi meja bulat bersama ahli ahli akademik yang lain dalam membincangkan perancangan pembangunan Usahawan di IPTA. Akhirnya, teras keusahawanan diterima menjadi teras utama kepada pembangunan pelajar di IPTA. Di UKM kita beruntung kerana pelaksanaan ko-kurikulum berasaskan Kontrak Pembelajaran memberikan peluang seluasnya untuk pelajar memilih apa aktiviti yang ingin mereka sertai bagi membangunkan softskills masing masing. Saya siarkan kembali tulisan ini di Blog Ilmu Mutu dan Budi untuk pelajar UKM meneliti dan membahaskan apakah kita sudah terkehadapan dalam menjayakan budaya keusahawanan pelajar di UKM...

  1. Beberapa bulan lalu ketika saya berada di kota London, media massa negara tersebut melaporkan Universiti College London (UCL) telah dinobatkan sebagai universiti yang paling tinggi kadar kebolehpasaran pelajar di United Kingdom. Kadar mula bekerja pelajar UCL selepas enam bulan pertama menamatkan pengajian ialah 94 peratus di ikuti dengan Universiti Oxford (92 peratus) dan Universiti Cambridge (91 peratus). Berbanding dengan negara kita, berdasarkan kajian pengesanan graduan IPTA, keempat-empat universiti terbaik negara yang diberikan status universiti penyelidikan mempunyai kadar kebolehpasaran antara 45 hingga 60 peratus sahaja.
  2. Menariknya, di media British juga pada hari yang sama melaporkan kerisauan dan komen oleh CEO British Telecom dan Pengerusi Tesco berkaitan sistem pendidikan tinggi England yang gagal melahirkan lebih ramai usahawan muda di kalangan pelajar universiti. Antara yang disentuh dua tokoh ini ialah perlunya konsep keusahawanan diberikan penekanan di dalam sistem pendidikan tinggi agar pelajar pusat pengajian tinggi bersedia untuk memulakan kerjaya sebagai usahawan selari dengan keperluan pasaran dan perancangan negara.
  3. Ironi juga bila sebuah negara maju yang memiliki antara universiti terbaik di dunia nampaknya majikan masih tidak berpuas hati dengan tahap kualiti pendidikan tinggi mereka. Semangat daya saing yang tinggi jelas tergambar melalui komen dua tokoh perniagaan tersebut.
  4. Laporan Tahunan Kesatuan Eropah (EU) untuk tahun 2009 menunjukkan United Kingdom berada di kedudukan ke lapan dan terakhir dari segi kualiti hidup di kalangan negara di Eropah. Oleh kerana pendidikan tinggi adalah asas kepada peningkatan kualiti hidup tidak sukar untuk difahami mengapa isu ini diketengahkan oleh media negara tersebut. Kualiti hidup di Perancis dan Sepanyol berada di tempat pertama dan kedua terbaik di kalangan negara di Eropah.
  5. Kita perlu melihat situasi ini sebagai isyarat untuk IPTA di Malaysia segera bertungkus-lumus meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara. Malaysia sebagai antara negara yang paling berjaya di kalangan negara membangun sedang berhadapan dengan persaingan yang sengit khususnya daripada Singapura, Vietnam dan negara- negara Arab di timur tengah. Tidak terkecuali oleh negara China dan negara-negara Bekas Kesatuan Soviet yang semakin berjaya membuka pasaran mereka.
  6. Pembukaan pasaran bermaksud persaingan akan menjadi lebih hebat. Kehendak dan keperluan majikan terhadap sektor pekerjaan menjadi semakin sengit. Jika mengeluarkan barangan, tuntutan kualiti pengeluaran serta penguasaan teknologi menjadi semakin tinggi. Pasaran baru ini akan membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada para graduan negara ini.
  7. Malangnya tahap pengangguran mahasiswa di negara ini masih tinggi. Setakat ini tiada laporan rasmi dikeluarkan oleh pihak kerajaan berkaitan kadar sebenar pengangguran mahasiswa. Laporan media sekadar menganggarkan sekitar lebih lima puluh ribu mahasiswa masih menganggur selepas tamat pengajian mereka. Makna pengangguran juga tidak jelas dan lebih menjurus kepada kumpulan mahasiswa yang tiadanya pekerjaan yang tetap. Maknanya graduan yang bekerja sementara, bekerja secara kontrak atau sekadar menerima upah harian masih dikelompokkan sebagai telah bekerja dan bukan menganggur. Malah graduan yang bekerja di bawah kelayakan ijazah, seperti bekerja operator pengeluaran di kilang atau kerani pejabat juga dianggap telah memiliki pekerjaan. Maka jika ini semua disemak semula tentu jumlah graduan yang tiada pekerjaan yang sempurna dan mengikut kelayakan akademik tentunya jauh lebih besar lagi.
  8. Mungkin ini bukan masalah pihak universiti apabila telah pun melengkapkan tanggungjawabnya apabila seseorang mahasiswa menamatkan pengajian mereka. Tinggal lagi apabila mahasiswa keluaran IPTA gagal mempunyai pekerjaan tetap, pihak universiti perlu juga melihat secara serius program pengajian yang sedang ditawarkan. Seolah-olah ilmu yang diperoleh sepanjang pengajian seperti gagal dimanfaatkan oleh mahasiswa untuk memasuki alam pekerjaan. Sama ada ilmu pengajian itu sendiri yang tiada nilai untuk kerjaya atau mahasiswa itu sendiri yang dihasilkan tidak cukup kompetitif, kita masih boleh sahaja mendebatkan nya.
  9. Apa yang pasti dan perlu segera dilaksanakan oleh pihak universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi ialah bertindak membuka ruang yang lebih kepada mahasiswa. Satu ketika dulu, Kementerian Pengajian Tinggi begitu bersungguh mewar warkan program kemahiran insaniah, kompetensi generik atau nama lain yang lebih sinonim ialah soft skills. Malangnya usaha ini nampaknya kurang menyerlah di IPTA tempatan.
  10. UKM nampaknya terkehadapan di dalam melonjakkan softskills pelajar bila mentransformasikan ko-kurikulum dengan mensyaratkan pelajar melengkapkan ko-kurikulum melalui penganjuran projek dan bukan lagi secara kuliah dan peperiksaan semata-mata. Tujuan soft skills ini diterapkan kepada pelajar agar nilai kebolehpasaran atau kebolehdapatan pekerjaan menjadi lebih tinggi. Malangnya terdapat beberapa universiti yang belum lagi mengerakkan soft skills di dalam hasil pembelajaran kegiatan pelajar sama ada di dalam program pengajian ataupun kegiatan ko-kurikulum pelajar.
  11. Oleh itu, sebagai alternatifnya, pihak KPT perlu menilai semula dan mula menggerakkan secara serius dan besar-besaran kemahiran dan  pendidikan keusahawanan di pusat pengajian tinggi. Kalau kita bertanya kepada pelajar IPTA apa yang mereka faham tentang konsep dan idea keusahawanan, rata- rata akan memberikan jawapan yang agak ketinggalan. Mereka memahami keusahawanan sebagai aktiviti menjalankan perniagaan. Maka tidak hairanlah apabila persatuan pelajar menjalankan perniagaan secara kecilan untuk memenuhi maksud dan tujuan keusahawanan tersebut.
  12. Mereka biasanya menjalankan perniagaan seperti menjadi agen perkhidmatan tambah nilai prabayar telefon bimbit, penjualan cenderahati, menjalankan program motivasi di sekolah, berniaga semasa hari keluarga kolej kediaman atau semasa pesta konvokesyen universiti. Jika yang lebih berminat untuk berniaga, ada yang menjadi orang tengah untuk membuat t-shirt program untuk rakan-rakan kampus. Itulah  sifat atau bentuk keusahawanan yang ada di IPTA sekarang. Semua pelajar nampaknya memahami itulah aktiviti keusahawanan. Pada mereka ilmu keusahawanan adalah perniagaan jual beli barang atau perkhidmatan. Tidak lebih daripada itu.
  13. Sebenarnya pelajar (juga pegawai Hal Ehwal Pelajar dan para pensyarah) perlu memahami konsep keusahawanan yang jauh lebih besar daripada itu, lebih sekadar jual beli barangan sahaja. Jika kita meneliti lebih mendalam konsep  ilmu keusahawanan di IPT, sepatutnya bermula dengan gabungan dua komponen utama iaitu kandungan pengajian dan kemahiran keusahawanan.
  14. Sebagai contoh seorang pelajar yang belajar di dalam jurusan sejarah di universiti seharusnya mempunyai kandungan (pengajian sejarah) dan juga kemahiran keusahawanan untuk mencipta pasaran berkaitan bidang pengajiannya. Penulis masih ingat kata-kata Mary Anne, (21 tahun) seorang siswi tahun dua pengajian Seni di Universiti College London semasa kami berbual semasa lawatan penulis di sana. Antara komen beliau ‘saya rasa sudah tidak masuk akal lagi untuk pihak universiti hanya menawarkan kursus pengajian tetapi tidak pula memberikan kemahiran kepada kami bagaimana untuk ‘menjual’ kepakaran kami selepas tamat pengajian”. Saya setuju dengan pandangan beliau terutamanya di dalam suasana pasaran kerja sekarang yang agak perlahan.
  15. Universiti seharusnya perlu menggabungkan kandungan pengajian dengan kemahiran keusahawanan pada semua pelajar secara bersepadu. Bayangkan, alangkah baik jika seorang pelajar yang belajar berkaitan seni seperti teater, tarian atau muzik akhirnya akan menjadi usahawan seni. Mereka berupaya membuka galeri seni dan juga kelas seni secara tetap. Begitu juga dengan seorang pelajar di dalam bidang geografi atau geologi, akhirnya boleh menjadi usahawan pelancongan, menjalankan perkhidmatan berkaitan alam sekitaran dan sebagainya. Sepatutnya semua kursus bukan kritikal (seperti perubatan) yang ditawarkan di IPTA perlu mempunyai komponen kemahiran keusahawanan sekurang-kurang satu pertiga daripada keseluruhan silibus kursus pengajian tersebut.
  16. Amalan sekarang ialah pihak pengurusan IPTA menerapkan kemahiran keusahawanan secara ad hocatau atas pilihan pelajar. Pelajar akan mendaftar untuk menjadi ahli kepada kelab- kelab usahawan di bawah HEP sama ada yang dibiayai oleh pihak universiti atau oleh pihak kementerian dan pihak korporat.Maka ada beberapa program seperti  Techno- Entrepreneur, Program Prosper dan Usahawan Muda yang dijalankan di beberapa buah IPTA. Program ini sifatnya tidak menyeluruh, biasanya dimonopoli oleh kumpulan pelajar yang mengkhusus di dalam pengajian ekonomi dan pengurusan perniagaan. Bagaimana pula dengan nasib pelajar di aliran sains sosial, pengajian Islam dan sains tulen. Mereka inilah yang sebenarnya lebih memerlukan kemahiran usahawan berbanding dengan kumpulan pelajar yang pertama tadi.
  17. Kemahiran asas keusahawanan yang ingin dibangunkan kepada mahasiswa perlu memenuhi konsep 3C iaitu Competitiveness, Creativity dan Communication. Semasa berada di Universiti Oxford, penulis perhatikan pelajar akan memperoleh kemahiran ini bukan melalui program ko-kurikulum tetapi di dalam kursus pengajian mereka.
  18. Melalui konsep tutorial perorangan secara mingguan (ini adalah keistimewaan Universiti Oxford dan Universiti Cambridge kerana masih mengekalkan amalan tutorial seorang pensyarah dengan seorang pelajar) pelajar di didik tentang budaya Competitiveness, Creativity dan Communication ini. Di sana idea tentang keusahawanan bukan berkaitan hanya ilmu jual beli barangan sahaja tetapi yang jauh lebih penting ialah membina budaya 3C ini sejak tahun pertama hinggalah tamat pengajian bersepadu di dalam kursus .
  19. Sudah sampai masanya kurikulum kursus bukan kritikal IPTA disepadukan dengan ilmu keusahawanan. Pengajaran dan pembelajaran di dalam dewan kuliah juga perlu memasukkan komponen perkembangan serta isu semasa berkaitan pasaran yang berkaitan bidang pengajian. Ilmu yang diperoleh di dalam dewan kuliah tidak lagi boleh bersifat statik dan diulang-ulang pada setiap sesi pengajian.
  20. Ilmu untuk pelajar tidak lagi boleh bersifat ‘bebas nilai terhadap pasaran’ kerana pelajar perlu membawa ilmu itu di dalam pasaran dan masyarakat di luar menara gading. Modul pelaksanaan penyepaduan kurikulum antara ilmu pengajian dan ilmu keusahawanan perlu dibina oleh KPT untuk membantu para pensyarah dan pegawai di IPTA.
  21. Semakin lama kita membiarkan ilmu pengajian di dalam kerangka lama, maka akan semakin ramai pelajar keluaran universiti tiada kemahiran keusahawanan dan isu pengangguran akan semakin berlanjutan. Amat malang jika seorang yang tamat pengajian dengan jayanya tetapi tidak mahir bagaimana untuk menggunakan ilmu yang dipelajari untuk menjayakan kerjaya dan kehidupan mereka.
  22. Semoga jangan kita ketinggalan untuk terus bersaing ketika mana semua universiti terbaik di dunia sedang bergerak pantas untuk meningkatkan kadar keusahawanan dan kebolehpasaran graduan mereka. Kita perlu lakukan sesuatu sekarang atau masyarakat akan mula hilang kepercayaan tentang kuasa pendidikan tinggi awam untuk menjayakan kehidupan anak-anak mereka. 

28 March, 2013

UKM Model Perpaduan Bangsa Malaysia: Bersediakah Pelajar Melayu, Cina dan India?



  1. Saya masih ingat sejurus selepas saya dilantik sebagai pengetua IZISH dulu, kebetulan kertas projek pelajar IZISH yang pertama datang ke meja pengetua ialah permohonan Projek Pesta Tanglung. Saya ambil keputusan meluluskan projek ini untuk dilaksanakan di IZISH. 
  2. Rupa rupanya projek ini menjadi begitu kontroversi di kalangan warga Kolej Antarabangsa Ibu Zain (nama lamanya KIZ). Untuk rekod, IZISH merupakan kolej pertama di UKM yang membenarkan projek Pesta Tanglung dilaksanakan di peringkat kolej. Sebelumnya, Pesta Tanglung di UKM hanya dibenarkan untuk dilaksanakan di peringkat pusat sahaja.
  3. Saya masih ingat pada malam acara tersebut berlangsung di IZISH, hanya saya bersama dua anak kecil saya yang ikut serta berjalan bersama pelajar Cina KIZ dengan membawa pelita pelita tanglung. Selain saya dan dua anak saya, tidak ada seorang pun pelajar Melayu yang ikut serta. malah felo kolej pun tidak ikut serta. Saya faham mengapa mereka tidak bersedia ikut serta. Pertama, kerana mereka mungkin merasa tidak selesa untuk bersama dengan majlis yang dianjurkan oleh pelajar pelajar keturunan Tiong Hua, keduanya, saya pasti mereka tidak faham dan jelas tentang sejarah dan peristiwa di sebalik tradisi Pesta Tanglung dirayakan oleh pelajar Tiong Hua. Saya sempat melihat pelajar pelajar siswi Melayu meninjau ninjau dari dalam tingkap bilik masing masing, semasa kami sambil membawa tanglung berjalan melalui blok blok mereka.
  4. Kehadiran saya dalam majlis tersebut bukannya merayakan Pesta Tanglung tetapi kehadiran saya atas memenuhi jemputan untuk meraikan pelajar pelajar Cina KIZ yang merayakannya. Saya juga membuka jalan dengan mencadangkan di tahun tahun seterusnya supaya pelajar Cina memberikan maklumat dan sejarah bagaimana perayaan Pesta Tanglung dimulakan dalam tradisi ini di Tanah Besar Cina. Pelajar Cina pada tahun seterusnya mula mengadakan sketsa, pameran, serta jamuan makanan yang halal dalam tradisi Cina untuk dikongsikan dengan pelajar pelajar Melayu. 
  5. Sejak itu, semua kolej UKM telah merayakan Pesta Tanglung. Bukan sahaja pelajar Cina yang merayakannya, pelajar Melayu dan India juga dijemput hadir untuk meraikan pelajar pelajar Cina yang merayakannya. Jumlah kehadiran pun seperti sama banyaknya antara pelajar Melayu dan pelajar Cina. Mereka bersama sama membawa tanglung berjalan penuh harmoni mengelilingi kolej masing masing. Sekarang bukan sahaja Pesta Tanglung, tetapi sudah meriah dengan penganjuran pesta Ang Pow secara besar besaran dan juga Pesta Ponggal di kolej kolej UKM. 
  6. Malah di IZISH sekarang, semasa majlis berbuka puasa, pelajar Cina dan India juga dijemput sebagai tetamu meraikan pelajar Melayu yang berbuka puasa. Keharmonian sebegini pasti akan memberikan kenangan manis pada semua pelajar yang terlibat. Pengalaman seperti ini juga membuka pemikiran pelajar berbilang bangsa untuk saling mengenali antara satu sama lain. Kita sebagai satu masyarakat yang berkongsi satu negara, tiada pilihan yang lain selain bersedia untuk bersatu sebagai satu bangsa untuk meneruskan kelangsungan bangsa Malaysia. 
  7. Elok saya kembali ke belakang sedikit untuk memahami kehidupan masyarakat Malaysia yang ada pada hari ini. Negara ini dulu hanya ada masyarakat yang bersifat pluraliti. Bila penjajah Inggeris mula menguasai tanah melayu pada abad ke 18 dan 19, masyarakat pluraliti telah berubah menjadi sebuah masyarakat plural/majmuk. Pada yang tidak jelas bezanya pluraliti dan masyarakat plural, saya berikan sedikit gambaran. Masyarakat pluraliti bermaksud setiap orang yang hidup di dalam sesebuah komuniti menerima satu sistem pentadbiran. Zaman kerajaan Melayu Melaka adalah contoh yang terbaik. Sultan Melaka memerintah Melaka dengan dibantu oleh para pembesar dan kerabat yang dilantik oleh sultan. Rakyat yang berbagai kumpulan etnik hidup di bawah pemerintahan sultan dan menerimanya sebagai satu sistem politik. Semua orang bertutur dalam Bahasa Melayu. Begitu juga peraturan dan undang undang yang digunakan adalah berasaskan Hukum Kanun Melaka atau Undang Undang Laut Melaka sepenuhnya. Tidak wujud sistem pendidikan berbilang aliran yang diinstitusikan ketika itu.
  8. Masyarakat plural pula bermula bila British datang ke Tanah Melayu dan membenarkan setiap kumpulan etnik (Melayu, Cina, India) membina institusi dan mengunakan sistem masing masing. Maka wujudlah persatuan persatuan di kalangan orang Melayu, Cina dan India. Masyarakat Cina terutamanya menubuhkan begitu banyak Hua Tuan (persatuan) yang mewakili peniagaan Cina, pendidikan Cina, kebajikan orang Cina dan sebagainya. 
  9. Orang Melayu masih tidak banyak menubuhkan persatuan persatuan kerana mereka masih berpegang kuat kepada konsep kampung sebagai sebuah 'persatuan'. Begitu juga penjajah British telah membenarkan penerbitan surat khabar mengikut etnik diwujudkan secara berasingan. Maka wujudlah surat khabar untuk orang Melayu dalam bahasa Melayu Jawi, surat khabar Cina dan juga surat khabar Tamil untuk orang India. Bahasa yang dipertuturkan dibenarkan berbagai berdasarkan bahasa ibunda masing masing. Maka wujudlah sekolah vernakular yang berbagai aliran bahasa pengantarnya. Perpisahan antara kaum menjadi semakin ketara ketika itu.
  10. Semua ini secara menyeluruh telah mewujudkan kumpulan kumpulan etnik yang terpisah pisah antara satu sama lain. Apatah lagi cara mereka memahami agama masing masing secara yang sempit menyebabkan amalan agama tidak mampu memecahkan keinginan untuk hidup bersama tanpa rasa curiga. Islam menganjurkan persefahaman yang btinggi dalam menhormati kepercayaan penganut agama lain. Malah satu yang salah dan berdosa untuk mana mana orang Islam melakukan penganiayaan atau penindasan atas nama agama kepada sesiapa juga orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam.
  11. Hasilnya, orang Melayu, Cina dan India tidak lagi berinteraksi secara lazim antara kumpulan etnik. Mereka hanya akan berinteraksi bila ada keperluan atau memenuhi tujuan tujuan masing masing. Pihak kolonial seperti Furnivall (1956) pernah menyatakan fenomena ini lama dahulu. Anak Melayu, Cina dan India terbiasa bertutur dalam bahasa masing masing, membaca suratkhabar yang berbeza, belajar disekolah yang berbeza. pendek kata segalanya berbeza. Sehinggalah hari ini mereka berada dalam ruang yang berlainan. Ketika kita sudah merdeka, menjadi satu masyarakat yang berdaulat lebih 55 tahun.
  12. Segresasi (pemisahan etnik) ini yang sedang dihadapi oleh UKM dan juga semua IPT di negara ini bila IPT telah menerima anak anak Melayu, Cina dan India masuk dan belajar yang datngnya dari pelbagai latarbelakang budaya. Setiap mereka hidup di dalam dunia mereka. Memang ada yang tidak begitu. Ada juga anak Melayu, Cina dan India sudah biasa dan selesa untuk hidup bersama antara etnik tetapi jumlahnya tidak ramai. Yang ramai ialah Melayu sesama Melayu, Cina sesama Cinaa dan India sesama India. Mungkin situasi ini agak berbeza dengan pelajar dari sabah dan sarawak yang lebih terbuka menerima orang Melayu, Cina atau India sebagai rakan rakan rapat mereka.
  13. Ini cabaran besar pada UKM sebagai sebuah universiti kebangsaan. UKM tentu punya peranan besar menunjukkan model atau contoh apakah bentuk sebuah bangsa Malaysia dalam konteks kehidupan pelajar di kampus. Khususnya kepada pembangunan insaniah dan pengetahuan kebangsaan pelajar . Usaha "membina semula" keinginan untuk pelajar Melayu, Cina dan India serta Sabah Sarawak berinteraksi secara lazim di dalam kampus UKM perlu digerakkan. Ada pensyarah yang saya kenal cuba melakukannya dengan memwajibkan setiap kumpulan tugasan pelajarnya mestilah dari kumpulan etnik yang berbeza, ada yang berjaya tetapi selalunya gagal berfungsi dengan baik. Ketidakselesaan berkomunikasi, mempunyai sifat dan budaya kerja yang berbeza, batasan nilai dan norma yang berbeza, ditambah lagi dengan pandangan alam agama yang disempitkan menyebabkan usaha usaha sebegini gagal dijayakan. 
  14. Ada yang lebih serius bila wujud budaya labeling dan 'stereotype' orang Melayu pada orang Cina dan India, dan begitu juga sebaliknya. Jika kita tinjau penganjuran aktiviti pelajar, hal yang sama berlaku. Projek pelajar yang secara lazim (sukarela) disertai oleh pelajar berbagai bangsa di UKM sangat kecil sekali. Mungkin PBSM berjaya, begitu juga dengan MEP/JAKSA kolej. Tetapi bagaimana dengan persatuan anak negeri, persatuan fakulti atau di persatuan persatuan lain di Pusanika?
  15. Bolehkah perpaduan ini dijayakan dalam kampus UKM? Tentu boleh tetapi laluan sangat sukar. Pertama, semua etnik pelajar di UKM kena bersedia untuk berkorban kepentingan masing-masing. Saya tidak fikir cabaran ini dapat diselesaikan dengan mudah. Selepas 55 tahun, isu bahasa, agama, kewarganegaraan, hak keistimewaan Bumiputera dan hak keistimewaan bukan melayu, kontrak sosial dan sebagainya masih berterusan menjadi kekangan untuk pelajar UKM bersatu padu sepenuhnya secara lazim.
  16. Pelajar Melayu, Cina, India di UKM harus bersedia menjadi model kepada usaha membina kesepaduan bangsa Malaysia menjelang 2020. Pemimpin pelajar UKM punya peranan besar menerima cabaran ini. Mulakan perbincangan dalam majlis ilmu, cari resolusi dan laksankan agenda sekadar yang boleh untuk menunjukan bahawa pemimpin pelajar UKM bersedia untuk memberiakn contoh. 
  17. Tentunya langkah seterusnya yang paling utama ialah memecahkan tembok jurang  budaya, jurang bahasa dan jurang persefahaman agama antara pelajar berbeza etnik. Kalau pelajar Melayu bersedia hadir ke majlis Pesta Tanglung dan Pesta ponggal, pastinya pelajar CIna dan India juga akan sudi ke majlis sambutan hari raya atau sebagainya. Walaupun semua pelajar mengikuti kursus hubungan etnik, itu tidak cukup untuk membuka pandangan alam (world view) mereka tentang latar etnik lain yang mengamalkan budaya, bahasa dan agama yang berbeza dengan kita...untuk membina kesepaduan etnik, semua pelajar kena lalui pengalaman tersebut, bukan setakat tahu maklumatdi dalam dewan kuliah sahaja..

Bila Pelajar Malu Tidak Bertempat, Mereka Pasti Akan Jauh Tertinggal...


Saya masih ingat sekitar bulan September 2003, Kolej Rahim Kajai UKM pernah menganjurkan satu seminar yang agak unik di Dewan Anuwar Mahmud bertajuk "Malu di kalangan Orang Melayu". Itulah kali terakhir seminar seumpama itu diadakan di UKM, dan saya juga tidak pernah mendengar diadakan seminar sedemikian di mana mana IPTA yang lain juga selepas itu.

Pada saya seminar seperti itu sangat penting, bukan sahaja untuk memahami sifat dan budaya malu di kalangan masyarakat Melayu (khususnya pelajar Melayu), tetapi juga mencari jalan bagaimana pelajar Melayu dapat dididik menghilangkan sifat malu tidak bertempat dan meningkatkan keyakinan diri yang rendah.


Kita kena bezakan antara budaya malu tak bertempat dengan budaya malu yang baik.  Budaya malu tak bertempat biasanya  membawa kita kepada kelemahan akal, kelesuan jiwa berjuang, dan ketidakupayaan bersaing antara satu sama lain, lebih lebih lagi bersaing dengan diri sendiri.  Manakala  budaya malu yang baik, misalnya rasa malu untuk melakukan maksiat, malu menunjukan kesombongan dan riak, malu menfitnah orang lain. Budaya malu jenis baik ini tidak tergolong dalam apa yang ingin saya bincangkan.

Jika ada pelajar bukan Melayu (Tiong Hua dan India) yang membaca blog ini, jangan beranggapan seolah saya bersifat perkauman, kerana pada pelajar bukan Melayu di UKM yang kenal saya, mereka tahu bagaimana pandangan saya yang tidak membezakan pelajar pelajar saya mengikut etnik dan kaum.

Tetapi untuk kali ini izinkan saya hanya menyentuh tentang pelajar Melayu dan sifat malu mereka. Saya juga pasti tidak semua pelajar Melayu yang tergolong dalam apa yang akan saya sentuh nanti, ramai juga yang berkualiti sifat berani dan keyakinan diri mereka. malah ada yang sudah keluar dari kepompong budaya malu tak bertempat ini sama sekali.

Sejarahnya, orang Melayu memang satu bangsa yang hebat. Walaupun tamadunnnya tidaklah setua Tamadun China atau India, tetapi sejarah membuktiklan bangsa Melayu berjaya menjadi salah satu bangsa yang terkenal di dunia, khususnya di dunia sebelah timur. Kekuasaannya di laut terserlah, kekuasaan ekonomi juga hebat. Maknanya bangsa Melayu sebagai sebuah bangsa yang hebat telah wujud sekian lama.

Malangnya kerana sifat sifat yang tidak dinamik, kehebatan ini semakin hari semakin mengecil dan akhirnya ditelan zaman. Dan sifat sifat tidak dinamik seperti perasaan malu yang keterlaluan, sangat merendah diri, tidak yakin dengan kemampuan diri adalah antara sifat sifat dalaman Melayu yang dikenal pasti membawa kepada kelemahan ini sejak berkurun kuran lamanya. Guru saya, Allahyarham Datuk Prof Syed Hussein banyak meneliti perkara ini dan menulis di dalam beberapa makalah beliau yang boleh kita baca dan selidiki.

Dalam masyarakat Melayu yang beragama Islam, kita sangat terikat dengan maksud malu yang telah bersepadu antara malu yang dianjurkan oleh agama dengan malu yang dianjurkan oleh adat. Kadangkala antara keduanya tidak ada kena mengena pun. Misalnya, kita sejak kecil diajarkan semasa makan jangan bercakap, sedangkan kita semua tahu waktu berkualiti bersama keluarga ialah ketika semua ahli keluarga berada di meja makan. Ketika kita menjamu selera, fikiran kita biasanya lebih terbuka (berbanding kita sedang sibuk bekerja) untuk berbual bual dengan ahli keluarga yang lain.

Malangnya kerana sejak kecil orang Melayu sangat teguh memegang adat jangan bercakap cakap semasa makan, kualiti masa untuk eratkan hubungan kekeluargaan diabaikan begitu sahaja. Semuanya menjadi sunyi di meja makan. Sedangkan berbual, memulakan perbualan dan kemahiran berkomunikasi perlukan latihan sejak kecil. Apakah Islam melarang kita bercakap semasa makan (dengan percakapan yang beradab)? Setakat ini saya tak jumpa pun larangan sedemikian dalam Islam. Ini adalah adat lama semata mata.

Budaya orang Melayu juga melarang anak anak menyampuk ketika orang tua berbual bual. Sedangkan jika kita inginkan anak anak mahir bersosial dengan semua lapisan orang, anak anak ini harus diberikan peluang untuk 'menyampuk' dengan sopan ketika orang tua berbual bual. Mulanya memang sukar, lama kelamaan bila anak anak ini sudah mahir berinteraksi dengan orang tua, akan kelihatan kebolehan komunikasinya.

Pada saya, jika acap kali anak anak dimarahi dan dilarang keras menyampuk, kononnya biadap, sampai bila bila pun anak anak Melayu tidak akan ada kemahiran berinteraksi dengan orang yang lebih tua daripadanya. jangan terkejut kerana budaya ini jugalah, sebahagian pelajar Melayu lebih suka mendiamkan diri dalam kelas tutorial, dan hanya "membuka mulut" bila diminta berbuat demikian! bagaimana agaknya mereka berupaya untuk menghadapi panel temuduga di waktu mencari pekerjaan kelak?

Pernah dengar peribahasa Melayu yang berbunyi "rezeki secupak tak kan jadi segantang"? Yang bermaksud kejayaan atau pencapaian tidak akan berlaku, cukuplah dengan apa yang ada. Budaya "cukuplah apa yang ada" ini sangat kuat mengungguli budaya orang Melayu. Malah saya perhatikan masih kuat terbenam dalam pemikiran dan jiwa pelajar Melayu UKM. Sikap tidak apa atau "cukuplah apa yang ada" bukan sahaja dalam kondisi mereka ketika belajar atau ketika mereka mencari bahan rujukan di PTSL, atau juga ketika berjumpa dengan pensyarah tetapi ada juga dalam penganjuran projek.

Jika anda pelajar Melayu, cuba tanya diri anda sendiri, berapa kali anda belajar secara konsisten dalam satu hari? 7 jam? 5 jam? 3 jam? atau hanya belajar 'disaat saat terakhir sebelum peperiksaan? Bila saya sebut belajar, maknanya saya maksudnya belajar yang benar benar belajar secara tekun dan berkesan. Berapa jam anda belajar setekun tekunnya dalam satu hari? Jika kurang satu jam sehari, sebenarnya tanpa anda sedar budaya "rezeki secupak tak kan jadi segantang" sedang berakar umbi dalam cara hidup anda.

Boleh juga tanyakan diri anda sendiri sudah berapa kali anda berjumpa pensyarah semester ini, ketika mana cuti separuh semester sudah hampir tiba? Saya tahu ada pelajar bukan Melayu yang setiap minggu berjumpa pensyarah untuk mendapat bimbingan dan nasihat akademik, dengan senarai buku yang telah dirujuk sudah ada ditangan mereka. Saya juga tahu ada segelintir pelajar Melayu melakukan perkara yang sama, tetapi jumlah sangat kecil sekali.

Pelajar Melayu selalu diberikan "stereotyping" kerana kualiti kerja mereka bersifat "asal jadi". Maksudnya kualiti kerja akhir bukan satu persoalan yang ditekankan dalam pemikiran mereka. Sekali lagi saya katakan bukan semua begini. Ada yang bagus dan berkualiti tetapi jumlahnya terlalu kecil sekali. Pelajar bukan Melayu juga ada yang bersikap kerja 'asal jadi', tetapi jumlahnya juga sangat kecil. Lebih ramai bukan Melayu yang tidak sebegitu.

Kalau saya katakan mengapa English Speaking Zone kurang berjaya di kolej kolej kediaman UKM, jawabnya selagi budaya Melayu malu tidak bertempat kukuh dalam budaya dan pemikiran pelajar Melayu, selagi itulah sukar untuk dijayakan. Begitu juga dengan progarm keusahawanan pelajar dalam kampus UKM ini. Selagi budaya malu tidak bertempat ini tidak dibuang jauh jauh, anjurkanlah apa juga program, pasti sukar dijayakan.

Mereka biasanya malu untuk berlatih bertutur dalam bahasa Inggeris sesama rakan, kononnya takut tersilap dan diketawakan orang, begitu juga mereka sangat malu untuk memulakan perniagaan, alasannya takut rugi! Banyak peluang dalam hidup hilang kerana budaya malu tak bertempat ini kukuh dalam hidup seseorang pelajar.

Jika kita membaca tulisan Syed Husein Al Attas, The Myth of The Lazy Native, kita akan berjumpa sifat sifat ini dalam karya tulisan beliau. Begitu juga bila kita membaca tulisan Syed Husin Ali yang bertajuk "The Malays: Their Problems and Future". Juga buku kontroversi karya Tun Mahathir Mohammad yang berjudul  "Malay Dilemma" yang sarat dengan kritikan terhadap budaya Melayu yang merugikan masa depan bangsanya.

Malah para orientalis barat seperti Frank Swettenham, Skinner, R.O Winstead dan Wilkinson juga telah menulis tentang budaya buruk orang Melayu yang jika dibiarkan akan melemahkan bangsa Melayu sedikit demi sedikit.

Kisah orang Melayu yang taksub pada tahyul dan kuasa ghaib, kisah orang Melayu yang suka mengadai dan menjual tanah dan emas untuk keuntungan yang cepat, kisah orang Melayu yang malas bekerja tetapi suka berpolitik (bercakap soal soal yang besar), begitu juga dengan sikap orang Melayu yang suka mengampu dan "membawa mulut"yang dimulakan oleh dari amalan feudalisme.

Jika kita selesai membaca semua tulisan tulisan ini, kita akan sampai kepada satu kesimpulan, orang Melayu sebenarnya satu jenis manusia yang sukakan sesuatu keuntungan dengan cepat, mereka juga tidak sabar dan tidak mahu melihat jauh ke depan. Tetapi mereka juga tidak suka ditipu, diperbodohkan dan dipinggirkan. Nanti 'amuk' pula mengambil tempat. Itulah sifat Melayu, walaupun benar ada juga Melayu yang berkualiti dan bagus.

Bila ada orang lain yang sudah mengkaji dan berjaya memahami kelemahan Melayu, pasti Melayu akan semakin  sukar mempertahankan bangsa mereka lagi. Lihat angka angka ini sebagai contoh, sebelum tahun 1970, ekuiti orang Melayu di Malaysia hanya sekitar  1% sahaja. Selebihnya dikuasai oleh orang Inggeris dan bukan Melayu. Pada tahun 1990, ekuiti orang Melayu meningkat kepada 18%, walaupun penduduk Melayu di Malaysia ialah 60%, manakala pemilikan ekuiti bukan Melayu pada tahun 1990 ialah 82%, walaupun peratus penduduk bukan Melayu di Malaysia hanya sekitar 40% sahaja.(22% Cina, 11% India dan lain lain (7%).

Saya sebutkan hal ini supaya pelajar Melayu UKM segera sedar akan tangungjawab mereka membangunkan bangsa mereka sendiri. Pada masa yang sama, mereka harus tetap menjaga dan memelihara kesefahaman dan hak bangsa bangsa lain di Malaysia.

Perkara pertama yang mesti mereka lakukan ialah segera keluar dari rasa malu yang tak bertempat, bangunkan segera keupayaan berkomunikasi, mesti banyak membaca, mesti selalu berjumpa para pensyarah untuk mendapat bimbingan akademik, harus belajar secara konsisten dari awal semester, mesti siapkan semua assingment secara bersungguh sungguh dan berkualiti. Jika ini dapat dilakukan, anda sedang berada di separuh kejayaan.

Separuh lagi datang dari membangunkan bahasa Inggeris/Arab, membina kepimpinan diri yang terserlah, bijak menguruskan masa dan tahu membezakan yang buruk dengan yang salah. Dan tentunya juga semakin hari pelajar Melayu harus terus menerus menguatkan amal ibadah...khususnya solat..

Mahasiswa UKM, jangan malu malu tak bertempat lagi mulai hari ini...


25 March, 2013

Kemudahan Kolej Kediaman Yang Saya Impikan di IZISH..

Apabila dilantik sebagai pengetua IZISH, saya mempunyai beberapa impian dan rancangan berkaitan kemudahan pelajar di kolej ini. Ada yang telah dijayakan tetapi malangnya tidak bertahan lama kerana wujudnya budaya vandalisme di kalangan pelajar, ada juga yang saya masih cuba jayakan secara perlahan lahan dengan kerjasama dan kelulusan pihak unit UKM yang lain kerana usaha menjayakannya di luar bidang kuasa sebagai pengetua kolej, ada yang agak sukar kerana kos menjayakannya yang tinggi. 

Pada masa yang sama, kita juga harus faham peruntukan universiti yang terhad juga tidak memungkinkan impian ini dijayakan sepenuhnya. Malah dengan yuran penginapan kolej di UKM antara yang terendah di kalangan IPTA pasti tidak memungkinkan semua impian ini terlaksana. Mana mungkin dengan yuran penginapan sekitar RM 4.00 sehari (termasuk air dan elektrik), impian seperti ini mudah dicapai. 

Apapun, tidak ada salahnya untuk saya kongsi impian saya dengan pelajar pelajar khususnya di IZISH. Mana tahu, anda punyai idea yang lebih baik bagaimana untuk menjayakannya yang saya tidak nampak. Atau sekurang kurangnya perkongsian ini memberikan ruang untuk saya menyatakan harapan dan aspirasi saya... untuk diketahui oleh pelajar pelajar sekalian..


Saya mengimpikan setiap bilik penginapan pelajar yang ceria, bersih dan teratur. Pada saya ini sangat penting untuk meningkatkan mood pelajar untuk belajar dan berehat di dalam bilik mereka. Kajian berkaitan pengaruh persekitaran terhadap pendididikan membuktikan lebih ramai pelajar yang berada di dalam ruang penginapan yang berkualiti berpeluang mencapai prestasi akademik yang lebih tinggi. Mereka juga cenderung menjadi seorang yang periang, ceria dan mempunyai tahap yakin diri yang lebih tinggi.
Saya juga mengimpikan kemudahan tandas untuk pelajar yang sentiasa bersih, wangi dan kemas. Ini juga menjadi satu elemen yang penting dalam kehidupan pelajar di kolej kediaman. Oleh kerana tandas kolej digunakan 24/7, tahap penjagaan dan pencucian tandas jauh lebih mencabar berbanding tandas di fakulti yang biasanya digunakan pada waktu pejabat. Ini memerlukan kos naiktaraf yang besar. 
Impian ini saya sudah mulakan. Kolej Antarabangsa Ibu Zain merupakan satu satunya kolej di UKM yang telah menyediakan bilik pantri di setiap blok kediaman pelajar. Penyediaan ruang pantri dengan kemudahan microwave, kettle (cerek eletrik) dan peti ais pasti akan meningkatkan kualiti hidup mahasiswa. Bagaimanapun budaya 'vandalisme' yang masih wujud di kalangan pelajar menyukarkan pihak kolej mengekalkan kemudahan ini di tahap yang terbaik sepanjang masa.
Kemudahan ini pada asasnya telah bermula. Perkhidmatan mesin basuh merupakan kemudahan asas yang snagat diperlukan oleh pelajar UKM. Malah IZISH  juga pada masa hadapan ingin menyediakan kemudahan sterika (iron) untuk para pelajar. Ini merupakan satu perancangan jangka pendek yang akan dilakukan bila ada peruntukan tambahan untuk pihak kolej.

Satu lagi impian saya ialah menyediakan kemudahan bilik rehat di kolej kediaman yang dilengkapkan dengan penghawa dingin. Suasana yang selesa akan meningkatkan keberkesanan pembelajaran. Ruang seperti ini juga sesuai untuk tujuan perbincangan atau belajar secara berkumpulan.
Bilik Rehat Impian saya di setiap blok pelajar.
Bilik Rehat Impian saya untuk Pelajar IZISH


Salah satu impian saya sejak dulu untuk IZISH ialah membina sebuah bilik rehat pelajar (common room) . Ruang untuk pelajar berehat, bermain permainan indoor atau ruang untuk pelajar berbual dan bersosial sesama mereka. 

Tentunya Majlis Eksekutif Pelajar dan Presiden kelab di kolej kediaman memerlukan ruang mesyuarat yang kondusif untuk merancang dan menyelaras aktiviti pelajar kolej.
Bilik perbincangan untuk digunakan secara terbuka untuk semua pelajar kolej kediaman.  
Satu lagi impian besar saya. Menyediakan sebuah cafetaria yang ceria pada pelajar.  Bagaimanapun, ini bukanlah dibawah bidang kuasa pengetua kolej untuk menjayakannya. Begitu juga sukar mencari pengusaha kafetaria yang sanggup membuat pelaburan untuk menyediakan ruang yang sebaik ini untuk kolej kolej kediaman UKM. Perlua ada pendekatan baru untuk menjayakan impian ini. Kefetaria yang menawarkan kepelbagaian jenis makanan, dari tempatan, makanan Cina yang halal, makanan India, Arab dan makanan Barat.

Makanan Tempatan
Kepelbagaian Makanan Cina (Yang Halal)

Makanan Timur Tengah


Impian saya juga menyediakan Kemudahan Kedai Serbanika Mini yang lengkap di kolej IZISH UKM

Semoga akan wujud persekitaran IZISH yang tenang seperti ini..


Lanskap Kolej yang menenangkan seperti ini juga satu lagi impian besar saya. Bagaimanapun ini memerlukan peruntukan yang besar untuk menjayakannya.


IZISH pada tahun 2003, telah menyediakan kemudahan gimnasium. tempatnya telah digantikan dengan bilik G-NET sekarang. Punca tidak diteruskan kerana apabila pengurusan gim ini diserahkan pada kelab pelajar untuk diuruskan, sedikit demi sedikit barangan gim hilang dan rosak kerana tidak dijaga dengan baik. Ini satu isu yang menyukarkan  kemudahan yang mahal ini disediakan di kolej kediaman UKM.


Paling akhir, impian terbesar saya ialah mewujudkan sebuah IZISH ARENA di lobi kolej sekarang. Ruang utama kolej yang menjadi centre kepada aktiviti dan student life di IZISH. Kos yang tinggi menyebabkan impian ini masih tinggal impian. Tetapi masih ingin mencuba berdikit dikit mencapainya..biarpun masa yang diperlukan lebih lama.


Betul, ini semua hanya satu impian, hanya satu keinginan dan hanya satu harapan. Tetapi dengan impian inilah saya selalunya akan terus bergerak ke depan. Dengan keinginan inilah juga saya berusaha sedikit demi sedikit dan sentiasa ingin mencapainya. Jika tidak hari ini, atau jika tidak bulan atau tahun depan...ia tetap satu harapan murni demi pelajar dan impian ini telah akan terus terbayang di minda saya...saya benar benar menginginkannya....





24 March, 2013

Bakal Graduan UKM: Sudahkah Anda Bersedia?

Pada 2004, ketika Pusat Perkembangan Mahasiswa masih wujud di UKM, (kemudiannya namanya ditukar menjadi PPP(bermula 2007) dan sekarang menjadi PAP(bermula 2011), saya berpeluang terlibat bila telah dilantik sebagai salah seorang felo pembangunan pelajar di pusat tersebut.

Ketika itu pengarahnya ialah Allahyarham Profesor Madya Dr Aminuddin Yusuf (mantan Pengetua Kolej Ibu Zain), kemudianya PPM diketuai pula Profesor Dr. Zaidi Md Isa (sekarang Prof Zaidi telah berpencen dan menetap di Nilai). Sempat juga selepas beliau berpencen, saya beberapa kali menziarahi beliau dan melihat hobi barunya membina taman di persekitaran rumah barunya.

Sebagai felo pembangunan pelajar, saya terlibat sepenuhnya menjayakan program untuk pelajar tahun akhir yang kami kenalkan sebagai "Program Kemasan Diri" (PKD) khusus untuk pelajar tahun akhir. Oleh kerana program ini wajib untuk pelajar tahun akhir, beberapa siri program ini telah diadakan untuk memberi peluang kepada 4,000 pelajar tahun akhir ketika itu. Setiap siri, sekitar 200 orang akan terlibat selama dua hari.

Tiga komponen utama ditekankan sepanjang PKD dijalankan. Pertama, pelajar tahun akhir diberikan pendedahan tentang pasaran kerja. Biasanya 5 pengarah sumber manusia syarikat multinasional dan GLCdan 3 wakil kementerian dijemput sebagai panel untuk berkongsi maklumat serta tips pada setiap sesi bersama graduan UKM. Saya masih ingat pengarah atau pegawai kanan sumber manusia dari SAPURA, TNB, CELCOM, MMC, GAMUDA, Ernest &Young dan beberapa syarikat lain telah turut serta. (sehingga sekarang beberapa daripada mereka masih berhubung baik dengan saya, ada antaranya telah menjadi kawan golf saya).

Banyak maklumat yang dikongsikan oleh mereka dengan pelajar tahun akhir UKM, maklumat yang kebanyakannya tidak pelajar boleh perolehi di dalam dewan kuliah. Pengarah dan pegawai sumber manusia jabatan dan kementerian kerajaan juga dijemput berkongsi maklumat, khususnya jabatan di bawah Kementerian Sains dan Teknologi, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perusahaan Utama.

Komponen kedua, ialah  program kemasan diri. beberapa panel yang terdiri dari persornaliti yang berkaiatan dengan 'grooming' dijemput berkongsi apakah yang "do's and dont's" apabila calon dipanggil ke bilik temuduga. Ruapanya ada beberapa perbezaan atau tips ke bilik temuduga syarikat dan ke bilik temuduga oleh kementerian atau jabatan kerajaan. Bukan saja bengkel 'grooming' ini diberikan secara teori, pelajar juga akan melalui 'mock interview' pada setiap siri PKD, dan lebih menarik mereka diberikan 'band' atau rating oleh para konsultan yang menemuduga mereka.

Rating ini merujuk kepada tahap komunikasi, penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris, etika dan kemahiran sosial, gaya dan pemakaian, gerak bahasa badan dan tahap pengetahuan berkaitan isu semasa. Selepas pelajar keluar dari bilik 'mock interview', mereka akan diberikan slip keputusan. Ini membantu mereka meningkatkan kemahiran kemahiran yang disifatkan masih lemah.

Komponen ketiga ialah sesi penyediaan CV atau resume untuk setiap peserta. Selesai bengkel ini, setiap pelajar tahun akhir akan mempunyai satu dokumen CV yang lengkap, "up to date" serta menarik sekali. Malah ada juga yang kemudiannya diformatkan dalam bentuk resume CD. Pelajar dibimbing untuk membina CV yang menonjolkan kekuatan mereka.

Kepada peserta yang selesai mengikuti program PKD, pihak Pusat pembangunan mahasiawa menganjurkan pula lawatan ke syarikat syarikat yang menyertai program PKD. Selain lawatan, para peserta yang telah bersedia ini juga akan sentiasa dihubungi oleh pihak kakitangan PPM untuk hadir ke sesi temuduga sebenar yang dilakukan oleh syarikat syarikat berkenaan.

Itu dulu, hari ini cabaran mendapat pekerjaan jauh lebih mencabar. sesiapa yang lebih bersedia, lebih berupaya dan lebih berkebolehan akan mempunyai lebih peluang untuk segera diserap di pasaran pekerjaan. harapnya semua pelajar UKM akan memperolehi rezeki yang murah..berkat doa, usaha dan potensi yang telah pelajar UKM tunjukkan. Bakal graduan UKM...Sudah bersediakah anda?

23 March, 2013

Lima Soalan Buat Pelajar Tahun Akhir UKM...

Kurang 65 hari dari sekarang, sesi 2012-2013 akan tamat. Bagi pelajar tahun akhir, ini adalah minggu-minggu terakhir mereka berada di kampus UKM. Ini juga adalah minggu-minggu terakhir mereka bergelar mahasiswa UKM. Ternyata masa berlalu dengan begitu cepat sekali. Buat pelajar tahun akhir, tanyalah diri anda, betul atau tidak masa berlalu begitu cepat sekali. Anda tentu masa ingat dengan jelas saat saat anda melalui Minggu Mesra pelajar di tahun satu dulu. Semuanya seperti baru saja berlalu...

Dengan masa yang tinggal ini, tentu anda juga harus melihat masa depan anda selepas bergraduan nanti. Apakah yang telah anda bina sepanjang di UKM untuk bergelar seorang graduan. Saya kemukakan lima soalan yang mungkin boleh anda renungkan tentang pencapaian anda sepanjang anda di UKM;

  1. Apakah anda telah mencapai keputusan akademik yang membanggakan ibubapa anda, keluarga dan diri anda sendiri. Apakah PNGK terakhir yang akan anda perolehi sebelum bergraduan nanti? 4.00, 3.50, 3.00 atau di bawah 2.50? Apakah anda rasa pencapaian anda berbaloi dengan kesungguhan anda belajar? Apakah anda sebenarnya boleh mencapai keputusan yang lebih baik dari itu? Apakah anda menyesal dan kecewa dengan prestasi akademik anda? Bagaimana dengan keputusan rakan rakan anda? Siapa yang cemerlang di kalangan mereka? Mengapa mereka dan bukan anda?
  2. Apakah anda telah menguasai sekurang kurangnya dua bahasa dengan berkesan sekali? Apakah bahasa Melayu anda baik dan menyakinkan? Bagaimana dengan prestasi bahasa Inggeris anda? Bagi pelajar FPI, bagaimana dengan penguasaan Bahasa Arab anda? Apakah penguasaan bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau bahasa Arab anda akan membezakan keupayaan dengan dengan rakan rakan yang lain. Lihat di sekeliling anda, siapakah antara rakan anda yang dulunya  ketika masuk ke UKM langsung tidak mampu bertutur dalam bahasa Inggeris atau Arab tetapi sekarang sudah boleh bertutur dan menulis dengan baik dalam bahasa berkenaan? Apakah anda menyesal kerana tidak berusaha menguasai bahasa ini dulu? Apakah anda yakin untuk hadir ke temuduga memndapat pekerjaan nanti yang hampir kesemua sesi temuduga akan diadakan dalam bahasa Inggeris (sektor kerajaan dan swasta)? bagaimana anda boleh bersaing untuk mendapat pekerjaan yang sangat anda inginkan? Atau anda terpaksa menganggur setahun dua selepas graduan kerana anda tidak mahir bahasa Inggeris?
  3. Bagaimana dengan pengalaman beraktiviti anda? Berapa jawatan tinggi dalam persatuan atau projek yang anda pegang semasa di UKM. Atau anda sekadar 'pengangkat kerusi meja' sepanjang terlibat dengan aktiviti di UKM. Berapa pula anugerah kecemerlangan UKM yang telah anda perolehi, bukan untuk berbangga tetapi sebagai bukti kebolehan anda? Lihat di sekeliling anda, apakah ada rakan rakan anda yang telah mewakili UKM atau negara sebagai ahli debat, kesenian, sukan atau sebagainya. Apakah ada rakan rakan anda yang telah terlibat dalam program antarabangsa atau program mobiliti ke luar negara. Agaknya bila di bilik temuduga nanti apakah cerita hebat yang ingin anda kongsikan dengan panel penemuduga anda? 
  4. Berapakah orang yang telah anda kenal yang menjadi 'jaringan bidang' anda di sektor pekerjaan. Siapakah mereka? Adakah mereka pengarah syarikat GLC, pengarah sumber manusia syarikat syarikat multi nasional atau pegawai sumber manusia di jabatan kerajaan? Atau anda masih tidak ada sesiapapun yang anda telah bina 'networking'. Jika anda lihat sekeliling, pasti ada di kalangan rakan rakan tahun akhir yang telah mempunyai senarai networking atau 'jaringan bidang' yang telah mengenali rakan rakan anda apabila mereka masuk ke bilik untuk di temuduga nanti.
  5. Soalan terakhir mungkin tidak ada kena mengena dengan pekerjaan. Tetapi lebih besar dari itu. Apakah setelah bertahun berada di UKM, anda rasa anda telah menjadi insan yang lebih baik dari sebelum anda masuk ke UKM. Apakah solat anda lebih teratur sekarang? Apakah nilai hidup anda (sabar, mesra dengan semua orang, berbaik sangka etc) lebih mengembirakan anda sekarang? Apakah di tahun akhir ini, pengurusan masa anda lebih baik? Dan mungkin yang terakhir, seingat anda apakah anda pernah melalui pengalaman beraktiviti yang secara langsung membantu insan lain yang dalam kesusahan? dan yang paling besar sekali, secara ikhlas apakah anda rasa anda telah melakukan yang terbaik dalam semua hal sepanjang berada di UKM?
Sekali imbas, semua soalan ini mudah untuk anda jawab. Tetapi jika anda ambil sedikit masa dan merenung apakah jawapan anda benar benar jujur, anda pasti akan rasa kegelisahan. Rasa seba salah, lebih lebih lagi pada yang tidak melakukan yang terbaik sepanjang pengajian di UKM. Mungkin anda sedar kini anda telah terlalu terleka, terleka dengan kesibukan berpolitik (terpana dengan populariti, pujian dan jiwa yang ingin berjuang), atau terleka kerana sibuk bercinta, terleka dengan sikap tidak bersungguh sungguh dalam belajar dan lebih suka bermain main (termasuk membuang masa yang keterlaluan di internet). Atau apakah anda juga sebenarnya telah tersalah pilih kawan kawan? 

Apapun masa yang tinggal sudah terlalu singkat untuk anda. Dalam tempoh kurang 10 minggu sebelum sesi ini tamat, anda tentu akan sangat sibuk menyelesaikan projek akademik, sibuk dengan tugasan dan sebagainya. Masa untuk memperbaiki hal hal yang lain mungkin sudah sempit sekali. Jika pun ingin diperbaiki, tentulah tidak sama jika anda mulakan sejak di tahun satu dahulu. Anda masih boleh mencuba dan berusaha. Mulalah kuasai bahasa Inggeris, mulalah kenali jaringan atau 'network' anda dan sebagainya.

Jika di tahun satu dulu anda menentukan apa yang ingin anda lakukan, kini masa yang akan menentukan... 

22 March, 2013

Politik Bangkrap dan Politik Nilai: Bersediakah Mahasiswa UKM?

AUKU telah dipinda pada 2012. Satu langkah berani oleh kerajaan dibawah kepimpinan DS Najib. AUKU sebenarnya satu akta yang besar dan menyeluruh berkaitan pengajian tinggi. Tanpa AUKU, maka tidak boleh berlaku penubuhan universiti dan kolej di Malaysia seperti hari ini. AUKU adalah kerangka undang undang yang menguruskan keseluruhannya tentang universiti, kolej dan pusat pengajian tinggi. Dari hal pengurusan tertinggi universiti, kenaikan pangkat, governance universiti, bidang pengajian, penubuhan fakulti hinggalah soal kebajikan pelajar, penubuhan kesatuan pelajar (termasuklah MPP universiti) dan sebagainya.

Tetapi saya melihat pelajar secara keseluruhannya tidak begitu faham soal soal tersebut. Segelintir pelajar yang berminat dengan politik akan mengambil sedikit usaha memahami AUKU dalam konteks seksyen 15 yang mengutarakan soal kegiatan pelajar di universiti dalam kaitannya dengan politik. Itu sahaja.

Maka perjuangan berkaitan AUKU telah disempitkan kepada soal perjuangan memansuhkan Seksyen 15 AUKU, subseksyen 15(a), 15(b) dan 15(c). Akhirnya pindaan seksyen 15 telah dilakukan oleh Parlimen Malaysia dengan membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik negara sepenuhnya dengan syarat tidak membawa masuk kegiatan politik tersebut di dalam kampus. Nampaknya mahasiswa gembira dengan pindaan ini dan sedang menunggu nunggu untuk mempraktikkanya dalam PRU13 yang akan datang tidak lama lagi.

Pindaan AUKU secara jelas telah membenarkan mahasiswa berpolitik. Kerajaan yang memerintah pada hari ini telah bertindak bijak dengan keputusan ini. Persoalannya adakah mahasiswa juga bijak memposisikan diri mereka dalam situsai politik sebagai pemimpin masa depan untuk negara, bukan sekadar menjadi alat politikus luar yang tidak sabar sabar akan 'mengguna dan memperalatkan' semangat mahasiswa untuk survival politik mereka.

Masyarakat (melalui parlimen) telah memperakukan bahawa mahasiswa boleh berpolitik dan aktif dalam kegiatan politik mereka. Soalnya mampukah mahasiswa menangani perakuan ini dengan menjadi satu kumpulan 'pemimpin pelapis' kepimpinan negara yang mempunyai idealisme tersendiri dalam perjuangan mereka. Jika mereka menjadi penyokong UMNO-PAS-PKR-DAP atau apa juga parti politik, mampukan mereka menjadi penggerak kepada idealisme politik yang murni dan bermoral dalam parti berkenaan? Atau apakah mahasiswa akhirnya tidak lebih semata mata menjadi 'macai-macai politik' (menggunakan istilah bahasa pasar mahasiswa).

Apakah mahasiswa mampu berdiri bersama dalam arus partisan politik dan berkata, walaupun kami mahasiswa memberikan sokongan pada parti politik yang berbeza, kami sebagai mahasiswa yang menjadi pelapis kepimpinan negara menolak sama sekali budaya politik bangkrap yang menggunakan isu perkauman dan agama dalam berpolitik! Saya fikir jika mahasiswa tidak mampu bersatu (tanpa mengira apa juga parti yang mereka sokong) untuk menolak budaya politik bangkrap ini, AUKU yang dipinda tidak memberikan manafaat kepada mahasiswa yang berpolitik.

Jika mahasiswa masih menjadi pendukung dan pewaris kepada budaya politik sempit yang menggunakan agama, kaum, mengamalkan politik menghina, mengeji dan menfitnah sesama manusia, perakuan AUKU yang membenarkan mahasiswa berpolitik tidak memberikan sebarang kebaikan.

Mahasiswa tanpa mengira apa juga parti politik yang mereka sokong (atau yang di atas pagar sekalipun) harus menjadi tenaga yang menolak politik bangkrap dan memperjuangkan politik nilai. Mereka harus membangunkan politik berteraskan ilmu, dengan membuka kepada budaya diskusi, hujah dan debat untuk mendapatkan sokongan dan populariti politik. Mahasiswa harus menolak budaya menggunakan "ketakutan dan ketaksuban" dalam mendapat sokongan politik. Saya fikir inilah asas kepada pindaan AUKU dan mengapa mahasiswa perlu terlibat dalam politik negara.

Kita tentu tidak dapat memberikan amanah meningkatkan kualiti politik nilai berteraskan ilmu untuk dipikul oleh anak muda di kampung atau sebagainya. Bukan mereka tidak bijak tetapi amanah ini lebih tuntas dipikul oleh para mahasiswa di universiti. Jika tidak, apa maknanya mahasiswa berada di menara gading menikmati segala macam kemudahan menyerap ilmu ilmu baru dan lama untuk membangunkan negara dan masyarakat pada masa depan.

Sebab itu saya mendoakan supaya di kalangan kepimpinan mahasiswa universiti, mereka mesti selalu meletakkan amalan politik nilai sebagai asas dalam mereka berpolitik dalam kampus. Mereka harus membina model politik nilai untuk dilihat dan difahami oleh mahasiswa yang lain. Mereka harus dapat memposisikan diri mereka dengan menunjukkan contoh apakah itu politik nilai dan pemikiran politik baru yang berteraskan nilai murni kepada masyarakat luar kampus dan pada yang sama bersatu berjuang menolak politik bangkrap.

Di UKM, budaya politi nilai ini seperti baru ingin bermula. Bila bila masa jika tidak diperkukuhkan akan hilang begitu sahaja. Budaya mengucapkan tahniah di atas kejayaan 'parti lawan' menganjurkan program, budaya berdiskusi dan berdebat untuk meningkatkan kefahaman warga kampus, budaya menolak perkataan perkataan yang kotor, jijik, fitnah dan mengeji orang lain, menyokong budaya memupuk keilmuan dan turut hadir majlis anjuran lawan politik mesti diamalkan.

Sebab itu saya menolak budaya anti surat khabar. Satu tindakan yang sangat tidak bijak bila mahasiswa bersetuju dengan ungkapan 'jangan baca Utusan Malaysia, atau jangan tonton berita TV3, semata mata tidak bersetuju dengan sesebuah parti. Begitu juga saya akan mengegleng kepala jika ada ungkapan jangan baca Harakah dan sebagainya semata matanya tidak bersetuju dengan parti yang terbitkan Harakah. Maklumat datang dari berbagai sumber. dari maklumat yang pelbagai, penaakulan kita membina ilmu.

Bacalah sejarah bagaimana perkembangan ilmu dari tamadun Islam beralih ke barat selepas empayar Fatimiah di Mesir, kerana kesediaan sarjana barat menelaah sumber sarjana Islam. Jika mereka menolak sumber semata mata kerana datang dari masyarakat Islam, pasti hari ini barat tidak mempelopori ilmu perubatan, falsafah dan astronomi sebagai mana hari ini.

Bacalah juga bagaimana sebelum perjuangan kaum Muda di awal abad ke 20 di Tanah Melayu yang dipelopori oleh Syed Sheikh Alhadi, Sheik Tahir Jallauddin, semasa pemikiran kaum tua begitu kuat menolak pemikiran dan sumber perubatan yang di bawa oleh pihak Barat, kononnya pemikiran itu pemikiran bukan Islam. Jika itulah pegangan kita sekarang, tentunya kemajuan kesihatan masyarakat kita masih lagi seperti masyarakat di Somalia, Sudan atau Uganda yang berpegang teguh kepada tradisi perubatan yang dibawa pawang dan dukun dalam masyarakat mereka.

Kita yang diberikan pendidikan harus mencari maklumat dari semua sumber, menaakul semua maklumat tersebut sehingga menjadi ilmu pengetahuan yang berguna kepada kita. Adalah satu "kebodohan' dalam diri kita, apabila kita menerima hujah menolak sumber maklumat kerana  bimbang kita akan dipengaruhi atau bimbang kita percaya bulat bulat sumber tersebut.

Saya anggap satu penghinaan yang besar kepada diri saya, jika ada orang yang berkata pada saya "jangan baca Utusan Malaysia, semua tu tak betul, atau yang berkata pada saya "jangan baca Harakah, semua tu tipu. Saya ada fikiran saya sendiri, saya tahu berfikir dan saya boleh membuat penilaian terbaik untuk diri saya. Saya juga harap semua mahasiswa juga begitulah.

Menghalang kita dari membaca apa yang perlu dibaca untuk mendapat maklumat yang pelbagai, semata mata takut kita terpenagruh, bukankah itu satu penghinaan kepada diri kita? Bodohlah kalau kita membuat anggapan bahawa orang yang sedang membaca Harakah itu pasti penyokong kuat PAS, atau yang membaca Utusan Malaysia itu penyokong tegar UMNO! Bila saya menulis di blog ini pun, saya tidak pernah anggap atau marah jika ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya. Itu hak dan kebijakan masing masing untuk menilai. Akal dan pemikiran yang baik adalah anugerah terhebat yang Allah swt berikan pada kita. Kerana akal kita mengenal Allah swt. Itu bezanya kita dan ciptaan yang lain. Bersyukur dan gunakanlah sebaik baiknya. Jangan sampai kita dipergunakan oleh orang lain. Tidak mengamalkan pemikiran yang bijak juga adalah satu pembaziran dan pengkhianatan kepada kurniaan Allah swt pada kita.

Pada saya setiap dari kepimpinan mahasiswa harus mengutarakan idea masing masing, kebijakan masing masing, iltizam dan usaha masing masing untuk memajukan masyarakat pelajar di kampus UKM. Jika 'GMUKM" menganjurkan diskusi "Real Politik: Apa kata Anda?" dan dipanelkan oleh wakil ASPIRASI untuk mengutarakan pandangannya, maka di pihak ASPIRASI juga boleh menganjurkan diskusi misalnya "Menganalisa Pencapaian Transformasi Kerajaan" Adakah Satu Real Politik? dengan menjemput wakil GMUKM pula sebagai ahli panel.

Politik adalah permainan seni mempengaruhi. Bukan kesudahan kepada sesuatu. Seorang ahli politik yang dapat membaca apa kehendak pengundinya, dan tahu bagaimana untuk memenuhi kehendak tersebut, pasti menang dalam permainan politik ini. Mahasiswa UKM menghormati pemimpin yang menyanjung tinggi budaya ilmu, mereka juga ingin pada pemimpin pelajar UKM yang secara konsisten memperjuangkan kebajikan mereka, mereka juga suka pada pemimpin politik yang berpolitik secara bermoral dan bernilai murni.

Pelajar UKM juga inginkan dan akan bangga dengan pemimpin pelajar yang kemas, bersih, bergaya secara sederhana, bijak bersosial, yakindiri yang tinggi serta mempunyai pengetahuan semasa yang mengkagumkan. Mereka juga ingin pemimpin mereka yang mempunyai misi dan visi yang jelas. Punyai perancangan tahunan yang kemas dan boleh dikongsi bersama.

Mereka juga harapkan pemimpin mereka merancang dan melaksanakan manifesto seperti yang dijanjikan. Bukan setakat menjadi 'broker' yang menyampaikan maklumat JPP, bahagian Akademik UKM dan Jppel kepada pelajar semata mata. mereka akan menolak pemimpin pelajar UKM yang menggunakan strategi menakut-nakutkan mereka atau cuba membina ketaksuban semata untuk mendapatkan sokongan. Maka  kepada para pemimpin pelajar UKM, fahamilah pengundi anda. Segera bina budaya politik nilai dan tolak budaya politik bangkrap di UKM. Siapa yang berjaya, dialah yang akan mendapat undi pelajar UKM...


20 March, 2013

Isu Kafetaria Di Kolej Kediaman UKM: Antara Untung Dan Rugi...

Ikutkan hati inilah gambaran yang diingini di setiap kafetaria dalam UKM. Cantik, bersih dengan pilihan makanan yang pelbagai. Kafetaria sepatutnya menjadi tempat pelajar bertemu, berbincang dan berbual dalam kampus UKM. Dengan kepelbagaian makanan yang menyelerakan, perkhidmatan wifi yang laju, tentu sahaja kehidupan pelajar di UKM akan lebih menyeronokkan.

Tetapi itu hanya bayangan sahaja. Tentu bukan mustahil untuk menjayakannya namun beberapa halangan besar perlu dirobohkan dahulu. Tidak mudah dilakukan dan jika mahu pasti ada jalannya.

Saya punyai pengalaman berpeluang berbual dengan ramai operator makanan yang menjalankan perniagaan di kafetaria UKM. Bukan dua atau tiga malah sudah berbelas orang di kalangan mereka yang masalah mereka telah saya dengar. Ada antaranya yang dah lama berhenti berniaga di UKM, ada yang akan berhenti, dan ada juga sedang dalam terfikir fikir antara ingin terus berniaga atau berhenti. Pada yang cekal dan bermodal agak besar, mereka nampaknya terus bertahan untuk beberapa ketika.

Semua mereka memberikan pandangan yang hampir sama. . Pada saya, mereka menghadapi tiga masalah besar dalam menjalankan perniagaan di UKM. Pertama, mereka biasanya membeli barangan mentah untuk dimasak dengan harga semasa di pasar borong. Mereka tidak mendapat diskaun dari pemborong semata mata kerana perniagaan ini adalah untuk pelajar. Harga pemborong tetap sama seperti biasa. Tetapi para operator makanan ini harus menjual makanan masak kepada pelajar UKM dengan harga yang lebih rendah berbanding harga di luar kampus.

Harga makanan yang terkawal di dalam kampus menyebabkan mereka tidak mampu bertahan lama untuk menanggung kos bahan mentah masakan yang selalu meningkat dengan cepat. Apa yang selalu mereka lakukan? Ada antara mereka terpaksa mengecilkan saiz lauk atau memasak sejenis lauk dalam kadar yang banyak. Menu mereka tidak berubah setiap hari. Ada pula yang terpaksa mengurangkan kakitangan untuk meminimakan kos. Mereka sudah tiada pilihan lain. Maka kesannya tentulah pada pelajar yang mendapat saiz ayam, ikan atau sebagainya yang jauh lebih kecil, juga perkhidmatan yang kurang sempurna, kerana kawalan harga yang telah ditetapkan oleh pihak universiti. Kita tidak berkompromi dalam hal ini. Kita memastikan harga mestilah lebih murah. Ini soala kebajikan pelajar. Tetapi, kesan buruknya pasti ada juga. Perkhidmatan dan kualiti makanan tidak dapat dipertingkatkan dengan harga yang murah.

Kedua, cuti pengajian menyebabkan mereka terpaksa menutup perniagaan kafetaria sepenuhnya. Dalam setahun, para operator kafetaria hanya menjalankan kafetaria sekitar 8 bulan sahaja perniagaan mereka di kampus. Manakala empat bulan lagi ialah cuti semester dan cuti sesi. Selain itu ada juga cuti perayaan yang panjang (dalam seminggu). Malah jualan di hujung minggu juga jatuh merudum kerana ramai pelajar pulang ke rumah atau pulang ke kampung. Ada juga yang 'outing' ke Kuala Lumpur sepanjang hujung minggu. Walaupun perniagaan di tutup kerana pelajar bercuti, gaji pekerja, sewaan ruang dan berbagai bil masih terpaksa di tanggung seperti biasa. Pendeknya, mereka berniaga untuk lapan bulan tetapi terpaksa menanggung kos perniagaan untuk 12 bulan setahun.

Ketiga, di dalam UKM semua perniagaan makanan menjalankan kafetaria yang menawarkan menu yang sama. Pergilah ke mana mana cafetaria dalam UKM, kita akan dapati menunya hampir sama sahaja. Nasi berlauk adalah menu utama. Manakala makanan sampingan (kuih muih, makanan pencuci mulut etc) hanya dijual di tempat di mana mempunyai pelanggan yang ramai. Persaingan yang terlalu tinggi menyebabkan keuntungan yang diraih yang sememangnya kecil, akan bertambah kecil dan kadang kala tidak memberikan keuntungan kepada mereka. Belum lagi dikira kewujudan pasar malam setiap malam di bandar baru bangi kecuali malam Ahad.

Perniagaan di dalam kampus tidak sama dengan perniagaan di luar kampus. Jauh bezanya. Oleh itu kekangan ini harus diselesaikan terlebih dahulu jika pelajar inginkan perkhidmatan yang lebih baik. Misalnya kawalan yang terlalu ketat harus disemak semula. Ini tidak bermaksud pihak peniaga boleh meletakkan harga sesuka hati mereka tetapi perlu kepada harga yang lebih munasabah agar mereka juga mendapat ruang untuk mencari keuntungan dalam perniagaan di dalam kampus dan pada masa yang sama pelajar pula mendapat perkhidmatan dan kualiti makanan yang baik. Tentulah kita sebagai pelanggan inginkan harga terendah. Tetapi jika terlalu rendah, kita akan kehilangan kualiti terhadap perkhidmatan atau makanan yang kita beli.

Hari ini, ada beberapa kolej yang kafetarianya berjalan dengan baik. Tetapi jika duduk dan mendengar keluhan para operatornya kita akan tahu mereka juga sedang bergelut dengan kos operasi yang tinggi. Tetapi kerana modalnya yang lebih kukuh, mereka dapat bertahan. Ada pula kolej yang kafetarianya sedang bermasalah, sebab utama kerana modal pusingan yang kecil. Malah ada pula yang sudah kekurangan modal ini ditambah lagi dengan kurang pengalaman, kualiti makanan yang rendah, kebersihan yang meragukan serta rasa makanan yang tidak menyelerakan. Mereka ini pasti akan kecundang lebih awal...

Konsep perniagaan "satu operator satu kafetaria" semakin tidak digemari oleh pelajar UKM.  Mereka lebih cenderung dengan konsep medan selera ( food court ) yang mempunyai banyak pengerai. Jika satu pengerai bermasalah, masih ada pilihan lain. Elok jika konsep food court ini dimulakan di dalam UKM. Selain pelajar mempunyai banyak pilihan makanan, persaingan antara pengerai juga adalah mekanisme yang akan mengawal harga secara lebih baik. Persaingan juga secara langsung akan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kebersihan. Tanpa perlu diarah dan sebagainya, para pengerai tahu betapa pentingnya mereka memberikan perkhidmatan dan kebersihan makanan yang terbaik pada pelanggan.

Pengurusan UKM  sudah mula langkah dengan berjaya membangunkan PUSANIKA menjadi lebih baik sekarang, mungkin agenda seterusnya ialah mentransformasikan kafetaria khususnya di kolej kolej kediaman pula. Insya Allah jika ada rezeki...semua ini akan menjadi realiti. Kita doakan bersama.



19 March, 2013

Tidak Rugi Mendengar Suara Orang Muda Mahasiswa...

Ini kisah lama. 20 tahun lalu saya pernah menjadi guru sementara ketika masih belajar di UKM.
Setiap kali cuti semester, saya akan mengajar di sebuah sekolah menengah swasta di kampung kelahiran saya. Saya masih muda ketika itu, punya berbagai cita cita dan aspirasi. Di kampus sudah sibuk dengan pelbagai aktiviti, bila bercuti ambil peluang pula untuk bekerja menambah pendapatan, sebahagiannya digunakan bila kembali semula ke UKM.

Tetapi bukan soal pendapatan tambahan yang ingin saya kongsikan. Tetapi soal lain, soal suara anak muda mesti didengar, dan tidak rugi mendengarnya. Anak muda suka perubahan, ingin melakukan perubahan.

Begitulah juga saya dulu sebagai anak muda.  Jiwa saya sentiasa ingin melakukan perubahan. Hatta dalam hal hal yang kecil sekalipun. Ada dua kisah kecil yang saya ingin kongsikan tentang perubahan dan suara anak muda...

Kisah pertama, satu hari di sekolah tempat saya mengajar dulu, kira kira waktu tengahari  sekitar jam 12.30 tengahari saya di dalam kelas sedang mengajar. Suasana yang panas menyebabkan para pelajar saya mengantuk dan tidak memberikan perhatian pada pengajaran saya. Zaman itu alatan bantuan mengajar tidak secanggih hari ini. Tiada tv, atau youtube yg boleh digunakan untuk menarik perhatian pelajar. Jauh sekali LCD atau audio-visual yang lain. Mereka juga merungut mereka lapar dan dahaga. Apa yang perlu saya lakukan untuk menarik perhatian mereka? Saya ambil keputusan untuk mendengar suara mereka dan ambil tindakan memenuhi permintaan mereka. Saya benarkan pelajar saya keluar dari kelas dan pergi ke kantin untuk membeli air minuman dan makanan. Seperti tersentak dari tidur, mereka seperti seakan tak percaya. Mana pernah guru benarkan pelajar keluar waktu belajar keluar membeli air di kantin. Bukan seorang tetapi satu kelas!

Pada yang lapar, saya benarkan mereka membeli makanan kering sahaja seperti bun, roti dan sebagainya. Syaratnya, dalam sepuluh minit mereka harus berada di dalam kelas untuk menyambung pelajaran semula. Saya juga benarkan mereka makan dan minum dalam kelas sambil saya meneruskan pengajaran. Kesannya sangat mengkagumkan. Bukan sahaja semua pelajar mula memberikan perhatian dan terlibat dan pengajaran saya, mood mereka juga berubah sama sekali. Mereka lebih riang, gembira dan seronok. Saya korbankan sepuluh minit, saya dapat 70 minit masa mengajar yang berkualiti. Satu pelaburan yang cukup menguntungkan! Rupanya keizinan saya untuk mereka makan dalam kelas telah membantu pembelajaran menjadi lebih baik untuk para pelajar.

Akibatnya, keesokan hari saya dipanggil oleh pengetua sekolah. Seperti dijangka beliau tidak setuju dengan cara saya kerana saya dikatakan melanggar peraturan dan etika sekolah. "Mana boleh keluar beli makanan waktu kelas berjalan dan tidak boleh pelajar makan dalam kelas", katanya. Saya tahu itu kesalahan, saya juga telah pohon maaf dari beliau tetapi pada saya peraturan yang tidak membantu pelajar belajar dengan berkesan bukanlah satu peraturan yang baik. Pada saya peraturan yang baik haruslah menyokong kepada tujuan tujuan pendidikan. Kalau peraturan itu menyekat dan mengagalkan tujuan pendidikan, eloklah disemak semula.

Tentulah tidak betul kalau saya membenarkan pelajar membeli mee goreng, nasi lemak atau sebagainya dan makan dalam kelas (kerana itu juga akan menganggu dan mengagalkan pembelajaran) tetapi sekadar air sirap atau air kosong dengan sekeping dua roti tentu sahaja tidak menjadi halangan...tetapi kerana saya orang muda dan pengetua orang lama, tindakan saya tetap dikatakan salah. Saya akur sahaja.

Kisah itu tamat di situ sahaja dan saya  kembali belajar di UKM bila semester di buka semula. Tapi saya dapat khabar dari kawan kawan di sana, pihak sekolah tersebut telah melonggar sedikit polisi dengan membenarkan pelajar membawa masuk air minuman dan roti untuk di makan dalam kelas asal tidak semasa guru mengajar. Pelajar juga katanya dibenarkan membeli makanan selain waktu rehat dengan syarat mendapat kebenaran guru. Syukurlah mereka telah meminda peraturan yang tidak menguntungkan seperti itu. Jika saya mengambil sikap menentang, meninggi suara dan tidak mahu memohon maaf, apakah mereka bersedia membuat perubahan. Tiada siapa yang tahu...

Kisah kedua, ketika saya belajar di University of London.  Kami di dalam student union meminta supaya harga makanan kafetaria dikurangkan. Permintaan kami supaya diadakan makanan dengan harga lebih murah tidak mendapat perhatian pihak universiti. Suara kami tidak didengar. Kami terkilan bila kafetaria tidak bersedia mengurangkan keuntungan mereka. Kami juga sedih bila pihak universiti tidak bersama suara kami. Tetapi kami tidak pula berdemo atau memberontak dengan sikap mereka. Beberapa orang pelajar telah membuat tindakan yang sangat menarik. Dan jauh lebih berkesan dari sekadar berdemo.

Sebagai menyatakan bantahan, kami menyediakan makanan tengahari paling murah untuk pelajar setiap hari Isnin dan Rabu. Dengan harga satu pound kami mampu sediakan menu nasi putih, kari telor, dengan sayur kobis. JIka ada pelajar ingin membayar lebih dari satu pound sebagai tanda sokongan mereka dialu alukan.Kebanyakan pelajar Asia menyambut baik tindakan ini. Setiap kali, kami sediakan untuk makanan untuk 100 orang. Tindakan ini rupa-rupa menyebabkan pemilik kafetaria universiti bersedia menurunkan harga makanan mereka. Kami berjaya dengan cara kami sendiri...semuanya bermula bila suara kami tidak didengari..

Dua kisah ini, telah terjadi pada saya sendiri. Kedua-duanya dan juga banyak lagi kisah kisah lain telah mengajar saya bahawa suara anak muda tidak rugi didengari. Suara mereka perlu dirai dan dihormati. Jika mereka silap, bukan maknanya mereka benar benar bersalah. Mungkin ada pihak luar kampus yang menggunakan mereka, atau mereka masih tidak nampak apa yang saya nampak. Kadang kala juga sebaliknya. Mereka sebagai anak muda nampak apa yang saya sebagai orang tua tidak nampak. Ada masanya idea dan cara mereka lebih sesuai dengan persekitaran masakini termasuklah di universiti. Sekurang kurangnya idea itu boleh saya dengar untuk menjayakan kebaikan dan kebajikan mereka sendiri...

Memacu Transformasi MEP: Satu Pemikiran Awal Felo IZISH

Kertas ini telah disediakan oleh salah seorang felo IZISH. Saya baru terima dan telah menelitinya. Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah saya bersetuju walaupun nama MEP (Majlis Eksekutif Pelajar) telah digunakan sejak IZISH di tubuhkan pada 1996, dan sekarang digunakan sepenuhnya oleh semua kolej kediaman UKM seperti yang dipersetujui oleh pengurusan UKM, biro dan ruang lingkup MEP tidak pula berubah sebagaimana namanya. Kita kekal dalam bentuk lama dan terus melaksanakan sehingga ke hari ini. tanpa menolak bahawa ada yang perlu dikekalkan, kita juga harus bersedia dalam menerima idea baru untuk menghadapi cabaran dan persekitaran masa kini.

Kertas ini telah disediakan Miss Maryam Sarah, saya poskan di blog Ilmu Mutu dan Budi sebagai satu cara untuk saya menghargai peranan felo kolej kediaman UKM, khususnya penjanaan idea dalam pembangunan pelajar yang diusahakan oleh rakan rakan felo di IZISH. Saya juga dalam beberapa keadaan menghargai peranan felo turut memberikan kritikan (maknanya saya mahu mengambil berat dan sayangkan institusi felo). Begitu Saya juga akan melakukan perkara yg sama (memuji dan mengkritik) sebagai tanda saya sangat  menghargai aktiviti pelajar.

Dalam hal peranan felo, saya masih berpegang kuat dan percaya bahawa pasukan felo kolej kediaman UKM mempunyai cukup pengalaman untuk melihat dan mampu memberikan idea idea baru dalam membangunkan pelajar UKM. Cabaran kebolehpasaran, sahsiah, kualiti penganjuran aktiviti dan sebagainya memang difahami oleh rakan rakan felo. Tinggal lagi mereka perlukan ruang untuk menyerlah keupayaan mereka.

Saya juga berpegang bahawa sebarang cadangan dan usaha untuk membangunkan pelajar harus melibatkan pelajar sendiri sebagai pemberi inputnya. Untuk pelajar IZISH, saya kira tidak ada salahnya anda mengambil sedikit masa meneliti dan memahami idea beliau, seterusnya jika ingin berkongsi boleh PM saya untuk kita berdiskusi bersama... Saya memaparkan sepenuhnya tanpa sebarang suntingan kertas beliau...(setiap kotak yg berwarna mewakili biro-biro MEP IZISH...Terima kasih Miss Sarah....







17 March, 2013

Tahniah Buat Mahasiswa UKM Berjiwa Masyarakat...

Ini satu video yang baru dihasilkan oleh beberapa pelajar di IZISH. Terima kasih pada saudara Maulana, Nisa, Fitri, Aliff, Lulu dan rakan rakan di IZISH yang lain kerana telah berkongsi video ini dengan kami semua. Sebenarnya saya jenis yang sukar memuji aktiviti pelajar, tetapi saya kena akui aktiviti sebegini pasti menerima 'standing ovation" dari saya. Saya ingin katakan walaupun aktiviti seperti ini sangat 'merendah diri' sifatnya, tiada perasmian bergemerlapan, tiada persembahan, tiada gimik atau cenderamata, tetapi impaknya sangat mendalam pada peserta dan juga pada orang yang menerima khidmat. Bayangkan bila makanan yang kita letakkan di hujung kepala gelandangan ketika mereka sedang tidur, bila mereka bangun tiba tiba mata mereka melihat makanan entah dari mana menjadi rezeki untuk mereka. Bayangkan kegembiraan di wajah setelah sekian lama mereka menahan kelaparan. Sejak zaman pelajar dulu, saya juga sering mengikuti aktiviti sebegini, sehinggalah sekarang. Cuma sekarang tidak lagi bersifat rutin sepertimana dahulu. Akan berpelunag sertai hanya bila selesai amanah di universiti.

Pada saya program seumpama ini akan membina sifat dalaman kita. Menjadi ornag yang bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita berlatih menjadi seorang yang sabar dan bijak menilai baik dan buruk untuk masa depan kita. Malah pengalaman kita yng sebegini mendidik kita untuk melihat perjuangan politik semata mata tidak boleh menyelesaikan semua masalah kehidupan dunia...

Saya kena mengakui bahawa kumpulan pelajar ini telah menjadikan saya rasa bangga sebagai pengetua. Bangga punyai anak anak kolej IZISH yang bijak membina aktiviti mereka. Cuba tanya mereka, apakah mereka merasa fun dengan apa yang telah mereka lalui..saya pasti jawapannya tentu "yes..and feeling good, too"..