07 November, 2011

Pemimpin Pelajar Bukan Hak Eksklusif PMUKM Sahaja

UKM kini mempunyai 170 buah persatuan yang merangkumi berbagai persatuan seperti persatuan fakulti, anak negeri, persatuan jabatan dan program, berbagai kelab, urusetia, sekretariat dan Jaksa. Juga termasuk persatuan  persatuan siswazah dalam dan luar negara, juga separuh masa dan program eksekutif. UKM adalah antara IPTA yang paling banyak persatuan pelajar di negara ini. Jika di congak congak secara purata setiap persatuan biasanya mempunyai 4 orang exco Majlis Tertinggi dan 10 orang exco bahagian, maknanya UKM mempunyai 2,380 orang pemimpin pelajar. Bayangkan 2,380 orang pemimpin pelajar sedang memimpin hampir 25 ribu pelajar UKM !

Soalnya di manakah letak duduknya mereka? Sudah terlalu lama bila disebut kepimpinan pelajar UKM, minda kita akan terbayangkan PMUKM. Sebuah badan perwakilan pelajar yang dipilih melalui sistem piliharaya kampus. Mereka inilah yang seringkali dilihat sebagai pimpinan pelajar UKM. Segala masa dan tenaga serta peruntukan biasanya disalurkan kepada PMUKM atas paradigma bahawa merekalah sahaja pimpinan pelajar di UKM. Ini bukan salah MPP PMUKM. Mereka sendiri tidak minta hal seperti ini berlaku. Malah PMUKM sendiri pasti ingin supaya makna pemimpin pelajar UKM di kongsi dengan semua pemimpin persatuan, Jaksa atau urusetia.Tetapi kefahaman dan budaya ini sudah lama wujud dalam minda kebanyakan pelajar serta warga UKM. Maka bila kerangka ini dioperasikan, tentunya kita akan gagal menanggap potensi dan keupayaan para pemimpin pelajar di luar organisasi PMUKM. Hal ini merugikan UKM dan pemimpin pelajar itu sendiri.

Harus kita jangan lupa bahawa ada lagi 2,380 orang pemimpin pelajar di UKM. Mereka ini bukan sahaja menggerakkan ratusan program dan aktiviti pelajar tetapi ada antaranya yang berjaya menjulang nama UKM ke pringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dulu kita ada SIFE UKM yang membawa cabaran UKM ke peringkat antarabangsa. Salah seorang pelajar saya yang kemudiannya menjadi felo di IZISH sdr Jerry Lian Jan memimpin sekretariat SIFE di UKM pada 2006-2009. Saya masih ingat beberapa kali kumpulan ini mendatangi saya di pejabat kerana ingin berbincang bagaimana untuk memberikan cabaran SIFE UKM ke peringkat antarabangsa. Selain itu UKM juga ada urusetia United Nation yang membawa isu isu global ke dalam UKM (walaupun akhir akhir ini kurang menonjol kehadirannya di UKM). Sekarang baru diluluskan Kelab Sahabat Aqsa UKM oleh Jppel. Dipengerusikan oleh sdr Khalid Jimat, pelajar IZISH.

Di peringkat kolej pula, pimpinan JAKSA memimpin lebih 12,500 pelajar di semua kolej menganjurkan aktiviti besar dan kecil. Di Kolej Zaaba misalnya pernah dianjurkan karnival Kami Prihatin untuk mendepani masalah pembuangan bayi yang semakin menakutkan. Banyak lagi program di kolej kediaman yang dianjurkan oleh JAKSA untuk para pelajarnya. Rekod menunjukkan sejak Septemebr lalu hingga akhir Oktober 2011, sudah 200 aktiviti berbagai peringkat telah dilaksanakan oleh semua JAKSA. Ini belum termasuk acara anjuran program Inter Kolej oleh Pusat Sukan, Pusat kebudayaan dan acara-acara rasmi UKM yang lain.

Saya juga sempat menghadiri acara jamuan terima kasih untuk urusetia khidmat masyarakat bulan lalu anjuran kumpulan khidmat masyarakat UKM yang menganjurkan program di Pagoh, Pasir Gudang, Pulau Manis dan Kundang Ulu.

Selain itu pimpinan urusetia Perucapan Umum juga telah memimpin pasukan debat UKM ke banyak acara debat mewakili UKM, ada antaranya berjaya memenangi atau sekurang kurangnya memberikan cabaran yang hebat pada lawan.

Sebenarnya masih banyak yang ingin saya kongsi tentang kepimpinan pelajar UKM bukan dari kalangan MPP PMUKM. Apa yang ingin ditekankan kita selalu lupa pada kumpulan ini bila memberikan terlalu banyak perhatian bahawa hanya MPP PMUKM sahajalah pimpinan pelajar UKM. Kita harus membuka paradigma baru bahawa pimpinan pelajar UKM adalah sangat besar jumlahnya dan semuanya telah memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan pelajar di UKM. Mereka juga harus diberikan latihan, kursus, ganjaran, penghormatan dan peluang untuk ditingkatkan keupayaan kepimpinan mereka. Dengan pemahaman yang lebih terbuka tentang siapakah lagi selain PMUKM, kita akan bersikap lebih menghargai pimpinan pelajar bukan kalangan PMUKM. Ini akan menggalakkan lebih ramai pelajar berpeluang merasakan diri mereka sebagai pemimpin pelajar di UKM.

Hari ini bila ada acara rasmi universiti, pemimpin pelajar bukan kalangan MPP PMUKM biasanya tidak berpeluang mendapat jemputan. Keadaan ini ada kaitannya dengan kefahaman kita bahawa status sebagai pemimpin pelajar adalah hak eksklusif MPP PMUKM. Maka ramai sekali pimpinan pelajar bukan kalangan MPP PMUKM yang sekadar di pinggiran bila adanya acara rasmi UKM. Ada beberapa peristiwa bila saya sempat mengenali di dalam khalayak pelajar lain, saya akan menjemput mereka ke temput duduk bahagian jemputan rasmi untuk bersama ke dalam majlis bila ada acara kesenian di DECTAR. Tujuannya agar mereka merasakan ada penghargaan pihak pegawai UKM kepada mereka sebagai pemimpin pelajar UKM. Tidaklah hanya tertumpu kepada MPP PMUKM sahaja.

Apa untungnya UKM mengiktiraf dan melatih lebih ramai pemimpin pelajar, bukan sekadar beberapa MPP PMUKM? Keuntungannya paling jelas terutama untuk tiga perkara. Pertama, UKM  boleh menghasilkan lebih ramai pemimpin pelapis untuk pelbagai sektor pembangunan negara. Kedua, lebih ramai pemimpin pelajar yang dibangunkan maknanya akan lebih banyak aktiviti yang berkualiti akan dianjurkan oleh para pelajar UKM dan ketiga, lebih ramai dibangunkan pemimpin pelajar di UKM membawa makna akan ada lebih ramai pemimpin pelajar dalam kategori "cream of the cream".

Oleh itu, pemahaman bahawa hanya MPP PMUKM sahajalah pemimpin pelajar di UKM harus kita buang jauh jauh. Kita harus memberikan status yang sama pada semua pimpinan pelajar UKM di kalangan pimpinan persatuan, urusetia, JAKSA dan kelab pelajar di UKM. Mereka inilah sebenarnya merupakan kepimpinan pelajar yang bekerja tetapi tidak pernah diangkat sebagai penting di kalangan pelajar UKM seluruhnya. Semoga status dan penghormatan sebagai pemimpin pelajar bukan sahaja hak eksklusif untuk PMUKM sahaja pada masa depan demi kemajuan pelajar UKM. Maka itu kewujudan KONVENSYEN MAHASISWA UKM lebih relevan dengan keperluan pelajar UKM sekarang berbanding dahulu.