14 February, 2014

Tiga Tips Mencari Dana Untuk Menganjurkan Aktiviti di UKM.

Semakin lama semakin sukar untuk pelajar UKM memperolehi dana bagi menganjurkan aktiviti. Saya setuju berbanding dulu di era 90an, hari ini mendapat dana untuk beraktiviti jauh lebih sukar.

Dana dari pihak universiti seperti kita sedia maklum telah semakin berkurangan. Bukan sesuatu yang pelik lagi, sejak semester lalu semakin banyak projek yang dipohon telah diluluskan tanpa pembiayaan dana dari universiti.

Dulu selain sumbangan dari UKM, dana paling banyak diperolehi melalui orang politik dan pihak kementerian. Hari ini setiap kementerian telah mempunyai program mereka sendiri.

Jika pelajar berminat, daftar nama dan sertailah program anjuran kementerian, agensi pusat atau kerajaan negeri.

Tetapi sudah menjadi sifat pelajar termasuklah di UKM untuk mereka ingin menganjurkan aktiviti mereka sendiri. Sebabnya banyak. Dari sebab atas rasa tanggungjawab kerana memeganag amanah, ingin mencabar diri melakukan sesuatu yang sukar hinggalah kerana tidak mahu diperlekehkan oleh rakan rakan. Bimbang dikatakan "hanya seronok nak jadi pemimpin persatuan tetapi anjurkan aktiviti tak nak pula".

Maka itu pemimpin persatuan pelajar di UKM dari MEP Kolej, persatuan fakulti, anak negeri dan persatuan yang lain perlu harus lebih kreatif di dalam mencari dana. Di kongsikan tiga cara yang menjadi trend masa kini dan akan datang dalam mencari dana beraktiviti:

1. Saya gunakan istilah 'sistem barter' untuk tips ini. Sebagai contoh, pelajar ingin anjurkan kursus atau bengkel di luar UKM.  Pelajar boleh mula berbincang dengan pemilik resort atau pusat latihan kepimpinan untuk menggunakan kemudahan resort secara percuma. KIZ  menggunakan kaedah ini sekarang. Untuk melatih 100 pelajar KIZ berkaitan latihan dan kepimpinan, pihak pemimpin pelajar dengan bimbingan kepengetuaan dan felo telah berbincang dengan tiga pihak iaitu sebuah Jabatan kerajaan yang ada kaitan dengan pokok, pihak pengurusan resort dan rakan rakan peserta di KIZ.

Di bawah program tahunan mereka, jabatan ini telah melancarkan program  penanaman 26 juta pokok di peringkat kebangsaan, mereka perlu mencapai objektif menaman semua pokok itu dalam masa setahun. Oleh itu dengan persetujuan jabatan tersebut , pelajar pelajar KIZ memperolehi pokok pokok secara percuma dari mereka .

Pokok ini kemudian secara bergotong royong di tanam di resort secara percuma. Dan sebagai balasan, pelajar diberikan kemudahan penginapan dan makanan oleh pihak resort secara percuma selama dua hari.

Ini kaedah yang menang menang untuk semua pihak. Pelajar UKM boleh memikirkan model yang sama untuk penganjuran projek masing masing. Mungkin bekerjasama dengan kedai buku, syarikat pakaian, jabatan perikanan, FAMA dan sebagainya. Mereka adalah rakan perkongsian pintar anda.

2. Cara kedua ialah melalui jualan pra-aktiviti. saya lihat idea ini semakin berkembang di UKM. Ahli ahli projek akan menjalankan jualan secara harian, mingguan atau bulanan untuk mengumpulkan dana. Di KIZ, beberapa projek menggunakan kaedah ini dan berjaya mendapatkan dana.

Projek Hak Asasi Manusia menggunakan jualan cookies. Ada juga yang membuka kiosk jualan ringan di sebelah malam di pusat kemudahan kolej untuk mengumpulkan dana. Saya yakin cara ini jika dilakukan secara bersungguh sungguh sangat berpotensi dan berjaya. yang penting para pelajar kena sensitif tentang apakah barangan yang hendak dijual, jumlahnya serta permintaannya.

3. Cara ketiga ialah melalui permohonan geran geran yang disediakan oleh pihak kementerian, Beberapa kementerian memang mempunyai dana untuk diberikan pada pelajar universiti untuk beraktiviti. Misalnya pelajar boleh memohon dana 1M4U dan dana dari Kementerian Belia dan Sukan. Bagi projek Hak Asasi Manusia di Pulau Mabul Sabah, kumpulan peserta berjaya memperolehi dana melalui cara ini.

Selain kementerian, beberapa badan sukarela dan NGO juga mempunyai dana untuk mahasiswa beraktiviti. KIZ juga mendapat dana dari KPM untuk projek Konvensyen Kampus Lestari dan Ekspo Kerjaya UKM tidak lama dulu.

Memang sukar mencari dana. memang sangat sukar, tetapi itulah yang dicari dalam kita beraktiviti. Semakin sukar akan semakin untunglah pelajar yang berani mengambil cabaran tersebut. Pengalaman, kematangan dan kemahiran melalui kesukaran beraktiviti itulah yang akan tetap menjadi hak dan ilmu kepada anda....