09 October, 2011

Jaksa Kolej Kediaman UKM... Tahniah!

1. UKM mempunyai 12 buah kolej kediaman. Di dalamnya terdapat hampir 13 ribu orang pelajar  pelbagai peringkat pengajian, kebanyakkannya pra siswazah. Selain diuruskan oleh kepengetuaan dan pasukan felo, institusi Jaksa kolej adalah tulang belakang kepada setiap kolej kediaman UKM.
2. Bila ada 12 kolej maka kita ada 12 YDP Jaksa dan seramai 163 orang jaksa yang menjadi pemimpin pelbagai biro. Setiap tahun secara purata setiap kolej menganjurkan 25 program. bayangkan terdapat 300 aktiviti pelajar yang dianjurkan semua kolej dalam setiap tahun!
3. Bagaimana mereka menjadi Jaksa. Dulu sebelum 1999, jaksa di pilih secara piliharaya. Tujuannya baik untuk mendidik.  Pelajar yang berminat menjadi Jaksa bila layak boleh bertanding dan bila menang di lantik sebagai Jaksa. Tetapi lain atas kertas, dan lain pula atas padang. Bila berpilihanraya, maka riuh rendah berpolitik meraih undi. Kerana politik yang tak matang, masa dan tenaga habis terbuang begitu sahaja. Kebajikan pelajar kolej terabai. Lebih kecewa bila yang menang dan menjadi Jaksa hanya memberikan peluang untuk kawan kawannya seperjuangannya sahaja memegang jawatan progarm di kolej, Yang tidak mengundi mereka akan dipulau dari memegang sebarang jawatan
4. Pelajar Minoriti (Cina dan India) yang paling terasa. Oleh kerana undi penghuni Cina dan India tidak memungkinkan calon Cina dan India menang, mereka terpaksa merayu supaya dilantik sebagai senator tak berportfolio. Satu jawatan bukan eksekutif (maknanya tak ada kuasa mengundi dalam Jaksa). Oleh kerana taksub kepada keseronokan berpolitik maka berbagai janji di taburkan. Manifesto disebarkan, menjanjikan yang bukan-bukan. Tetapi selesai pilihanraya kolej, semua hilang begitu sahaja. Jangan tanya di mana pelajar nak daftar untuk beraktivi, mengadu hal atau mencadang sesuatu, semuanya sangat bergantung samada anda ada kawan dalam Jaksa tau tidak?
5. Bila pelajar kolej berpuak puak, kehidupan tidak harmoni lagi. kalau di peringkat UKM, masih ada ruang kalau ada kalangan sesama pelajar dari parti bermusuh, mereka boleh sahaja berada di kolej yang berbeza, tetapai bagaimana nak menghadapi musuh politik yang berada di dalam blok yang sama, malah mungkin di bilik yang sama! maka semangat berpuak menjadi sangat buruk dan menggugat keharmonian kehidupan di kolej. Bila ada aktiviti yang dianjurkan oleh puak A, puak B akan memulaukannya, begitu juga sebaliknya.
6. Hari ini semuanya telah berubah. Keadaan menjadi lebih baik. Pilihanraya kolej yang tidak praktikal kerana merosakkan keharmonian hidup di kolej telah dimansuhkan. Ada pihak yang mendesak supaya diadakan semula piliharaya kolej. Pada saya cukuplah dengan piliharaya kampus d peringkat induk, berilah ruang untuik pelajar bebas bernafas dari "asap politik" yang sedia ada. Benarkanlah kolej dijadikan zon kehidupan yang lebih aman dan tenteram dan bebas politik untuk pelajar. tapi yang yang taksub politik, kalau boleh ajk peringkat blok dan paras penginapan pun nak dipilihanrayakan dan dipolitikkan.
7. Sekarang Jaksa di pilih oleh satu penal yang dipengerusikan oleh TNC HEPA dan ahlinya semua pengetua kolej kediaman. Mana-mana yang tidak layak akan digantikan dengan calon yang lain. Semua pelajar UKM dalam kolej berkenaan adalah layak untuk memohon tetapi hanya 14 yang layak sahaja terpilih. Apa kelayakannya? perlulah komited dengan aktiviti kolej di tahun sebelumnnya, pencapaian akademik yang baik, tiada rekod disiplin serta berpengalaman memegang jawapan program anjuran Jaksa kolej berkenaan tahun sebelumnya.
8. Lebih menarik bila syaratnya mestilah ada perwakilan Melayu, Cina, India dan Sabah Sarawak. Ada juga kriteria kepelbagaian fakulti, asal negeri. Tujuannya supaya pasukan Jaksa mewakili semua kumpulan yang ada di kolej yang tak mungkin dapat dilakukan semasa pemilihan Jaksa melalui pilihanraya dulu. Jaksa adalah satu jawatankuasa bukan persatuan. Jika persatuan melalui proses pengundian, jawatankuasa adalah melalui proses pelantikan oleh pihak berkuasa Universiti.
9. Hari ini Jaksa memegang lebih banyak peranan terutamanya setalah Majlis Pengetua dibentuk secara rasmi pada 2009 dan dipengerusikan oleh Tan Sri Naib Canselor. Sejak itu Jaksa telah diperkasakan dan dikukuhkan. Kesannnya, begitu banyak yang telah Jaksa Kolej Kediaman berjaya laksanakan dalam dua bulan ini (september dan oktober 2011) seperti
  • menjayakan program Khidmat Masyarakat UKM dan KPT di Ledang, Pasir Gudang, Terangganu dan Kuantan semasa cuti semester (April-Julai 2011)
  • menjayakan program Bulan Mesra Mahasiswa yang merupakan acara rasmi universiti (selain Jaksa yang menjadi PC, UKM telah dilantik 300 orang pelajar kolej yang bersedia bersama UKM menerima dan menguruskan pendaftaran serta menjalankan BMP pelajar baru selama satu bulan.
  • menjayakan sambutan hari Malaysia di stadiuM UKM. Sambutan hebat diterima hasil kerja keras para Jaksa kolej kediaman dan juga PC-PC BMP pusat dan kolej.
  • menjayakan agenda kelestarian kolej di bawah agenda kelestarian kampus UKM
  • menjayakan malam seni berputik yang meriah dan berjaya sempena penutup BMP
  • Menganjurkan 10 khidmat masyarakat sempena BMP di sekitar Kajang, bandar baru Bangi, Dengkil.
  • Turut menjayakan teater, musabaqah dan nasyid inter kolej sempena pesta konvo anjuran PMUKM.
  • Telah dan akan menjayakan program Mobility Outbound ke Oxford University (KAB), Flinders University (IZISH), Singapore University (KAB), Hong Kong University (IZISH),  Universiti Indonesia (KPZ),  serta lawatan ke Universiti Korea (KAB). Progarm ini dianjurkanantara bulan september hingga januari 2012. Semua kolej, persatuan fakulti, urusetia dan anak negeri layak memohon program yang diuruskan peruntukannya oleh pihak JPPEL. pada yang belum  difahamkan masih boleh memohon di JPPEL.
  • Selain itu dalam dua bulan ini (September dan Oktober 2011) telah direkodkan 49 program telah dilaksanakan di peringkat kolej kolej kediaman UKM
10. Rekod PAP juga menunjukkan Jaksa Kolej merupakan kumpulan yang paling banyak menganjurkan  program untuk tujuan Kontrak Pembelajaran berbanding persatuan fakulti dan persatuan-persatuan yang lain. Secara tidak langsung pelajar tidak perlu 'merayau rayau' mencari program yang ada kredit kerana telah disediakan oleh pihak Jaksa kolej.
11. Bagi terus memperkasakan Jaksa, Ybhg. TNC Hepa telah mengilhamkan penubuhan beberapa jawatankuasa biro jaksa inter kolej kediaman. Kini ada ENAM jawatankuasa Jaksa Kolej Kediaman dan 2 telah lama wujud. Semua penubuhan Jawatankuasa ini telah diuruskan oleh sekretariat Majlis Pengetua. Jawatankuasa tersebut ialah;
  1. Jawatankuasa YDP YDP Jaksa yang dipengerusikan oleh Kolej Antarabangsa Ibu Zain dan penasihatnya setiausaha Majlis Pengetua.
  2. Jawatankuasa ICT Jaring yang dipengerusikan oleh Jaksa Kolej Tun Hussein Onn dan penasihatnya Pengarah PTM UKM
  3. Jawatankuasa Keselamatan Kolej yang dipengerusikan oleh Jaksa Kolej Keris Mas dan penasihatnya adalah Ketua Keselamatan UKM
  4. Jawatankuasa Kebajikan dan Kaunseling Pelajar Kolej yang dipengerusikan oleh Kolej Dato Onn dan penasihatnya adalah Timbalan Pendaftar Jppel UKM
  5. Jawatankuasa Inovasi dan Penyelidikan Pelajar yang dipengerusikan oleh Kolej Burhanudin Helmi dan penasihatnya Pengarah Bahagian Inovasi UKM
  6. Jawatankuasa Kesihatan dan Kebersihan Makanan Kafetaria Kolej yang akan ditentukan pengerusinya dan penasihatnya Pengarah Bahagian Keselamatan, Kesihatan Pekerjaan UKM.
  7. Selain itu DUA urusetia Jaksa sedia ada iaitu SUKEM dengan Pusat Sukan serta Inter College Art Festival (ICAF) dengan Pusat Kebudayaan akan terus diperkukuhkan.
12. Peranan Jaksa sangat berat dan penting di kolej kediaman. Fungsi asal iaitu menjaga kebajikan pelajar kolej masing masing masih dikekalkan. Selain itu Jaksa akan terus sibuk menganjurkan aktiviti dan menyertai berbagai aktiviti UKM. Tugas mereka sungguh bermakna demi kelangsungan aktiviti dan kebajikan pelajar di UKM. Pada semua Jaksa-Jaksa Kolej Kediaman yang banyak menyumbang tenaga dan masa, kami para pengetua kolej kediaman ingin beri ucapan.... TAHNIAH !