17 October, 2011

Pilihanraya Kampus UKM Semakin Menyeleweng

Seksyen 15 dan 16 di dalam AUKU memperuntukan satu persatuan induk pelajar mestilah ditubuhkan di sesebuah institusi pengajian tinggi di negara ini. Persatuan itu boleh diwujudkan berdasarkan perwakilan yang dibentuk samada dengan cara pilihanraya, pemilihan secara perwakilan daripada persatuan atau temuduga oleh pihak pengurusan universiti dan membuat perlantikan.

UKM menggunakan seksyen 57, 58 dan 59 dalam perlembagaannya  untuk mengunapakai kaedah piliharaya kampus sebagai kaedah membentuk perwakilan pelajar di dalam persatuan induk pelajar UKM atau akronimnya PMUKM. Selain itu Statut Badan Badan Pelajar UKM (1992) juga menjelaskan secara terperinci keperluan dan tatacara perjalanan persatuan pelajar di UKM.

Mengapa Lembaga UKM memilih kaedah piliharaya pelajar untuk membentuk PMUKM?  Tujuannya ialah melalui cara pilihanraya (juga dikenali sebagai pemilihan pelajar sejak 2009), para pelajar berpeluang mendapat pendedahan tentang pendidikan demokrasi, pengalaman 'berpolitik' serta mendidik amalan hak dan tanggungjawab sebagai seorang warga sesebuah institusi. harapannya piliharaya kampus akan menjadi usaha awal mendidik pelajar mendalami aspek kepimpinan bagi yang kumpulan calon yang bertanding, dan aspek pertanggungjawaban bagi kumpulan yang mengundi.

Kajian oleh Keeter (2002), Lopez (2002) dan Bennet dan Craig (1997) menunjukkan semakin ramai pelajar universiti masa kini yang mempunyai persepsi yang negatif tentang politik. Pelajar mempunyai konsepsi bahawa politik adalah sesuatu yang bersifat tidak boleh dipercayai, kejam, bersifat individualism serta tidak bermoral (ibid).

Oleh kerana politik adalah asas pembentukan sesebuah negara, trend ini tentulah membimbangkan kerana kemahiran dan pengetahuan politik perlu dikuasai oleh para pelajar universiti. Kajian oleh Patterson (2002) misalnya menjelaskan seperti berikut " Today's young adults are less politically interested and informed than any cohort of young people on record". Kajian beliau menunjukkan semakin ramai orang muda yag layak mengundi di dapati tidak turun mengundi berbanding tahun tahun 1960an dulu.


Oleh itu sesuatu harus dilakukan. UKM mengambil tindakan bijak mempromosikan amalan demokrasi kepada para pelajarnya sejak tahun 1970an lagi. Persoalannya adakah apa yang sedang diamalkan oleh pelajar UKM berkaitan piliharaya kampus sesuatu yang membina pengetahuan dan pengalaman politik yang baik? Apakah pilihanraya kampus yang dilaksanakan setiap tahun telah memberi kesan yang positif terhadap pekembangan amalan demokrasi serta meningkatkan pengetahuan pelajar tentang politik yang berkualiti atau politik kampus sebenarnya merosakkan pengetahuan pelajar dan semakin menyeleweng?

Pengalaman serta pengamatan berkaitan politik kampus serta piliharaya pelajar UKM menunjukkan amalan berpolitik di UKM semakin menyeleweng dan lari daripada tujuan asal mengapa piliharaya kampus diadakan. Hari ini selain politik telah memecahbelahkan kesepaduan sosial pelajar (kata-mengata, fitnah menfitnah, amalan surat layang yang merosakkan reputasi seseorang yang menjadi 'musuh politik"), amalan politik pelajar juga mula menimbulkan ketidaselesaan kepada para pelajar yang tidak terlibat aktif dalam politik kampus. Malah tindakan berbentuk serangan fizikal yang melibatkan laporan polis terpaksa dibuat serta penggunaan perkataan yang tidak beretika di khemah semasa pesta konvo baru baru ini membuktikan politik kampus UKM semakin menyeleweng.

Amalan surat layang yang disebarkan di masjid (tempat suci dan rumah Allah) merupakan satu tindakan yang sangat mencemarkan nama baik serta kesucian agama Islam. Mungkin kita tidak bersetuju dengan sesuatu perkara, tetapi menggunakan kaedah surat layang bagi tujuan menutup mulut orang yang tidak bersetuju dengan pandangan kita bukanlah sesuatu tindakan yang terbaik. Orang yang menulis dan menyebarkan surat layang mungkin tidak memikirkan implikasi apa yang ditulis tetapi pada yang membaca dan percaya apa yang ditulis adalah sesuatu benar, itu amat merbahaya. Amalan surat layang merupakan tindakan yang boleh dkategorikan sebagai jenayah ugutan; matlamat penulis surat layang supaya mangsa surat layang mendapat malu, rasa terhina dan akan mula mengambil sikap mengalah atau berdiam diri. Mangsa juga tidak mempunyai peluang membela dirinya untuk membersihkan nama baik.

Amalan persaingan politik sihat seperti perdebatan idea, penghasilan manifesto dan menjanjikan agenda pembangunan dan kebajikan adalah digalakkan dalam amalan demokrasi. Biar pelajar yang menentukan apa yang mereka fikir terbaik untuk kebajikan dan masa depan mereka. Pemimpin bagaimana yang menjadi pilihan dan harapan mereka. Amalan doktrinisasi politik menggunakan agama, kaum dan sebagainya haruslah dielakkan sama sekali dalam menjayakan amalan demokrasi melalui piliharaya kampus.