16 February, 2012

Bila Kita Kekurangan, Kita Akan Lebih Bersyukur

Saya bersyukur masih punya ayah dan ibu yang dapat saya peluk dan cium setiap kali pulang ke kampung. Saya bersyukur di saat saya perlukan seseorang untuk memberikan ketenangan, ibu sentiasa ada untuk mendengar keluhan saya. Saya bersyukur pada setiap saat akan ada insan yang sentiasa mengingati dan mendoakan saya, siapa lagi kalau bukan ibu dan ayah.

Hujung minggu ini ialah minggu program kebajikan di IZISH. Ada satu kumpulan pelajar IZISH akan ke Rumah Seri Kenangan Cheng di Melaka. Rumah kenangan ini sejak tiga tahun lepas tidak pernah di lupakan oleh pelajar IZISH. Mereka akan ke sana membantu pengurusan rumah kenangan bergotong royong mengemaskan bilik bilik warga tua, menyampaikan sumbangan derma, membuat persembahan dan yang paling penting ialah duduk bersama warga tua untuk mendengar dan berkomunikasi dengan warga tua di sana.

Sejak beberapa tahun lalu, nasihat saya pada mereka yang pergi ke sana tetap sama. Orang tua bukan inginkan duit ringgit yang melimpah ruah, bukan barangan eletrik atau sajian makanan yang banyak, mereka inginkan seseorang bersama mereka, duduk dan berkomunikasi dengan mereka. Lebih lebih lagi mendengar perasaan dan suara hati mereka. Inilah juga yang akan menyumbang kepada pembanguan insaniah pelajar, erti sabar, bijak berkomunikasi, mendengar dengan intiutif dan yang akhir sekali mengucap rasa syukur.

Itu kisah di Melaka. Di IZISH pula pada hari yang sama akan berlangsung program Kursus Asas Sembelihan. Hasil sembelihan kambing dan ayam (sumbangan Majlis Agama dan JAKIM) kemudiannya akan diadakan majlis kenduri untuk seluruh warga IZISH. Khabarnya akan ada masak kambing menu orang Melaka, sup kambing, ayam masak kicap, kerabu dan sebagainya. Apa yang lebih menarik kenduri ini juga akan disertai oleh anak anak yatim dari kajang. Mereka akan tiba di IZISH, ada sesi bersama kakak dan abang di IZISH, majlis jamuan, persembahan dan seterusnya majlis penyampaian sumbangan pelajar IZISH untuk anak anak yatim.

Sebagai pengetua IZISH tentunya saya bangga punyai warga kolej yang tahu erti bersyukur dengan membuat amal kebajikan. Sekumpulan pelajar di Melaka bersama warga tua, sebahagian lagi di IZISH bersama anak anak yatim. Dua kumpulan insan yang kurang bernasib baik berbanding insan lain. Jelas konsep kebajikan bukan sekadar berdakwah supaya orang lain membuat kebajikan tetapi terus mengambil tindakan membuat kebajikan itu sendiri. Tahniah buat warga IZISH.