21 October, 2011

"Berikan Kepada Mereka Kapak Dan Bukannya Kayu Api"

Inilah kata-kata peribahasa Arab yang disebut oleh Ybhg TNC Hepa dua hari lepas dalam satu perjumpaan rasmi dengan kepimpinan pelajar UKM. Peribahasa ini secara simbolik difahami sebagai jika kita hendak memberikan peluang kemajuan pada seseorang, jangan diberikan sesuatu yang hanya akan digunakannnya sekali sahaja tetapi berilah sesuatu yang dapat digunakan untuk membolehkannya sentiasa memperolehi kemajuan tersebut. Dalam masyarakat Arab, di mana suasana sejuk melampau pada waktu malam, jika kayu api yang diberikan pada mereka, kayu api itu hanya boleh digunakan untuk memanaskan badan mereka untuk sekali sahaja, tetapi jika kapak atau parang yang diberikan maka mereka akan mencari kayu api untuk digunakan memanaskan badan pada setiap malam.

Dalam peribahasa masyarakat Cina ada juga disebut, berikan pancing pada pengail supaya pengail tidak lagi kelaparan. Maknanya seseorang akan lebih maju dalam hidupnya jika kita berikan sesuatu alat, kemahiran atau pengetahuan yang boleh digunakan secara berterusan untuk memajukan diri.

Mungkin hal ini sangat bertepatan bila membincangkan soal aktiviti pelajar UKM. Sejak dahulu lagi setiap tahun pelajar UKM secara keseluruhan menganjurkan lebih 400 aktiviti, kecil dan besar. HEPA melalui JPPEL meluluskan peruntukan kewangan berjumlah ratusan ribu ringgit untuk memastikan semua penganjuran aktiviti pelajar berjalan lancar. Aktiviti pelajar datang dari pelbagai kelompok samada fakulti, kolej, pusat kebudayaan ,pusat sukan serta urusetia yang bernaung di bawah Jppel.

Hasilnya pelajar UKM memang terkenal dengan keaktifan menganjurkan program. Malah rekod di KPT juga menunjukan UKM merupakan antara tiga buah IPTA yang sangat aktif program pelajarnya.

Masa berlalu, zaman juga berubah. Hari ini tujuan utama penganjuran projek ialah untuk meningkatkan kemahiran 'soft skills' pelajar. Hal ini tidak pernah menjadi isu atau ditekankan pada tahun 1970an hinggalah 1990an. Ketika itu penganjuran projek ialah untuk menjayakan projek, menambahkan pengetahuan atau membina kesedaran pelajar. Tiada apa yang dikaitan secara langsung dengan soal pembangunan komunikasi, kerja berpasukan, kebijakan membuat keputusan dan sebagainya.

Hari ini penganjuran aktiviti semuanya terarah untuk pembangunnan insaniah. Malah pelajar juga didedahkan melalui kontrak pembelajaran, dididik mengenalpasti apakah rubrik kemahiran insaniah yang ingin dibangunkan apabila melibatkan diri dalam sesuatu projek. Misalnya jika pelajar meganjurkan projek khidmat masyarakat; apakah kemahiran insaniah yang bakal diterokai dan diperolehi oleh pelajar, begitu juga jika dianjurkan program hari keluarga kolej atau pertandingan debat atau teater.

Maka bolehlah kita analogi kayu api itu umpama duit untuk anjur projek pelajar, api itu ibarat projek dan haba panas api itu ibarat kemahiran insaniah. Setiap tahun ratusan ribu ringgit yang dikeluarkan (dibakarkan) oleh JPPEL untuk menyalakan 'api' aktiviti pelajar. Semakin banyak duit dekeluarkan, maka semakin besar api, maka semakin panas haba yang diperolehi.Tetapi setiap kali itu jugalah untuk memastikan projek pelajar tidak padam dan terus berjalan, HEPA terpaksa mengeluarkan wang. Ada kayu api, adalah apinya dan adalah habanya. Ada duit, adalah projeknya dan adalah kemahiran insaniahnya.

Hal ini perlu diubah. Tidak selamanya HEPA UKM boleh membantu semua projek pelajar dalam keadaan peruntukan kewangan kerajaan semakin dikecilkan pada semua IPTA. Peruntukan kerajaan sekarang menjurus kepada perkara yang lebih kritikal seperti membasmi kemiskinan, meningkatkan kualiti pendidikan rendah dan menengah serta meningkatkan taraf kesihatan dengan pembinaan hospital dan kemudahan asas yang lain. Pihak HEPA juga tentunya tidak lagi boleh terus mengharapkan peruntukan yang besar dari pihak UKM pada masa masa akan datang.

Oleh itu semua pihak termasuk kepimpinan pelajar perlu meneliti dan mencari jalan penyelesaian kepada kaedah baru kepda pembiayaan kewangan aktiviti pelajar. Sebagai contoh jika satu projek pelajar diberikan pembiayaan sebanyak RM 500 untuk menjayakan satu projek, peruntukan tersebut biasanya adalah untuk pakai habis. Tetapi jika peruntukan tersebut diberikan untuk tujuan mikro-kredit HEPA di mana pelajar diberikan peluang membuat pinjaman dan menjalankan perniagaan kecilan di dalam kampus, dan membayar kembali kepada UKM dalam tempoh masa yang dipersetujui tanpa faedah, maka ianya ibarat memberikan kapak kepada pelajar untuk mencari kayu api. Wang itu juga dapat digunakan berkali-kali oleh HEPA untuk kumpulan pelajar yang berbeza.

Begitu juga jika satu kumpulan pelajar diberikan peruntukan untuk menubuhkan unit kesukarelaan yang menjadi 'one stop center' untuk pengurusan semua aktiviti khidmat masyarakat secara berterusan dengan komuniti misalnya di hospital, rumah orang tua, rumah anak yatim, SPPCA, WWF, Aman Malaysia, Global Peace, Muslim Relief dan sebagainya, peruntukan yang diberikan untuk unit tersebut walaupun perlu sekali sahaja oleh Hepa, program khidmat masyarakat akan terus menerus dilaksanakan dan pelajar mendapat 'haba' kayu api yang terbakar tanpa henti.

Maknanya penganjuran projek secara konvensional seharusnya digantikan dengan kaedah kaedah baru yang lebih berjangka panjang, bertujahan dan terfokus. Penganjuran projek- projek seperti hari keluarga kolej serta projek seumpamannya walaupun baik, tetapi dalam jangka panjang semakin tidak 'sustainable' dengan keadaan semasa. Ketika peruntukan mula mengecil, permintaan terhadap pembangunan 'soft skills' semakin meningkat dalam pasaran kerja, keperluan menjenamakan projek pelajar harus mula diteliti semula.

Buat ketika ini tiada mana-mana kumpulan kepimpinan pelajar yang menonjol dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada persoalan sebegini. Kebanyakkan daripada mereka hanya berupaya menjadi 'posmen' yang mengumpul dan menyampaikan berbagai aduan pelajar kepada pihak pengurusan UKM tanpa sebarang cadangan atau idea penyelesaian yang dilampirkan bersama. Tiada apa lagi yang para pelajar dapat harapkan dari mereka.

Sudah sampai masanya, penganjuran projek pelajar pada masa kini dan seterusnya didasari oleh beberapa perkara sebelum diluluskan peruntukannya oleh HEPA. Antara dasar yang utama;
1. Projek yang bila diluluskan peruntukan dalam bentuk pinjaman di mana aktiviti boleh menjana kewangan sendiri dan membayar balik dalam masa yang dipersetujui
2. Projek yang meletakkan agenda universiti sebagai teras (kemasyarakatan, kesukarelaan terfokus, mempertahankan identiti kebangsaan & perlembagaaan negara dan mengalakkan kesepaduan kaum)
3. Projek yang membentuk akhlak dan Islam sebagai cara hidup sebenar termasuk aktiviti yang memberikan kefahaman sebenar tentang Islam pada pelajar Islam dan bukan Islam.
4.Aktiviti pembangunan akademik, kebolehpasaran, inovasi dan kemahiran penyelidikan kepada pelajar.

Semoga aktiviti yang berimpak tinggi akan menjadikan pelajar UKM bersedia untuk lebih berdaya saing pada masa depan.