08 November, 2011

Siapa Sebenarnya Yang Paling Berkuasa di PMUKM Sesi Ini?

1.Beberapa hari lalu saya menerima post seorang pelajar yang telah membuat 'link' ke facebook saya dengan kenyataan rasmi Presiden ISIUKM berkaitan konsert yang dianjurkan oleh MT Pesta Konvo lebih sebulan yang lalu. Sebagai seorang yang dilatih sebagai pendidik, memang menjadi tabiat saya untuk memberikan perhatian kepada apa sahaja usaha pelajar. Tetapi kesibukan kuliah dan kemudiannya menguruskan majlis korban di kampung menangguhkan usaha saya untuk memberikan pandangan berkaitan kenyataan rasmi ISIUKM. Alhamdullilah, sekembalinya dari kampung, saya cuba juga mencari ruang masa untuk berkongsi pandangan dengan anak anak muda pimpinan pelajar UKM. Itupun kaedah 'didikan' ini lebih bersifat berbincang dan bertukar fikiran semata mata, tanpa ada niat sedikitpun untuk mencampuri urusan aktiviti para pelajar.

2. Selesai membaca kenyataan tersebut, saya boleh membuat beberapa kesimpulan umum yang ingin dikongsi bersama pembaca. Saya tidak berminat meneliti dan membuat rumusan secara tekstual kenyataan ini kerana tidak banyak perkara yang baru yang beliau ketengahkan. Kenyataan rasmi ini sekadar menyatakan pendirian serta sedar tentang kesilapan yang telah dilakukan oleh MT Pesta Konvo. Saya lebih cenderung menamakan kenyataan rasmi Presiden ISIUKM tersebut sebagai "Memo Keinsafan Buat Majlis Tertinggi Pesta Konvo ke 39 PMUKM dari ISIUKM".

3. Dua perkara yang saya sokong dan raikan berkaitan kenyataan rasmi ini ialah sikap berani dan ihklas Presiden ISIUKM dan juga kejayaan wujudkan Garis Panduan Hiburan Mengikut Islam oleh MT Pesta Konvo 39. Saya secara peribadi bersyukur kerana adanya pemimpin peringkat pelajar yang berani menyatakan dan mengakui  kekesalan atas tindakan beliau dan kumpulannya yang salah (isu penganjuran konsert) dan bersedia berusaha mengingatkan para rakan rakan supaya hal yang sama tidak diulangi lagi pada masa depan. Keberanian seperti ini adalah satu tindakan yang terpuji dan harus dicontohi oleh semua pimpinan pelajar. Merancang melakukan sesuatu yang maaruf dan baik kerana Allah swt, pada masa yang sama berani mengaku kelemahan serta berusaha untuk tidak mengulangi perkara mungkar adalah suatu yang terpuji.

4. Perkara kedua yang baik telah dilakukan ialah mendapatkan pandangan daripada pakar berkaitan had had serta garis panduan berhibur dalam Islam. Saya bersetuju dengan usaha untuk meletakkan secara jelas apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dalam berhibur dalam Islam. Setelah meneliti garis panduan yang disediakan oleh MT Pesta Konvo dan sedikit rujukan tulisan para ulama berkaitan had berhibur dalam Islam, saya sangat bersetuju dengan pandangan kedua -dua ahli akademik di FPI dan ingin cadangkan supaya ISIUKM mengadakan satu taklimat atau kursus untuk semua persatuan dan kelab (termasuk JAKSA) tentang isu ini. Ini adalah salah satu peranan ISIUKM yang utama iaitu menjelaskan perkara yang dibolehkan oleh syarak dalam kegiatan pelajar di UKM. Maka Kursus Pemantapan Kefahaman Hiburan Dalam Islam pastinya akan memberikan impak positif kepada usaha menolak acara maksiat seperti yang telah dianjurkan oleh Pesta Konvo di bawah PMUKM sesi ini pada masa depan.

5. Selain dua perkara baik yang telah dilakukan di atas, terdapat dua juga perkara yang masih menjadi persoalan kepada pelajar UKM. Pertama, secara teknikalnya, Pesta Konvo dianjurkan oleh PMUKM. Maknanya apa juga kebaikan atau kelemahan Pesta Konvo ke 39 adalah di bawah tanggungjawab PMUKM. Maka sepatutnya kenyataan rasmi berkaitan Pesta Konvo dibuat oleh Presiden PMUKM dan bukannya Presiden ISIUKM. Bagaimana pula Presiden ISIUKM yang mengambil tanggungjawab membuat kenyataan rasmi bagi pihak PMUKM berkaitan Pesta Konvo ke 39? Dan di mana pula Presiden PMUKM dalam isu ini? Mengapa tiada kenyataan rasmi oleh beliau, atau beliau sebenarnya telah dinafikan dan tidak dibenarkan membuat kenyataan atas kapasiti sebagai presiden PMUKM. Tindakan Presiden ISIUKM membuat kenyataan  rasmi dilihat agak janggal dan mengundang kepada dua tandatanya. Pertama, adakah MT MAMPU-GMUKM telah memberikan arahan supaya semua urusan dan perkara yang penting di dalam PMUKM  diambilalih dan diserahkan tanggungjawab tersebut pada Presiden ISIUKM? Menjawab isu konsert Pesta Konvo adalah satu hal yang sangat penting, maka selayaknya pada pandangan MT GMUKM_MAMPU supaya perkara ini diselesaikan oleh Presiden ISIUKM. Presiden PMUKM mungkin dilihat oleh MT GMUKM-MAMPU sebagai tidak berkeupayaan untuk menguruskan hal-hal sebegini penting. Selain itu, muncul tanda tanya kedua di kalangan pelajar UKM, adakah telah wujudnya conflict of interest antara kumpulan Presiden PMUKM dan Presiden ISIUKM sehingga memaksa salah satu kumpulan dilihat perlu lebih proaktif di dalam menguruskan masalah Pesta Konvo ke 39. Pelajar UKM sebenarnya masih menunggu kenyataan rasmi Presiden PMUKM dan juga Pengarah Eksekutif Pesta Konvo berkaitan isu kelemahan penajaan kewangan Pesta Konvo dan isu konsert (yang dilabelkan sebagai maksiat oleh GMUKM satu masa dulu) tetapi masih tiada tanda tanda kenyataan rasmi kumpulan Presiden PMUKM akan dilakukan. Maka kelihatannya kumpulan Presiden ISIUKM telah mendahului dan dilihat mempunyai lebih kekuatan serta keberanian untuk mengakui kelemahan Pesta Konvo berbanding kumpulan PMUKM walaupun program ini bukanlah di bawah ISIUKM sedikit pun. Tindakan ini nampaknya seperti Presiden ISIUKM itu adalah Presiden PMUKM yang sebenarnya pada sesi ini. Seolahnya Presiden ISIUKM yang paling berkuasa dalam PMUKM sesi ini, bukannya Presiden PMUKM.

6. Seperkara yang lain ialah soal prinsip dalam perjuangan. GMUKM-PMUKM-MAMPU adalah serangkaian kumpulan pimpinan pelajar yang mengangkat kononnya Islam sebagai Idealisme Perjuangan. Saya sejak zaman wujudnya kumpulan Islam Penyelamat Ummah (IPU)  sentiasa merasa sedih melihat ada pelajar 'tertawan' dengan idealisme ini. saya juga tetap kukuh berpendiriaan bahawa GMUKM-MAMPU telah menggunakan Islam tidak lebih sekadar modal politik kampus semata mata. Prinsip perjuangan Islam GMUKM-MAMPU tidaklah jelas dan kukuh pada paksinya. Sebagai contoh mudah, amalan menganjurkan konsert dilabelkan sebagai maksiat dan haram ketika kumpulan Aspirasi menganjurkan Pesta Konvo di tahun-tahun yang lepas, tetapi pada tahun ini atas dasar memastikan 'crowd' para pengunjung dan kemeriahan tapak pesta, konsert masih tetap dianjurkan oleh GMUKM, dengan 'fatwa' bahawa dakwah harus dilakukan secara beransur ansur. Soalnya mengapa tidak digunakan metodologi dakwah secara beransur ini sejak dahulu dan mengapa perlunya dulu kumpulan GMUKM anjurkan demontrasi dan penyebaran surat layang yang ditaburkan di sepanjang jalan ke tapak pesta konvo dengan tujuan menunjukkan menentang penganjuran konsert yang sebenarnya lebih kepada persembahan yang bertujuan untuk meningkatkan identiti dan kebudayaan kebangsaan termasuk yang dianjurkan oleh pusat kebudayaan UKM?

6. Satu lagi berkaitan soal prinsip perjuangan Islam. Penganjuran Pesta Konvo tahun ini telah dikhabarkan mengalami kerugian. Jumlahnya besar tetapi biarlah rahsia. Pelajar yang berminat boleh merujuk ke bahagian JPPEL atau terus ke bahagian bendahari untuk mendapatkan angka setepatnya. Itu hak anda sebagai ahli PMUKM. Kerugian ini berpunca apabila MT Pemasaran Pesta Konvo gagal mendapat penajaan kewangan yang memuaskan. Maka itu, tajaan-tajaan kecil seperti oleh pihak sebuah syarikat radio swasta menjadi batu sandaran kepada kejayaan program pesta konvo khususnya berkaitan program persembahan. Kerana teruja dengan tajaan yang kecil ini , pihak PMUKM hilang prinsip perjuangan Islam sehingga sanggup memejamkan mata dengan membenarkan konsert yang tidak mengikut garis panduan hiburan mengikut syarak dianjurkan tanpa kawalan. Tajaan yang begitu kecil telah mematikan prinsip perjuangan yang besar, 'perjuangan Islam' GMUKM.

7.Beberapa pelajar tahun satu IZISH ada bertanya pada saya betulkah mereka dengar dulu kumpulan PMUKM berjanji tak akan adakan program yang tidak berlandaskan Islam jika mereka berkuasa tahun ini? saya jawab seingat saya begitulah. Jadi mengapa mereka anjurkan juga konsert? tanya mereka. Saya mengeleng kepala tanda tak tahu. Hakikat sebenarnya saya tahu, inilah yang dinamakan mainan politik kampus....tidak lebih daripada itu.