07 October, 2011

Perlukah Kriteria Pemilihan Pelajar Tinggal Di Kolej UKM?

1. Dulu sebelum wujudnya kolej-kolej baru seperti Kolej Antarabangsa Ibu Zain, Kolej Keris Mas dan Kolej Pendeta Zaaba, pelajar menghadapi masalah mendapat tempat penginapan di kampus induk UKM. Maka ramai yang terpaksa tinggal di luar kampus. Pada yang berminat dengan suasana kampung akan memilih tinggal sekitar Teras Jernang, pada yang ingin lebih banyak kemudahan akan memilih perumahan di seksyen satu hingga empat di Bandar Baru Bangi. Pelajar Tiong Hua pula biasanya memilih untuk tinggal di Sungai Chua atau Jalan Reko, sebuah pekan kecil yang terletak antara UKM dan Kajang. Ada pula yang memilih tinggal di bangi lama kerana sewa rumah yang jauh lebih murah.

2. Ketika itu tinggal di luar kampus ada baik dan buruknya. Baik kerana sangat menjimatkan. bayangkan satu rumah teres setingkat di seksyen satu di huni oleh 10-15 pelajar! Dengan sewa sekitar RM200, pelajar berkongsi membayarnya. Makan masak sendiri secara bergilir gilir. Pengangkutan ke kampus setiap hari tumpang menumpang kenderaan kawan kawan. Minyak kereta atau motosikal pun di kongsi. Buruknya tinggal di luar tetulah tak selesa, terpaksa berkongsi bilik dan semua barangan. Ada yang sampai berkongsi baju dan seluar! Nota kuliah pula 'all in one'.

3. Persaingan untuk tinggal di kolej sangat sengit kerana tempat yang sangat terhad. Maka ketika itu untuk tinggal di kolej syarat utama ialah mestilah aktif dengan kegiatan kolej. Semakin aktif dan semakin tinggi jawatan yang dipegang dalam JAKSA, jaminan untuk tinggal di kolej semakin cerah. Tidak hairanlah pada waktu itu, ada yang pegang jawatan sampai ke tahun akhir pengajian, semata-mata nak pastikan jaminan tempat, kalau-kalau terpaksa mengulang bagi kursus yang gagal.

4. Hari ini, UKM ada lebihan penawaran tempat penginapan di kolej kediaman. Jumlahnya agak besar dan permohonan terbuka dan boleh mendaftar pada pada bila-bila. Pelajar boleh memilih samada untuk tinggal di kolej atau di luar kampus. Walaupun harga penginapan yuran kolej belum diselaraskan, semua kolej masih menawarkan kadar yuran jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan sewa rumah di Bandar Baru Bangi. Kecualilah ada pelajar yang masih sanggup kongsi 10-15 orang serumah di luar kampus. Kadar yuran kolej kediaman juga termasuk sekali bil air dan elektrik.

5. Oleh itu masalah mendapatkan penginapan bukan lagi isu besar di kampus UKM. Isunya dah berubah. Kalau dulu pelajar terpaksa bersaing untuk dapat bilik penginapan dalam kolej, hari ini pelajar mahu kolej yang paling dekat dengan fakulti tempat mereka belajar. Maka mereka menuntut untuk tinggal di kolej lingkungan 1 seperti di KAB, KDO, KUO, KTHO, KIY, KBH yang berhampir dengan bilik kuliah mereka.

6. Hal ini tentulah di luar kawalan pihak pengurusan UKM. Mana mungkin kolej berkenaan mampu menampung semua pelajar yang ingin tinggal berdekatan dewan kuliah mereka. Pasti akan ada juga yang akan menginap di KRK, IZISH, KKM atau KPZ. Hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin kita dapat elakkan.

7. Secara praktiknya kriteria ini akan menyebabkan semua pelajar yang aktif sukan, kebudayaan, debat (terutama mewakili UKM), cemerlang akademik (PNGK 3.67 ke atas) dan kumpulan pimpinan pelajar seperti exco PMUKM  pasti mendapat jaminan yang lebih tinggi untuk tinggal di kolej lingkungan satu, manakala pelajar yang lemah akademik, tidak aktif, bukan kalangan exco PMUKM  terpaksa dihantar ke kolej-kolej lingkungan kedua seperti ke KPZ.

9. Dalam jangka panjang (3 tahun akan datang dan seterusnya) Maka akan wujud ketidakseimbangan di dalam persaingan antara kolej kediaman kerana akan ada kolej yang punya banyak bakat dalam sukan, kebudayaan, perucapan umum serta kepimpinan manakala akan ada kolej di lingkungan kedua yang menghadapi masalah meningkatkan kegiatan aktiviti kolej. Seperti di sekolah bila ada 'streaming' akan ada kelas A dan akan ada kelas D.  Kelas A untuk yang bijak dan aktif manakala di kelas D, kononnya layak untuk pada yang bodoh dan nakal.

10. Dasar utama kolej kediaman adalah mengembangkan bakat pelajar. Oleh itu kita harapkan ada kumpulan pandai dan berbakat untuk membantu yang lemah dan naif. Melalui kaedah ini perkongsian nilai murni sifat bantu membantu dan bertolak ansur akan dapat di pupuk.

11. Tetapi terpulanglah pada kebijaksanaan pelajar. Pihak Majlis Pengetua sedia mendengar dan melaksanakan jika itu adalah hasrat pelajar.