28 December, 2011

Kampus UKM sebagai Sebuah Eko Sistem Ilmu Pembelajaran: Tahukah Pelajar Apa Maksudnya?

Sempena cuti Krismas beberapa hari yang lalu, saya berkesempatan menghadiri tiga program. Dua daripadanya ialah memenuhi jemputan kenduri kenalan di Shah Alam dan Bangi. Satu lagi ialah jemputan menghadiri jemputan kenduri alumni KIZ.

Tentang berkesempatan 'makan kenduri' tiada apa yang menarik. Bukan tidak penting tetapi tiada yang menawan perhatian saya. Peluang ini lebih kepada mengeratkan silaturahim serta berbual mengenai perkembangan hidup masing masing.

Tetapi ada satu perkara yang menarik apabila saya hadiri majlis kenduri jemputan alumni. Pertama, kerana agak lewat sampai, saya punya peluang yang lebih lama berbual dengan bekas pelajar saya( suami isteri adalah pelajar saya). Sekarang mereka dah berkerjaya dengan kerajaan dan punyai dua anak. Kata mereka sedang berusaha untuk yang ketiga. Semoga berjaya!

Pasangan ini yang saya kenal dulu memang aktif di kolej. Mereka bukan sahaja aktif dalam JAKSA tetapi juga sukan dan kebudayaan. Si isteri pula seorang pemidato yang hebat ketika itu sehingga mewakili UKM. Walaupun sangat berminat dengan aktiviti pelajar, tentang politik kampus simpang malaikat 44, kata mereka. Maknanya mereka tidak berminat membabitkan diri dalam politik kampus walaupun mempunyai ciri ciri kepimpinan yang sangat menonjol.

Pernah dulu si suami berjumpa dengan saya untuk melepaskan salah satu jawatan yang dipegangnya. Katanya terlalu sibuk sehinggakan tidak dapat membahagikan masa untuk belajar dan 'bercinta'. Saya izinkan tetapi akhirnya beliau tidak jadi menarik diri tetapi meneruskan juga jawatannya, tidak lama selepas itu saya tahu tindakannya setelah si isteri sanggup berhenti dari terlibat secara aktif dalam aktiviti debat dan menumpukan perhatiannya kepada membantu akademik si suami. Ini tanda tanda awal keserasian antara mereka yang saya sedari. Hari ini dua cahayamata yang comel membuktikan kisah keserasian mereka berdua. Tak syak lagi!

Apa yang menarik dalam kami berbual bual kosong tiba tiba saya ditanya oleh si suami tentang apa itu ekosistem pengalaman pembelajaran di UKM? Saya tak pasti di mana frasa ini beliau perolehi, tetapi memang di UKM kita mempunyai amalan pengalaman pembelajaran berterusan di bawah konsep eko sistem ilmu.

Dari perspektif pembangunan pelajar di UKM, eko sistem pengalaman pembelajaran bermaksud apa juga yang dilakukan di dalam kampus seharusnya mempunyai nilai nilai pembelajaran. Oleh itu, selain fakulti, kolej kediaman, aktiviti di padang permainan, pusat kebudayaan, berpersatuan di pusanika dan sebagainya juga diiktiraf sebagai 'provider' kepada konsep eko sistem ilmu ini. Misalnya jika seseorang pelajar makan di kafetaria, etika makan dan cara berpakaian di tempat awam ada nilai nilai pendidikan yang harus dipelajari. Jika berada di jalanraya dalam kampus, di PTSL, beraktiviti seperti bersukan, mengikuti program surau dam masjid, semuanya mempunyai nilai nilai pembelajaran.

Mengapa pihak universiti menegaskan hal ini? Sebagai sebuah kampus universiti, fungsi dsn persekitarannya adalah sebuah gedung ilmu. Seseorang insan yang masuk dan menjadi warga universiti akan berada dalam satu eko sistem. Analoginya, jika kita berada dalam hutan, kita akan berada dalam eko sistem hutan, jika kita dalam dunia korporat, maka ekosistem perniagaan akan mendukung pemikiran dan tindakan kita. Jika kita di dalam sebuah kilang, maka ekosistem pengeluaran barangan akan melingkari kita.

Di universiti, ekosistem ilmu akan menjadi 'pakaian' kita. Maka apa sahaja yang dilakukan di dalam kampus haruslah ada kesedaran bahawa kita ingin melakukan dengan lebih baik. Apa yang membezakan seseorang dengan orang lain untuk melakukan sesuatu dengan lebih baik ialah ilmunya.Di universiti kita berkomunikasi, maka harus ada keinginan yang tinggi untuk berkomunikasi dengan lebih baik. Di universiti kita bersukan, maka wujudkan kesedaran untuk bersukan dengan lebih baik. Caranya ialah berusaha untuk memperolehi ilmu bersukan yang betul. Jika berjogging, kita tahu apa maknanya berjogging yang baik, cara berlari dan sebagainya, Maka ada bezanya orang yang berada dalam sebuah eko sistem ilmu bila berjogging dengan orang yang di luar eko sistem ilmu tersebut.

Oleh itu, semua hal kehidupan pelajar dalam kampus sebagai contoh cara pelajar berkomunikasi, teknik belajar, teknik memandu kenderaan dalam kampus, etika makan, etika pakaian, adab dan sopan, menguruskan kewangan dan sebagainya sepatutnya lebih baik berbanding orang yang tidak berada dalam eko sistem ilmu. Jika apa yang pelajar universiti lakukan sama sahaja seperti pelajar lepasan SPM lakukan, maka sebagai mahasiswa/i, beliau sebenarnya gagal di dalam eko sistem ilmu tersebut.

Pada akhirnya, ada bezanya seseorang yang punyai kelulusan dari sebuah universiti dengan yang tidak. Ada beza pemikiran antsra mereka, ada beza perbuatan dan kelakuan dan juga ada beza kualiti amalan dan ibadat. Semuanya kerana ilmu yang mereka cari dalam eko sistem ilmu. Misalnya, kemahiran solat pelajar universiti seharus lebih berkualiti berbanding sebelum masuk universiti kerana selain PTSL sebagai pusat sumber maklumat, para pensyarah juga ada dalam eko sistem ilmu ini. Pusat Islam, surau, program agama, seminar, kuliah agama, forum dan sebagainya ada dalam kampus. Begitu juga halnya dengan pengetahuan tentang hak dan tanggungjawab sepatutnya semakin tinggi, pengamalan kesihatan, disiplin diri, kemasan diri juga seharusnya menjadi lebih baik berbanding sebelum masuk universiti.

Di universiti, segulung ijazah memang sangat penting tetapi yang lebih utama ialah sejauh mana kualiti insan pelajar itu sendiri berjaya dibangunksn. Tentu sedih jika seorang graduan masih membuang sampah sesuka hati, menjadi penagih dadah, terlibat dengan gejala maksiat dan sebagainya. Jia hal seperti ini masih berlaku, jelas mereka tidak faham bahawa universiti adalah sebuah eko sistem ilmu, bukannya sebuah kilang mengeluarkan ijazah sebanyak banyaknya...

24 December, 2011

Ko Kurikulum Bukan Penentu Segalanya Kepada Kejayaan Pelajar UKM

Hujung minggu ini ada tiga peristiwa yang memberi ruang untuk saya fikirkan kembali apakah benar bahawa aktif dalam ko kurikukum akan meningkatkan kebolehpasaran (marketability) seseorang graduan?

Saya bertemu atau berhubung dengan tiga orang bekas pelajar Kolej Ibu Zain dalam tiga acara yang berasingan. Pertama, saya jumpa di Mega Mall, wanita dan berbangsa Cina. Kedua, Seorang lelaki berbangsa Melayu, saya jumpa di Uptown Reko Sentral dan seorang lagi wanita melayu, saya dihubungi kerana beliau ingin menjemput saya untuk hadir ke majlis perkahwinan adiknya hujung bulan depan. Biarlah saya namakan pelajar yang pertama sebagai A, yang kedua sebagai B dan yang ketiga sebagai C.

Si A, ketika di Kolej Ibu Zain dulu memang seorang yang tidak aktif. Pernah sekali datang berjumpa saya di pejabat kerana ingin merayu untuk terus tinggal di kolej apabila namanya tiada dalam senarai berjaya. Maknanya beliau tidak terpilih. Untuk mempertimbangkan rayuan beliau, saya minta senarai aktiviti ko kurikulum yang telah dilakukannya di peringkat kolej, kosong! Saya minta pula senarai aktiviti di peringkat fakulti, jawapnya kosong! Saya terus minta senarai aktiviti diperingkat persatuan!jawapan tetap sama kosong! Beliau langsung tidak terlibat dengan apa juga persatuan, kelab, atau sebagainya kecuali yang dianjurkan oleh kursus ko kurikulum universiti sahaja! Itupun kata beliau sebagai peserta sahaja bukan ajk.

Penampilan beliau ketika berjumpa saya seorang yang sederhana, bahasa Inggerisnya juga tidaklah begitu baik, grammarnya masih tunggang terbalik. Tujuh hari setelah beliau berjumpa saya, rayuan beliau berjaya, bukan kerana kebolehan beliau tetapi setelah ada seorang pelajar Cina lain yang mohon keluar dari Ibu Zain untuk tinggal di kolej lain yang berdekatan fakulti beliau. Oleh kerana ada kekosongan bilik berdua, dan yang tinggal di dalam bilik berkenaan juga adalah pelajar Cina, maka hanya si A sahaja yang boleh ditempatkan di bilik tersebut kerana non muslim.

Kisah kedua tentang si B. Seorang pelajar lelaki di kolej Ibu Zain yang sangat aktif dalam perdebatan. Mewakili UKM di dalam debat MADUM atau majlis debat ipta. Di kolej juga aktif sebagai JAKSA. Banyak anjurkan program di Ibu Zain terutamanya debat. Sempat beberapa kali berjumpa dengan saya kerana inginkan bimbingan dan juga nasihat, termasuk nasihat tentang kisah cintanya dengan seorang siswi Ibu Zain yang dihalang keluarga.Saya sempat berbincang dengan abang sulungnya dan ketahui punca tentangan kerana si gadis dari Sarawak. Kelurganya di Perak juga sudah ada pilihan mereka sendiri. Jadi alasan menentang hubungan tersebut ialah jauh dari keluarga! itu sahaja. Tetapi jodoh mereka panjang. Kini mereka telah berumahtangga, punyai sepasang cahayamata.

Kisah ketiga si C, seorang siswi melayu. Kali pertama berjumpa saya sudah nampak beliau punya bakat besar, pandai berkomunikasi, punya bakat bernyanyi dan punya tahap keyakinan diri yang tinggi. Jelas keluarganya berjaya membentuk sifat jatidiri yg kuat dalam dirinya. Tetapi kerana beliau disahkan mempunyai masalah kesihatan yang agak serius, ibubapanya melarang beliau aktif dalam aktiviti pelajar di kolej. Pernah saya tawarkan beliau untuk menjadi setiausaha MEP (jaksa), beliau bersetuju, tetapi sebelah malamnya saya dihubungi oleh ibunya memohon maaf kerana tidak dapat membenarkan anaknya aktif dan melarang anaknya memegang sebarang memegang jawatan persatuan pelajar di kampus. Saya terima keputusan si ibu walaupun ingin sekali saya melihat beliau aktif di kolej. Beliau mempunyai banyak idea, berkeupayaan memimpin dan mesra dengan semua pelajar.

Kisah ini berlaku lapan sembilan tahun yang lalu. Hari ini semuanya berubah. Si A telah bekerja sebagai eksekutif kanan di AMBANK Cyberjaya, si B sekarang pensyarah muda di UPSI di dalam bidang bahasa dan si C sekarang sebagai Head, Human Resource di MAYBANK Bangsar. Kecuali si B, si A dan si C tidak aktif langsung semasa di UKM dulu. Menariknya si A yang mula bekerja selepas dua bulan tamat pengajian dan telah punyai kereta sendiri ketika berkonvo. Begitu juga dengan Si C juga berjaya bekerja sebelum melangkah naik ke pentas DECTAR semasa konvokesyen. Sedangkan walaupun aktif di kampus, Si B terpaksa menunggu hampir setahun sebelum berjaya dipanggil temuduga di UPSI. Sebelumnya, sebaik tamatkan pengajian beliau telah bekerja selama enam bulan sebagai guru tuisyen di kampungnya di Temerloh.

Jika kisah ini diteliti oleh para pelajar, soal kebolehpasaran sebenarnya lebih tergantung kepada keupayaan dan kebolehan diri sendiri. Bukannya semakin banyak atau semain sibuk dengan aktiviti itu maknanya semakin baik. Begitu juga bukan soal gred A atau B ko kurikulum itu yang utama( walaupun itu juga penting) tetapi kebolehan diri sendiri yang lebih utama. Jika atas kertas, perolehi gred A dalam komunikasi, tetapi dalam keadaan sebenar jika komunikasi masih tidak meyakinkan, tiada gunanya.

Sebab itu pada saya, soal berapa bilangan aktiviti yang disertai, berapa tinggi jawatan yang dipegang dalam persatuan atau berapa sibuk dengan projek persatuan bukanlah faktor yang paling utama untuk meningkatkan keupayaan diri. Yang paling utama ialah sentiasa mengukur kebolehan diri dan segera memperbaiki kebolehan tersebut, walaupun tanpa perlu beraktiviti dalam mana mana persatuan! Tingkatkan keupayaan bahasa Malaysia dan Inggeris, tingkatkan cara dan teknik berkomunikasi (gerak bahasa dan gestur badan), tingkatkan pengetahuan am, tingkatkan kebolehan berunding, dan kebolehan berhujah, berbincang dan 'presentation' idea.

Begitu juga dengan daya personaliti, luar dan dalam. Tingkatkan disiplin, tunjukkan passionate dalam tugasan kita, integriti, kekemasan diri, penampilan fizikal dan sebagainya.

Pada si A, B dan C, saya bangga dengan kejayaan anda. Saya juga sedar UKM telah memberikan banyak kenangan dan cabaran dalam sebahagian hidup anda dulu. Hari ini anda berjaya, sebahagian kerana aktiviti ko kurikulum anda di UKM dulu, tetapi saya rasa kejayaan anda sebenarnya lebih kepada usaha anda sendiri untuk meningkatkan kualiti diri anda.

21 December, 2011

Bagaimana Pelajar UKM Memilih Aktiviti Ko-Kurikulum?

Penyelidikan di bawah geran KPT (2009-2012) memberikan saya peluang mendekati isu ko-kurikulum di kalangan pelajar IPTA. Bagaimana pelajar di IPTA memilih aktiviti ko-ko mereka? Apakah asas asas yang digunakan oleh pelajar di dalam membuat pilihan? dan apakah pilihan mereka tepat dan selari dengan keperluan membangunkan soft skills yang diharapkan oleh pihak majikan?

Pelajar di IPTA khususnya di UKM mempunyai ruang yang sangat luas untuk melibatkan diri dalam kegiatan ko-kurikulum. Terdapat 197 buah persatuan pelajar, 12 Jaksa Kolej dan beberapa urusetia yang ditubuhkan di UKM, memberi peluang untuk pelajar UKM bergiat aktif sesuai dengan keperluan pelajar.

Justeru, kita dapat lihat pada setiap tahun jumlah aktiviti pelajar semakin lama semakin meningkat. Jika tahun lalu jumlahnya mencecah 700 aktiviti yang diluluskan untuk tahun 2011, jumlahnya telah menjangkau 830 projek kesemuanya. Apakah maknanya semua ini pada pembangunan pelajar?

Secara umum, kajian yang telah dijalankan oleh saya dan rakan rakan daripada beberapa buah IPTA lain (UUM, UPSI dan UPM ) menunjukkan bahawa ada beberapa perkara yang kelihatannya seperti tidak kena dengan cara pelajar IPTA memilih aktiviti mereka untuk disesuaikan dengan keperluan mereka. Misalnya,
  1. Pelajar didapati lebih cenderung memilih aktiviti yang mudah dan mereka tidak bersedia menerima cabaran yang tinggi di dalam penganjuran aktiviti. Misalnya ada pelajar cenderung memilih aktiviti hari keluarga kolej berbanding khidmat masyarakat atau program kesenian yang memerlukan mereka membuat persembahan, aktif sebagai atlit sukan atau peserta perdebatan atau pidato. 
  2. Pelajar lebih cenderung untuk menganjurkan program sebagaimana pelajar sebelumnya dan meninggalkan aspek inovasi dalam idea penganjuran sebagai sesuatu yang penting.
  3. Program keusahawanan 'hands on' antara aktiviti ko-ko yang paling tidak digemari oleh pelajar. Di UKM juga telah menunjukkan trend yang sama. Jumlah aktiviti di mana pelajar terlibat sebagai peniaga atau usahawan sangat kecil bilangannya berbanding program yang lain.
  4. Program bahasa Inggeris adalah aktiviti yang paling kurang mendapat sambutan di kalangan pelajar khususnya pelajar bumiputera walaupun mereka sedar penguasaan komunikasi bahasa Inggeris adalah sangat penting.
  5. Pelajar lebih bersedia untuk berko-kurikulum dalam ruang yang sedia ada. Mereka lebih suka bersama rakan yang telah mereka kenali, bersama kumpulan pengajian/fakulti/kolej yang sama. Kurang interaksi inter fakulti/kolej berlaku di dlama penganjuran aktiviti ko-ko.
  6. Segresasi kaum antara Melayu, Cina dan India sangat ketara di dalam penganjuran ko-kurikulum di IPTA. 
  7. Pelajar Melayu di dapati cenderung memonopoli persatuan fakulti, anak negeri dan kolej. Manakala trend yang sama di semua IPTA yang menunjukkan pelajar Cina akan memonopoli persatuan AIESEC, Bulan Sabit Merah dan persatuan yang lebih dominan dengan penggunaan bahasa Inggeris.
  8. Kebanyakan pelajar tidak pasti mengapa mereka memilih sesuatu ko-kurikulum, kecuali atas sebab personel (kawan, mudah, tenaga pengajar yang dikatakan mesra pelajar). 
  9. Pelajar juga didapati tidak mempunyai tahap pemilihan aktiviti ko-kurikulum yang berkualiti. Misalnya mereka tidak cenderung memilih aktiviti perucapan umum seperti debat, pidato atau forum walaupun mereka sedar aktiviti itu penting untuk meningkatkan kemahiran komunikasi. 
  10. Tidak ada sistem pengesanan yang awal yang dapat mengukur keupayaan softskills seseorang pelajar sebelum mereka memilih apakah persatuan/aktiviti yang ingin mereka sertai.
  11. Amalan refleksi merupakan aktiviti yang paling kurang dilakukan oleh pelajar di dalam ko kurikulum sedangkan amalan ini adalah satu proses yang penting di dalam meningkatkan kualiti pelajar.
Kajian ini tidak terhenti di sini sahaja. Banyak lagi dapatan yang diperolehi. Terdapat juga beberapa cadangan yang difikirkan sesuai untuk dilaksanakan. Misalnya adalah lebih baik seseorang pelajar diberikan peluang pada peringkat awal untuk memilih aktiviti apakah yang paling diminati untuk dijadikan ko-kurikulum masing masing. Selepas itu, pelajar tersebut diberikan peluang untuk meneruskan aktivitinya yang mereka telah pilih dari tahun ke tahun dengan pemantauan atau mentoran oleh pegawai yang telah dilantik. Sepanjang aktiviti tersebut, elemen softskills diterapkan secara berterusan.

Selagi pelajar tidak pasti apakah sebab utama mereka memilih sesuatu aktiviti ko-kurikulum, selagi itulah matlamat asal ko kurikulum yang dilaksanakan di peringakta IPTA tidak akan berjaya sepenuhnya.

18 December, 2011

Tujuh Cara Menjana Kewangan Aktiviti Pelajar di UKM

Pagi ini saya sempat menghantar kereta untuk dicuci oleh AJK projek Festival Kebudayaan Intergrasi Budaya (FESKIB) IZISH. Ini sebagai tanda sokongan saya kepada projek mereka. Yang berbahagia TNC HEPA lebih awal memberikan sokongan pada mereka semalam. Terima kasih Prof! Sejak pagi tadi beberapa buah kereta dan motosikal telah dicuci oleh kumpulan ini. Semoga usaha mereka untuk menambah dana projek FESKIB IZISH 2012 akan tercapai.

DI UKM, sudah menjadi keperluan di dalam menganjurkan apa juga projek, pelajar harus mula mencari dana terlebih dahulu.

Secara umum ada tujuh cara bagaimana sesebuah projek pelajar memperolehi dana mereka;
  1. Peruntukan HEPA melalui JPPEL. Ini yang paling biasa. Bila sesuatu projek dihantarkan proposal kepada JPPEL, pelajar akan menyatakan di dalam proposal jumlah peruntukan yang ingin dipohon daripada UKM. Biasanya peruntukan yang diluluskan oleh JPPEL berbentuk 'seed money' iaitu sekitar 10% daripada jumlah keseluruhan projek. Itupun ada had silingnya juga. Tergantung kepada jenis program, peruntukan JPPEL kadang kala boleh ditambah atau tidak diluluskan. Program seperti ESZ di kolej menjadi keutamaan UKM, biasanya akan mendapat peruntukan melebihi 10%. Begitu juga dengan program khidmat masyarakat dan juga program berteraskan pertandingan di mana pelajar mewakili UKM dan juga mobiliti outbound. Manakala program yang mendapat peruntukan paling kecil pula seperti lawatan umum, program santai interaksi ahli persatuan dan program gotong royong. Biasanya program sebegini dianggap tidak memberikan banyak input kepada pembangunan insaniah pelajar dan peruntukan yang besar tidak disediakan. Oleh itu pelajar harus bijak memilih apakah projek yang akan membuka peluang mendapat peruntukan yang tinggi dari JPPEL.
  2. Peruntukan Tabung Jaksa Kolej adalah wang yuran aktiviti pelajar yang dibayar kepada pihak Bendahari UKM dan akan digunakan untuk menganjurkan aktiviti aktiviti di kolej kediaman berkenaan. Pihak Jaksa perlu membuat permohonan kepada pihak bendahari dan kemudiannya perlu menyediakan laporan penggunaan peruntukan tersebut kepada pihak bendahari UKM.
  3. Penjanaan aktiviti pra-program. Ajk program akan menganjurkan aktiviti pra program untuk mencari dana bagi program mereka. Misalnya di IZISH, untuk menganjurkan FESKIB, maka ajk menganjurkan aktiviti 'car wash' dan pengumpulan barangan kitar semula untuk dijual. Walaupun jumlah yang diperolehi biasanya tidak banyak, aktiviti sebegini akan sekurang kurang dapat membantu menambah serba sedikit dana program.
  4. Pemasaran pula merujuk kepada penjualan ruang iklan kepada syarikat syarikat yang berminat. Nama dan logo syarikat akan dimuatkan ke dalam banner, banting dan juga buku cenderamata. Pemasaran jika dilakukan secara sistematik (mempunyai team pemasaran yang baik, brosur dan pamplet yang menarik dan menyakinkan serta interaksi bersemuka dengan pihak syarikat dengan penuh yakin biasanya akan menghasilkan dana yang besar.
  5. Penajaan daripada syarikat pula bermaksud pihak AJK Tertinggi projek membuat temujanji dan mengadakan pembentangan projek kepada pihak syarikat yang mempunyai kepentingan dengan projek yang ingin dianjurkan. Sebagai contoh, penganjuran IT Carnival mempunyai kepentingan kepada syarikat syarikat komputer seperti DELL, HP, Acer, Sony dan sebagainya atau juga oleh syarikat hiliran industri IT seperti syarikat pengeluar produk storan maklumat dan aksesori komputer. Mana kala syarikat barangan kesihatan pula akan berminat dengan program pendidikan kesihatan yang dianjurkan oleh pelajar. Begitu juga dengan barangan sukan, barangan kosmetik atau sebagainya. Oleh itu pelajar harus bijak memadankan program mereka dengan produk syarikat yang berkaitan. Mereka juga harus membuat persediaan yang rapi untuk membuat pembentangan dan juga berupaya menyakinkan pihak syarikat tentang faedah faedah yang diperolehi oleh syarikat berkenaan jika bersetuju menjadi penaja. Biasanya pihak syarikat-syarikat ini mementingkan tiga perkara sebelum mereka bersetuju untuk menaja. Pertama, penglibatan media dalam program tersebut. Semakin banyak media utama (cetak dan elektronik) yang dilibatkan dengan sesuatu program maka akan semakin berminatlah untuk pihak syarikat memberikan tajaan. Kedua, pelepasan cukai yang akan mereka perolehi dan ketiganya, samada projek itu bersifat berterusan atau tidak. Sebagai contoh IZISH pernah selama tiga tahun berturut turut mendapat tajaan syarikat 100 Plus sepenuhnya untuk Kejohanan Bola Tampar Terbuka Kolej Ibu Zain UKM pada tahun 2004-2007. Kerana program itu bersifat berterusan, pihak syarikat 100 plus sendiri pada tahun kedua dan ketiga yang terlebih dahulu menawarkan tajaan sebelum pihak AJK projek membuat pembentangan projek tersebut. Biasanya penajaan syarikat akan memberikan jumlah yang paling besar di dalam penjanaan kewangan projek.
  6. Sumbangan secara langsung oleh individu atau syarikat. Ada sumbangan yang berbentuk kecilan dan ada juga yang besar. Ada pelajar yang berupaya mendapat sumbangan melalui perbincangan dengan individu individu yang mempunyai kemampuan memberikan sumbangan. Terdapat juga ahli politik yang mempunyai peruntukan yang disalurkan kepada program khidmat masyarakat yang memberikan kebajikan kepada sesuatu kumpulan masyarakat seperti penduduk kampung, setinggan, anak anak yatim atau kumpulan OKU. Bagaimanpun mencari sumbangan secara kecil kecilan (bergerak dari kedai ke kedai atau dari rumah ke rumah) adalah tidak digalakkan. Selain memerlukan kelulusan khusus mengutip sumbangan, pihak pemberi sumbangan juga pada hari ini sudah tidak berminat memberikan sumbangan dengan cara begini. 
  7. Kolaborasi dengan instituti di UKM dan NGO luar UKM. Ini adalah kaedah yang terbaru di dalam menjana kewangan pelajar. Perbincangan antara AJK Teringgi dengan pihak agensi atau institut dalam UKM atau luar UKM (NGO) membuahkan program usahasama atau anjuran secara kerjasama. IZISH misalnya banyak berkolaborasi dengan Institut Kajian Alam Sekitar UKM (LESTARI) di dalam banyak program berkaiatan kelestarian. Sebahagian besar kos akan ditanggung oleh pihak institut di bawah peruntukan geran penyelidikan dan sebagainya. Begityu juga IZISH bekerjasama dengan pihak Yayasan Warisan Anak Alam Malaysia (YAWA). Usahasama seperti ini menyebabkan pihak YAWA bersedia menaja pakar pakar dalam dan luar negara untuk memberikan latihan, bengkel ToT kepada program pelajar di IZISH. Malah kolaborasi ini dilihat akan menjadi model utama penjanaan kewangan kepada penganjuran projek di IZISH.
Menjadi AJK pemasaran atau penjanaan kewangan adalah sesuatu yang paling tidak digemari oleh pelajar bila berorganisasi. Kebanyakan pelajar akan menolak jika ditawarkan menjadi ketua pemasaran atau ketua bahagian penjanaan kewangan. Tetapi pada saya selain menjadi sebagai pengarah projek, menjadi ketua bahagian penjanaan kewangan adalah paling baik kerana memberikan peluang kepada pelajar untuk meningkat softskills khususnya kemahiran komunikasi.

Maka itu saya mengucapkan terima kasih pada team felo IZISH yang bersungguh sungguh dan sering mengadakan perbincangan bagaimana membantu pelajar menjana kewangan projek pelajar di IZISH. Dengan peruntukan JPPEL yang terhad dan harus dikongsi bersama semua pelajar UKM dan peruntukan tabung kolej yang kecil (kerana jumlah pelajar IZISH yang sedikit), pelajar IZISH harus bijak mencari peluang menjana kewangan mereka. nampaknya hasilnya sudah kelihatan kerana walaupun IZISH kecil saiz pelajarnya, mengikut rekod JPPEL bilangan projek yang dianjurkan oleh pelajar di IZISH adalah antara yang paling banyak di kalangan semua kolej dan persatuan di UKM semester ini. Sekali lagi tahniah buat semua felo, MEP dan seluruh warga IZISH.

Nampaknya kereta saya dah siap dicuci dan kelihatannya bersih sekali. Terima Kasih Team Feskib IZISH 2012.

16 December, 2011

Bangga Dengan Warga IZISH...Ikhlas dari Pengetua

Saya bersyukur masih punya ayah dan ibu yang dapat saya peluk dan cium setiap kali pulang ke kampung. Saya bersyukur di saat saya perlukan seseorang untuk memberikan ketenangan, ibu dan ayah sentiasa ada untuk mendengar keluhan saya. Saya juga bersyukur pada setiap saat dalam hidup ini akan ada insan yang sentiasa mengingati dan mendoakan saya. Saya gembira bila ada insan yang akan menegur dan menasihati saya bila ada tingkahlaku dan bahasa saya terkhilaf, insan yang saya panggil ibu dan ayah.

Kisah ini ada kena mengena dengan program yang akan berlangsung anjuran warga IZISH. Hujung minggu ini seperti minggu program kebajikan di IZISH. Ada satu kumpulan pelajar IZISH akan ke Rumah Seri Harapan Cheng, di Melaka. Rumah Harapan yang menempatkan warga tua (Melayu, Cina dan India) ini sejak tiga tahun lepas tidak pernah di lupakan oleh pelajar IZISH. Mereka akan ke sana untuk membantu pengurusan rumah harapan, bergotong royong mengemaskan bilik bilik warga tua, menyampaikan sumbangan derma, membuat persembahan dan yang paling penting ialah duduk bersama warga tua untuk mendengar dan berkomunikasi dengan warga tua di sana. Sejak beberapa tahun lalu, nasihat saya pada mereka yang pegi ke sana tetap sama. Orang tua bukan inginkan duit ringgit yang melimpah ruah, bukan barangan eletrik atau sajian makan yang banyak, mereka inginkan seseorang bersama mereka, duduk dan berkomunikasi dengan mereka. lebih lebih lagi mendengar perasaan dan suara hati mereka. Inilah juga yang akan menyumbang kepada pembangunan insaniah pelajar, erti sabar, bijak berkomunikasi, mendengar dengan intiutif dan yang akhir sekali mengucap rasa syukur.

Itu kisah di Melaka. Di IZISH pula pada hari yang sama akan berlangsung program Kursus Asas Sembelihan. Hasil sembelihan kambing dan ayam (sumbangan Majlis Agama dan JAKIM) kemudiannya akan diadakan majlis kenduri untuk seluruh warga IZISH. Khabarnya akan ada masak kambing menu orang Melaka, sup kambing, ayam masak kicap, kerabu dan sebagainya. Apa yang lebih menarik kenduri ini juga akan disertai oleh anak anak yatim dari kajang. Mereka akan tiba di IZISH, ada sesi bersama kakak dan abang di IZISH, majlis jamuan, persembahan  dan seterusnya majlis pemyampaian sumbangan pelajar IZISH untuk anak anak yatim. 

Sebagai pengetua IZISH tentunya saya bangga punyai warga kolej yang tahu erti bersyukur dengan membuat amal kebajikan. Sekumpulan pelajar di Melaka bersama warga tua, sebahagian lagi di IZISH bersama anak anak yatim. Amal pada dua kumpulan insan yang kurang bernasib baik berbanding insan lain. Harapnya pelajar IZISH jelas konsep kebajikan bukan sekadar berdakwah supaya orang lain membuat kebajikan tetapi atas usaha diri sendiri yang terus mengambil tindakan membuat kebajikan itu sendiri. Tahniah buat warga IZISH.

Saya kadang kala melihat ada insan yang membawa makanan haiwan di dalam beg mereka. Bila terjumpa dengan kucing atau anak anjiing yang terbiar, mereka akan memberikan makanan tersebut. Kita juga pernah mendengar ada yang sanggup membuat kebajikan yang besar seperti mendermakan organnya pada orang lain semata-mata atas dasar ehsan. Begitu juga dengan sekecil kecil kebajikan seperti memberikan tempat duduk dalam pengangkutan awam pada orang tua,OKU atau ibu yang mengandung. Semua ini adalah kebajikan dan alangkah baiknya menjadi amalan dalam kehidupan.

Saya semasa belajar di London dulu pernah bersama kawan kawan anjurkan kutipan derma kilat untuk seorang rakan yang dalam kesusahan. apa yang kami lakukan? Kami anjurkan kempen 'skip lunch and donate' supaya wang tersebut dapat didermakan. saya bayangkan kalaulah pelajar IZISH dapat 'skip lunch' untuk sekali, sumbangan yang akan diraih untuk membantu mereka yang memerlukan akan berjumlah RM 2,080.00 (RM4.00 X 520 orang). Bayangkanlah jika dalam 30 hari, empat kali sahaja seluruh warga IZISH 'skip lunch and donate', bermakna hampir RM 10,000 akan berjaya dikumpulkan!
Sebagai pengetua, tentu saya akan lebih rasa bangga dengan warga IZISH.

14 December, 2011

Alangkah Rugi Bila Pelajar UKM Gagal Kaitkan Aktiviti Ko-Kurikulum Dengan Kerjaya

Ada alumni UKM yang saya kenal, hari ini telah berjaya dengan perniagaan pakaian. Memang itulah minat beliau sejak belajar di UKM. Ada pula alumni UKM yang telah menjadi tenaga pengajar profesional tarian. Dulu beliau aktif di Pusat Kebudayaan UKM. Menariknya beliau adalah graduan FST. Ada juga yang menjalankan perniagaan pengurusan majlis/ acara, dulunya sangat berminat dengan ilmu acara-acara yang mempunyai protokol. Malah beliau banyak hadiri kursus kursus pengacaraan majlis dan protokol. Ramai juga alumni yang sedang berkhidmat sepenuh masa dalam persatuan bukan kerajaan (NGO). Ada juga beberapa alumni yang berkecimpung dalam politik peringkat negeri secara sepenuh masa. Dulunya aktif di PMUKM dan Jaksa Kolej Kediaman.

Apa maknanya? Apa yang menarik tentang semua ini? Mereka nampaknya telah mempunyai kerjaya yang memenuhi minat dan passion mereka. Kebanyakan mereka perolehi minat ini kerana terlibat secara aktif di dalam kegiatan ko-kurikulum semasa di kampus UKM dulu.

Bila seseorang terlibat dalam apa juga kegiatan ko-kurikulum semasa di UKM, acapkali pelajar diperingatkan bahawa penglibatan tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran insaniah (softskills). Misalnya jika terlibat dengan aktiviti debat, pidato atau pantun, tujuannya meningkatkan kemahiran komunikasi. Bila ada pelajar terlibat dengan menerajui persatuan sebagai YDP, Setiausaha Agung atau exco, tujuannya untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan.

Begitu jugalah bila mereka terlibat dengan aktiviti sukan, kebudayaan, khidmat masyarakat, kesukarelawanan dan badan beruniform, semuanya membawa kepada tujuan samada untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan, komunikasi, kemahiran berfikir secara kritis, kerja berpasukan, moral dan sebagainya.

Selama ini, itulah yang dilakukan. Mengapa pelajar bersungguh sungguh terlibat dengan aktiviti ko-ko, jawabnya untuk meningkatkan kemahiran insaniah.  Mengapa mereka hendak meningkatkan kemahiran insaniah, jawabnya kerana ingin meningkatkan kebolehpasaran mereka. Soalnya tepatkan tindakan ini atau sebenarnya ada lagi tindakan yang lebih tepat?

Pada saya, pelajar harus menambah satu lagi dimensi baru di dalam tindakan mereka. Sepatutnya pelajar harus berfikir begini, mengapa pelajar bersungguh sungguh terlibat dengan aktiviti ko-ko, jawabnya kerana untuk meningkatkan kemahiran insaniah mereka. Mengapa mereka hendak meningkatkan kemahiran insaniah, jawabnya kerana ingin meningkatkan kebolehpasaran mereka. Dan sepatutnya ditambah satu lagi soalan yang perlu pelajar jawab, apakah peluang kerjaya yang paling hampir dengan aktiviti ko-kurikulum yang saya lakukan sekarang?

Kajian ko-kurikulum (KPT 2011) yang sedang dilakukan oleh panel KPT (saya terlibat sebagai salah seorang panel penyelidik) menunjukkan pelajar begitu aktif dalam ko-kurikulum tetapi gagal mengaitkan kegiatan ko-kurikulum yang dilakukan di kampus sebagai pilihan (option) pada kerjaya apabila telah bergraduan.

Sebagai contoh, apabila pelajar terlibat di dalam program pengucapan umum (debat, pantun, pidato), pelajar harus mula memikirkan apakah kerjaya yang berkaiatan di dalam bidang tersebut. Kerjaya sebagai pengacara, pengulas, pengurus acara, motivator, penceramah, pakar runding, pemasaran, ahli politik dan sebagainya.

Begitu juga bila pelajar terlibat dalam sukan bolasepak. Apakah selain dari menjadi pemain bolasepak, pelajar boleh terlibat sebagai usahawan barangan sukan, jurulatih, sekolah atau penganjur klinik bolasepak, pengurus pasukan bolasepak, penganjur pertandingan bola sepak dan sebagainya.

Maka itu pendedahan kerjaya juga sepatutnya menjadi sebahagian daripada aktiviti di dalam ko-kurikulum UKM. Sebegitu banyak pelajar UKM menganjurkan aktiviti (pada 2011 sebanyak 819 projek), ke mana akhirnya kesan aktiviti ini pada kesedaran perancangan kerjaya pelajar. Jika softskills menjadi matlamat akhirnya, mengapa tidak matlamat tersebut digabungkan dengan soalan; apakah kerjaya yang boleh saya dapat dengan aktiviti ko-kurikulum ini?

Hari ini kerjaya yang paling hebat ialah kerjaya yang memenuhi minat dan passion seseorang. Di UKM pelajar diberikan didikan supaya melibatkan diri dengan aktiviti ko-kurikulum yang diminatinya. Oleh itu jika ko-kurikulum yang diminati diselarikan dengan kerjaya yang berkaitan, ini merupakan satu option dalam memperolehi kerjaya selain dari kerjaya yang berasaskan kepada pengajian di fakulti. Atau paling baik ialah membina kerjaya yang disebatikan antara pengajian di fakulti dan penglibatan di dalam ko-kurikulum. Maka sangat rugi bila pelajar UKM gagal kaitkan aktiviti ko-kurikulum di kampus dengan perancangan kerjaya mereka.

13 December, 2011

Mengapa IZISH Anjurkan Kursus Sembelihan?

"Students kolej you anjur kursus sembelihan?" tanya seorang rakan akademik di fakulti pada saya bila dia membaca pemakluman kursus ini di e-warga UKM pagi tadi. Sambil mengangguk kepala saya jawab "hujung minggu ini". Seperti sedikit terkejut dia bertanya lagi,  "Kolej Kediaman Antarabangsa anjur kursus sembelihan, sesuai ke?

Saya rasa ramai warga UKM juga menimbulkan persoalan yang sama. Sesuaikah sebuah kolej kediaman antarabangsa di UKM menganjurkan kursus sembelihan sebagai salah satu aktiviti pelajarnya?

Saya katakan ya dan sangat sesuai. Mengapa saya berkata demikian? Kursus sembelihan nampaknya ringkas tetapi sebenarnya membawa makna yang lebih besar dari sekadar aktiviti mendidik tentang kemahiran sembelihan yang ditetapkan oleh syarak. Kursus ini sebenarnya membawa pelajar kepada pemahaman konsep dan amalan HALAL dalam Islam. Isu ini sangat berkaitan dengan perjuangan membangunakn industri halal.

Bacalah kisah kisah kejayaan perniagaan industri halal; http://www.hdcglobal.com/publisher/images/Scribd/HC_Successful_Companies.html

Isu halal bukan isu kecil. Isu ini isu masyarakat Islam di seluruh dunia. Industri halal bernilai ratusan billion ringgit di seluruh dunia. Industri halal bukan sekadar makanan, tetapi juga produk (pakaian, kosmetik dan pharmaseutikal). Isu halal juga melibatkan industri perkhidmatan dan perbankan. World Halal Journal Forum (January 2008) melaporkan;

"With Muslims making up around 1.79 billion of the world’s population, the rapid expansion in the Halal food sector has become a key area of opportunity across the industry, according to senior executives from the World Halal Forum (WHF).
The current estimated value of the total Halal market is USD150 billion, but this has the potential to rise to USD 500 billion by 2010, driven by the increasing value and diversity of the consumer market, combined with strong demographic trends, said Helal Saeed Al Marri, Director General of Dubai Word Trade Centre.
Commercially, the Islamic consumer market is the fastest-growing in the world. Europe’s Muslim population has grown by more than 140% over the past decade to reach 25 million, while Australia has grown by a significant 250% in the same period.
Once Asia’s Muslim population of over one billion – including the world’s fast-growing populations of India, China and Pakistan – is factored in, the full potential of the Halal food market becomes apparent."
Jadi, IZISH anjurkan kursus ini sebagai mendidik kesedaran tentang konsep halal dalam kehidupan pelajar IZISH. Ini satu perjuangan untuk mendapat keredhaan Allah. Apa yang kita makan, minum, pakai, guna dan rezeki semuanya mestilah kita pastikan status halalnya.Bukan hanya muslim sahaja mendapat manfaat daripada amalan 'halal' tetapi juga turut dinikmati oleh non muslim yang inginkan kepada kehidupan yang lebih baik.Jika kita selalu mendengar HACCP tentang keselamatan makanan, ISO 22000 dan ISO 9000 untuk standard kualiti makanan, amalan halal lebih hebat daripada itu.Ini permulaan yang ingin diperjuangkan di peringkat pelajar oleh JAKSA IZISH.

Halal pada syarak satu perkara dan faedahnya pada muslim. Tetapi halal juga membawa maksud bersih, indah, kualiti tinggi, adil dan sebagainya. Riba misalnya jika difahami membawa kemudaratan dalam sistem ekonomi masyarakat. Maka itu banyak bank bank sekarang membuka bahagian pembankan Islam untuk mengelakkan amalan riba. Mengapa misalnya Public Bank begitu besar bahagian pembankan Islamnya. kerana mereka tahu industri halal adalah sesuatu yang bernilai besar dan sangat menguntungkan. Malah sekarang banyak bank-bank utama sudah mempunyai Naib Presiden Kanan (Pembankan Islam) termasuk di US dan Eropah!

Bila Jaksa (MEP di IZISH) anjurkan kursus ini, matlamatnya ialah mendidik pelajar supaya menyedari tentang amalan halal dalam kehidupan.Saya bersetuju dengan penganjur (Kelab Rakan Siswa IZISH) yang tidak mahu terlalu banyak ceramah tetapi ingin aktiviti yang hands-on. Tentu akan bosan kalau ceramah halal diberikan berjam jam, lebih menarik pendidikan tentang halal dilakukan dalam bentuk aktiviti. Tahniah felo penasihat (iejan dan Badariah), MEP (abdillah) dan tahniah pada team Kelab Rakan Siswa IZISH..

11 December, 2011

ISIUKM Perlu Adil Dalam Memperjuangkan Islam

Selepas fenomena Ustaz Azhar Idrus, kini timbul fenomena baru di Youtube, "Sembang Rakyat". Klip video HD yang memaparkan sketsa pendek tentang isu-isu berkaitan politik khususnya melibatkan UMNO, PAS, Keadilan, dan DAP. Oleh kerana berpolitik, maka ada di antara lakonan dalam klip 'Sembang Rakyat" dikatakan menghina Islam dan mempermainkan pelaksanaan Hudud oleh penyokong Pakatan Pembangkang.

Saya sempat menonton beberapa klip video tersebut, nampaknya sasaran penonton lebih sesuai untuk orang kampung dan pendalaman. Bagi yang mendapat pendidikan tinggi, tinggal di bandar atau yang terdedah kepada pelbagai bacaan, mungkin setting cerita dan skripnya tidak begitu mengujakan. Teknik lakonan juga tidaklah begitu menarik. Dan ada beberapa bahagian dalam lakonan seperti pelakon tidak menjiwai apa yang mereka tuturkan. Pendek kata, 'sembang rakyat' tidaklah begitu menarik.

Apa yang lebih menarik pada saya apabila pimpinan dalam ISIUKM melalui GAMIS telah membuat laporan polis kononnya pelakon 'sembang rakyat' telah  mempermainkan hudud dan Islam . Sebagai seorang warganegara dan pemimpin persatuan yang memperjuangkan Islam, mereka berhak membuat laporan polis. Negara ini mengamalkan kebebasan dan demokrasi, maka tindakan mereka membuat laporan polis adalah tindakan yang berlunaskan undang undang.

Persoalannya, apakah tindakan ISIUKM sentiasa adil dan menyeluruh dalam memperjuangkan Islam atau sekadar cuba-cuba untuk berpolitik? Pada saya, jika pimpinan ISIUKM telah bertindak membuat laporan polis kerana pelakon 'sembang rakyat' menghina hudud, mereka juga sewajarnya membuat laporan polis bila penceramah bergelar 'ustaz budak' menyamakan YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan dengan Nabi. Tindakan 'ustaz budak' ini bukan sahaja memesongkan pemahaman orang Islam tentang konsep ulama sebagai pewaris nabi, tetapi jika tidak ditentang (termasuk membuat laporan polis) dibimbangi akan membawa kepada amalan 'pendewaan' atau ketaksuban membuta tuli kepada manusia yang di larang dalam Islam.

ISIUKM punyai peranan besar memberikan pencerahan di dalam isu ini. Jika mereka bersungguh sungguh menyatakan penentangan kepada isu mempermainkan hudud, mereka juga harus bersungguh sungguh menyatakan penentangan mereka kepada usaha menyamakan manusia biasa dengan nabi.

Bagaimana pula dengan isu seorang pemimpin DAP yang berkata 'langkah mayat saya dulu kalau nak jadikan Malaysia negara Islam" yang secara terang terangan menolak hudud dan konsep kerajaan Islam. ISIUKM juga harus menyanggah pendapat ini sebagai pimpinan mahasiswa Islam. Pasti persatuan UKM lain akan menyokong jika ia benar benar ikhlas untuk menegakkan kesucian Islam.

Bagaimana pula sikap ISIUKM dengan isu seorang pemimpin DAP Perak yang menggunakan perkataan hitam metalik (hitam yang berkilat) sebagai menghina ciptaan Allah pada kulit tubuh badan YAB Menteri Besar Perak. Apakah ISIUKM juga boleh setuju penggunaan perkataan 'haram jadah' pada seorang muslim oleh non muslim semata mata 'sedang bersemangat berceramah di atas pentas politik". Apakah Islam menganjurkan perbuatan seumpama itu dalam bersiasah? Dan jika perlakuan ahli politik DAP itu salah, ISIUKM sepatutnya membuat laporan polis terhadap beliau.

ISIUKM adalah satu persatuan yang besar di UKM. ISIUKM adalah 'suara' yang mewakili pelajar pelajar Islam di UKM seluruhnya samada yang menjadi ahli atau tidak. Malah PMUKM pun seperti sudah tunduk kepada suara ISIUKM. Maka itu ISIUKM harus bersikap adil dalam memperjuangkan Islam. Perjuangan ISIUKM sepatutnya tidak boleh bersifat politik tetapi haruslah bersifat memperjuangkan Islam yang sebenarnya. Tanpa takut atau memihak kepada mana-mana parti politik samada UMNO atau PAS, ISIUKM wajar menyatakan apa yang sebenarnya seperti yang dianjurkan oleh Islam. Bukan apa yang dianjurkan oleh ahli politik yang menjadi 'kegemaran' pimpinan ISIUKM. Bersama kita kembali memperjuangkan Islam yang sebenar. "Bersama Membumikan Islam Yang Sebenar Di UKM".

10 December, 2011

Rugi Kalau Pelajar UKM Tidak Ambil Peluang..

Minggu lepas selama tiga hari dua malam, pelajar IZISH bersama pelajar antarabangsa di Kampung Masyarakat Orang Asli di Kuala Krau, Temerloh Pahang. Minggu ini pula seramai 63 pelajar IZISH (tempatan dan antarabangsa) berada di Pulau Pinang selama 3 hari dua malam. Di semester 2 nanti akan diadakan pula program ke bandar Melaka, program Inap Desa (Home Stay) dan Cultural Carnival (FESKIB) yang juga akan dianjurkan oleh pihak MEP IZISH. Semuanya melibatkan pelajar tempatan dan antarabangsa. Akan dimulakan juga kelas bahasa Melayu untuk pelajar antarabngsa, dibimbing oleh pelajar tempatan (status LC) di IZISH.

Apa untungnya semua program ini kepada pelajar tempatan di IZISH. Apa faedahnya menghabiskan cuti hujung minggu bersama sama pelajar antarabangsa UKM dari China, Pakistan, Sweden, Bangladesh, Yaman, Iraq, Iran, Jordan dan kalangan negara Afrika? Apa kelebihannnya menubuhkan Amigos Club untuk pelajar antarabangsa dan program Buddy System di IZISH?

Pada saya ada dua faedah utama akan diperolehi oleh para pelajar tempatan. Pertama peluang meningkatkan komunikasi bahasa Inggeris. Keduanya, ini membuka minda pelajar tempatan kepada pertukaran budaya dengan pelajar antarabangsa.

Sepanjang semester ini, saya telah berpeluang berjumpa, berbincang dan melihat kesan kedua dua faedah ini pada pelajar tempatan di IZISH. Kalau dulu ramai pelajar IZISH yang segan dan tidak yakin diri untuk membuka perbualan dalam bahasa Inggeris, hari ini pada mereka yang telah bersama sama dengan pelajar antarabangsa di dalam beberapa program, mereka lebih yakin untuk memulakan perbualan dalam bahasa Inggeris di kolej. Kesan ini nampaknya jauh lebih positif berbanding kelas bahasa Inggeris yang IZISH anjurkan pada semester lepas.

Keduanya, pelajar pelajar antarabngsa sering memberikan komen tentang betapa untungnya kita menjadi warganegara Malaysia. Sebuah negara yang kaya sumber, aman dan harmoni. Ada antaranya (perbualan saya dengan pelajar Iraq semasa saya bersama mereka di International Student Sport carnival di UTP sebulan lalu, secara terus terang menyatakan betapa beruntungnya rakyat Malaysia berbanding dengan negara beliau. Walaupun Iraq sebuah negara yang memiliki sejarah dan ketamadunan yang tinggi pada masa lalu, itu semua belum cukup untuk menjamin kehidupan rakyatnya sebaik negara kita. Ini harus diambil pengajarannya oleh pelajar tempatan.

Melalui aktiviti pelajar tempatan dan antarabangsa juga, mereka berpeluang bertukar pandangan, memahami budaya dan juga erti kehidupan yang lebih besar berbanding sebelumnya.

Di bawah program Pelan Pengajian Tinggi Negara PSPTN, bilangan pelajar antarabangsa akan bertambah berkali ganda pada tahun tahun mendatang di UKM. Jika pelajar tempatan tidak menyusun semula pandangan dan cara mereka menjalani kehidupan di UKM, apakah mereka akan menjadi sekumpulan masyarakat pelajar ibarat "katak di bawah tempurung" satu hari nanti.

Bagi pengurusan IZISH, kehadiran pelajar antarabangsa merupakan satu hikmah yang akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membangunkan pelajar tempatan IZISH. Maka itu bagi menarik supaya lebih ramai pelajar antarabangsa tinggal di kolej, kebajikan pelajar antarabngsa akan terus menjadi keutamaan kami di IZISH. Rugi kalau peluang meningkatkan keupayaan diri ini tidak diambil peluang sepenuhnya oleh pelajar tempatan UKM.

08 December, 2011

Pelajar UKM Dapat Kuah, Orang Luar Dapat Isinya...

  1. Pagi tadi dalam satu mesyuarat di Pusanika, saya telah dimaklumkan rupa-rupanya sehingga ke hari ini (8 Disember 2011), JPPEL telah meluluskan 819 projek pelajar. Berdasarkan maklumat yang saya ada sebagai panel penyelidik untuk Kementerian Pengajian Tinggi yang menjalankan kajian longitudinal (2009-2012) berkaitan Keberkesanan Ko-Kurikulum dan Hubungannya dengan pembangunan soft skills dan keupayaan kebolehpasaran diseluruh IPT, tidak syak lagi pelajar UKM adalah antara yang paling aktif di negara ini.
  2. 819 projek jika dipuratakan dengan 8 bulan tempoh pengajian berjalan, bermakna 102 projek sebulan atau 3 projek pada setiap hari tanpa henti! Apakah ini belum cukup membuktikan kesungguhan, semangat dan caknanya pelajar UKM di dalam menganjurkan aktiviti pelajar.
  3. Apakah ini juga bukan bukti bahawa mahasiswa UKM tidaklah lesu dan 'ulat buku' semata-mata? Tahniah buat pelajar UKM yang begitu berjaya di dalam menganjurkan aktiviti. Tahniah juga buat pengurusan HEPA, JPPEL dan kolej kediaman yang menjadi pemudahcara dan peniup semangat kepada para pelajar. Ini juga bukti betapa pengurusan UKM menyokong penuh pembangunan insaniah pelajar dan sentiasa ada untuk memberikan bantuan termasuklah kewangan.
  4. Ironinya, semakin banyak aktiviti dianjurkan saban tahun, peratus graduan UKM yang memperolehi pekerjaan tetap dalam tempoh enam bulan pertama selepas graduasi semakin merosot. Angka ini lebih ketara dalam sektor syarikat swasta bertaraf multinasional dan GLC. Peratusan kegagalan keboleh-pekerjaan yang tinggi jelas disumbangkan oleh profil graduan UKM berketurunan  Melayu dan wanita! (Kajian pengesanan Graduan UKM 2007-2010, Pejabat Perhubungan Alumni UKM).
  5. Mengapa senario ini berlaku? Di saat semakin banyak aktiviti pelajar dianjurkan, semakin merosot pula kebolehpasaran graduan UKM!
  6. Saya pasti ada yang tidak kena dengan cara aktiviti dianjurkan, ada yang tidak kena dengan maklumat yang diperolehi oleh majikan di luar sana dan ada yang tidak kena dengan cara kita 'selaraskan apa yang diinginkan oleh majikan dengan apa yang kita tekankan di dalam aktiviti pelajar di UKM.
  7. Sebagai contoh, dalam sebulan yang lalu, beberapa buah kolej, fakulti dan persatuan pelajar telah menganjurkan program minggu usahawan silih berganti di Pusanika. Melihat buku daftar tempahan ruang di Pusanika, sehingga bulan Februari 2012 telah penuh dengan tempahan aktiviti. Sebahagian besarnya untuk program minggu usahawan.
  8. Sekali pandang, kita rasa bangga dengan usaha pelajar menganjurkan hari usahawan dan belajar menjadi seorang usahawan.
  9. Malangnya, diteliti sekali lagi secara lebih mendalam, rupa-rupanya Minggu Usahawan diisi sepenuhnya oleh orang luar, di kalangan para peniaga luar yang datang berniaga di Pusanika. Penganjur (pelajar) hanya menyewa 'booth' kepada para peniaga ini dan mengutip sewaan. Hasil sewaan ini dianggap keuntungan dalam laporan kewangan mereka. Maknanya yang berniaga bukan pelajar UKM, yang mendapat pengalaman berniaga dan melalui perit jerih sebagai usahawan bukan pelajar UKM. dan tentunya yang mendapat keuntungan perniagaan juga bukanlah pelajar UKM.
  10. Oleh kerana peniaga yang datang dari luar adalah peniaga sepenuh masa, mereka memperolehi keuntungan berlipat kali ganda, selain harga sewaan yang murah (sepatutnya untuk harga pelajar), pengunaan elektrik tanpa had dan lokasi yang begitu baik. Walaupun namanya program Minggu Keusahawanan, yang berniaga bukan pelajar, pelajar sekadar menjadi penyewa ruang semata-mata.
  11. Inilah satu contoh kepada puluhan contoh yang lain. Di dalam pesta konvo, hari keluarga kolej pun perkara yang sama berlaku, di Karnival IT UKM juga hal yang sama berulang. Program forum, seminar dan sebagainya juga yang menjadi panelnya bukan pimpinan pelajar UKM tetapi orang lain yang tidak bergelar pelajar. Mungkin lebih baik diadakan gabungan antara keduanya supaya pelajar juga mendapat pengalaman untuk meningkatkan softskills mereka.
  12. Apa implikasinya? Paling nyata, biar berapa banyak pun program yang pelajar anjurkan, hasil utamanya tidak diperolehi oleh pelajar. Minggu keusahawanan sepatutnya outcomes,pelajar mendapat pengalaman berniaga, kemahiran berinovasi, kerja berpasukan dan sebagainya. Tetapi yang mendapat faedahnya orang luar, termasuk keuntungannya sekali. Semua usaha ini pasti tidak akan dapat meningkatkan kemahiran dan insaniah/softskills pelajar semaksima mungkin. Hal yang sukar (sebagai panel forum dan pengerai) diserahkan pada orang luar. Apa yang pelajar dapat ialah pengalaman sebagai ajk penganjur. Pelajar telah terbudaya oleh pemikiran pimpinan pelajar supaya lebih cenderung untuk bertugas siang malam mengangkat kerusi meja, menyediakan jamuan dan menjaga keselamatan lalu lintas. Walaupun ini penting, impaknya kepada hasil pembelajaran tidaklah tinggi, apatah lagi selari dengan keperluan majikan.
  13. Maka biarpun semakin banyak aktiviti dianjurkan, itu tidak bermakna pelajar UKM akan semakin baik softskills mereka. Ini juga menjelaskan mengapa majikan masih ingin pelajar UKM  menjadi lebih hebat sebelum mereka menerima untuk bekerja di syarikat mereka. Selagi pimpinan pelajar UKM tidak mengubah cara mereka melihat isu ini, selagi itu pelajar UKM akan kerugiann. Ibarat perumpamaan "Pelajar UKM Dapat Kuah, Orang Luar Dapat Isinya.

07 December, 2011

Bersama Membumikan Islam di IZISH

  1. Kini IZISH telah menubuhkan Kelab Rakan Siswa IZISH (RSI). Kelab ini diletakkan di bawah biro kerohanian dan sivik MEP IZISH. Agenda utama kelab RSI ialah untuk membumikan Islam di IZISH. Maksud 'membumikan Islam di IZISH' ialah menjadikan Islam sebagai cara hidup warga IZISH yang beragama Islam dan memberikan kefahaman tentang Islam sebagai agama yang sederhana, dinamik dan 'salam' kepada warga bukan Islam di IZISH. 'Membumikan Islam' bukan slogan politik sempit. Ini adalah iltizam untuk mencari keredhaan dalam kehidupan di kampus.
  2. Apakah sebelum ini aktiviti dan cara hidup Islam tidak dipraktikan di IZISH? Tentulah tidak. Sejak IZISH ditubuhkan pada 1996, program dan aktiviti kerohanian di bawah MEP kerohanian telah berlangsung dengan jayanya. Sama seperti yang dilaksanakan di kolej kolej yang lain. Tetapi mulai tahun ini, pimpinan pelajar di IZISH ingin meletakkan cara hidup Islam sebagai sesuatu yang dipentingkan dan diperhebatkan  di IZISH. Maka program seperti tadarus setiap malam, tazkirah, puasa sunat dan berbuka beramai ramai, kursus sembelihan dan berbagai lagi telah dianjurkan. Aktiviti seumpamanya akan terus dipertingkatkan sebagai usaha menjadikan Islam sebagai cara hidup bukannya budaya 'chipsmore' sekejap ada sekejap tiada!
  3. Tahniah buat sdr Abdillah (MEP Kerohanian), Sdr Khalid (Presiden RSI) dan seluruh team MEP (JAKSA) yang dipimpin oleh Ketua Eksekutif sdri Nur Izzati (Aty).
  4. Sebagai pengetua kolej yang menjaga amanah ibubapa para pelajar IZISH, saya akan memastikan setakat yang terdaya supaya semua pelajar IZISH yang beragama Islam menjadi individu yang bertakwa dan mengamalkan apa yang dimaarufkan dan meninggalkan apa yang mungkar.
  5. Oleh itu usaha membumikan Islam di IZISH saya sokong sepenuhnya kerana ini adalah amal yang harus diraikan. TETAPI saya akan sentiasa menolak dan menentang sebarang usaha mempolitikkan Islam bagi tujuan politik kampus. Mengapa? Kerana bila ada pihak yang menggunakan Islam, lebih buruk lagi 'memperkudakan' Islam bagi meraih sokongan politik kampus, masyarakat pelajar akan berpecah belah, perbuatan kata mengata, budaya menghasut dan fitnah dan membina perseteruan dengan pengurusan UKM . Kita sudahpun melihat hal seperti ini berlaku pada masa masa yang lalu.
  6. Marilah kita semua mensyiarkan Islam supaya mahasiswa benar benar menjadi ummah di dalam kehidupan di UKM. Pada masa yang sama juga, marilah kita semua menolak sebarang usaha yang telah menggunakan agama Islam untuk kepentingan politik kampus yang sempit. Kerana politik, ada yang sanggup mendakwa orang yang tidak bersama jamaah mereka sebagai musuh Allah. Itu adalah satu tuduhan yang cukup menakutkan. Sedangkan kita semua berusaha untuk menjadi hamba Allah yang baik dan diredhai bukannya musuh Allah.
  7. Usaha membumikan Islam di IZISH adalah 'kempen' dan dakwah yang akan memberikan semangat baru kepada pelajar yang mungkin alpa dengan tanggungjawab mereka pada Allah. Soal ibadat, soal dosa dan pahala, soal moral dan soal menjaga kesucian Islam. Pada masa yang sama membumikan Islam juga membuka ruang kepada pelajar bukan muslim melihat bagaimana penghayatan Islam yang sebenar di kalangan pelajar Islam, bukan hanya menganjurkan Islam untuk kelompok mereka sahaja. Semoga pelajar bukan Islam berpeluang melihat Islam yang meraikan semua manusia tanpa ada prejudis dan perbezaan dalam kehidupan di dunia.
  8. Semoga usaha membumikan Islam atau membudayakan Islam sebagai cara hidup akan segar dan 'bercahaya' di IZISH. Semoga Allah memberkati usaha murni RSI ini. Terima kasih buat pimpinan MEP IZISH atas usaha ini.
  9. Jika IZISH telah berjaya sebagai kolej yang begitu prihatin dengan kelestarian alam, maka IZISH juga akan berusaha menjadikan Islam sebagai cara hidup pelajarnya yang beragama Islam. Usaha ini memerlukan semangat dan kesepaduan di kalangan semua pihak khususnya kepengetuaan, felo, pimpinan pelajar dan juga para pelajarnya. 
  10. Insyaalah, semoga kehidupan pelajar di IZISH bukan sahaja mendapat kejayaan di dunia, tetapi yang lebih utama mendapat kejayaan di akhirat yang berkekalan.

06 December, 2011

Kepimpinan PMUKM: Semakin Terdesak Atau Semakin Matang?

Lebih sebulan yang lalu saya ada menulis satu rencana di blog ini bertajuk "Apa kata PMUKM bila kerajaan peruntukan bajet RM 232.8 billion untuk rakyat pada 2012? Seminggu selepas rencana tersebut disiarkan, PMUKM secara tiba tiba menganjurkan Diskusi Bajet 2012 di dalam forum Suara Kampus Siri IV. Saya katakan 'tiba-tiba' kerana program ini tiada dalam perancangan PMUKM sebelum itu. Saya berpeluang ke majlis ini yang diadakan di 3B301 FSSK. Walaupun forum itu sepatutnya pentas untuk mahasiswa UKM memberikan pandangan mereka tentang "Di manakah Mahasiswa dalam Bajet 2012", ketiga tiga panel pada malam itu adalah di kalangan ahli akademik (FEP dan FPI) juga seorang ahli akademik dari sebuah IPTA lain. Pemimpin pelajar sekadar menjadi pengacara majlis dan pengerusi forum sahaja. 
Jumaat lalu (2 Disember 2011) blog ini menyiarkan satu artikel yang bertajuk "Apa Lagi yang PMUKM Masih Belum Lakukan". Antara isi utama ialah seperti berikut. " PMUKM sepatutnya menjadi pusat pemprosesan semua aduan pelajar UKM, berperanan mengkategorikan aduan dan seterusnya mencadangkan tindakan penyelesaian kepada pihak pengurusan UKM. Sebagai contoh, aduan yang diterima sekarang datang dari berbagai sumber, dalam kebanyakan masa aduan yang dilaporkan adalah aduan masalah yang sama. Misalnya aduan jalan berlubang di dalam kampus disalurkan dari kolej, persatuan fakulti, persatuan anak negeri, urusetia,ada yang terus dari pelajar sendiri dan ada juga dari PMUKM sendiri. Begitu juga dengan aduan keselamatan, kecurian, gangguan binatang liar, air, harga makanan, kemudahan untuk pelajar, PTPTN, kontrak pembelajaran, bas kampus, bantuan kebajikan pelajar dan sebagainya.Jika PMUKM adalah pasukan yang proaktif, semua aduan ini dikemaskini dan diajukan sebagai satu agenda yang siknifikan kepada pengurusan UKM. Ini lebih berkesan sebagai peranan induk mereka kepada semua pelajar". 
 
Semalam secara tiba tiba PMUKM telah melancarkan e-aduan PMUKM sebagai pusat aduan pelajar UKM. Antara lain e-aduan berhasrat mengumpulkan semua aduan pelajar, dikemaskini dan dipastikan tidaj bertindih antara satu sama lain. Menarik sekali kejadian tiba-tiba ini, sama seperti kisah Forum Bajet 2012 sebelumnya. Saya membayangkan semua ini adalah satu kebetulan dengan lontaran idea dari blog ini. Soal disengajakan atau tidak bukanlah satu persoalan. Tetapi tindakan sebegini pasti mengundang polemik dalam politik kampus. 
 
PMUKM Semakin Terdesak?
Pada pihak musuh politik GMUKM-PMUKM, samada dikalangan penyokong ASPIRASI dan TSB, tindakan menganjurkan program selepas 'diberikan idea' akan dilihat sebagai kurangnya inovasi dan idea di kalangan pimpinan GMUKM-PMUKM. Kerana terdesak dan bimbang dilihat sebagai tidak proaktif, maka program seperti forum Bajet 2012 dan e-aduan telah diadakan. Mungkin ada kebenarannya kerana pada saat PMUKM dihujung pemerintahannya, mengapa baru dianjurkan khidmat e-aduan berpusat. Bukankah sepatutnya dianjurkan pada minggu pertama pemerintahan mereka dahulu? Tindakan yang sepatutnya dilakukan sejak awal dahulu  setelah diadakan perjumpaan dengan semua Jaksa, persatuan fakulti dan persatuan di Pusanika. Itulah pandangan musuh politik kampus GMUKM-PMUKM.
 
PMUKM Semakin Matang?
Pada penyokong tegar GMUKM-PMUKM, apa salahnya PMUKM menerima idea, teguran dan nasihat jika semua itu memang menjadi tanggungjawab PMUKM untuk melaksanakannya. Soal idea siapa tidak penting, yang penting ialah bagaimana idea yang baik harus dilaksanakan. Menolak idea yang baik semata-mata kerana orang yang memberikan idea tidak sejamaah dengan GMUKM adalah tindakan yang tidak tepat dan merugikan. Itulah mungkin pandangan sesetengah pimpinan GMUKM-PMUKM.
 
Apa pula pandangan saya?
Mungkin secara kebetulan idea yang blog ini lontarkan mendahului usaha yang PMUKM lakukan. Jika benar begitu, saya andaikan tindakan PMUKM itu sebagai satu langkah rensponsif yang baik, walaupun sepatutnya mereka bersikap proaktif, kerana itu selalunya lebih baik. Pada saya, sesiapa pun yang membuka idea yang baik, PMUKM harus raikan. Mana-mana yang sesuai PMUKM kena nyatakan sokongan, mana mana yang wajar, PMUKM boleh laksanakan. Sebab itu bila PMUKM anjurkan forum "bajet 2012" saya menghadirkan diri. Asasnya apa sahaja idea yang baik untuk kemajuan dan kebajikan pelajar UKM, pimpinan pelajar harus raikan dan usahakan. Saya kira pengundi atas pagar lebih memahami pada siapa undi mereka akan diberikan nanti.

05 December, 2011

Tahniah Pelajar IZISH UKM

  1. IZISH sedang bersungguh sungguh untuk menjayakan Pelan Strategik 2011-2013 "ke arah kolej lestari ".
  2. Hujung minggu lalu, warga IZISH sibuk sekali. Tiga program pelajar berjalan serentak pada Jumaat, Sabtu dan Ahad. Di kala pelajar lain menghabiskan cuti hujung minggu samada balik ke kampung atau bersiar di KL, sebahagian besar warga IZISH telah menjayakan; 1) program Jatidiri Peribumi di Kuala Krau Temerloh bersama masyarakat orang Asli, 2) Penganjuran program Inter-College Green Knowledge dan 3) Penganjuran program Green Planet Ventures IZISH.
  3. Meriah sekali ketiga tiga program ini dilaksanakan. Walaupun dianjurkan oleh tiga AJK yang berbeza tetapi matlamat asasnya adalah sama,  menjayakan pelan strategik IZISH, ke arah pengerak kepada konsep Kolej Lestari (Sustainable College). 
  4. Di Kuala Krau, kumpulan pelajar IZISH bersama 30 pelajar antarabangsa dan kumpulan Rakan Muda bersama sama menginap di petempatan masyarakat orang asli selama 2 malam. Turut ikut serta ialah Prof Dato Dr Hood Salleh, Pengarah Muzium UKM dan juga peneraju penyelidikan berkaitan masyarakat orang asli di Malaysia. Tahniah dan terima kasih pada Ybhg. Prof TNC Hepa yang sudi merasmikan program tersebut dan turut bersama sama makan tengahari bersama para pelajar dan penduduk kampung.
  5. Di UKM pada hari yang sama berlangsung Inter-College Green Knowledge yang dianjurkan oleh Biro Akademik dan Inovasi MEP IZISH. Dirasmikan oleh Dato Dr Shaharuddin Mohammad Ismail, Felo Utama Lestari UKM dan Mantan Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Malaysia. Enam buah kolej telah mengambil bahagian iaitu IZISH, KTHO, KUO, KAB, KPZ dan KDO. Dua lagi pasukan kolej terpaksa menarik diri di saat akhir kerana terlibat dengan program akademik. KTSN dan KTDI berminat dan akan ikut serta di dalam acara ini pada tahun hadapan. Diadakan pertandingan pameran dan juga pembentangan cabaran idea di hadapan para juri (ahli akademik LESTARI). Pada akhirnya selain acara penyampaian hadiah, diadakan juga majlis penyerahan anak anak pokok sumbangan Jabatan Perhutanan Malaysia kepada semua kolej kolej UKM oleh perasmi.
  6. Program IZISH Green Planet Ventures juga telah diadakan pada hujung minggu ini. Banyak aktiviti untuk pelajar IZISH mendekati aspek kelestarian kolej telah diadakan termasuklah treasure hunt berkonsepkan alam seperti kenali pokok hutan dalam UKM, pertandingan fotografi, pertandingan inovasi tong sampah mesra alam dan juga acara sukaneka. Program ini turut melibatkan pelajar antarabangsa yang menginap di IZISH.
  7. Sungguh meriah dan jelas telah memberikan impak kepada usaha membentuk kesedaran berkaitan kelestarian kolej IZISH. Tahniah atas usaha anda di IZISH.

04 December, 2011

Dua Cabaran Utama Pembangunan Pelajar UKM

Saya sering ditanya oleh pelajar soalan ini, Apakah cabaran yang paling utama di dalam menguruskan pembangunan pelajar di UKM?

Sejak dulu hingga sekarang jawapan saya masih sama dan semakin hari semakin pasti, saya akan menjawab ada dua cabaran utama di dalam membangunkan pelajar. Pertama, membangunkan kemahiran keusahawanan dan keduanya meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris khususnya pada pelajar Bumiputera.

Politik Kampus? Saya tak pernah menganggap itu sebagai satu cabaran. Pertama, kerana politik kampus bukanlah sesuatu yang bersifat nyata. Apabila telah bergraduan, politik kampus akan tinggal sebagai kenangan sahaja. Sejak dahulu pun begitulah. Ramai kawan kawan saya dulu yang menjadi pemimpin tegar dalam IPU dan TSB bila tamat pengajian, tidak lagi bermain politik. Mereka bekerja, berkahwin dan meneruskan kehidupan seperti orang lain. Beberapa rakan yang cuba berpolitik samada dalam parti kerajaan mahupun parti pembangkang, sampai separuh jalan 'dipancung' oleh para pesaing dalam parti. Akhirnya mereka menjadi usahawan atau kakitangan kerajaan sepenuh masa.

Sebab itu saya tidak pernah melihat politik kampus sesuatu yang sangat penting. Sekadar tempat melatih mahasiswa meningkat kemahiran untuk menjadi pemimpin pelajar semata mata. Tidak lebih dan tidak kurang. Wadah perjuangan... tanyalah pemimpin tegar IPU dan TSB dulu yang sekarang telah menjadi alumni UKM, Masih kuatkah wadah perjuangan mereka seperti zaman mereka belajar di UKM dahulu. Pasti mereka tersenyum sambil berkata, "dulu lain, sekarang banyak perkara lain kena fikirkan". Pendek kata politik kampus akan tetap ditinggalkan sebaik sahaja bergraduan kelak, biarpun semasa di universiti sering menggunakan frasa "istiqamah dalam perjuangan". Pada siswi, bila sudah bergraduan, bekerja dan bergelar surirumah, mereka akan mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap keluarga masing masing. Inilah hakikat dalam kehidupan yang harus dilalui.

Ini semua memerlukan pandangan hidup yang baru dan berbeza berbanding semasa belajar di UKM. Ini  melibatkan soal mencari pendapatan sendiri. Semasa belajar di UKM, ini semua menjadi tanggungjawab sepenuhnya mak ayah dan juga PTPTN. Sekuat manapun melaung wadah perjuangan pasti akan terhenti bila PTPTN yang ditunggu belum masuk ke akaun, atau mak dan ayah belum bank in belanja bulanan. Bukan bertujuan memperkecilkan pemimpin pelajar UKM, tetapi itulah hakikatnya.

Sebab itu pada saya, cabaran membangunkan kemahiran keusahawanan dan usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris sangat penting dan kritikal. Keusahawanan memerlukan pelajar belajar berniaga dalam kampus UKM. Bukan soal untuk mencari untung besar tetapi sebagai satu usaha mendedahkan diri kepada alam perniagaan. Sebab itu di IZISH saya bersama para felo kolej bersungguh sungguh ingin memastikan agenda keusahawanan pelajar mesti dijayakan. Walaupun sekarang dilakukan secara ringkas, program keusahawanan IZISH melalui Ezzy Kiosk dan Izish Corner ( ada yang menyebut warung Mak Zain) adalah permulaannya. Sehingga kini ada lima kumpulan (32 orang pelajar berniaga di IZISH Corner dan 10 orang berjualan di Ezzy Kiosk). Mereka terlibat secara sepenuhnya dengan program keusahawanan di IZISH. Harapnya ini satu permulaan kepada usaha menjadikan program dan agenda keusahawan sesuatu yang lebih besar di UKM.


Bagi program penguasaan bahasa Inggeris, satu satunya cara terbaik yang murah, mudah, selesa untuk pelajar Bumiputera menguasai bahasa Inggeris secara cepat ialah bergaul dengan kumpulan pelajar antarabangsa. Saya sudah nampak hasilnya di IZISH. Dulu saya terpaksa memujuk pelajar tempatan berinteraksi dengan pelajar antarabangsa. Kini tidak lagi. Mereka sudah sedar dan nampak mengapa saya selalu memujuk mereka dahulu.

Seperti beberapa program yang dianjurkan di IZISH sebelum ini, pagi tadi di dalam program Green College, pelajar tempatan dan antarabangsa nampaknya telah selesa bersama sama. Sebagai satu pasukan mereka menyertai treasure hunt, sukaneka, pembentangan idea dan sebagainya bersama sama. Semuanya berinteraksi di dalam bahasa Inggeris. Cara ini lebih santai, menyeronokkan serta lebih berkesan berbanding diadakan kelas bahasa atau pelajar 'dipaksa' bertutur oleh pihak kolej.

Saya ucapkan tahniah atas usaha MEP (Jaksa) dan Felo IZISH yang telah bekerjasa sebagai satu pasukan di dalam menjayakan agenda ini. Semoga dua cabaran ini akan difahami sebagi penting oleh semua pelajar di IZISH dan juga umumnya di UKM, khususnya pimpinan pelajar kerana merekalah nadi kepada penganjuran aktiviti dan projek untuk para pelajar.

02 December, 2011

Apa Yang Masih Belum PMUKM Lakukan?

Pilihanraya kampus UKM semakin hampir, bahangnya semakin terasa pada pemimpin pelajar kalangan GMUKM, Aspirasi dan TSB. Malah sudah ada yang mencongak adakah pilihanraya kampus kali ini akan diadakan sebelum atau selepas piliharaya Umum ke 13. Saya juga tidak pasti bila tarikhnya. Tetapi jika pilihanraya kampus diadakan sebelum pilihanraya Umum ke 13, pilihanraya kampus akan datang pasti akan menjadi pilihanraya kampus paling sengit dalam sejarah kampus IPTA.

Dengan masa yang masih tinggal di penghujung, pasukan PMUKM sekarang masih dilihat belum melakukan beberapa perkara yang perlu dilakukan. Jika PMUKM tidak bersedia melakukan, eloklah pasukan 'pembangkang' pula mengambilalih usaha usaha ini. Antaranya;
  1. PMUKM sepatutnya menjadi pusat pemprosesan semua aduan pelajar UKM, berperanan mengkategorikan aduan dan seterusnya mencadangkan tindakan penyelesaian kepada pihak pengurusan UKM. Sebagai contoh, aduan yang diterima sekarang datang dari berbagai sumber, dalam kebanyakan masa aduan yang dilaporkan adalah aduan masalah yang sama. Misalnya aduan jalan berlubang di dalam kampus disalurkan dari kolej, persatuan fakulti, persatuan anak negeri, urusetia,ada yang terus dari pelajar sendiri dan ada jugadari PMUKM sendiri. Begitu juga dengan aduan keselamatan, kecurian, gangguan binatang liar, air, harga makanan, kemudahan untuk pelajar, PTPTN, kontrak pembelajaran, bas kampus, bantuan kebajikan pelajar dan sebagainya.Jika PMUKM adalah pasukan yang proaktif, semua aduan ini dikemaskini dan diajukan sebagai satu agenda yang siknifikan kepada pengurusan UKM. Ini lebih berkesan sebagai peranan induk mereka kepada semua pelajar.
  2. PMUKM sepatutnya telah mewujudakn satu sistem penyampaian maklumat yang lebih tersusun dan efisyen dengan semua Jaksa, persatuan dan urusetia di peringkat kepimpinan pelajar.Buat masa ini hal ini masih belum tiada tindakan
  3. PMUKM seharusnya sudah menganjurkan program pengantarabangsaan pelajar UKM. Hal ini seperti tidak langsung mendapat perhatian para MPP PMUKM kali ini. Selain mengadakan program ke luar negara, PMUKM boleh menjemput pelajar luar negara ke UKM khususnya di kalangan negara negara ASEAN.
  4. PMUKM sepatutnya telah mengadakan satu perhimpunan berbentuk konvensyen untuk para pimpinan pelajar UKM yang berjumlah lebih 200 orang bertemu dan berbincang tentang pembangunan pelajar UKM. (fakulti, kolej, urusetia dan anak negeri).
  5. PMUKM sepatutnya telah menganjurkan program secara bersama dengan beberapa persatuan pelajar antarabangsa UKM. Mereka juga adalah di bawah naungan PMUKM.
  6. PMUKM sewajarnya menjadi peneraju utama kepada penganjuran Hari Kerjaya UKM 2012. Oleh kerana tiada tindakan, JAKSA IZISH telah sanggup mengambil tanggungjawab ini untuk 2012.
Masa masih ada pada PMUKM untuk merancang program seperti ini. Pelajar juga sedang membuat penilaian prestasi MPP PMUKM sebagai panduan kepada siapa mereka akan memberikan undi nanti. Yang paling bijaksana tentulah para pengundi atas pagar, mereka mempunyai pendirian sendiri tentang siapa yang selayaknya memimpin mereka untuk 2012. 

01 December, 2011

Pelajar UKM Perlu Lebih Sensitif Tangani Isu Kecurian

Laporan dari pihak keselamatan UKM berkaitan kemalangan dan kecurian terutama di kolej kediaman, saya terima setiap bulan di dalam mesyuarat keselamatan kolej kolej kediaman yang saya pengerusikan. Ahlinya terdiri wakil keselamatan UKM, Unit Kebajikan dan Kaunseling UKM dan semua exco Jaksa Kolej. Biasanya saya akan laporkan kembali dalam mesyuarat pengurusan kolej kediaman atau di dalam Mesyuarat Majlis Pengetua bila ada keperluaan berbuat demikian.

Laporan menunjukan jumlah kenderaan di UKM bertambah berkali ganda, ini menyumbang kepada pertambahan kemalangan di dalam kampus dari tahun ke tahun. Begitu juga dengan kes kecurian kenderaan khususnya motosikal.Lebih lebih lagi di minggu peperiksaan berlangsung. Sehingga kini berbagai pihak telah mengambil inisiatif mengekang masalah ini dari berlarutan. Pihak keselamatan berusaha meningkatkan kawalan kampus, pihak pengurusan kolej juga telah menguatkuasakan peraturan dan memberikan peringatan untuk memastikan keselamatan para penghuni kolej terjamin, pihak felo juga meningkatkan tahap kewaspadaan pelajar di blok masing masing. PMUKM juga dulunya telah mengadakan kempen keselamatan jalanraya dan kempen kunci pendua.

Semua pihak telah melaksanakan peranan masing masing sebaik mungkin, malangnya kes masih juga bertambah dari tahun ke tahun walaupun masih terkawal. Hal ini seperti tiada kesudahannya. Puncanya bila pelajar sendiri semakin ramai yang kurang sensitif tentang keselamatan diri sendiri dan barang barang kepunyaan mereka. Ada yang berkata, "saya telah melakukannya (ambil langkah keselamatan)", soalnya adakah ia dilakukan bila mereka hanya teringat untuk melakukannya atau melakukan kerana ia sudah menjadi satu habit atau kebiasaan. Ada beza yang besar antara keduanya. Tidak dinafikan ada juga pelajar yang telah menguruskan soal ini dengan baik, dan hasilnya mereka tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang pengajian di UKM. Tetapi pada yang tidak sensitif, laporan keselamatan dan kecurian yang telah diteliti menunjukan;
  1. Kebanyakan kes kemalangan berpunca daripada kecuaian pengguna kenderaan. Yang menjadi mangsa ialah penggunaan kenderaan yang paling 'kecil', samada pengguna motosikal atau basikal. Ada juga kes yang melibatkan pejalan kaki yang berjalan di bahu bahu jalan.
  2. Masih ramai pelajar yang tidak memiliki lesen memandu ( tiada insuran jalanraya) yang meminjam motosikal rakan rakan di dalam kampus. Apabila berlaku kemalangan, mangsa kemalangan  terpaksa menanggung kos perubatan sendiri.
  3. Bagi kes kecurian, kebanyakan kes disebabkan pelajar tidak mengunci motosikal atau menggunakan kunci pendua. Bagi kes kecurian di kolej, kes berlaku bila penghuni keluar dengan membiarkan pintu bilik tidak berkunci. . Walaupun beberapa kolej telah memperkenalkan penggunaan selak berkunci, didapati kes kecurian berlaku bila selak berkunci tidak digunakannya.Aalasan yang diberikan, "leceh, sebab kena simpan banyak kunci!", "lambat kalau nak buka pintu bila balik kuliah!".
  4. Kebanyakan kes kecurian berlaku di blok lelaki berbanding blok wanita walaupun bilangan wanita yang menginap di kolej UKM lebih ramai,hampir 65%.
  5. Pelajar masih meletakkan barangan berharga di atas meja yang berhampiran tingkap yang di buka.
  6. Kurangnya interaksi antara ahli blok juga menyebabkan lebih mudah orang luar masuk ke blok pelajar. Melalui interaksi, sistem keselamatan dapat dibincangkan di kalangan ahli blok.
Apabila berlaku kemalangan atau kecurian, masih ramai pelajar tidak tahu apa yang harus mereka lakukan. Bagaimana mereka boleh mendapatkan bantuan dan kepada siapa yang mereka harus ajukan masalah mereka. PMUKM, Jaksa, Felo boleh membantu pelajar membangunkan prosedur standard (SOP) membantu pelajar yang menhadapi situasi ini. Nombor telefon pegawai yang perlu dihubungi serta senarai tindakan yang perlu dilakukan sebaiknya diletakkan di setiap blok kediaman.

Pun begitu, kita sedia maklum sebaik mana pun tindakan telah dilakukan, akan masih berlaku kemalangan dan kecurian jika kita tidak berwaspada. Kemalangan boleh juga berlaku kerana lubang -lubang di jalanraya, hujan atau jalan berpasir. Kecurian juga masih boleh berlaku bila kita terlupa atau tersilap meletak laptop atau handphone kita di mana mana.

Sekurang kurangnya jika semua pelajar sensitif dengan keselamatan diri dan barangan berharga kepunyaan mereka, kes kemalangan dan kecurian di kalangan pelajar akan dapat dikurangkan pada tahap yang paling minima di UKM.

Penelitian juga menunjukkan wujudnya pola pola yang sama bagi kes kemalangan dan kecurian. Masa kecurian, jenis barangan yang dicuri, lokasi yang sama samada kawasan atau bilik. Begitu juga dengan pola pola berlakunya kemalangan dalam kampus. Mungkin satu kajian menyeluruh perlu diadakan untuk mendepani isu ini.

30 November, 2011

Lima Pemikiran Baru Penganjuran Aktiviti Pelajar UKM

  1. Sekian lama penganjuran aktiviti pelajar UKM tidak banyak berubah. hampir setiap tahun program yang sama diulang ulang. Memahmi kekangan yamg dihadapi seperti masa yang singkat untuk memikirkan program yang baru, kos penganjuran yang semakin meningkat, pengalaman para senior juga memudahkan penganjuran projek yang berulangan. Terdapat lapan tema utama penganjuran aktiviti pelajar di UKM. Setiap aktiviti pasti akan termasuk dalam mana-mana satu daripada lapan tema tersebut samada i) khidmat masyarakat, ii) badan beruniform, iii) keusahawanan, iv) kepimpinan, v) inovasi,penyelidikan dan akademik, vi) sukan, vii) kebudayaan, dan viii) komunikasi/perucapan umum.
  2. Di bawah 8 tema ini pelajar UKM menganjurkan program samada di kolej, di urusetia, persatuan fakulti atau persatuan di pusanika. Jumlahnya besar sekali bila digabungkan, mencecah hampir 600 aktiviti setahun.
  3. Antara yang paling banyak dianjurkan ialah yang bertemakan khidmat masyarakat, kepimpinan dan komunikasi. Manakala yang paling kurang berkaitan program keusahawanan.
  4. Hari ini, selain sekadar menjayakan sesuatu projek, pemimpin pelajar juga harus memastikan semua aktiviti yang dianjurkan benar benar memberikan makna serta learning outcomes kepada mereka dan para ajk. Dalam kata lain seseorang pemimpin pelajar harus lebih bijak menganjurkan aktiviti yang  memberikan nilai tambah terbaik untuk pembangunan softskills masing masing.
  5. Oleh itu pemimpin pelajar harus mempertimbangkan lima pemikiran baru di dalam menganjurkan aktiviti mereka;
    1. Setiap aktiviti harus dimulakan dengan pertanyaan mengapa saya menganjurkan aktiviti ini? seterusnya bagaimanakah aktiviti ini akan dapat meningkatkan softskills saya dan ajk? dan soalan terakhir apa yang patut saya lakukan untuk memastikan softskills dan ajak saya meningkat?
    2. Pemimpin pelajar juga harus mula membuka minda kepada konsep perkongsian di dalam menganjurkan aktiviti. Saya namakan ini sebagai gelombang ketiga penganjuran aktiviti. Katakanlah Jaksa Kolej sebagai contoh. Pada gelombang pertama dulu, setiap aktiviti hanya dianjurkan oleh Jaksa dalam ruang mereka sahaja. Misalnya Jaksa anjur projek di kolej, guna peruntukan kolej dan untuk pelajar di kolej. Gelombang kedua, Jaksa mula membuat aktiviti dan melibatkan orang luar kolej (khidmat masyarakat), mencari dana melalui tajaan atau sumbangan dari luar kolej. Gelombang ketiga, Jaksa mula melaksanakan projek bersama orang dari luar kolej. Bukan sahaja projek Jaksa ditaja tetapi mula berhasrat untuk menaja. IZISH UKM misalnya telah mengadakan projek bersama LESTARI UKM, Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA), ditaja oleh syarikat syarikat luar dan seterusnya turut memberikan sumbangan kepada beberapa aktiviti berkaitan kelestarian di kampus UKM. Pemikiran projek kolej hanya untuk pelajar kolej sahaja sudah ketinggalan. Pemimpin pelajar UKM harus mampu melakukan kolaborasi dengan pihak luar UKM yang lebih pakar dan berpengalaman. Banyak pihak mula membuka ruang untuk pelajar UKM bekerjasama. Terbaru, DIGI dan MDeC adalah contohnya. Sebenarnya lebih banyak pengalaman dan jaringan yang diperolehi jika pemimpin pelajar UKM menganjurkan projek secara kerjasama dengan institusi luar UKM.
    3. Amalan kewangan projek bersifat one off  harus dikurangkan sedikit demi sedikit. Pelajar harus mula bergerak kepada aktiviti keusahawanan sebelum menganjurkan sesuatu program. Misalnya penganjuran makan malam tahunan kolej harus dimulakan dengan aktiviti keusahawanan secara berterusan.
    4. Pemimpin pelajar harus melihat setiap beban penganjuran aktiviti sebagai cabaran bukannya masalah. Apabila seseorang pelajar menganggap mencari dana projek seperti perlu membuat pembentangan projek pada bakal penaja sebagai satu masalah, beliau tidak akan mendapat hasil sebaik jika beliau melihat usaha itu sebagai satu cabaran yang ingin ditempuhi. Tahap kepuasan usaha juga berbeza, apatah lagi learning outcomes yang diperolehi.
    5. Mementingkan usaha penambahbaikan melalui aktiviti post mortem. Refleksi atau post mortem projek terbahagi kepada dua. Pertama, tahap individu dan kedua tahap projek. Pada tahap individu seseorang pelajar perlu mengenalpasti kekuatan yang telah beliau perolehi, kelemahan diri yang telah dikenalpasti, apakah ruang untuk menambahbaik serta apakah peluang peluang lain yang harus diambil selepas sesuatu projek selesai. Pada tahap projek, refleksi akan membantu pelajar melihat kekuatan projek, kelemahan yang perlu ditambahbaik dan peluang peluang untuk penganjuran seterusnya. Amalan sekarang, aktiviti post mortem atau refleksi adalah bahagian yang paling kurang dilakukan, malah ada kumpulan pelajar yang melupakannya terus.

29 November, 2011

Siapa Akan Anjurkan Hari Kerjaya UKM 2012?

  1. Seingat saya dulu, selain Pesta Konvo, Hari Kerjaya adalah program yang ditunggu-tunggu oleh pelajar UKM. Jika Pesta Konvo meraikan pelajar yang bergraduan, Hari Kerjaya bertujuan menyediakan peluang untuk pelajar mendapatkan maklumat terus dari majikan dan juga untuk ditemuduga.
  2. Pernah satu ketika pada tahun 1992, Hari Kerjaya UKM dirasmikan sendiri oleh Tun Dr Mahathir, ketika itu merupakan Perdana Menteri. Bayangkanlah betapa besar program ini dan beruntungnya pelajar UKM ketika itu yang berpeluang memperolehi maklumat terkini tentang alam pekerjaan. Malah ketika itu ramai juga yang terus ditawarkan pekerjaan walaupun masih di tahun akhir kerana keupayaan mereka menyakinkan majikan bahawa mereka adalah calon yang paling sesuai untuk ditawarkan jawatan.
  3. Itu kisah dulu, sejak beberapa tahun ini hari kerjaya tidak lagi menjadi kemuncak program pelajar UKM. Kalau dulu Urusetia Kerjaya merupakan salah satu urusetia yang 'popular' di UKM selain PMUKM dan Jaksa kolej Kediaman, hari ini semua itu tinggal kenangan.
  4. Laporan Pengesanan Graduan KPT (2007-2010) menunjukkan walaupun jumlah pelajar yang cemerlang di IPTA bertambah dari tahun ke tahun, peratus yang memperolehi pekerjaan pada enam bulan pertama selepas bergraduan semakin merosot. Dengan kata lain, jika berdasarkan data yang ada, seolahnya graduan IPTA (termasuklah UKM) semakin kurang diminati oleh majikan khususnya di dalam sektor swasta. Secara khususnya syarikat multinasional dan antarabangsa.
  5. Antara sebabnya ialah syarikat-syarikat ini lebih cenderung mengambil graduan IPTS samada di kalangan IPTS yang mempunyai MOU dengan syarikat syarikat mereka atau kerana dikatakan mereka tidak berpuashati dan ragu-ragu dengan tahap komunikasi bahasa Inggeris di kalangan pelajar IPTA.
  6. Beberapa kajian yang dilakukan oleh KPT juga menunjukkan majikan swasta cenderung menawarkan pekerjaan kepada graduan IPTS dengan sebab sebab yang sama sejak beberapa tahun lalu.
  7. Apa yang patut pemimpin pelajar UKM lakukan tentang isu kebolehpasaran graduan UKM? Biarkan sahaja atau bersedia untuk lakukan sesuatu demi menjaga kebajikan pelajar UKM seluruhnya?
  8. UKM sebagai sebuah universiti tidak mempunyai peranan menawarkan pekerjaan kepada para graduannya. Tetapi UKM mempunyai peranan untuk menyediakan graduannya bersaing di dalam mendapatkan pekerjaan. Maka itu pihak pengurusan UKM telah menyediakan peruntukan yang besar di dalam menganjurkan program-program meningkatkan soft skills pelajar di sepanjang pengajian mereka. Malah pengenalan Kontrak Pembelajaran juga satu usaha untuk memastikan para pelajar UKM bersedia menempuh persaingan alam persaingan pekerjaan.
  9. UKM telah laksanakan peranannya.Tetapi pelajar UKM juga perlukan satu program Hari Kerjaya. Ini adalah di dalam tanggungjawab persatuan pelajar UKM. PMUKM misalnya sebagai badan induk pelajar boleh melaksanakan tanggungjawab ini demi kebajikan pelajar. Begitu juga dengan urusetia urusetia yang lain seperti UPSM dan Urusetia Kerjaya sendiri. Malangnya belum kelihatan semua usaha tersebut sehingga hari ini.
  10. Menginsafi bahawa program sepenting ini tidak mendapat tempat di kalangan persatuan induk pelajar, Jaksa IZISH telah bersetuju untuk menghantar satu proposal bagi menganjurkan UKM Career Day pada pihak JPPEL. Program ini akan dilaksanakan oleh IZISH sekitar bulan Mei 2012 akan datang. 
  11. Sebagai 'promosi' awal, pihak urusetia IZISH akan membawa masuk 50 buah syarikat swasta dan multinasional selama tiga hari bertempat di Dectar UKM. Bagaimanapun sektor awam dan jabatan kerajaan tidak akan dijemput atas dua faktor. Pertama, kajian menunjukkan penawaran pekerjaan di sektor swasta meliputi hampir 80% berbanding hanya 20% di sektor kerajaan. Kedua, untuk membuka ruang baru agar majikan sektor swasta lebih mengenali institusi UKM dan dapat melihat keupayaan sebenar pelajar UKM. Secara langsung ini diharap dapat meningkatkan reputasi graduan UKM di mata majikan pada masa masa akan datang.
  12. Selain pameran oleh syarikat, akan diadakan ceramah kerjaya, sesi temuduga, forum dan bengkel. Semua ini akan dikendalikan oleh para wakil syarikat yang telah dikenalpasti. Misalnya Ketua Jabatan Sumber Manusia Mercedec Benz (M) dan juga Ketua Jabatan Sumber Manusia Hitachi telah bersetuju untuk menjadi panel ceramah berkaitan "Graduan Dari Persepktif Majikan Sektor Swasta".
  13. Selain syarikat swasta, akan turut membuat pameran ialah NGO NGO berdaftar. Tujuannya ialah selain membina pekerjaan, pelajar juga harus mempunyai keupayaan 'social responsibility' pada masyarakat dan negaranya. Mendapat maklumat pekerjaan adalah untuk kemajuan individu, dan mendapat maklumat dan mendaftarkan diri dengan NGO adalah untuk menyumbang pada masyarakat.
  14. AJK di kalngan pelajar IZISH telah dibentuk di bawah exco Jaksa IZISH. Tahniah pada sdr Jonathan yang akan dibantu oleh felo penasihat Cik Stephanie, Cik Badariah, Encik Iejan sdr Chang Ee, Cik Liza dan Cik Roova. Kertas Kerja telah dihantar, borang LC juga sedang disediakan. Kita doakan agar Jaksa IZISH akan berjaya memberikan sumbangan kecil penuh bermakna kepada kebajikan pelajar UKM seluruhnya. Tentunya dengan cara mereka sendiri. Terimakasih saya ucapkan pada mereka semua.
  15. Jemputlah ke Dectar nanti!