16 November, 2011

Isu AUKU? Rupanya Ramai Pemimpin Pelajar Tak Tahu Apa Yang Diperjuangkan.

Saya siarkan rencana yang ditulis oleh Prof Dr.Zaini Ujang, Naib Canselor UTM, seorang ahli akademik yang memahami dengan jelas makna perjuangan politik kampus.


Penulis Tamu: AUKU 2009 membangun kuasa intelektual pelajar
Oleh Dr Zaini Ujang
bhnews@bharian.com.my
2011/11/16

Mahasiswa boleh kekal peranan sebagai ‘komuniti ilmu’, tidak dimanipulasi parti politik 

AKTA Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan 2009) (AUKU 2009) memberi ruang dan peluang kepada komuniti akademik, termasuk mahasiswa untuk menjadi ‘kuasa intelektual’ yang ampuh dan berdaya saing bukan saja di pentas tempatan, malah peringkat global.
Tidak ramai yang cuba memahami bahawa dalam proses penyediaan draf AUKU 2009, sebelum dibawa ke Parlimen, melibatkan pelbagai lapisan serta pandangan masyarakat, termasuklah golongan mahasiswa dan pensyarah pelbagai peringkat. Hasratnya ialah menyediakan landasan kukuh menjadikan institusi pengajian tinggi di Malaysia lebih berdaya saing, mampu menyediakan ekosistem intelektual yang segar, ruang autonomi bersesuaian dengan tanggungjawab menyediakan kualiti pendidikan terbaik dan menyuburkan kemahiran insaniah.
AUKU 2009 adalah suatu peruntukan undang-undang menyeluruh menjelaskan tentang tanggungjawab dan kuasa menteri, penubuhan serta perlembagaan universiti, peruntukan serta bantuan wang dan akaun, penubuhan dan pengambilan tanah untuk universiti, kaedah-kaedah tata tertib sehinggalah tata cara penganugerahan ijazah dan majlis konvokesyen. 

Dari segi kelainannya berbanding AUKU sebelum pindaan 2009, urus tadbir lebih telus dan berkesan dengan kuasa lebih besar diberikan kepada Lembaga Pengarah. Ini memberi ruang untuk berlakunya penurunan kuasa Menteri sehingga dijangkakan menjelang 2015, autonomi penuh akan dimiliki oleh beberapa universiti awam yang sudah bersedia daripada pelbagai sudut termasuk penjanaan dana dan pengurusan modal insan. 

AUKU selepas pindaan 2009 juga memberi peluang kepada komuniti akademik, termasuklah mahasiswa untuk lebih kreatif dan inovatif bagi menjalankan pelbagai kegiatan untuk menyediakan diri menjadi ‘pekerja ilmu’ dalam persekitaran ekonomi dunia yang semakin pantas berubah dari segi corak pekerjaan dan penjanaan kekayaan. 

Selain itu, AUKU 2009 memberi mandat agar komuniti akademik mempunyai wibawa sendiri dalam pembangunan negara. Perkhidmatan universiti sebagai ahli akademik diberi pengiktirafan tinggi, sementara aktivisme mahasiswa dilindungi daripada pengaruh luar yang boleh menjejaskan peranan mereka sebagai ‘komuniti ilmu’. Itulah sebabnya Bahagian III (Seksyen 15) diperkenalkan iaitu berkaitan ‘pelajar atau pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar bersekutu dengan persatuan, dsb.’ 

Satu-satunya peruntukan yang menjadi pertikaian dan sering kali disalah anggap ialah Seksyen 15 (1) (a) yang melarang mahasiswa menjadi ahli ‘mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia’. 

Mengapa larangan ini diperkenalkan? 

Larangan ini diperkenalkan supaya komuniti akademik terutama mahasiswa dapat mencorakkan wibawa dan identiti sendiri. Peruntukan tersebut adalah isyarat bahawa mahasiswa perlu bangun dan bergerak sendiri secara penuh keyakinan diri, tanpa didominasi, ditunjuk arah, apatah lagi terikut-ikut dengan budaya dan peraturan politik kepartian semasa berada di universiti. 

Sebagai Naib Canselor, saya mengharapkan peruntukan AUKU 2009 boleh menjadikan komuniti akademik, termasuk mahasiswa sebagai golongan yang menjadi alternatif kepada tata cara, pendapat dan idealisme politik kepartian. Saya mengharapkan mahasiswa mempunyai jati diri sendiri, idea yang diadun sendiri dan berani membangunkan falsafah politik yang tidak terikat kepada percaturan politik luar kampus. 

Idealnya, politik mahasiswa adalah politik yang didokong oleh dapatan ilmu dan perkongsian bersama sarjana dan warga kampus yang sentiasa menghayati resam ilmu dengan melakukan kajian dalam pelbagai dimensi ilmu. Atas kepentingan pengembangan ilmu menerusi penyelidikan mereka bebas melakukan gerak kerja dan aktiviti ilmiah termasuklah berkaitan aspek politik, termasuk membabitkan parti politik. 

Kuasa mahasiswa ialah kuasa ilmu kerana mereka berada di persada ilmu, di kalangan komuniti yang mendaulatkan budaya ilmu. Pengaruh mahasiswa ialah pengaruh ilmu kerana mereka adalah pencinta ilmu. Kualiti pergerakan mahasiswa ialah kualiti ilmu kerana dengan ilmu mereka boleh membuat pilihan dan penilaian yang lebih adil dan saksama. 

Justeru tanpa terikat kepada mana-mana parti politik maka membolehkan mahasiswa lebih mudah memaju diri dan organisasi menggunakan neraca ilmu untuk membuat pertimbangan yang lebih bijaksana. Memang suara dan idealisme politik kepartian adalah suatu realiti dan mempunyai peranan dan pengaruhnya yang tersendiri. 

Maka mahasiswa boleh menjemput mana-mana kelompok politik, dengan persetujuan pihak universiti, untuk berbincang dan berbahas tentang pelbagai isu semasa. Mahasiswa boleh bersetuju dan membantah pendirian politik mana-mana parti politik. Sementara itu, mahasiswa juga perlu mempelajari idealisme politik tetapi dari sudut pengkayaan ilmu, bukan kaderisasi politik. 

Dengan demikian, ketika berada di kampus, tanpa terikat kepada mana-mana idealisme atau syarat keahlian politik kepartian maka mahasiswa mempunyai ruang dan kesempatan untuk membina idealisme sendiri. Memang sepatutnya semua warga kampus termasuklah mahasiswa perlu berada di hadapan, bukan menjadi pengikut dari segi pengembangan idea, pemahaman terhadap persekitaran global dan setempat, dan menyediakan alternatif. 

Malang sekali seandainya pergerakan mahasiswa terpesona dengan suara dan gagasan politik kepartian, apatah lagi jika sekadar menjadi pengikut setara dengan status keahlian peringkat cawangan. Lebih malang lagi kerana sebagai ahli sesuatu pertubuhan politik, banyak peraturan dan tata cara yang terpaksa dipatuhi. Ini lebih ketara jika ada perbezaan pandangan mahasiswa dengan pandangan rasmi parti yang mungkin menyebabkan seseorang ahli dikenakan tindakan disiplin. 

Justeru marilah kita menghayati semangat dan budaya ilmu bahawa sepanjang menuntut ilmu terutamanya di kampus maka kita perlu mematuhi pelbagai adab dan resam untuk menjadi komuniti ilmu yang sejati. Komuniti ilmu tidak bererti kita meletakkan diri pada kedudukan luar realiti. Sebaliknya komuniti ilmu menjadikan ilmu sebagai petunjuk, pedoman dan landasan dalam tindakan kita. 
Kerana dengan komitmen kepada budaya ilmu barulah kita dapat memperteguh wibawa dan membangunkan ‘kuasa intelektual’ sebagai penyuluh zaman!