14 November, 2011

Izinkan Sahaja Mahasiswa Berpolitik. Apa Salahnya?

Mahasiswa seharusnya menyokong keputusan kerajaan negeri Selangor yang telah menetapkan gaji minima semua kakitangan kerajaan negeri pada RM1,500 dalam pembentangan bajet 2012 peringkat negeri minggu lalu.. Mahasiswa juga harus menyatakan sokongan pada usaha pemansuhan PPSMI yang di lihat bukan sahaja mencabar jatidiri kebangsaan tetapi juga menyebabkan jurang pencapaian akademik pelajar semakin melebar. Mahasiswa juga seharusnya memberikan sokongan pada program HIMPUN sebagai tanda protes kepada usaha mencabar kesucian Islam di negara ini. Mahasiswa juga seharusnya bersama dan memberikan sokongan penuh kepada program ETP dan GTP yang sedang diusahakan oleh pihak kerajaan pusat demi kebaikan rakyat.

Sebagai mahasiswa yang mempunyai idealisme perjuangan berasaskan keintelektualan, mereka tidak boleh mengira siapa, parti atau kumpulan mana yang menjayakan sesuatu dasar atau program kepada rakyat. Samada parti yang diberikan kuasa memerintah ataupun parti yang diberikan mandat untuk membangkang. Sebagai mahasiswa, soal APA dan bukannya SIAPA yang sepatutnya dijadi kayu ukur untuk menyatakan sokongan. Asal sahaja sesuatu itu memberikan kebaikan dan kesejahteraan pada rakyat terbanyak, mahasiswa perlu menyatakan sokongan mereka. Begitu juga jika ada pihak yang cuba melaksanakan sesuatu yang buruk dan merosakkan masyarakat, maka mahasiswa harus bangun menentang atas semangat yang sama, demi kesejahteraan rakyat.

Acapkali, perjuangan mahasiswa dikaitkan secara terus kepada parti yang berpolitik di luar kampus. Bukan rahsia lagi bila GMUKM dikaitkan dengan parti pakatan pembangkang dan TSB dikaitkan dengan parti yang memerintah. Mungkin akan ada yang menafikannya tetapi hakikatnya begitulah. Ketaksuban kumpulan kumpulan ini memberikan sokongan total kepada parti politik di luar kampus akhirnya menjerumuskan idealisme mahasiswa kepada kelesuan, tiada pendirian sendiri dan menjadi alat tunggangan parti politik luar kampus. Kalau ditanya apakah punca kelesuan idealisme perjuangan mahasiswa hari ini, jawabnya ialah ketaksuban menyokong secara membuta tuli kepada parti luar kampus oleh pimpinan mahasiswa.

Oleh itu idealisme perjuangan mahasiswa perlukan satu transformasi secara menyeluruh. Mereka harus bangun dan berdiri sendiri. Mereka perlu kukuh dengan semangat juang mereka sendiri. Mereka perlu membina jati diri kemahasiswaan. Lantang bersuara tetapi penuh hikmah dan sopan. Mencadang dengan idea yang bernas dan segar. Membantah dengan alas budi dan susila. Mahasiawa mesti menyatakan yang benar dan bersedia menentang keburukan atas nama kebenaran yang diasaskan dengan ilmu dan keintelektualan. Mahasiswa adalah golongan yang telah diiktiraf mempunyai kemampuan intelektualan yang lebih baik dari rakan rakan mereka yang tidak berpeluang menjejak kaki ke menara gading. Terserah bagaimana mereka ingin dilihat sebagai golongan yang intelek.Oleh itu nilai intelektualisme sahajalah yang akan menjadi kayu ukur keupayaan mahasiswa hari ini berbanding kumpulan sebaya yang lain di luar kampus. Bukannya atas perkara-perkara lain.

Sebagai mahasiswa mereka perlu sensitif tentang apa sahaja ketidakadilan kepada rakyat, penindasan oleh golongan kaya dan berkuasa, rasuah, pembaziran, ketaksamarataan peluang ekonomi, kembali kepada kehidupan keagamaan, isu alam sekitar, masalah sosial dalam masyarakat, isu kemiskinan, hak mendapat peluang pendidikan yang lebih baik, kemudahan perkhidmaran kesihatan dan penyediaan pengangkutan yang lebih selesa. Ini adalah asas kepada perjuangan mahasiswa. Begitu juga dengan hal hal yang lain khususnya yang berkaitan dengan kesejahteraan masyarakat. Perjuangan mahasiswa mestilah bersandarkan kepada apa yang benar dan baik untuk dirinya, keluarganya, agama dan masyarakat seluruhnya.

Oleh itu pada peringkat yang paling asas, mahasiswa harus memahami falsafah dan sejarah universiti di mana mereka belajar bagi membina idealisme perjuangan. UKM misalnya, ditubuhkan sebagai sebuah universiti rakyat untuk rakyat. Maka sebagai mahasiswa UKM, apa sahaja yang difikirkan baik kepada rakyat samada dilakukan oleh pihak kerajaan atau pihak pembangkang haruslah disokong. Maka isu transformasi ekonomi untuk rakyat menjana pendapatan yang lebih tinggi dan usaha meringankan beban kos hidup rakyat, harus disokong.

Begitu juga dengan usaha yang dilakukan oleh pihak pembangkang yang mengarah kepada usaha penambahbaikan kepada sistem pentadbiran pihak kerajaan dan bantuan kepada rakyat. Mahasiswa juga harus bersuara tentang isu rasuah dan perlakuan yang tidak mempunyai integriti. Begitu juga dengan perkara yang berkaitan pembaziran wang rakyat yang telah dibuktikan di mahkamah atau Jabatan Audit Negara, dasar-dasar yang merugikan rakyat seperti PPSMI, kewujudan sekolah vernakular yang tidak membawa kepada perpaduan, kurangnya peruntukan untuk masyarakat luar bandar berbanding di bandar, isu kebajikan kumpulan minoriti. Isu kebajikan kumpulan petani, nelayan serta buruh yang daif kehidupan mereka. Malah laporan Ketua Audit negara baru baru ini diumumkan sepatutnya dijadikan forum perbincangan oleh mahasiswa.

Mahkamah telah memutuskan apa yang sepatutnya di dalam hal yang berkaitan Seksyen 15 AUKU baru baru ini. Kita semua harus menghormati keputusan tersebut sejujurnya. Maka itu, samada Seksyen 15 di dalam AUKU masih relevan atau tidak pada masa depan, ia bergantung sepenuhnya kepada niat mahasiswa di dalam memperjuangkan idealisme mereka. Tentunya keputusan mahkamah baru baru ini membuka ruang seluasnya kepada mahasiswa bergerak aktif di dalam hal hal politik di arus perdana, tetapi jika mereka tersilap langkah, ketiadaan seksyen 15 AUKU ini juga sebenarnya akan mematikan idealisme perjuangan mahasiswa di kampus. Bayangkan jika politik kampus yang bertujuan mendidik mahasiswa tentang demokrasi tulen sudah bercampur dengan politik negara yang cenderung kepada politik menghalalkan cara, apa yang akan berlaku. Ruang politik manakah akan hilang identitinya. Saya tak fikir politik kampus akan terus segar lagi,  dan apa yang akan berlaku ialah akhirnya kepimpinan mahasiswa akan menjadi 'kuda tunggangan' kepada aturan politik luar kampus.

Maka itu pada saya, seksyen 15 AUKU masih relevan dan perlukan sedikit sebanyak pindaan. Misalnya walaupun pelajar dibenarkan berpolitik di luar kampus secara langsung, mereka masih tidak boleh dibenarkan membawa masuk apa juga program, aktiviti, logo dan sebagainya yang berkaitan parti politik ke dalam kampus. Jika politik luar kampus membicarakan soal dasar dan pembangunan rakyat, politik dalam kampus seharusnya lebih bersifat menjaga kebajikan pelajar di kampus dan jika perlu turut membuat jangkauan ke luar kampus. Sebenarnya suara mahasiswa yang ingin sangat aktif berpolitik di luar kampus tidaklah begitu ramai. Yang ramainya itu sebenarnya sekadar ikut-ikutan sahaja. Tetapi sebagai pelajar dan warganegara, hak mereka masih perlu diraikan. Maka saya tertarik dengan semangat yang dikatakan oleh  Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifudin, "izinkan sahaja mahasiswa berpolitik". Apa salahnya?