28 July, 2016

BOLEHKAH PERPADUAN MELALUI KEPELBAGAIAN DICAPAI?

Kisah ahli politik pembangkang di Perak yang dengan sengaja mempersendakan sambutan Aidil Fitri minggu lalu nampaknya benar-benar telah melukai hati masyarakat Melayu Islam negara ini. Pada yang waras dan rasional, tindakan seperti itu adalah sesuatu yang tidak wajar. Pada yang lain, ada yang berpandangan ia mungkin sengaja dilakukan untuk meraih perhatian politik atau mungkin juga sengaja diwujudkan untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu yang sedang melanda pemimpin utama parti beliau di Pulau Pinang. Apa pun alasan yang diberikan termasuk tindakan memadamkan kenyataan di laman facebook beliau, jelas tindakan beliau atas nama politik yang diasaskan kepada sentimen perkauman adalah sesuatu yang tidak wajar sama sekali.

Pasca politik tahun 2000 nampaknya menyaksikan politik negara ini kuat mempengaruhi hubungan etnik masyarakat. Sebelumnya juga wujud pengaruh politik di dalam soal hubungan etnik tetapi tidaklah sehebat selepas 1998. Kita sebenarnya sedang berhadapan dengan satu dilema baru. Di satu pihak, politik pasca 1998 membuktikan demokrasi moden yang diamalkan sejak pilihanraya pertama 1955 diraikan oleh semua pihak. Buktinya, hari ini negara kita telah mempunyai pelbagai parti yang ada sebahagiannya bersifat monoetnik dan sebahagian yang lain pula bersifat multietnik. Ada juga yang walaupun sifatnya multietnik tetapi nampaknya sejak dulu hanya di dominasi oleh hanya satu etnik. Manakala yang bersifat monoetnik pula ada yang sekian lama berjaya mengamalkan kolaborasi dengan parti monoetnik yang lain. Melihat kerencaman sifat parti- parti di negara ini sahaja sudah cukup menarik. Apa yang jelas, demokrasi telah diraikan di negara ini.
 
Di satu pihak yang lain, demokrasi moden ini juga membawa kepada budaya permainan politik perkauman yang semakin membesar antara pemimpin parti- parti politik. Di saat kita ingin meraikan politik berpilih raya sebagai asas demokrasi, kita juga terpaksa berhadapan dengan permainan politik perkauman yang ada masanya mampu menggugat kestabilan negara dan perpaduan masyarakat. Apa pilihan yang kita ada untuk menguruskan dilema ini? Bagaimana kita dapat meraikan demokrasi secara harmoni tanpa menggugat kesejahteraan hubungan etnik?
 
Penelitian penulis menunjukkan hubungan etnik di negara ini sudah berada di gelombang fasa ketiga. Fasa pertama, kita hidup secara terpisah pisah. Melayu dengan Melayu, Cina dengan Cina dan begitu juga India dengan India. Jika pun berinteraksi, ia atas tujuan- tujuan yang tertentu sahaja. Misalnya kerana berurus niaga atau dalam acara rasmi sahaja. Pemisahan etnik ini berlaku kerana dasar pentadbiran yang dijalankan penjajah. Kemudian selepas merdeka, kita masuk ke fasa kedua. Kita mula impikan seluruh rakyat Malaysia bersatu padu dengan menjadi satu bangsa.
 
Kita mula wujudkan dasar-dasar pelajaran seperti Laporan Pelajaran Barnes 1950 dan Laporan Pelajaran Razak 1956 yang cuba untuk merealisasikan impian tersebut. Kita percaya bahawa perpaduan melalui cara bertolak ansur dan toleransi mampu menjadikan kita bersatu. Setelah sekian lama di fasa dua ini, baru kita sedar sebenarnya bahawa kita adalah sebuah masyarakat majmuk dan adalah mustahil menjadi satu untuk perpaduan. Tolak ansur nampaknya tidak membantu kita membina perpaduan yang sebenarnya. Malah dalam banyak keadaan, amalan tolak ansur ini tidak boleh berfungsi dengan baik bila kedua dua pihak dari kumpulan etnik yang berbeza sudah membuat pendirian masing-masing tentang apa yang mereka mahu secara tegas. Oleh itu, impian menjadi satu bangsa melalui cara bertolak ansur untuk perpaduan sebenarnya tidak sesuai untuk rakyat kita. Kita mungkin terlalu kagum dengan pemikiran perpaduan negara penjajah yang sebenarnya jauh berbeza dengan persekitaran masyarakat kita. Masyarakat mereka memang homogenous sifatnya sedangkan masyarakat negara kita kepelbagaian sifatnya. Di sini, kita mempunyai rakyat yang berbeza agama, latar budaya, bahasa dan cara hidup.
 
Kini kita mula memasuki fasa ketiga. Di fasa baru ini, kita nampaknya lebih faham bahawa menguruskan perpaduan di negara yang majmuk seperti Malaysia memerlukan sifat keterbukaan di dalam meraikan kepelbagaian. Kita tidak boleh sekadar hanya mengamalkan konsep tolak ansur yang tidak jelas ke mana hala tujunya lagi. Kini kita lebih yakin bahawa meraikan kepelbagaian adalah lebih baik dari sekadar bertolak ansur sahaja. Kita mula mengamalkan konsep ‘bersetuju untuk tidak bersetuju” untuk meraikan kepelbagaian kita. Kita melihat jika kita mampu menguruskan kepelbagaian untuk membina perpaduan, itu adalah lebih baik daripada memaksakan ‘perpaduan yang satu dan homogen’.
 
Pakar-pakar kajian etnik tempatan seperti Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharudin telah memberikan cadangan supaya jika dulu kita mendidik rakyat negara ini supaya mengimpikan sebuah negara yang rakyatnya bersatu padu secara homogenous, hari ini kita harus kembali memulakan usaha untuk mendidik rakyat kita untuk melihat kepelbagaian yang disepadukan sebagai satu bentuk perpaduan. Istilah baru seperti ‘perpaduan di dalam kepelbagaian’ mula dipromosikan bagi memenuhi tujuan ini. Tetapi kita juga tahu menguruskan dan meraikan kepelbagaian adalah sangat sukar dan tidaklah semudah yang dibayangkan.
 
Bagi memahami situasi di fasa tiga ini, ada baiknya kita kembali melihat asas kenegaraan negara ini. Negara ini sebenarnya telah pun mempunyai dua asas kenegaraan yang jelas. Jika keduanya dihayati, pastinya keharmonian masyarakat akan lebih baik. Asas kenegaraan yang pertama ialah identiti negara. Terkandung di dalam asas kenegaraan yang pertama ini Perlembagaan Negara, Rukun Negara, lagu Negara ku, Bendera Malaysia, sistem demokrasi berparlimen, institusi raja-raja dan sebagainya.
 
 Asas kenegaraan yang kedua ialah identiti kebangsaan yang mengandungi  antara lain Sekolah Kebangsaan, kebudayaan kebangsaan, Bahasa Kebangsaan dan sebagainya. Di saat identiti negara dilihat diterima dengan baik oleh hampir semua rakyat dari pelbagai kaum dan etnik, identiti kebangsaan sebaliknya terpaksa berhadapan dengan pelbagai konflik dan perbalahan. Kajian- kajian yang telah dijalankan oleh para pengkaji menunjukkan Identiti kebangsaan inilah yang dikenal pasti masih belum berjaya diterima dan dihayati oleh rakyat Malaysia seluruhnya. Malah jika kita tinjau, perbalahan politik perkauman pun sebenarnya banyak berlegar di dalam kancah perbalahan sama ada untuk menerima identiti kebangsaan atau sebaliknya. Misalnya, Sekolah kebangsaan sehingga kini masih belum benar-benar menjadi sekolah negara untuk seluruh rakyat Malaysia. Begitu juga dengan bahasa kebangsaan dan kebudayaan kebangsaan yang masih dalam polemik penerimaan.
 
Soalnya, apakah kerangka kenegaraan ini kita perlu ubah atau sebenarnya kita perlu kukuhkan kembali khususnya identiti kebangsaan ini supaya semua rakyat yang berbilang kaum lebih harmoni kehidupan mereka? Adakah konsep perpaduan dalam kepelbagaian ini selari dengan asas kenegaraan kita? Apakah meraikan kepelbagaian sesuai dengan identiti kebangsaan? Sedangkan ketika dibina asas kenegaraan ini sewaktu awal merdeka, bayangan idea dan pemikiran para pemimpin kita pada waktu itu ialah membina sebuah perpaduan yang homogen dan bukannya untuk membina perpaduan di dalam kepelbagaian. Bolehkah asas kenegaraan yang dibina sebegitu dapat memenuhi maksud dan tujuan perpaduan yang meraikan kepelbagaian pada masa kini?
 
Bila kita meneliti kembali setiap kandungan asas kenegaraan yang telah ada, kita tahu ada bahagian yang boleh disesuaikan dan ada juga bahagian yang perlukan perubahan. Sebagai contoh Perlembagaan Negara kita sangat meraikan kepelbagaian. Perkara 152 berkaitan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan disekalikan dengan jaminan kebebasan di dalam Perkara 152 (a) untuk setiap kumpulan etnik menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Begitu juga dengan Perkara 3 berkaitan Agama Islam sebagai agama rasmi negara disekalikan dengan jaminan kebebasan beragama secara damai kepada penganut-penganut agama lain di negara ini. Ini sekadar dua contoh yang jelas dan mudah untuk difahami.
 
Tetapi ada juga asas kenegaraan yang boleh kita buat perubahan untuk memenuhi tujuan meraikan kepelbagaian untuk membina perpaduan. Misalnya konsep sekolah kebangsaan perlu lebih terbuka sifat kebangsaannya. Sekolah kebangsaan harus lebih kepelbagaian sifatnya sebagaimana semangat di dalam Perkara 152 dan Perkara 3 yang disarankan di dalam Perlembagaan Negara.
 
Sekolah kebangsaan harus lebih meraikan kepelbagaian etnik kerana kepelbagaian etnik sekarang sudah menjadi satu asas identiti kebangsaan. Sebagai contoh, sekolah kebangsaan bukan sahaja harus meraikan kebudayaan Melayu tetapi juga meraikan kebudayaan Cina, India dan suku etnik Sabah dan Sarawak. Sekolah Kebangsaan bukan sahaja sekadar meraikan Hari Raya tetapi juga Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Keamatan atau Hari Gawai secara bersama sama dengan penuh kemeriahan. Bukan sekadar Bahasa Melayu, Inggeris tetapi Bahasa Mandarin dan Tamil juga harus diperkukuhkan di sekolah kebangsaan, bukan hanya untuk anak-anak Cina atau India tetapi juga untuk dipelajari oleh anak Melayu, Iban, Kadazan atau yang lainnya.
 
Sekolah kebangsaan harus benar- benar bersifat Sekolah Malaysia yang disertai oleh pelbagai kaum dan etnik. Tentu banyak lagi asas-asas kenegaraan sebegini yang boleh diubah untuk kita benar-benar meraikan kepelbagaian di dalam membina perpaduan. Semoga kita akan berjaya membina perpaduan yang sebenarnya melalui meraikan kesepaduan di dalam kepelbagaian.