27 April, 2013

Orang Melayu...

Sasterawan idola saya ialah Usman Awang, sejak dahulu hinggalah ke hari ini. Mengapa? Paling utama beliau seorang yang berterus terang dalam berkarya, ikhlas dan tidak 'mengampu'. Kedua, walaupun bahasa beliau bahasa puitis tetapi bahasa beliau adalah bahasa rakyat, bukan bahasa istana...

Salah satu puisi Usman Awang yang menjadi kegemaran saya tentulah yang bertajuk "MELAYU"...begini bunyinya.

MELAYU
Melayu itu orang yang bijak
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan
Melayu itu berani jika benar
Kecut takut kerana salah

Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati anak
Jangan mati adat

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya
Jawa itu Melayu
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu

Minangkabau memang Melayu
Keturunan Acheh adalah Melayu
Jakun dan Sakai asli Melayu
Arab dan Pakistan semua Melayu
Mamak dan Malberi serap ke Melayu
Malah Mualaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang memegang timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap sentiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera dihutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad ke dua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya pada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka





Foto Sekitar Aktiviti IZISH Sesi 2012-2013

Seperti sesi lalu, sesi ini juga melakarkan kejayaan yang manis buat seluruh warga IZISH. Bagi sesi 2012-2013, sebanyak 35 aktiviti telah berjaya dianjurkan oleh pelajar IZISH.. tahniah. Untuk meninjau semua program anjuran pelajar IZISH, sila layari link di bawah dan melihat foto-foto sekitar  aktiviti...

Klik di sini..... Foto Aktiviti IZISH 2012-2013

25 April, 2013

Foto Sekitar Majlis Bicara Hak Asasi Manusia 2013...

Semalam (24 April 2013) telah berlangsung satu majlis ilmu yang dianjurkan oleh pelajar IZISH. Berlangsung dengan begitu  lancar dan kemas sekali. Tahniah buat team HAM 2013. Jika saya selalu menyebut tentang projek pelajar berimpak tinggi, inilah modelnya. Majlis yang mengutamakan budaya ilmu, berjalan penuh protokol dan tertib tetapi santai,  Penglibatan bukan sahaja di kalangan pelajar, tetapi juga para profesor, ahli akademik UKM, IPTA lain dan warga UKM.

Malah turut disertai oleh pihak luar seperti Kementerian Pelajaran Malaysia yang diwakili oleh Ketua Pengarah Bahagian Sekolah Harian Malaysia  dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Selangor. Projek ini juga bukan bersifat one-off tetapi kesinambungan dari Hak Asasi 2012 pada tahun lepas.

Malah dalam HAM 2013 ini terkandung beberapa projek awal yang melibatkan pelajar sekolah di Semenyih dan masyarakat orang asli di Perak. Saya sangat yakin para ajk dan seluruh warga HAM 2013 telah memperolehi banyak manafaat dalam penganjuran program ini. Malah tak salah kalau saya katakan apa yang telah dil;akukan lebih dari apa yang diperlukan dalam LC,  dari segi masa, tenaga dan kemahiran yang diperolehi. Tahniah pada team felo yang menjadikan program ini begitu baik sekali. Saya bangga dengan komitmen anda!

Kehadiran Profesor Emeritus Dato Dr Hood Salleh (UKM), Prof Ong Puay Liu, Dato Mazlan (KPM) dan Tuan Hj Aziz (JHEOA) serta ramai ahli akademik menjadikan program ini bertambah serinya. Malah sebenarnya IZISH telah pun bersama dengan Prof Dato Hood sejak tahun lepas dalam program masyarakat orang asli di Pahang yang dirasmikan oleh Prof Dato Dr Othman Karim TNC HEPA.

Tahniah sekali lagi buat wargakerja HAM 2013...saya sematkan beberapa foto sebagai kenang kenangan untuk semua...(untuk gambar aktiviti pelajar IZISH sepanjang tahun 2013 sila layari
 https://www.facebook.com/groups/194842577224489/photos/



Saat saat di bilik menunggu Canselori...Kisah Masyarakat Maori menjadi topik bualan...



Nampak lembing di tangan Dato Mazlan (KPM), itu sebenarnya lembing kepunyaan Prof Dato Hood yang beliau terima dari ketua masyarakat Maori sebagai tanda kumpulan mereka telah menerima Prof Dato Hood sebagai ahli keluarga mereka.

Sesi bermula, ucapan sang moderator,,,Sdr Nik Faizul TP IZISH


Kalangan ahli akademik yang hadir..

Profesor Dr Ong Puay Liu, Felo KITA UKM

Dua sahabat lama bertemu kembali...perjuangan mereka rupanya sama, memperkasakan masyarakat orang Asli di Malaysia..

Khusyuk menyediakan nota tambahan sebelum meberikan syarahan beliau.
Gaya seorang sarjana keluaran Universiti Oxford

Pegawai UKM yang ikut serta...


Panel yang membentangkan idea mereka

Khusyuk....

Prof Dr Ong membentangkan data dari hasil kajian beliau,  bukan sekadar lontaran pandangan semata mata.


ISC 1 dan ISC 2...

Sesi soal jawab berlangsung...lebih 10 soalan seingat saya...

Terima kasih...


Terima kasih...sudah ada program lanjutan yang telah ditawarkan oleh KPM kepada IZISH..sedang diteliti... konsepnya ala-ala PEACE CORPS...untuk sesi 2013-2014

Tahniah EMCEE...suara yang jelas dan menyakinkan.

Kini saya punyai rakan rakan yang punyai semangat yang sama..
memajukan masyarakat melalui pendidikan






Sumber Foto : Danny Hamidon
Pen. Pengurus Kanan IZISH

19 April, 2013

Pelajar UKM, Keluarlah dari Kepompong Lama...

Kisah Mahasiswa "Rumah Hantu" dan "Mahasiswa NKRA" di UKM  yang saya tulis di blog ini pada bulan lalu rupa-rupanya mendapat hit yang agak tinggi. Lebih 3,500 yang membacanya. Pasti ramai yang setuju dengan saya, dan pastinya ramai juga yang tidak bersetuju dengan pandangan saya. Sebagai pembaca, anda semua layak mempunyai pandangan masing masing. Saya sekali kali tidak menolak jika ada pelajar UKM ingin menganjurkan program "Rumah Hantu" atau program lain seperti pertandingan makan paling banyak dan sebagainya. Anjurkanlah, jika itu boleh menunjukkan minat dan keseronokan yang cuba dihidupkan oleh para pelajar dalam program mereka.

Tetapi saya juga mempunyai tanggungjawab dan pandangan sendiri bahawa dalam persekitaran masyarakat yang semakin mencabar dan persaingan kerja yang semakin sengit masakini, sepatutnya seluruh sumber tenaga, kejituan pemikiran dan peruntukan kewangan yang ada harus digunakan sepenuhnya untuk membangunkan dayasaing dan keterampilan mahasiswa UKM.

Masa yang ada untuk pelajar membangunkan diri di UKM sangat terhad, sumber tenaga yang menguruskan pelajar yang terbatas dan peruntukan kewangan yang sedikit menuntut semua pihak (samada pengurusan dan pelajar) supaya lebih bijak dan terfokus dalam menguruskan sumber-sumber yang terhad ini.

Oleh itu, penekanan kepada tujuan tujuan membangunkan mahasiswa UKM harus melangkaui dari hanya memenuhi tujuan tujuan keseronokan semata mata. Soal pembangunan pelajar (sahsiah, budaya ilmu dan kebolehpasaran) harus menjadi teras kepada apa juga aktiviti pelajar UKM.

Mungkin program pembangunan sahsiah, budaya ilmu atau kebolehpasaran tidaklah semeriah rumah hantu, atau pelajar yang hadir ke bengkel kerjaya tidak segirang ketika masuk ke 'rumah hantu'...tetapi pada saya, atas nama masadepan pelajar, kita harus lihat sesuatu program berdasarkan impaknya bukan soraknya.

Saya sebutkan hal ini kerana jika mahasiswa UKM tidak segera keluar dari 'kepompong lama' mereka dan merasakan hidup mereka akan sentiasa meriah, selesa dan seronok, saya bimbang mereka akan kecewa nanti. Apa nasib mereka, bila mereka hanya tersedar kelemahan diri bila sudah duduk di hadapan meja temuduga, berhadapan dengan bakal bakal majikan.

Saya juga bimbang bila mereka hanya mula keluh kesah mengenangkan "apakah yang telah saya bangunkan  kemahiran diri sepanjang 3-4 tahun di UKM". Soal penguasaan komunikasi (bahasa Inggeris), soal kemahiran kerja sepasukan, soal inovasi dan kreativiti dan juga soal pengetahuan mereka selain bidang pengajian. Ini belum lagi jika penemuduga berminat untuk mengetahui dan bertanyakan pengalaman internship, mobility outbound atau sesuatu yang unik dan inovatif telah dijayakan oleh pelajar sepanjang belajar di UKM.

Oleh itu, saya melihat adalah perlu untuk segera pemimpin pelajar UKM melakukan transformasi aktiviti pelajar di UKM supaya semua aktiviti ini menjurus kepada usaha pembangunan diri secara lebih profesional dan berterusan. dan untuk menjayakannya pelajar UKM perlu lebih kreatif mendapatkan geran aktiviti.

Pelajar harus bijak mengambil peluang ini untuk mentransformasikan aktiviti mereka. Mereka sepatutnya menganjurkan aktiviti supaya lebih ramai pelajar UKM diberikan pendidikan, kesedaran, kemahiran serta peluang memohon dana dana yang telah disediakan.

Kita tentunya ingin melihat dalam masa terdekat lebih ramai pelajar UKM  memperolehi geran geran aktiviti dari luar UKM untuk aktiviti mereka. Izinkan saya memberikan sedikit input tentang geran geran aktiviti khususnya untuk membangunkan keusahawanan siswa seperti yang disediakan oelh pihak KPT.
  1. SME Bank - Tabung Usahawan Siswazah (TUS) - Jumlah Dana RM 25 juta
  2. SME Bank - Young Entrepreneur FUND - Jumlah Dana RM 50 juta
  3. PUNB - Skim Prosper Usahawan Muda (PUMA)- Jumlah Dana RM 10 juta
  4. MDeC - Program MGS - Jumlah Dana RM 85 juta
  5. Angkasa - Dana Latihan Kosiswa- Jumlah Dana RM 1.2 billion
  6. JPM Unit Kerjasama Awan-Swasta - Dana Mikro Private-Public Patnership- Jumlah Dana RM 300 juta
  7. KBS - Prog Sukarelawan Belia 1Malaysia- dana 1M4U- Jumlah Dana 100 juta
  8. MOA- Program MyAgrosis- Jumlah dana RM10 juta
  9. BSN, Digi, Celcom, PNS, AIM, DPIMM, MOSTI, MTDC juga menyediakan dana di bawah program moU KPT.
Ini hanya sebahagian kecil dari pelbagai lagi geran lain yang ditawarkan untuk mahasiswa dari dalam dan luar negara. Syarikat multinasional juga menawarkan puluhan juta ringgit untuk menyokong pembangunan pelajar di peringkat universiti. Tinggal lagi, pelajar UKM kena berusaha untuk mencari peluang dan berani mencuba.

Oleh itu lebih banyak seminar, taklimat dan bengkel perlu dianjurkan supaya pelajar UKM tahu bagaimana merebut peluang ini dan program sebeginilah yang seharusnya menjadi antara teras aktiviti pelajar di UKM.

Sebagai contoh, di IZISH pada sesi 2012, pelajar IZISH dan felo IZISH berjaya memperolehi dana sebanyak RM 80,000 dari pihak KPT (RM50k untuk Ekspo Kerjaya dan RM30k untuk Konvensyen Kebangsaan Kampus Lestari).

Pada tahun 2013 pula, sebanyak lima permohonan pelajar IZISH telah diajukan kepada pelbagai pihak luar dengan nilai permohonan mencecah RM450,000. Jika dari lima permohonan ini, satu atau dua yang berjaya, pada saya itu sesiatu yang sudah boleh dibanggakan.

Malah, pengalaman pelajar melalui proses melakukan permohonan (memikir, menjana idea, melakukan sumbang saran, menyediakan proposal, membuat pembentangan dan melengkapkan permohonan) pada saya adalah satu proses pembelajaran pembangunan diri yang cukup bermakna...

Bayangkalah jika semua persatuan, kelab dan urusetia di UKM yang berjumlah hampir 200 membuat dua cadangan aktiviti mencari dana, UKM pastinya sudah mempunyai 400 cadangan aktiviti geran luar UKM untuk dijayakan oleh pelajarnya.

Dan jika dilakukan secara bersungguh sungguh dengan taklimat dan bengkel penyediaan cadangan, katakalah 10% berjaya, bermakna 40 aktiviti pelajar UKM mempunyai jaringan dengan pihak kerajaan, swasta, kedutaan, GLC dan agensi luar negara termasuk UNDP dan UNESCO.

Saya yakin pelajar UKM boleh lakukannya, kerana di IZISH kami telah pun buktikan bahawa pelajar boleh melakukannya...

Orang Melayu...Apa Bezanya Dulu dan Sekarang?

Di dalam perpustakaan mini saya, terdapat koleksi beberapa buah buku yang secara khusus telah membincangkan kajian berkaitan orang Melayu. Sepanjang minggu ini saya cuba untuk meneliti beberapa buah daripadanya. Antaranya;

Swettenham, F. (1895) The Malay Sketches dan terjemahannya bertajuk "Perihal Orang Melayu (1965). Beliau menyatakan bahawa "Orang Melayu sifatnya bersopan santun, penuh beradab serta peramah. Tetapi orang melayu tidak mudah mempercayai orang asing, malah mereka bijak menyembunyikan keraguan mereka dengan tingkahlaku yang ramah. Orang Melayu juga bijak berbicara, bahasa mereka disulami dengan jenaka dan amat gemar berperibahasa. Orang Melayu juga  cerdik  menerima pelajaran.  Jika ditambah dengan usaha dan keazaman yang tinggi, orang melayu mampu menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang telah mereka pelajari".


"Dari sudut kebersihan diri, kebanyakkan orang melayu zaman itu mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan suka berhias serta berpakaian kemas. Orang melayu juga mempunyai sikap dimana mereka tidak boleh bertolak ansur jika difitnah, malah mereka sanggup bertumpahan darah demi menentang fitnah tersebut.  Orang melayu juga sangat memuliakan tetamu, ianya seakan satu kewajipan bagi masyarakat orang melayu.



Sifat Buruk orang Melayu: Dalam membicarakan perihal orang Melayu, Swettenham tidak mengambil sikap dengan hanya menceritakan apa yang baik, sebaliknya beliau turut menyingkap beberapa sifat buruk masyarakat melayu pada zaman itu dari kacamatanya. Antara tabiat atau sifat buruk orang melayu pada zaman itu yang beliau temui adalah:
  1. Orang Melayu suka meminjam wang, tetapi sukar dan liat untuk membayar balik
  2. Orang Melayu suka mengambil tahu hal ehwal jiran tetangga dan mengumpat.
  3. Orang Melayu suka mempercayai hal yang karut marut
  4. Orang Melayu suka berjudi, bersabung ayam dan perkara yang seumpamanya
  5. Orang Melayu tidak mudah menerima sebarang perubahan
  6. Orang Melayu  adakalanya malas, malah perkara yang rutin juga dilalaikan.
  7. Orang Melayu tidak menghargai masa
  8. Rumah Orang Melayu pada zaman itu dilihat tidak teratur, malah ada yang kotor
  9. Orang Melayu zaman itu suka berdendam, dan jika dendam itu tidak dapat dibalas pada orang yang sepatutnya, sesiapa sahaja yang kebetulan berada berhampiran akan menjadi mangsa, tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda.
  10. Orang Melayu suka mengamok
  11. Walaupun orang Melayu suka berbudi, mereka sebenarnya mengharapkan balasan.
  12. Orang Melayu juga suka berpuak-puak
  13. Orang Melayu amat menitik beratkan soal darjat serta keturunan, terutama dalam soal  perkahwinan.
** Kita mungkin bersetuju dengan pandangan beliau, atau kita boleh sahaja mengabaikannya!

Buku kedua yang saya sempat teliti bertajuk "Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri" karya Zaa'ba (1958). Antara lain beliau menyebut dua perkara utama tentang orang Melayu mempunyai sikap hina diri yang cukup tinggi (yakni tidak ada keyakinan diri atau inferiority complex) dan keduanya orang Melayu mempunyai sifat malas yang serius ibarat "kutu di atas kepala" yang suka mengharapkan rezeki dari orang lain termasuklah sangat bergantung pada harta pusaka. 

Pada Zaaba, sikap malas inilah menjadi titik mula kegagalan bangsa Melayu, katanya lagi " disebabkan sifat suka bergantung pada orang lain, maka orang Melayu menjadi malas, tidak mahu berusaha, tidak mahu berikhtiar dan tidak mahu berjuang dengan suku kaum lain yang datang dari luar alam Melayu untuk bermastautin di Tanah Melayu (mukasurat xi - pengenalan). Orang Melayu juga digambarkan oleh Zaaba sebagai terlalu bergantung pada orang lain untuk kesejahteraan akhirat, selain malas mengerjakan ibadat, orang Melayu juga mempunyai budaya dan suka meminta orang lain mendoakan untuk mereka.

** Kita mungkin bersetuju dengan pandangan beliau, atau kita boleh sahaja mengabaikannya!

Buku ketiga yang sempat saya baca ialah The Malay Dilemma ditulis oleh negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad (1973). Buku ini ditulis hasil dari penelitiannya tentang sikap orang Melayu era sebelum merdeka hinggalah sekitar tahun 1970an. Antara lain beliau menulis di mukasurat  92 yang berbunyi 

" Sebahagian sebab keputusan yang lemah di kalangan pelajar melayu ini adalah kerana kemiskinan yang sangat ketara serta latarbelakang desa mereka. Kesan buruk kemiskinan tidak benar benar difahami oleh kebanyakan orang Melayu. Selalunya ibubapa yang miskin dan tidak berpelajaran, tidak begitu bersedia untuk menjaga anak anak mereka yang bersekolah. Mereka kurang faham nilai pendidikan, bersikap tidak peduli dan tidak mempunyai keyakinan akan keupayaan anak anak mereka. Ibubapa Melayu selalunya gagal memenuhi keperluan keperluan asas anak-anak yang bersekolah. Jika kanak-kanak itu seorang yang benar benar bijak, mungkin beliau boleh mengatasi semua kelemahan ini, tetapi bagi seorang kanak kanak yang biasa. tanpa keperluan keperluan asas ini, kesannya terhadap pelajaran amatlah buruk.  Ibubapa Melayu yang kurang mengetahui dan kurang berminat, tidak akan memberikan galakan moral yang cukup untuk anak anak mereka yang bersekolah"

** Kita mungkin bersetuju dengan pandangan beliau, atau kita boleh sahaja mengabaikannya!

Ada beberapa lagi buku lain yang sempat saya teliti, antaranya oleh J.M. Gullick (1969). Malay Society in The late Nineteenth Century, juga buku tulisan Prof Anthony Milner (2012), berjudul The Malays dan buku oleh Prof Syed Hussein Al Attas yang bertajuk "Mitos Peribumi Malas"(1973). Saya juga pernah menulis di Mingguan Malaysia tidak lama dulu tentang nasib orang Melayu kontemporari di Malaysia. 

Semakin saya meneliti tulisan para pemikir sarjana barat dan sarjana tempatan tentang persoalan orang Melayu dan budayanya, semakin saya sampai kepada kesimpulan kepada persoalan "Orang Melayu...apa bezanya dulu dan sekarang? Kesimpulan saya ialah ... tidak ada banyak bezanya orang Melayu dulu dan sekarang. Teras kepada pembentukan sikap, amalan budaya dan pandangan hidup orang Melayu tidak banyak berubah, dari sudut politik, ekonomi mahupun sosialnya, semuanya masih seperti dulu. Walaupun sudah ramai cerdik pandai Melayu dan sudah ramai jutawan Melayu, tetapi secara relatifnya orang melayu masih ketinggalan. 

Betul orang Melayu telah merdeka, tetapi sejak dahulu hingga sekarang, pemimpin orang Melayu terus menerus berpecah belah. Betul, sudah ada orang Melayu yang kaya raya, tetapi sehingga sekarang kuasa ekonomi bukan milik mereka, Betul bahawa alam sosial orang Melayu sudah ada yang tinggi santunnya, tetapi rata rata  orang Melayu masih berteraskan nilai nilai nipis cara hidup Islam yang sebenar.  Betul juga bahawa orang Melayu sudah ada yang bijaksana tetapi kerangka ilmu pengetahuan mereka adalah pinjaman dari pemikiran ilmu kolonial. 

Oleh itu, saya melihat memang tidak banyak bezanya orang Melayu dulu dan sekarang, sejak bermulanya wacana Frank Swettenham bila beliau mula menulis di dalam The Malay Sketch pada tahun 1895 hinggalah kepada wacana di dalam buku yang saya baru beli petang tadi di Kinokuniya yang bertajuk " Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of The Malay Problem (2013) karya Sulaiman AB. Dulu dan sekarang, orang Melayu masih sama, tidak banyak yang berubah. Masih terlalu banyak yang perlu diperjuangkan oleh orang melayu....demi kelangsungan bangsanya.

** Anda mungkin bersetuju dengan pandangan saya, atau anda boleh sahaja mengabaikannya!




14 April, 2013

Pelajar UKM...LISTEN...LISTEN...LISTEN...

Data pengesanan graduan UKM pada tahun 2010-2011 menunjukkan hanya sekitar 65% sahaja graduan berjaya memperolehi pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas konvokesyen. Masih ada sekitar 35% yang tidak memperolehi pekerjaan. Ada antara mereka mengambil keputusan terus 'memburu pekerjaan' dengan menghantar resume ke berpuluh puluh syarikat dan berdoa agar rezeki mereka dimurahkan.

Ada juga yang mengambil keputusan untuk menjadi surirumah sepenuh masa setelah 'penat' menghadiri temuduga tetapi masih menerima surat 'dukacita' daripada para majikan. Semakin ramai juga graduan UKM yang tidak mendapat pekerjaan mengambil keputusan bekerja sendiri secara sementara, dengan harapan akan  mendapat pekerjaan yang lebih baik dalam masa terdekat. 

Ada antara mereka yang saya kenal, telah mula berniaga di pasar pasar malam. Ada juga yang bekerja sebagai agen insurans, tak kurang juga sebagai peniaga skim MLM. Malah semakin ramai yang pulang ke kampung dan tidak melakukan apa apa pekerjaan.

Pada masa yang sama, 65% yang telah bekerja juga mempunyai pelbagai cerita dan cabaran. Ada yang sangat berjaya. Puncanya kerana mereka punyai kekuatan personaliti dan profesionalisme yang tinggi. Mereka berupaya berkomunikasi dengan baik (bertutur, mendengar, menulis laporan dan membuat pembentangan) dengan baik dan berkesan. Tentunya dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Ada yang telah dinaikkan ke jawatan kanan dalam tempoh kurang dua tahun bekerja kerana kebolehan mereka.

Sebahagiannya, telah berjaya kerana membina jaringan kerjaya yang baik. Mereka telah berjaya berpindah dari satu syarikat ke syarikat yang lain kerana mendapat tawaran lebih baik. Seorang bekas pelajar saya sudah berpindah tiga kali tempat kerjaya dengan syarikat yang berbeza kerana mendapat tawaran yang lebih baik dalam setahun. Kenaikan pendapatannya sekarang lebih 200% berbanding dari mula dia bekerja di syarikat yang pertama. Sekarang beliau di Johor Baharu kerana diberikan tanggungjawab sebagai pengurus wilayah untuk menguruskan salah sebuah anak syarikat di bandar Medini, Nusajaya. Beliau bergraduan tiga tahun yang lalu dan pendapatannya sekarang sudah mencecah RM9,000 sebulan. Semasa saya berjumpa beliau beberapa bulan yang lalu di JB, terserempak di LEGOLAND, saya sempat berseloroh pada beliau sudah sampai masanya untuk beliau mendirikan rumahtangga!

Tetapi tak semuanya begitu. Ada juga pelajar yang saya kenal, kerana bekerja secara kontrak, telah ditamatkan selepas setahun bekerja dengan sebuah syarikat. Alasan yang diberikan, beliau tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan. Tugas beliau sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat kejuruteraan menuntut beliau untuk menemui dengan ramai 'client' yang hampir semuanya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Oleh kerana beliau kurang menggunakan bahasa Inggeris dalam hidup seharian, pentuturannya agak kekok dan kurang lancar. Ini merencatkan komunikasinya, lebih lebih lagi bila ingin menyakinkan client tentang produk syarikatnya. Akhirnya beliau diberhentikan dan sekarang khabarnya akan menyambung pelajaran di sebuah IPTA di utara tanah air.

Ada juga pelajar yang saya kenal, berhenti sendiri dari bekerja dengan sebuah syarikat pembuatan makanan dalam tin kerana tidak mampu untuk berada di dalam satu budaya yang asing baginya. Pelajar ini pada zaman belajar di UKM, sudah terbiasa bekerja dengan kawan kawan sebangsa dengannya. Bertutur, makan, berkongsi pandangan dan sebagainya sesama rakan rakan yang sama budayanya. Bila mula bekerja di syarikat yang mempunyai ramai pekerja dari kaum lain, beliau menjadi kekok dan akhirnya berhenti. Beliau baru bekerja 8 bulan dan sudah tidak dapat meneruskan lagi kerjaya di syarikat tersebut. Bila saya tanya, tidak adakah orang yang sebangsa dengan beliau di syarikat tersebut, katanya ada tetapi di jabatan yang lain. Di jabatannya, hanya beliau seorang sahaja. Apa yang jelas pada saya, walaupun beliau dulu yang saya kenal adalah berpotensi dan boleh bekerja dengan ramai orang, rupa rupanya masih tidak ada kemahiran berkerja dalam persekitaran kerja yang memerlukan kemahiran interbudaya.

Saya juga mengenali beberapa pelajar UKM yang kerana sudah bertahun tidak memperolehi sebarang pekerjaan tetap, akhirnya mengambil keputusan menjual air sirap, tebu atau katira di tepi jalan dan di pasar pasar malam. Saya hormati usaha mereka mencari rezeki yang halal, tetapi tanpa sifat dan kemahiran yang saya sebut di atas, mereka juga akan menemui kegagalan, kerana persaingan hebat sekali, walaupun sekadar menjual air di  pasar pasar malam...

Alam hidup di kampus adalah alam pembelajaran. Alam untuk mengetahu apa yang baik dan apa yang buruk. Alam untuk cuba menjadi insan yang lebih baik dan jika telah melakukan 'kesilapan', segera belajar dari kesilapan tersebut. Alam kampus juga untuk anda belajar memantapkan pembangunan diri. Pensyarah adalah pembimbing anda. Itu adalah sebahagian amanah dan tugas sebagai seorang ahli akademik UKM. Malanglah kalau ada di anatara pensyarah yang tidak menyedari amanah ini. Pelajar harus segera belajar melengkapkan diri dengan kemahiran untuk menghadapi cabaran di alam pekerjaan. Kemahiran komunikasi, kemahiran bekerja sepasukan dalam kumpulan budaya yang sama dan interbudaya, kemahiran membuat keputusan, kemahiran daya saing, inovasi, kreatif, berani mengambil risiko dan berbagai lagi perlu dipelajari. 

Maka ingin saya katakan pada semua pelajar UKM,.... LISTEN...LISTEN...LISTEN.... "sebagai pelajar anda tidak ada pilihan lain untuk berjaya dalam hidup, selain segera tingkatkan kemahiran 'softskills' anda, segera tingkatkan PNGK akademik anda dan segera bina jaringan kerjaya anda...hanya setelah itu, kita bertawakal dan serahkanlah pada Allah swt untuk menentukan untung nasib dan rezeki hidup kita....InsyaAllah... Man jadda, wajadda"




12 April, 2013

Anda Sendiri Buat Pilihan, Samada Ingin Cemerlang atau Gagal?

Saya selesai membaca buat kali ketiga buku tulisan Profesor Dr Amy Chua, pemegang Kursi Undang Undang di Yale University. Setiap kali saya membaca buku beliau yang bertajuk " Battle Hymn of The Tiger Mother", saya pasti akan mengulangi bacaan saya di satu perenggan kecil pada mukasurat 29 beberapa kali. Di perenggan ini beliau menulis...

" What Chinese parents understand is that nothing is fun until you're good at it. To get good at anything you have to work, and children on their own never want to work, which is why it is crucial to overide their preferences. This often requires fortitude on the part of the parents because the child will resist; things are always hardest at the beginning, which is where Western parents tend to give up. But if done properly, the Chinese strategy produces a virtuous circle. Tenacious practice, practice, practice is crucial for excellence; rote repetition is underrated in America. Once a child starts to excel at something-whether it's math, piano, pitching or ballet- he or she gets praise, admiration, and satisfaction. This builds confidence and makes the once not-fun activity fun. This in turn makes it easier for the parent to get the child to work even more.

Latar belakang pendidikan kebanyakan dari kita di Malaysia (khususnya semua yang mengikuti pendidikan aliran kebangsaan) adalah pendidikan berasaskan acuan barat (colonial knowledge). Para guru kita semasa latihan penguruan dilatih tentang psikologi dan sosiologi kerangka barat. Maka gerak hati kebanyakan dari kita 'seperti sudah percaya' dan 'tertawan' bahawa acuan pendidikan barat sahajalah satu satunya tradisi pendidikan yang terbaik. Gerak hati seperti ini tidak semesti sentiasa benar. Masih ada banyak kelemahannya tradisi pemikiran pendidikan barat.

Walaupun Islam juga ada tradisi di dalam menganjurkan pendidikan, nampaknya sifat tradisi pendidikan Islam masih belum mengukuh dalam sistem pendidikan. Walaupun agama Islam sudah sebati dalam kehidupan orang melayu di negara ini. Malah dalam banyak keadaan, tradisi pemikiran pendidikan barat sangat kuat mendominasi pemikiran para pembuat dasar pendidikan selepas merdeka dari kalangan orang Melayu.

Kita mungkin pernah mendengar konsep pendidikan bersepadu, falsafah pendidikan yang menekankan soal keseimbangan dan sebagainya, tetapi sejauh mana konsep dan falsafah itu telah meresapi dan menjadi roh pendidikan negara sukar kita buktikan keberkesanannya.

Prof Amy Chua sekeluarga tinggal dan bekerja di Universiti Yale, sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat. Tetapi beliau berpendirian sistem mendidik anak anak menggunakan budaya Asia khususnya tradisi pendidikan masyarakat Cina adalah jauh lebih berkesan berbanding tradisi pendidikan barat. Saya setuju dengan sebahagian besar pandangan beliau, tidak semuanya. Jika ada masa bacalah buku beliau. Buku kecil setebal 223 mukasurat dan berharga hanya RM45.

Membaca tulisan beliau membawa saya memikirkan tentang untung-nasib pelajar Melayu di UKM. Untuk kali ini, izinkan saya hanya berbicara tentang pelajar Melayu sahaja. Bukan pelajar Cina atau India tidak ada masalah, tetapi catatan kali ini saya tujukan khas pada pelajar Melayu. Mungkin waktu lain, pandangan saya tentang pelajar Tiong Hua dan India juga akan dikongsikan.

Sejak menjadi pengetua IZISH saya telah menggunakan beberapa pendekatan di dalam membangunkan potensi pelajar Melayu. Ada istilah pendidikan untuk menjelaskan pendekatan ini tetapi biarlah saya menggunakan bahasa yang mudah iaitu cara lembut dan memujuk, cara berunding dan sekarang saya cenderung menggunakan pendekatan dengan cara mengkritik. tentunya mengkritik dengan niat untuk meningkatkan potensi dan bukannya untuk menjatuhkan reputasi pelajar.

Dulu dengan cara lembut, sentiasa memuji, dan memujuk telah menyebabkan sebagai pengetua saya disukai oleh pelajar IZISH. Tetapi matlamat saya untuk membangunkan potensi pelajar tidak tercapai sepenuhnya dengan pendekatan ini. Kerana mempunyai budaya lama yang kukuh berkaitan cara  beraktiviti dan belajar, pelajar Melayu menjadi tidak kompetetif sepenuhnya.

Mereka sentiasa menunggu pujian, walaupun atas pencapaian yang sangat kecil. Pemikiran mereka tertumpu kepada penghargaan, pujian dan penghormatan dari rakan rakan atau pihak pengurusan kolej. Benar, dalam psikologi pembangunan manusia bentuk pujian dan penghargaan ini sangat diperlukan, tetapi jika terlalu digunakan, maka pelajar sudah tidak melihatnya sebagai sesuatu yang boleh meningkatkan kualitinya lagi.

Mereka akhirnya suka berada di dalam comfort zone dan tidak berani melakukan sesuatu yang baru bimbang akan tersilap dan tidak akan dipuji, dihormati atau dihargai lagi. Apa yang mereka lakukan ialah, jika beraktiviti mereka akan mengulangi berkali kali projek yang sama selama beberapa tahun. Benar, cara ini menyebabkan mereka kurang melakukan kesilapan, tetapi ini juga bermakna mereka akan kurang memperolehi pengalaman pembelajaran.

Malah dalam banyak keadaan, ada antara pelajar Melayu yang  akan menolak sesuatu program yang mereka rasa sukar dan tidak selesa. Sekali lagi, bimbang melakukan kesilapan. Misalnya, mereka tidak berminat untuk mengikuti program Bahasa Inggeris (ESZ), malah jika dipujuk untuk mengikuti program dalam bahasa Inggeris di kolej, ramai yang menarik diri. 

Pernah IZISH membayar seorang tutor berkelayakan bahasa Inggeris untuk mengadakan kelas komunikasi dalam bahasa Inggeris kepada pelajar yang ingin tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, mulanya seramai 30 orang, tetapi dari minggu ke minggu, hanya tinggal 3 orang sahaja dan ketiga tiganya pelajar Cina.  Sudah tidak ada lagi pelajar Melayu yang bertahan mengikuti kelas tersebut. Akhirnya program ini ditamatkan. 

Banyak lagi peristiwa lain yang boleh saya catatkan, tetapi secara ringkasnya, saya kena akui bahawa ada kalangan pelajar Melayu (tidak semua) yang sukar diubah dengan cara yang lembut dan memujuk. Saya dah mencubanya dan hanya segelintir kecil sahaja pelajar melayu yang berjaya melakukan perubahan diri kepada yang lebih baik dengan cara yang lembut. Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan saya, saya raikan perbezaan pandangan mereka. Cumanya, apa yang saya nyatakan ini adalah pengalaman saya sendiri sejak sekian lama bertugas sebagai pengetua di kolej. Maka kaedah lain yang lebih praktikal, dinamik dan yang lebih berkesan harus dicuba. 

Kita semua tentu belajar sejarah. Sejarah bagaimana penjajah Inggeris memberikan pendidikan kepada generasi nenek moyang kita dulu. Semuanya secara keras dan tidak banyak pilihan. Kesan kolonialisme membina sifat tabah dan berjuang di kalangan orang Melayu. Khususnya golongan Melayu bawahan. Mereka hebat kerana mereka tidak banyak pilihan.

Cuba lihat pula sejarah orang melayu ketika zaman Jepun. Kerana kesusahan hidup dan tidak banyak pilihan, orang melayu ketika itu menjadi inovatif. Mereka mampu mencipta sabun, pakaian, minyak untuk lampu, peralatan rumah, peralatan dapur dan sebagainya. Semuanya kerana mereka dipaksa berfikir akibat kesusahan hidup. Mereka tidak banyak pilihan, dan kerana itu mereka terus bertahan.

Sebab itu saya percaya, kadang kala pilihan yang terlalu banyak menyebabkan kita menjadi lemah dalam mencapai kejayaan. Waktu yang sepatutnya kita belajar, kerana ada pilihan lain, kita gunakan untuk ber 'facebook' tanpa had. Waktu yang sepatutnya kita gunakan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, kerana ada pilihan lain, kita gunakan dengan menonton TV dan Youtube tanpa henti. 

Bila menganjurkan projek kita banyak pilihan dan kita akan lebih suka memilih kerja yang mudah mudah. Kita tidak suka memilih untuk memegang jawatan sukar seperti pemasaran, publisiti atau pengarah projek. Mengapa? kerana kita tak mahu mengambil risiko dan lebih suka yang mudah mudah sahaja. ya, sebab kita ada pilihan, dan pilihannya banyak sekali

Maka itu saya cuba lakukan budaya menkritik untuk meningkatkan potensi serta persaingan pelajar melayu. Mereka tidak lagi boleh 'bersuka-suka' sahaja. Banyak perkara yang sesetengah dari mereka semakin tertinggal (khususnya akademik, bahasa Inggeris, jaringan majiklan dan sebagainya).

Sampai bila pelajar Melayu harus sebegitu? Di saat orang lain berjaya, ada pelajar melayu yang kecewa dan menyesal. Di saat orang lain berpuashati dengan pencapaian akademik dan kemahiran bahasa Inggeris mereka, ada pelajar melayu yang terpaksa berjalan menunduk kepala. 

Saya menghormati pelajar Cina yang rata rata berjaya dengan cemerlang dalam akademik mereka di UKM. saya juga tahu ada antara mereka yang tidak cemerlang, tetapi jumlahnya sangat kecil. Pelajar Melayu yang berpotensi untuk cemerlang sebenarnya ramai, dan yang mahu menjadi cemerlang juga ramai. tetapi yang benar benar berusaha untuk mencapai kecemerlangan tidak ramai, sedikit sekali...

Sebab itu jika ada pelajar Melayu bertanya saya apa yang sepatutnya mereka letakkan sebagai sasaran untuk menjadi cemerlang, saya katakan hanya dua sahaja buat masa ini. Pertama, pastikan keputusan akademik anda sentiasa mencapai 3.67 dan ke atas; dan keduanya pastikan anda boleh bertutur dan menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris atau Arab (pada pelajar FPI). Sasarkan matlamat anda, dan bekerjalah sepenuh dasn sekuat hati. Kemahiran komunikasi, kemahiran berpasukan, kemahiran membuat keputusan dan sebagainya menjadi releven bila dua sasaran utama telah tercapai. 

Pada masa yang sama sebagai seorang muslim, soal ibadah wajib dan sunat jangan kita lalaikan. Itu mengatasi semua kepentingan yang lain dalam kehidupan kita. Saya doakan semoga anda semua terus berjaya.


10 April, 2013

Pembangunan Pelajar UKM Melalui Aktiviti: Satu Pandangan Alternatif...

Di UKM, juga di semua IPTA lain, pelajar diperkenalkan dengan dua model aktiviti untuk pembangunan diri. Pertama, model pembangunan diri bermodul dan dilaksanakan secara berterusan dan keduanya, model program pembangunan diri yang tidak bermodul dan bersifat one-off. Hasil kajian yang dilakukan oleh saya dan beberapa rakan rakan akademik lain yang dilantik oleh pihak KPT menunjukkan kedua dua model ini menawarkan kesan yang tidak sama, dan tentunya juga ada kekuatan dan kelemahan masing masing.

Di dalam membangunkan pelajar, dan jika kita bersungguh sungguh untuk melihat kesannya, cara terbaik ialah menggunakan model aktiviti pembangunan pelajar yang berterusan. Aktiviti model ini diwakili oleh badan PALAPES, SUKSIS, BSMM DAN SISPA atau menjadi ahli sukan atau ahli kebudayaan yang aktif pada pelbagai peringkat (dari kelab hinggalah mewakili UKM atau negara). Begitu juga menjadi ahli debat Perucapan Umum.

Manakala program berbentuk one-off, tidak berfokus walaupun mempunyai kekuatan, masih mempunyai beberapa kelemahan yang ketara. Misalnya sifatnya tidak ada konsep pemeringkatan perkembangan, dilakukan secara ad-hoc, terlalu berpusatkan pelajar, walaupun menyeronokkan tetapi impak pembangunan diri tidak dapat menandingi keberkesanan program yang bermodelkan aktiviti yang mempunyai modul secara berterusan.

Oleh itu saya cenderung untuk melihat bagaimana sebagai pelajar, anda boleh mengabungkan kedua-dua kerangka ini menjadi satu bentuk aktiviti yang bermodul, bersifat berterusan dan ada pemeringkatan perkembangannya tetapi pada masa yang sama anda sendiri yang bebas merangka modulnya, merangka aktivitinya dan menentukan objektif dan pencapaian untuk pembangunan diri masing masing.

Malah dalam konteks UKM, anda lebih beruntung kerana pihak pengurusan universiti melalui PAP telah memperkenalkan Kontrak Pembelajaran (LC). LC belum wujud adi IPTA yang lain buat masa ini.

Malangnya, apabila pelajar tidak  memahami konsep LC yang benar benar boleh membangunkan diri mereka, mereka cenderung melakukan berbagai jenis program bersifat touch & go, tidak berfokus, "cacamarba" dan tidak memberikan kesan terbaik kepada pembangunan diri mereka. Sebagai contoh, untuk melengkapkan 8 kredit,  ada sesetengah pelajar yang adakan lawatan (2 kredit), seterusnya menjadi ajk hari keluarga kolej (2 kredit), menjadi ajk kebudayaan kolej (2 kredit) dan menjadi ajk jualan sempena minggu usahawan (2 kredit).

Walaupun jumlahnya menjadi 8 kredit, bezanya sangat besar berbanding 8 kredit yang dicapai oleh ahli PALAPES, SUKSIS, SISPA atau BSMM. Malah juga sangat jauh bezanya pembangunan diri pelajar kumpulan ini jika dibandingkan dengan lapan kredit yang dicapai oleh ahli debat, atlet UKM, atau pelajar yang menjadi kumpulan penari di Pusat Kebudayaan UKM.

Jika kita tinjau, lebih 90% pelajar berada di dalam kelompok "cacamarba" ini. Hanya segelintir kecil sahaja yang mengikuti program pembangunan diri yang berfokus seperti PALAPES, SUKSIS, SISPA dan BSMM. Begitu juga sangat kecil bilanganya yang menjadi ahli sukan UKM, ahli aktif pusat kebudayaan UKM, apatah lagi yang terlibat dalam Perucapan UMUM UKM.

Sebilangan kecilnya terlibat dalam kepimpinan pelajar di MPP, MEP KOLEJ, persatuan anak negeri, dan persatuan pelajar fakulti. Jika UKM mempunyai hampir 12, 000 pelajar pra siswazah, sekitar 1,200 sahaja yang tergolong dalam kumpulan ini. Selebihnya 90% tidak mempunyai portfolio aktiviti untuk tujuan pembangunan diri masing masing.

Oleh itu sangat penting semua aktiviti pelajar di UKM perlu dimodulkan. Paling utama pelajar sendiri yang mereka-bentuk modul aktiviti untuk pembangunan diri mereka. Yang penting juga, setiap modul mestilah menunjukkan tahap tahap pencapaian softskill dan hardskills yang perlu dicapai. Misalnya jika mereka memilih aktiviti sukan bolasepak, maka mereka mesti bangunkan kemahiran komunikasi atau kerja sepasukan (softskills) dan juga kemahiran mengelecek, teknik menendang bola dan sebagainya (hardskills).

 Contoh aktiviti yang boleh dimodulkan oleh pelajar mengikut minat dan keupayaan masing masing;

Pembangunan Diri Melalui Program Usahawan

a. Tahap Satu (2 kredit) - HPP: Kemahiran komunikasi dan Pencarian Maklumat (Tahap satu adalah Pendedahan kepada hidup dan pemikiran keusahawan- menghadiri kursus, ceramah, lawatan kerja, dialog bersama usahawan berjaya, bengkel pemikiran usahawan)

b. Tahap Dua (2 Kredit) -  HPP Kepimpinan, Komunikasi, Kerja Berpasukan, Membuat Keputusan, Kreativiti dan Inovasi (Tahap dua adalah 'hands-on' menjadi usahawan kecil)- mula membuka perniagaan kecilan di tapak pesta konvo, hari keluarga kolej, karnival usahawan, atau membuka perniagaan online. Boleh dilakukan secara berkumpulan untuk membina sistem sokongan. Mula hadir program usahawan secara serius. IZISH mengalakkan ramai pelajar yterlibat dalam aktiviti peringkat ini di kolej.

c. Tahap Tiga (2 kredit)- HPP Kepimpinan, Komunikasi, Kerja Berpasukan, Membuat Keputusan, Kreativiti dan Inovasi (Tahap tiga ialah Mulakan dengan adakan tapak/kedai kecil/laman web sebuah perniagaan yang berpotensi. Mula mendapat bimbingan CESMED dan pihak agensi kerajaan yang berkaitan. Mula mengikut bengkel dan seminar perniagaan secara serius. IZISH sudah mempunyai IZISH Corner, EZY Kiosk bagi menjayakan peringkat ini.

d. Tahap Empat (2 kredit)HPP Kepimpinan, Pengurusan maklumat, Komunikasi, Kerja Berpasukan, Membuat Keputusan, Kreativiti dan Inovasi (Tahap Empat ialah pelajar Mula wujudkan sebuah syarikat Sdn Bhd atau enterprise. Ada produk dan perkhidmatan yang mempunyai potensi untuk diniagakan di dalam dan luar kampus. Sudah ada keperluan untuk berurusan dengan pihak TEKUN, Prosper dan agensi kerajaan yang menyediakan dana untuk mahasiswa berniaga. Mula belajar tentang marketing secara serius, pengurusan kewangan, pembungkusan dan jaringan perniagaan.

Modul modul seperti juga boleh dilakukan untuk program khidmat masyarakat, kesukarelawanan, kepimpinan, inovasi dan sebagainya. Apa yang penting pelajar sendiri yang membangunkan profil modul masing masing untuk melengkapkan 8 kredit LC.

Malah sangat penting diakhirnya setiap pelajar memliki satu pengiktirafan sebagai bukti pencapaiannya. Palapes akan ada Leftenan Muda, SUKSIS akan ada Inspektor, program usahawan akan ada Lesen Perniagaan Sdn Bhd, sukarelawan akan ada sijil dan menjadi ahli aktif NGO yang menjalankan program sukarelawan dan begitulah yang lain juga.

Analisis Keputusan Akademik Pelajar IZISH Semester 1 (Sesi 2012-2013)













Penghargaan Kepada Saudara Ong Chang Ee, Felo Penghuni IZISH yang telah menyediakan analisis ini.

07 April, 2013

Pelajar UKM PNGK Bawah 2.00...Apa Nasib Mereka Seterusnya?

Statistik keputusan akademik sehingga semester lalu menunjukkan dari 11,156 orang pelajar UKM di peringkat pra-siswazah, terdapat 288 orang pelajar telah memperolehi keputusan paling rendah bila memperolehi PNGK di bawah 2.00. Dari jumlah 288 pelajar, 122 orang berada di tahun pertama pengajian, 118 berada di tahun dua, 25 orang di tahun tiga dan 6 orang berada di tahun empat pengajian.

Pasti timbul pertanyaan mengapa di tahun satu dan dua ramai PNGK di bawah 2.00 sedangkan di tahun tiga dan tahun empat sangat rendah, masing masing hanya 25 dan 6 orang sahaja? Jawabnya kerana ramai yang telah diberhentikan pengajian di tahun dua kerana gagal berada di atas PNGK 2.00 selepas dua semester pengajian berturut turut sebelumnya.

Seseorang pelajar yang mencapai PNGK di bawah 2.00 akan diberikan peringatan akhir, dan jika mereka masih gagal meningkatkan PNGK di atas 2.00 di semester seterusnya, beliau akan ditamatkan pengajian di UKM. Apa jadi pada mereka? mengapa prestasi akademik mereka rendah? Jika mereka tidak cemerlang tentu mereka tidak layak melanjutkan pelajaran ke UKM dulu. 

Oleh kerana telah terbiasa bersama pelajar sebagai pengetua di kolej, pensyarah di Fakulti Pendidikan, dulunya sebagai Timbalan Pengarah Pusat Perkembangan Pelajar dan juga sebagai Pengarah Pusat Pelajar Antarabangsa UKM, saya bertuah kerana dapat banyak pengalaman untuk mengetahui mengapa ada pelajar yang merosot prestasinya walaupun sebenarnya mereka bijak semasa di sekolah dulu.
  1. Saya tahu ada pelajar yang merosot prestasi akademiknya kerana masalah kesihatan. Saya pernah mengendalikan pelajar yang merosot akademik dengan masalah penyakit kanser, masalah saraf, masalah kelesuan otot yang kritikal dan sebagainya. Masalah kesihatan yang kronik memang menyebabkan seseorang pelajar hilang motivasi dan tumpuan untuk meneruskan pengajian. Kumpulan ini pada saya tiada apa yang dapat kita lakukan. Ujian yang mereka tanggung sudah cukup besar untuk mereka lalui. Apa yang penting ialah mereka terus berfikiran positif dan meredhai ketentuan Allah swt. 
  2. Ada pelajar yang merudum prestasi akademik bila mereka tidak dapat meneruskan pengajian dalam bidang yang mereka cita citakan. Misalnya, ada pelajar yang ingin ikuti program perubatan, kejuruteraan atau undang undang tetapi tidak berjaya dan 'terpaksa' mendaftar dalam program yang lain. Kesannya mereka melihat kegagalan untuk mengikuti program yang diidamkan sebagai satu kegagalan yang besar. Oleh itu mereka menunjukkan sikap tidak berminat dan kurang motivasi mengikuti pengajian yang bukan idaman mereka. Kumpulan ini perlukan satu 'penjenamaan semula matlamat dan cita-cita' supaya mereka tahu bahawa walaupun mereka telah kuat  berusaha, ketentuan adalah milik Allah swt. Ada hikmahnya ujian ini pada mereka dan menerima ketentuan itu adala satu penawar yang paling mujarab untuk menghadapi cabaran masa depan.
  3. Ada satu lagi kumpulan pelajar yang merudum prestasi akademiknya di sebabkan persekitaran yang gagal beliau adaptasikan. Misalnya ada yang terlalu 'dibawah ketiak mak ayah' tiba tiba keluar dari rumah, tinggal bersama sama rakan rakan di kolej. Mereka tidak mempunyai kemahiran sosial yang dapat digunakan untuk membuat adaptasi dalam persekitaran yang baru. Sikap mereka seperti 'hilang arah tuju', gelisah, tidak gembira, memliki perasaan bimbang dan keraguan dengan persekitaran baru. Oleh kerana mereka mengambil masa yang agak lama untuk berasimilasi dengan persekitaran baru, ramai antara mereka yang gagal menumpukan perhatian yang tinggi dalam pelajaran seawal mungkin. Kumpulan ini perlu dibantu dengan program 'modifikasi tingkahlaku' supaya mereka segera dapat menyesuaikan diri di kehidupan kampus.
  4. Satu lagi jenis pelajar rendah prestasi akademiknya yang sempat saya jumpa ialah kumpulan yang saya  selalu kenalkan sebagai pelajar "caca-marba". Biasanya ciri ciri pelajar ini, mereka baik dalam akademik pada awalnya. Tetapi bila mula belajar di UKM, mereka hilang fokus. Belajar di kampus berbeza dengan sekolah. Jika di sekolah, apa yang ingin kita lakukan dibimbing oleh guru, di universiti anda yang tentukan apa yang ingin anda lakukan. Oleh kerana berfikiran cacamarba, pelajar dalam kumpulan ini akan sertai berbagai bagai aktiviti dan program bukan akademik. Mereka sangat suka anjurkan berbagai projek, lepas satu, timbul pula aktiviti yang lain. Ada pelajar dalam kumpulan ini yang menjadi ahli atau AJK dalam berbagai projek, persatuan dan kelab. Oleh kerana terlalu cacamarba, mereka hilang masa untuk belajar, letih untuk menelaah pelajaran dan tidak memberikan fokus untuk belajar. 
  5. Ada juga pelajar yang merudum prestasi akademik, bukan kerana kecewa tidak dapat program yang diidamkan atau gagal adaptasi dengan persekitaran kampus atau juga kerana pemikiran 'cacamarba', tetapi mereka gagal dalam akademik kerana sentiasa dirundung masalah yang mereka cari sendiri. Pelajar yang "suka cari masalah ini' memang ada di kampus. Mereka berkawan dengan kumpulan remaja luar kampus yang tidak memikirkan masa depan dan berpeleseran, ada juga yang terjebak bercinta dengan suami orang yang akhirnya ditinggalkan begitu sahaja, ada pula yang dipermainkan oleh teman lelaki yang tidak bertanggungjawab, ada juga satu masa dulu saya pernah membantu pelajar yang terlibat dengan kumpulan ajaran tarekat yang tidak jelas ilmu agamanya. Alhamdullilah dengan bantuan beberapa rakan akademik UKM dalam bidang dakwah, beliau kembali sedar kesilapannya dan kembali memberikan fokus kepada akademik dan selesai pengajian selepas itu. Beliau pada satu peringkat hampir mengambil keputusan untuk berhenti belajar kerana taksub pada kumpulan ajaran tersebut, dan ibubapanya sampai beliau tamat pengajian tidak tahu tindakan 'bodoh' yang cuba beliau lakukan. Ada pula pelajar yang rendah prestasi akademik berpunca kerana terlibat dengan perniagaan MLM sehingga berhutang di sana sini. Mereka berhutang dengan rakan rakan, dengan pensyarah, saudara mara dan sebagainya. Pernah saya membantu menjadi orang tengah untuk menyelesaikan masalah seorang pelajar yang terpaksa 'melarikan diri ke sana sini' kerana mengelak terserempak dengan pemberi hutang.  Ada juga yang terjebak dengan aktiviti berpolitik luar kampus secara berlebihan sehingga meninggalkan kuliah, tidak menyiapkan tugasan akademik atau ke makmal. Kerana mengikut nafsu berpolitik, akhirnya kehidupan mereka menjadi tidak tenteram dan tidak dapat tumpukan kepada pembelajaran.
  6. Tetapi yang paling ramai dan menjadi sebab paling utama mengapa seseorang pelajar gagal mencapai prestasi akademik yang baik adalah MALAS. Dari sikap bermalasan yang sedikit kepada pelajar yang benar benar malas. Punca mengapa seseorang pelajar menjadi malas banyak. Tiga yang paling utama ialah tidak jelas cita cita hidup, kedua tidak mempunyai kemahiran belajar yang betul sehingga menimbulkan rasa bosan, kecewa dan hilang komitmen dan ketiganya tidak mahu keluar dari "persekitaran zon selesa". Misalnya pelajar malas belajar bahasa Inggeris kerana mereka tidak nampak keperluan yang kritikal bila bergraduan kelak, atau mereka tidak tahu apakah cara terbaik belajar untuk menguasai bahasa Inggeris dan ketiganya mereka lebih selasa bergaul dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing masing sehingga malas untuk belajar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
Jika berasaskan data ini, pelajar UKM yang tidak mencapai PNGK 2.00 dua semester berturut turut pada semester lalu telah diberhentikan pengajian mereka, persoalanya apa nasib mereka seterusnya? Mengapakan peluang untuk belajar di UKM dulu tidak mereka gunakan sebaiknya, mereka sepatutnya tamatkan pengajian dengan prestasi akademik terbaik, kemudian masuk ke alam pekerjaan dengan kemahiran 'sofiskills' yang memuaskan, ambil peluang belajar bahasa Inggeris dan ambil peluang semasa di UKM untuk membuat jaringan dengan seramai mungkin bakal bakal majikan.

Pada pelajar yang sedang belajar di UKM, insaf dan perbetulkan fokus anda. Tanamkan niat dan azam "walau apa pun yang berlaku aku pasti menjadi kumpulan pelajar PNGK 3.67 dan ke atas apabila melangkah masuk di dewan konvokesyen nanti..

Siapa kata anda tak boleh lakukan...saya yakin anda boleh, kerana saya pernah melakukannya dulu...

03 April, 2013

PNGK 3.67 dan Ke Atas Milik Siapa di UKM?

  1. Hari ini saya menerima data berkaitan PNGK atau CGPA (Cumulative Grade Point Average) prestasi akademik pelajar pra siswazah UKM semester lepas. Data ini  penting pada orang seperti saya dan mungkin juga orang lain, yang melihat pencapaian pendidikan dan kecemerlangan akademik sebagai suatu wasilah yang  mengubah masa depan anak anak bangsa menjadi lebih baik, lebih lebih pelajar yang datangnya dari keluarga yang miskin.
  2. Saya setuju maksud cemerlang di dalam konteks universiti adalah pelbagai. Ada pelajar yang cemerlang akademik, ada pula yang cemerlang sukan, cemerlang kesenian, atau kepimpinan dan berbagai lagi. Oleh itu, mencari makna pelajar paling cemerlang di peringkat universiti mungkin akan menjadi sesuatu yang sia sia. Walaupun ada pelajar yang hebat akademiknya, hebat sukan, kepimpinan dan berbagai lagi, pada akhirnya beliau tetap kena memilih apakah yang ingin beliau paling cemerlang sekali. Faktor minat, sokongan keluarga, pengaruh rakan rakan, idola, kemudahan sokongan yang disediakan dan pengiktirafan pihak universiti akan menjadi faktor penentu kepada keputusan seseorang memilih.
  3. Saya mengenali beberapa pelajar yang mempunyai karisma kepimpinan, bijak berpidato tetapi tidak memilih untuk menjadi pemimpin persatuan pelajar sebaliknya memilih untuk menjadi pengiat khidmat masyarakat dengan caranya sendiri. Di IZISH dulu, seorang pelajar siswi yang sudah mewakili negerinya dalam SUKMA dalam acara memanah memilih untuk menjadi cemerlang dalam bidang kesenian kerana ketika itu sistem sokongan tidak ada bila UKM belum mempunyai padang sasar untuk sukan memanah.
  4. Tetapi apapun hujah kita tentang maksud kecemerlangan pelajar, kita tetap bersetuju mengakui bahawa kecemerlangan akademik masih merupakan kecemerlangan yang paling atas kedudukan dalam sistem pengajian universiti yang konvensional seperti di UKM. Juga di semua IPTA lain di Malaysia. Malah itulah juga yang masih dipegang kukuh oleh kebanyakan universiti di dunia (khususnya di negara negara membangun).
  5. Universiti konvensional meletakkan kecemerlangan akademik di tingkat tertinggi, manakala pada masa yang sama mencuba-cuba untuk mengiktiraf kecemerlangan lain seperti cemerlang sukan, kesenian, kepimpinan, khidmat masyarakat dan sebagainya. Memang ada, dan telah pun diterima, tetapi sifat penghormatannya tidaklah setinggi kita menerima pengiktirafan kecemerlangan akademik. Oleh itu samada kita suka atau tidak, cemerlang dalam bidang akademik adalah sesuatu yang sangat penting dan dituntut, termasuklah kepada semua pelajar UKM.
  6. Data keputusan akademik yang ada pada saya menunjukan pada sesi lepas terdapat 11,156 pelajar UKM yang mengikuti pengajian pra siswazah di semua fakulti di UKM. Dari jumlah tersebut hanya 722 orang pelajar atau 6.47% sahaja yang telah berjaya memperolehi PNGK 3.67 dan ke atas. Manakala 3,050 (27.34%) pelajar pula berada pada PNGK 2.50-2.99. Jumlah yang paling besar iaitu sebanyak 6,302 atau (56.49%)berada antara skor PNGK 3.00-3.66. yang paling rendah iaitu berada di bawah PNGK 2.00 adalah seramai 288 pelajar atau 2.56%. Kumpulan Sederhana rendah (2.00-2.49) mempunyai seramai 794 pelajar atau 7.12%.
Apa yang boleh kita belajar dari angka angka ini? Pada saya ada empat perkara yang penting dihayati;
  • Angka angka ini mengambarkan kumpulan yang cemerlang di UKM tidaklah ramai hanya sekitar 6% sahaja. Maknanya jika anda boleh berada dalam kelompok terbaik (3.67 dan ke atas), anda sebenarnya sudah berjaya berada di hadapan 94% pelajar yang lain dalam persaingan mendapat pekerjaan atau kerjaya terbaik. Tentulah ini baru satu dari faktornya. anda tetap perlukan komunikasi, bahasa Inggeris serta kemasan diri yang hebat semasa ditemuduga nanti. Tetapi sekurang kurangnya anda telah jauh di hadapan pesaing anda.
  • Pelajar yang average (sederhana atau biasa biasanya sahaja) adalah yang paling ramai di UKM. Dalam kes ini, gabungan kumpulan sederhana yang memperolehi PNGK 2.50-2.99 dan 3.00-3.66 mewakili hampir 83.84%. Maknanya persaingan dalam kumpulan ini sangat sangat hebat dan sukar sekali. Jika saya seorang pelajar, saya akan  memilih untuk tidak berada dalam kumpulan ini dan akan berusaha bersungguh sungguh untuk berada dalam kumpulan 6% terbaik kerana ini akan memudahkan masa depan saya. Persaingan dalam kumpulan 6% peratus adalah lebih mudah untuk mendapat kerjaya yang baik kerana saya awal awal lagi sudah "menang" dalam persaingan denagn kumpualn sederhana ini. Memanglah untuk berada di dalam kumpualn 6%, saya harus belajar sangat kuat dan bersungguh sungguh.
  • Pelajar yang cemerlang akademik mempunyai cara belajar yang mungkin tidak ada pada pelajar yang average atau yang lemah. Mungkin sekali lihat semua pelajar belajar dengan cara yang sama. Kajian oleh pelajar sarjana saya (saya adalah penyelia tesisnya) menunjukkan cara belajar di kalngan pelajar cemerlang dan pelajar sederhana adalah berbeza. Malah sangat jauh berbeza antara cara atau gaya belajar pelajar cemerlang dengan pelajar lemah (PNGK di bawah 2.00). Jika pelajar sederhana dan lemah tidak segera melakukan intervensi (perubahan) gaya pembelajaran mereka, maka sukar untuk mereka meningkatkan prestasi akademik mereka dalam masa yang singkat. Misalnya pelajar cemerlang (dalam kebanyakkan keadaan) mempunyai cara belajar yang konsisten sejak awal semester, walaupun mereka aktif dalam sukan, seni atau berpersatuan, mereka tidak 'melepaskan fokus belajar' dan tetap belajar pada setiap hari.
  • Berada dalam kumpulan yang berprestasi sederhana tinggi-PNGK 3.00-3.66 (seramai 56.49% di UKM) sebenarnya sesuatu yang tidak boleh membuat kita rasa selesa. Sebagai pelajar, berada dalam kelompok ini adalah sesuatu yang pada saya secara peribadi,sangat merimaskan. Bayangkan jika saya tamat dengan 3.60 atau 3.65, saya berada cukup dekat untuk memperolehi 3.67 atau ijazah kelas Pertama (First Class). Mengapa tidak saya usaha lebih lagi untuk mendapat PNGK 3.67. Walaupun rezeki anugerah Tuhan, kita juga percaya bahawa man jadda, wajada (sesiapa yang berusaha dia akan memperoleh hasilnya)
Melihat kepada keputusan ini, sebaiknya pelajar UKM kembali sedar akan tujuan asas mereka ke universiti. Janganlah kita asyik dengan bermain politik sahaja. Atau terlalu bermuka buku (FB) sahaja. Asas kepada mencari ilmu walaupun luas dan bertujuan membina insan yang celik tentang alam sekelilingnya, ia masih bermula dengan mencapai keputusan akademik yang baik. Jadilah apa pun yang kita inginkan, samada pejuang rakyat, pembela masyarakat atau pejuang kebenaran atau apa sahaja, tetapi asasnya mencapai prestasi akademik yang cemerlang masih amanah yang wajib kita selesaikan.

Bersyukurlah, Allah telah berikan rezeki yang hebat untuk kita belajar di IPTA yang penuh dengan segala kemudahan seperti di UKM. Kita juga jangan sekali kali  lupa bahawa duit rakyatlah yang menanggung 90% kos pengajian kita, kita cuma tanggung 10% sahaja. Kita telah gunakan banyak duit rakyat. Jangan sekali kali kita lupa jasa rakyat. Jika kita lupa tentang hal ini, apa bezanya  antara kita dengan mereka yang makan rasuah atau yang membazirkan wang rakyat. Kita dan mereka sama sahaja.

Rakyat menuntut kita menjadi pelajar universiti yang cemerlang akademik, tinggi sahsiah dan murni moralnya. Rakyat mengharapkan kita menjadi pemaju masa depan negara, agama dan bangsa. Jangan sekali kali kita lupa tentang hal ini. Bimbang nanti, kalau kita ditanya di akhirat kelak, "mengapa kamu tidak laksanakan tanggungjawab untuk mencapai kecemerlangan dalam pengajian setelah dilimpahkan dengan berbagai rezeki!" agaknya apakah jawapan terbaik yang kita akan berikan!  Maka belajarlah bersungguh sungguh. InsyaAllah, PNGK 3.67 dan ke atas, pasti juga menjadi milik anda!