05 October, 2011

Benarkah pelajar UKM tidak berkualiti?

1.Sebagai pengetua kolej dan menjadi ahli dalam berbagai jawatan kuasa di peringkat UKM, majlis IPTA serta perunding kepada KPT berkaitan kemahiran insaniah (soft skills), saya mempunyai alasan yg kuat untuk mempunyai pandangan yg kukuh tentang kualiti pelajar UKM.


2.Kesempatan setiap tahun menjadi panel beberapa temuduga syarikat dan agensi kerajaan khususnya di KPM membawa saya kepada satu kesimpulan  tentang tahap kualiti pelajar UKM serta masalah khusus yg dihadapi oleh pelajar UKM mendepani majikan dan masyarakat.

3. Menarik juga bila UKM sejak akhir-akhir ini begitu bersungguh-sungguh cuba melakukan sesuatu kepada pembanguan pelajar kerana 'percaya' pelajar UKM mula tidak berkualiti. Dikatakan lemah berbahasa Inggeris, lemah berkomunikasi, rendah kualiti kepimpinan etc. Maka berbagai kursus baru akan ditawarkan seperti Kursus Pembangunan Pelajar oleh PPU.

4. Persoalannya benarkah pelajar UKM tidak berkualiti? Jika benar, kumpulan atau bahagian mana? Apakah pula kekuatan serta kehebatan pelajar UKM yang jarang diketengahkan? dan bagaimana warga HEPA serta warga pendidik UKM boleh membantu selesaikan isu ini?

5. Setiap tahun UKM menerima lebih 3,500 orang pelajar baru. Mereka menambahkan bilangan warga UKM yang telah mencecah hanpir 25,000 orang. Pelajar baru ini datang dari pelbagai latarbelakang. Mereka adalah pelajar cemerlang kerana UKM sangat mementingkan keputusan akademik yg terbaik. Ada antara mereka datang dari kampung, ada pula dari bandar. Ada yang miskin dan ramai juga yang kaya. Ada yg tidak pernah keluar negara, tidak kurang juga yang sudah biasa berada diluar negara. Ada yang sihat dan kuat, tetapi ada juga yang tidak begitu berupaya. Sebahagian besar sudah terdedah bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi masih ada yang lari bersembunyi jika diminta memperkenalkan diri dalam bahasa Inggeris, Begitu juga ada yang baik berbahasa Melayu, tetapi tidak kurang juga masih bertutur bahasa Melayu rojak dan bertaraf pasar. Sebahagian mereka ketara mempunyai keyakinan diri yang tinggi tetapi ada pula yang masih tidak berani bertentang mata bila bercakap. Pendek kata, pelajar ini serba tak sama antara satu sama lain.

6. Oleh itu bila kita ingin membangunkan pelajar dari sudut kemahiran insaniah, mengandaikan semua pelajar adalah sama adalah tidak tepat sama sekali. Menyediakan satu kursus pembangunan pelajar untuk semua atau one size fit all hanya akan menjadi usaha ini sia-sia sahaja. Bayangkan kalau seorang pelajar yang sudah mewakili sekolah, negeri atau negara dalam pertandingan pidato atau debat, bila masuk ke UKM diminta mengikut kuliah kemahiran asas komunikasi, bukankah itu tindakan ke belakang yg bukan sahaja tidak sesuai malah merugikan pelajar itu sendiri ( masa pensyarah juga). Begitu juga dengan kumpulan pelajar berdasarkan merit mempunyai keputusan peperiksaan SPM atau matrikulasi yg cemerlang dan sangat aktif dalam ko-kurikulum bila masuk ke UKM diminta mengikuti kuliah asas pengurusan masa! Bukankah sudah terbukti mereka adalah pelajar yg bijak menguruskan masa kalau tidak masakan mereka cemerlang akademik dan ko-kurikulum!

7. Bagaimana pula pelajar yg telah menguasai bahasa Inggeris dengan baik? Apakah mereka juga perlu mengikuti kelas asas bahasa Inggeris atau dipantau setiap masa supaya bertutur dalam bahasa Inggeris di kolej?

8. Semua persoalan ini membawa kepada satu kesimpulan, pelajar lebih tahu apa yang mereka inginkan. UKM harus menyediakan apa keperluan pelajar. Maka langkah UKM memperkenalkan Kontrak Pembelajaran adalah tepat dan sesuai dengan keperluan pelajar. Soalnya, sebelum memilih untuk melaksanakan Kontrak Pembelajaran, pelajar juga harus diberikan peluang untuk mengetahui dan memahami apakah keperluan mereka. Adalah tidak tepat jika kontrak pembelajaran digandingkan dengan kaedah pembelajaran tradisional (chalk and talk) atau kuliah sehala secara deduktif.

9. Sebarang bentuk kursus yang rigid, berkuliah, bernota panjang serta ada peperiksaan harus dielakkan. Penggunaan nota kuliah bukan sahaja tidak sesuai untuk memberikan kemahiran insaniah tetapi juga membebankan pelajar sendiri. Belum tentu kemahiran yg diperolehi akan diamalkan oleh pelajar sepenuhnya.

10. Pada peringkat awal yg paling penting ialah ujian diagnostik kemahiran insaniah. Bukan sekali tetapi berterusan setiap semester supaya pelajar dapat merasai peningkatan kemahirannya. UKM sudahpun bersedia untuk melakukan hal ini melalui PAP. Ujian ini bukan bertujuan untuk memilih yang yang terbaik di kalnagan pelajar dengan jawapan betul atau salah tetapi untuk memastikan adakah semua pelajar sudah atau belum mencapai tahap yg disasarkan.

11. Setelah begitu lama dalam pengurusan pelajar, saya tahu sebenarnya pelajar UKM dan IPTA bukanlah seteruk yang disangka. Pihak media yg dibayar melalui iklan (tentunya oleh IPTS) selalu mewar-warkan kononnya graduan IPTS adalah hebat. Keadaan ini berjaya membina persepsi bahawa graduan IPTA tidak sehebat IPTS. Saya yakin bahawa persepsi ini sama sekali tidak benar. Oleh kerana IPTA tidak membeli iklan mempromosikan graduan, tidak semestinya graduan IPTA tidak hebat.

12. Maka itu persepsi ini perlu diperbetulkan. Siapa yang harus memperbetulkannya? saya fikir mahasiawa IPTA bertanggungjawab menyelesaikan hal ini. Pihak IPTA telah memberikan yang terbaik, mahasiswa/i juga harus segera menguasai semua kemahiran insaniah supaya tanggapan negatif masyarakat khususnya majikan dapat diperbaiki. Mereka harus segera belajar meningkatakn kemahiran insaniah mereka semasa di universiti.

13.Perancangan pembangunan pelajar khususnya berkaitan Kemahiran Insaniah harus diperhalusi oleh PPU, PAP dan kolej kediaman. Tiga bahagian ini harus bersepadu di dalam merancang, melaksana dan menilai pembanguan pelajar di bawah pemantauan HEPA sebagai induk pembanguan pelajar di UKM. Perancangan bersepadu diperlukan supaya pelajar mendapat manafat daripadanya. Harapnya tidak nanti jika di PPU sudah belajar dan berkuliah tentang pengurusan masa, ada pula kursus/bengkel di kolej juga tentang pengurusan masa juga. Begitu juga di JPPEL serta fakulti. Ini sangat membebankan pelajar.