25 November, 2011

PMUKM Ibarat Menang Sorak Kampung Tergadai

"Rencana ini tidak menyentuh secara khusus mana-mana kumpulan pelajar yang menguasai PMUKM tetapi membincangkan PMUKM sebagai sebuah organisasi pelajar secara umum". - Penulis

PMUKM adalah sebuah persatuan pelajar yang istimewa. Ditubuhkan sebagai induk kepada hampir 180 persatuan pelajar di UKM. Mandat yang diperolehi juga istimewa, melalui satu proses pilihanraya kampus yang menggunakan peruntukan universiti dan tenaga kerja di kalangan kakitangan akademik dan juga kakitangan sokongan universiti. Setiap tahun piliharaya kampus UKM diadakan, setiap kali itu juga puluhan ribu ringgit dibelanjakan untuk menyediakan kursus bakal calon, latihan kakitangan, persiapan teknikal dan logistik piliharaya (pengangkutan, keselamatan, kemudahan komputer dan sistem), percetakan kertas undi dan sebagainya.

Para calon pula secara terang-terangan membina blok partisan (walaupun di larang di dalam peraturan piliharaya kampus UKM). Mereka akan berseragam ungu, hijau, merah atau biru di sepanjang minggu pilihanraya sebagai satu manifestasi solidariti kumpulan, bekerja menyebarkan manisfesto dan menganjurkan ceramah untuk pelajar pelajar. Ada yang mendakwa kumpulan mereka memperjuangkan Islam sebagai wadah perjuangan, ada pula yang menggunakan wadah perpaduan, kebajikan dan pembangunan masyarakat sebagai intipati perjuangan, walaupun bila diteliti mana juga kumpulan yang menang, setiap kali dilantik PMUKM yang baru, bentuk aktivitinya hampir juga sama sahaja.

Gaya Bakal Pemimpin
Setiap tahun, pada saat hari piliharaya kampus UKM berlaku, calon calon piliharaya akan dipandu oleh pemandu masing masing ke kolej kolej di mana pusat pembuangan undi diadakan. Berjalan dalam kelompok masing masing, penuh gaya dengan kot dan bertali leher, membuat lawatan di peti peti undi.

Pilihanraya kampus pada saya hari ini seperti satu proses latihan yang bukan sahaja membina pemimpin pelajar, tetapi juga membina pemimpin yang bergaya! Saya gembira dan meraikan usaha mereka ini.  Perlakuan gaya berpakaian mereka ini lebih menarik jika dibanding calon calon pilihanraya umum atau calon pilihanraya kecil ADUN di luar sana. Calon di luar sana bukan sahaja kelihatan simple dalam gaya dan perwatakan mereka tetapi lebih menumpukan kepada berinteraksi dengan para pengundi. Malah gaya Barrack Obama ketika turun berkempen dan membuang undi dulu dengan hanya baju kemeja (warna biru muda kegemarannya) pasti akan kalah kalau dibandingkan dengan gaya calon piliharaya kampus UKM. Begitu juga dengan gaya simple calon pilihanraya di Singapura dan United Kingdom.

Para calon piliharaya kampus UKM biasanya lebih gemar berjabat tangan dengan 'pekerja mereka' sahaja tetapi kurang berinteraksi dengan para pengundi. Pekerja mereka ini biasanya adalah kalangan mahasiswi tahun satu dan dua yang akan duduk seharian di kawasan agen calon untuk membuat bancian, umpama tugas juruaudit lagaknya. Menarik saya melihat kelakuan mereka ini.

Masa 'Bersih' MPP PMUKM
Setiap MMP diberikan mandat selama setahun untuk memerintah PMUKM. Itu secara kasarnya. Cuba kita teliti jangka masa 'bersihnya'. Setahun ada dua semester (juga semester ketiga untuk kursus tertentu). Setelah ditolak cuti sesi (2 bulan) dan cuti semester dan mid semester ( lebih kurang 1 bulan), jumlah yang masih ada pada PMUKM ialah 9 bulan. Jika ditolak minggu study week (2 minggu) dan minggu peperiksaan (6 minggu) pada kedua dua semester,  jumlah yang masih ada pada PMUKM ialah 7 bulan sahaja. Jika ditolak lagi minggu untuk urusan piliharaya (1 minggu), urusan angkat sumpah MPP (1 minggu), acara rasmi UKM seperti minggu MMP (1 minggu) dan  minggu konvokesyen (1 minggu), masa 'bersih' yang ada pada PMUKM hanyalah 6 bulan sahaja. Itu belum ditolak cuti umum perayaan utama seperti Hari raya Puasa, hari Raya Haji dan sebagainya.

Sebagai MPP, mereka juga adalah pelajar, yang mempunyai beban akademik yang sama seperti pelajar lain. Harus menyiapkan assingment, tugasan tutorial, kerja makmal dan sebagainya. Jika enam bulan itu benar benar diteliti, hanya sekitar 3 atau empat bulan sahaja, MPP tersebut akan bekerja sebagai MPP PMUKM.

Maknanya, dengan segala masa, peruntukan serta tenaga kerja untuk piliharaya kampus, sebenarnya MPP PMUKM hanya akan berkerja 'bersih' sekitar 4 bulan sahaja dalam setahun. Dengan segala fitnah, kata mengata dan surat layang yang membina permusuhan politik, sepertinya tidak berbaloi langsung pada yang menang dan menguasai PMUKM. Mereka hanya berkuasa 'bersih' selama 3 hingga 4 bulan sahaja.

Apa yang boleh dilakukan dalam masa 4 bulan tersebut? Mampukan mereka menjaga kebajikan 20,000 pelajar UKM? atau sebenarnya masa yang ada itu lebih baik digunakan hanya untuk kelompok mereka sahaja. Mampukan dengan masa yang ada, mereka boleh membantu ratusan persatuan dan urusetia pelajar di UKM atau sekadar lebih baik menjaga satu dua persatuan yang menaungi PMUKM?

Mengapa Bermusuhan?
Maka jika PMUKM bijak dan ikhlas untuk menjaga kebajikan pelajar UKM seluruhnya, masa yang pendek harus digunakan sebaiknya. Janganlah bermusuhan dengan pihak pengurusan UKM, janganlah bermusuhan dengan pihak kepengetuaan dan janganlah membelakangkan JPPEL dan pengurusan HEPA. Jika ini mereka dapat elakkan, masa yang pendek akan dapat dimanafaatkan sebaiknya. Dalang-dalang politik kampus yang 'menunggang' PMUKM pasti tidak gembira kalau MPP PMUKM yang mereka sendiri caturkan kemenangannya cuba ingin berbaik baik dengan pihak pengurusan UKM. Mereka kalau boleh, pada setiap masa mahu pimpinan PMUKM merujuk dan berbincang dengan mereka dan bukannya dengan pihak kepengetuaan, JPPEL atau pihak HEPA UKM.

Jika hubungan baik dengan pengurusan UKM berjaya dipelihara, PMUKM pastinya akan dapat menjalankan tanggungjawabnya mentadbir semua persatuan di bawah naungannya, menjaga kebajikan lebih 20,00 pelajar UKM dan berwibawa membawa nama UKM ke persada kebangsaan dan antarabangsa. Para pimpinan persatuan UKM akan berterima kasih dengan kepimpinan PMUKM sebagai induk mereka Berbagai program dan projek secara anjuran bersama antara PMUKM, Jaksa, Persatuan Fakulti, Persatuan anak Negeri dapat dijayakan. Pelajar UKM yang dapat manafaatnya. PMUKM akan dilihat sebagai benar benar sebuah persatuan induk yang menaungi semua persatuan di bawahnya.

Jika hal seperti ini tidak berlaku , pasti nanti  PMUKM akan diibaratkan seperti bidalan Melayu "menang sorak, kampung tergadai"