11 November, 2013

Virtual Office Untuk Persatuan Pelajar UKM

Jika kita ke syarikat DIGI, kita akan melihat kelainan bentuk serta budaya kerjanya. Persekitaran kerja mereka tidak lagi berpusat tetapi mereka bergerak bebas dalam ruang. Yang penting bersama mereka, walaupun ke mana mereka pergi, pasti dibawa telefon bimbit, tablet atau laptop. Jika kita ke JKR Malaysia, kita juga akan mula bertemu dengan ramai arkiteknya yang  bekerja dari rumah. Mereka menggunakan kemudahan internet sepenuhnya dalam urusan mereka.

Di luar negara syarikat Google, Yahoo dan Apple telah merevolusikan persekitaran kerja mereka. Kita mula melihat pejabat maya atau virtual office (VO) berkembang dengan pesat. Dijangkakan 5 tahun dari sekarang, VO akan menjadi teras baru dalam persekitaran kerja moden. Beberapa bidang kerjaya seperti journalism, pembangunan perisian program, pasaran saham dan currency exchange sudahpun maju dalam ruang VO ini.

Apa kena mengena fenomena VO dan pelajar UKM?

UKM sebagai sebuah universiti adalah tempat untuk mahasiswa 'menyentuh' dan merasai masa depan mereka. Malah di beberapa universiti yang giat menjalankan program internship, mahasiswa mereka pergi lebih jauh dengan mengalami sendiri apakah rasanya berada di alam pekerjaan yang sebenar. Di era ini, sesebuah universiti akan dilihat terkehadapan bila institusi tersebut berjaya  menyediakan peluang dan pengalaman persekitaran/kemahiran 'kerjaya masa hadapan' pada pelajarnya. Jika sebaliknya berlaku, sesebuah universiti walau sebesar manapun kampusnya akan dilabelkan sebagai sebuah universiti yang ketinggalan, tradisional dan melalui era kemerosotan.

Di peringkat pembangunan pelajar UKM, pengalaman dan peluang ini harus dibangunkan. Salah satunya melalui kewujudan Virtual Office untuk persatuan pelajar UKM. Data terkini JPPEL menunjukkan UKM sekarang mempunyai lebih 200 buah persatuan pelajar. Bilangan ini merangkumi persatuan di Pusanika, Fakulti, Jabatan, Kolej, Urusetia dan Kelab. Malah bilangan ini akan bertambah dari masa ke semasa. Malah dengan penglibatan institusi luar seperti Lembaga Tabung Haji, Yadim, Felda dan sebagainya, perkembangan ini akan lebih hebat.

Soalnya dengan lebih 200 persatuan/kelab/urusetia mampukan pengurusan UKM  menyediakan bilik bilik/pejabat untuk semua persatuan ini? Saya pesimis tentang hal ini. Bukan sahaja kerana kos yang tinggi, tetapi juga sejauh mana ruang pejabat ini benar benar mengoptimakan tujuan tujuan persatuan.

Bukan pelik untuk melihat bilik bilik persatuan di PUSANIKA dipenuhi dengan barangan pasca-projek. Begitu juga bilik bilik ini sekadar menjadi bilik rehat/transit exco antara waktu waktu kuliah semata mata. (saya pasti jika audit penggunaan ruang dijalankan tentu ada juga yang benar benar menggunakan bilik persatuan sebaik mungkin dan secara maksima, tetapi tidak semuanya begitu). Malah bilik persatuan ini juga turut dijadikan stor para exco  persatuan yang bercuti semester.

Ada persatuan pelajar yang hanya jalankan 2-3 aktiviti setahun mempunyai bilik persatuan. Bagaimana pula dengan sekretariat Majalah ASPIRASI (MA) yang bekerja sepanjang tahun untuk menerbitkan majalah pelajar tetapi tidak mempunyai bilik kerja yang khusus. Jika kita pergi ke universiti terbaik di dunia (Oxford, Harvard, Cambridge, Yale malah NUS sekalipun, salah satu bilik persatuan yang pasti disediakan ialah bilik kerja editorial Majalah Universiti dan Newspaper pelajar. Tetapi kita di UKM tidak ada!

Sebab itu pada saya, kita kena lebih selektif dalam menyediakan ruang pejabat untuk persatuan. Bangunkan kriteria yang jelas apakah yang harus ada pada persatuan untuk melayakkan mereka diberikan pejabat secara fizikal. Bukan semuanya perlu bilik atau layak. Selain itu beberapa kaedah yang lebih kreatif harus dimulakan.
  1. Bangunkan VO bagi persatuan/kelab/urusetia/sekretariat yang bertempat di PUSANIKA. Ini adalah satu keperluan segera dan pihak UKM dicadangkan sediakan geran insentif untuk mereka membangunkan VO persatuan/kelab/urusetia/sekretariat yang bertempat di PUSANIKA.
  2. Persatuan anak negeri boleh mula mendapatkan dana/sumbangan kerajaan negeri untuk menjayakan pejabat mereka di UKM. Pihak pengurusan UKM boleh memulakan sistem penyewaan berkonsepkan kedai-pejabat untuk persatuan anak anak negeri menjalankan perniagaan barangan atau perkhidmatan untuk pelajar UKM dan pada masa yang sama berfungsi sebagai pejabat persatuan.
  3. Bagi persatuan fakulti dan MEP yang tidak mempunyai masalah ruang, lakukan transformasi dengan melaksanakan VO secara berperingkat (tanpa dana UKM membangunkan VO masing masing)
Saya percaya konsep VO persatuan pelajar akan menjadi pilihan pertama bila sudah berkembang nanti di UKM. Bayangkan kelebihan VO boleh diakses 24/7 oleh pelajar, di mana sahaja. Lebih banyak peluang untuk sesebuah persatuan 'menemui' audien mereka di VO berbanding pejabat fizikal. Malah interaksi pantas berlaku di VO melalui FB, blog, twiter  berbanding kaedah tradisional.

Soalnya, beranikah kita di UKM berubah dan melakukan sesuatu yang baru ? Saya tiada jawapan bagi soalan tersebut!