15 October, 2011

Berani Kerana Benar

Petang tadi selesai solat Asar di surau IZISH, sambil menuruni tangga surau untuk ke pejabat, saya sempat bertanya khabar dengan beberapa pelajar yang mengimarahkan surau IZISH. Alhamdulillah surau IZISH semakin aktif dengan beberapa program yang dijalankan sejak bermulanya semester ini. Dari bertadarus Al Quran setiap malam, penganjuran solat hajat, ceramah selamatkan Palestin bersama Aman Palestin hinggalah menganjurkan majlis berbuka puasa sunat.

Tahniah atas usaha pengurus bahagian kerohanian dan sivik IZISH (saudara Pak Lah). Dalam kesibukan berkuliah, team kerohanian surau IZISH masih berupaya memganjurkan pelbagai program meningkatkan amalan dan juga program kesedaran berkaitan pejuangan membela Islam. Malah majlis berbuka puasa jadi lebih menarik bila berjaya menarik pelajar bukan Islam tempatan dan antarabangsa untuk ikut serta.

Tanpa terduga, salah seorang pelajar mengajukan soalan, "saya baca FB PMUKM, nampaknya pengetua dah kena 'marah' dengan PMUKM'". Saya angguk sambil tenung mata pelajar ini . Kaki kami  terus melangkah turun tangga. Secepat itu juga saya berfikir, saya kena terangkan sesuatu yang penting pada pelajar ini.

Selalunya saya suka berbincang dalam kumpulan kecil dengan pelajar jika ingin memberikan apa juga penerangan tetapi kali ini biarpun untuk seorang, saya perlu terangkan melihatkan beliau berminat untuk tahu apa sebenarnya telah berlaku.

Kami sama-sama duduk di sofa lobi kolej. suasana lobi agak sunyi dan tenang sekali. Saya katakan padanya, "Saya adalah guru, tugas saya mendidik. Dulu saya guru sekolah, saya dah mengajar di sekolah yang sangat daif di pendalaman Sarawak, saya dah dah tengok betapa susahnya anak orang miskin berjuang untuk mencari ilmu. Berjalan kaki meredah jalan lori balak berbatu-batu ke sekolah, mengharungi sungai deras dan denai yang becak dan berlumpur. Kita di sini tak merasai kesukaran tersebut. Malah lebih sedih jika kita juga tidak bersyukur dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak universiti pada kita.

Saya juga dah ada pengalaman mengajar di sekolah Jenis Kebangsaan di bandar besar. Sekolah yang mempunyai pelajar dari keluarga yang kaya-raya. Hasilnya saya dah tengok kesombongan manusia dalam mencari ilmu walaupun bukan semua. Saya dah jumpa berbagai ragam dan jenis pelajar. Ada yang bersopan santun, ada yang nakal dan ramai yang degil. Ini bukan kali pertama 'dikata' oleh pelajar. Dah banyak kali, secara berdepan dan juga secara sembunyi sembunyi.

Semuanya kerana saya memberi nasihat dan mereka tidak setuju dengan nasihat saya.Tetapi siapa pun mereka, baik atau nakal, sopan atau kasar, mereka tetap pelajar saya, saya bertanggungjawab sepenuhnya mendidik mereka. Jika mereka menolak nasihat saya, itu di luar kemampuan saya", kata saya sambil senyum pada pelajar ini.

Kami berbual lagi, tapi kali ini saya rasa ingin lebih bercakap. Saya katakan pada pelajar ini "saya dah lebih sepuluh tahun menjaga pelajar dari kolej hingga ke PPP. Saya dah tengok lebih sepuluh batch pelajar UKM bergraduan, lebih lebih lagi pelajar di Kolej Ibu Zain. Saya dah lalui bagaimana seorang pelajar yang saya selia kertas projeknya terang terang memarahi dan mencerca saya kerana beliau 'mabuk' dengan politik kampus. perjuangan Islam kononnya.

Tetapi saya sedaya upaya bantu dan bimbing beliau siapkan kertas projek kerana masa pengajian beliau yang semakin suntuk. Alhamdullilah beliau berjaya bergraduan dan telah pun menjadi guru. Saya tak pernah bezakan siapa pun mereka. Mereka tetap pelajar saya. Mereka bukannya penjenayah, mereka adalah pelajar yang perlukan pendidikan untuk meneruskan kehidupan.

Saya katakan lagi, "ramai rakan rakan saya dulu yang lantang berpolitik, jauh lebih lantang daripada apa yang ada pada hari ini, sekarang dah berjawatan tinggi dalam berbagai jabatan kerajaan dan swasta. Ada yang dah jadi pengarah bahagian, ada yang dah jadi pegawai kanan PTD di Wisma Putra, ada juga menjawat jawatan kanan dalam pasukan polis dan kastam.

Hari ini bila kami berjumpa sempena re-union dan juga bermain golf bersama sama, apabila saya berseloroh "mengapa engkau kuat sangat berpolitik masa kat UKM, ada antara mereka menjawab dalam nada yang bergurau  "ala itukan masa darah muda, masa masih muda belia". Mereka yang dulunya kononnya pejuang agama semasa di kampus, hari ini mereka langsung tidak melibatkan diri dalam mana-mana badan politik. Sibuk dengan kerjaya dan keluarga dan juga persatuan surau dan penduduk di kawasan perumahan masing masing.

Itu sebabnya saya tak akan marah pelajar bila ada yang 'mengata' pada saya. Mereka masih belajar. Nanti mereka juga akan seperti kawan kawan saya sekarang, bekerja, bekeluarga dan meneruskan kehidupan seperti orang lain. Masa itu mereka juga ada perjuangan. Perjuangan membesarkan anak-anak dan berusaha meningkatkan amal ibadat para ahli keluarga.Selain itu, mereka perlu memastikan kerjaya berkembang dan berjaya.

Ada juga beberapa rakan yang cuba bemain politik tetapi mereka akhirnya sedar bahawa politik kampus masih rendah cabaran dan tarafnya jika nak dibandingkan dengan ranjau permainan politik sebenar di luar sana.

Sementara pelajar-pelajar ini masih belajar dan menuntut di UKM, mereka tetap pelajar saya. Insyallah, kematangan hidup akan bermula sebaik mereka melangkah ke alam kehidupan yang sebenar. Hari ini mereka masih bergantung dengan bantuan para  pensyarah, para pengetua kolej, para felo dan pihak pengurusan universiti untuk menguruskana masa depan mereka, tiba masanya di luar sana mereka harus menguruskan kehidupan sendiri.

Oleh itu jika ada antara mereka yang tak setuju dengan saya atau mana mana orang lain yang cuba menasihati mereka semasa di kampus, itu bukanlah sesuatu yang pelik. Mereka berdarah muda. Hanya selepas selesai pengajian, barulah kematangan mereka akan diuji.  Saya katakan pada pelajar tersebut, " saya berani kerana saya tahu saya benar". Saya akan teruskan tanggungjawab saya mendidik selagi saya berupaya. Jika ada yang menolak bimbingan saya, itu maknanya cara saya mendidik yang salah, dan saya harus terus berusaha memperbaiki kaedah didikan saya. Kami terus berbual.

Akhirnya, pelajar ini memberikan senyuman sambil  menghulurkan tangan bersalam dengan saya untuk memohon pulang ke biliknya. Saya menarik nafas tanda lega kerana saya tahu "saya berani kerana saya yakin saya benar". Lega kerana saya tak rasa bersalah di dalam hati atas keputusan saya. Moga Allah memberkati usaha saya.