16 October, 2011

PMUKM Gagal Hayati Aspirasi UKM

UKM telah ditubuhkan sejak 41 tahun yang lalu dan mempunyai status yang agak istimewa. UKM diberikan status kebangsaan. Satu- satu universiti yang seumpamanya di Malaysia. Apa maknanya status ini ? Kita ada lagu Negaraku sebagai lagu kebangsaan, kita ada bunga kebangsaan iaitu Bunga Raya, kita ada Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu, kita ada agama rasmi  iaitu agama Islam, maka negara kita juga ada sebuah universiti kebangsaan iaitu UKM.

Membawa status sebagai satu-satunya universiti kebangsaan menyebabkan kita semua seluruh warga UKM harus insaf tentang peranan kita di UKM, sebagai memenuhi status ini. Maka kita harus memahami TIGA teras aspirasi UKM yang mendokong peranannya sebagai sebuah universiti kebangsaaan.

Teras aspirasi UKM pertama yang harus dikongsi dan dihayati oleh seluruh warga UKM ialah UKM sebuah universiti yang terbina hasil perjuangan rakyat khususnya orang Melayu. Pelajar bukan Melayu khususnya Cina, India dan pelajar Sabah dan Sarawak harus memahami sejarah ini. Kisah bagaimana orang Melayu di bandar, kampung dan  pendalaman membantu dan menyokong pemimpin Melayu mengumpulkan dana dan menyakinkan kerajaan ketika itu bahawa sudah sampai masanya sebuah universiti yang berteraskan bahasa pengantar bahasa Melayu ditubuhkan.

Manakala para pemimpin Cina dan India bukan sahaja tidak membantah idea penubuhan UKM malah telah memberikan sokongan kepada usaha ini. Maka hasil usaha keras di kalangan semua orang Melayu dan sokongan dan persefahaman yang diberikan oleh orang Cina, India dan Sabah Sarawak, UKM ditubuhkan secara rasmi pada 18 Mei 1970. Hari ini UKM menjadi milik bersama rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama, bangsa atau wilayah.

Oleh itu jika pemimpin pelajar UKM memahami teras aspirasi UKM bahawa "UKM universiti rakyat" mereka perlu kembali berkhidmat untuk membalas budi baik rakyat. PMUKM sebagai badan induk pelajar harus menerajui aspirasi ini di peringkat pelajar. Jika PMUKM memahami aspirasi UKM yang pertama ini, mereka akan memberikan keutamaan untuk menganjurkan program kemasyarakatan. Program khidmat masyarakat perlulah untuk semua kaum dan sasaran utama ialah kumpulan masyarakat yang sangat memerlukan bantuan seperti masyarakat miskin dan masyarakat OKU, orang asli dan kanak-kanak terbiar di bandar besar.

Adalah kurang bijak jika PMUKM hanya menganjurkan khidmat masyarakat di kalangan kampung Melayu sehingga meninggalkan usaha membantu masyarakat Cina di kampung kampung baru dan masyarakat India di kawasan estet. Adalah salah juga jika PMUKM hanya menggalakan pelajar Melayu ke kampung kampung, pelajar Cina ke kampung baru dan pelajar India menganjurkan khidmat masyarakat di kawasan estet. Itupun kalau PMUKM mempunyai program untuk diadakan di kampung baru dan kawasan estet. Setahu semua pelajar UKM, PMUKM belum lagi ada sebarang perancangan untuk menganjurkannya.

Teras aspirasi UKM yang kedua ialah UKM sebagai sebuah universiti kebangsaan wajib mempertahankan serta memperjuangkan identiti kebangsaan yang terkandung di dalam perlembagaan negara. Perkara 3(1), Islam sebagai agama rasmi negara, perkara 152, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perkara 153 berkaitan hak keistimewaan orang Melayu dan perkara 181, kedaulatan raja raja Melayu.

Sebagai contoh perlembagaan telah menetapkan bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara. Maka para pelajar UKM harus memperjuangkan dan menterjemahkan pernyataan dalam konteks kegiatan pelajar. Selain bagi tujuan Islam untuk berpolitik (jika ada), kita boleh mengucapkan tahniah pada ISIUKM yang begitu berjaya dan aktif menganjurkan program keIslaman di UKM. Usaha tarbiyah ini adalah kejayaan ISIUKM di dalam menjunjung teras kedua aspirasi UKM yang selari dengan pernyataan perkara di dalam perlembagaan bahawa Islam adalah agama rasmi Malaysia.

Begitu juga halnya dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. PMUKM harus menterjemahkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di dalam aktiviti (bukan sekadar menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar aktiviti tetapi juga menganjurkan aktiviti bagi tujuan menyedarkan pelajar UKM bahawa bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan.

Maka para pimpinan PMUKM harus mengerakkan usaha-usaha untuk memperkukuhkan dan memperjuangkan Bahasa Melayu supaya benar benar bersifat kebangsaan di UKM. Malangnya pada sesi ini tiada apa pun yang dilakukan oleh PMUKM untuk memenuhi teras aspirasi ini. Malah Bulan Bahasa Kebangsaan yang disambut pada bulan ini (Oktober) di seluruh negara dipandang sepi oleh PMUKM.

Di peringkat pengurusan UKM, PTSL bertanggungjawab dalam aktiviti bulan bahasa, di peringkat pelajar, PMUKM adalah badan induk untuk merancang dan menganjurkannya. Sepatutnya PMUKM menjemput semua kolej kediaman bekerjasama menjayakan program bulan kebangsaan pada bulan ini. Malangnya sekarang sudah masuk minggu ketiga bulan Oktober dan mungkin sudah agak terlewat bagi PMUKM.

Apa salahnya sebagai menghayati teras kedua aspirasi UKM ini, PMUKM menganjurkan program pidato, debat bahasa Melayu, pertandingan esei, larian kesedaran bahasa, pertandingan lagu lagu bahasa Melayu untuk pelajar bukan Melayu atau jika pun tak mampu lakukan semua yang dicadangkan sekurang kurangnya PMUKM boleh naikkan satu 'banner' di Pusanika memaklumkan 'PMUKM Mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Bahasa Kebangsaan' untuk dirasai oleh para pelajar. Peliknya pada sesi ini banyak sungguh 'banner' yang memaparkan wajah Presiden PMUKM dan exco PMUKM di sekitar UKM sehinggalah ke kawasan meletak kenderaan di komuter UKM tetapi mereka tidak berupaya menyediakan walaupun satu banner untuk meraikan bulan bahasa kebangsaan!

Teras aspirasi UKM yang ketiga ialah memperkukuhkan perpaduan kaum berasaskan kontrak sosial yang telah diamalkan sekian lama dan terbukti memberikan kesejahteraan dan keharmonian hidup masyarakat negara ini. PMUKM sepatutnya berusaha untuk menganjurkan perpaduan di antara kaum kaum utama seperti Melayu, Cina , India dan etnik Sabah Sarawak.

Pengukuhan perpaduan pelajar UKM tidak boleh berlaku secara retorik misalnya "Marilah bersama Islam", "Islam agama perpaduan", "PMUKM sayang pelajar bukan Islam " tetapi mestilah dalam bentuk tindakan dan perlakuan dalam PMUKM. Malah PMUKM seperti tidak menyokong usaha perpaduan sebagai teras ketiga aspirasi UKM bila bertindak menyenaraikan hanya seorang sahaja pelajar Cina dan tiada pelajar India dalam urusetia induk (MT) Pesta Konvokesyen.

Malah dalam takwim PMUKM sesi ini hampir tidak ada aktiviti perpaduan kaum (Melayu, Cina dan India) dinyatakan. Malah usaha integrasi nasional Semenanjung Sabah dan Sarawak juga tidak kelihatan dalam takwim PMUKM sesi ini.

Jika PMUKM gagal menghayati tiga teras aspirasi UKM; (a) UKM universiti rakyat, (b) UKM mempertahankan identiti kebangsaan yang termaktub dalam perlembagaan dan; (3) UKM berusaha mengukuhkan perpaduan kaum berasaskan kontrak sosial, hal ini amatlah mendukacitakan. Ketiga-tiga teras aspirasi UKM melangkaui fahaman politik kampus yang sempit. Teras aspirasi UKM adalah menyokong agenda besar pemimpin negara terdahulu dan mesti diteruskan. Maka PMUKM yang mewakili semua pelajar UKM bertanggungjawab menghayati, mengukuh dan memperjuangkan tiga teras aspirasi UKM secara bersungguh-sungguh.

Jika PMUKM berjaya menghayati dalam memperjuangkan ketiga-tiga teras dalam aspirasi UKM, maka kewujudan urusetia dan kelab Aspirasi sudah tidak relevan lagi di UKM. Malangnya PMUKM telah gagal menghayati aspirasi UKM kerana lebih mendahului perjuangan untuk kepentingan kumpulan mereka. Bagaimanapun hal ini boleh diperbaiki. PMUKM masih berupaya dan harus mula menggerakkan teras aspirasi UKM, "better late than never".

Oleh itu  disarankan PMUKM sebagai badan induk pelajar UKM mengambil inisiatif menganjurkan "Forum Penghayatan Perlembagaan Negara" agar pelajar UKM berpeluang memahami peranan mereka sebagai warga pelajar di sebuah universiti berstatus kebangsaan. Jika PMUKM tidak berminat dengan usaha ini, pasti ada kumpulan pelajar lain yang sayangkan UKM akan berminat menganjurkannya dan meletakkan tiga teras aspirasi UKM di tempat yang sewajarnya.