20 November, 2011

Idealisme Mahasiswa Dan Politik Kampus UKM Akan Hapus Sepenuhnya Pada 2013

Itulah yang saya jangkakan. Saya yakin jangkaan ini akan benar benar berlaku. Melihat situasi semasa, jangkaan ini seperti tidak dapat dielakkan lagi.

Politik kampus ialah kepunyaan mahasiswa. Pihak universiti meraikan politik kampus, maka pilihanraya kampus diadakan. Bukan sedikit wang universiti dan tenaga kakitangan yang digunakan untuk menjayakan pilihanraya kampus pada setiap tahun. Demi mendidik pelajar tentang makna demokrasi dan memberikan pengalaman berkaitan kepimpinan pada pelajar, pihak pengurusan UKM tidak terkecuali meraikan politik kampus.

Politik kampus melibatkan pelajar sepenuhnya samada ada sebagai calon, agen calon, penyokong calon dan pengundi. Selain daripada pelajar yang berdaftar, peraturan pilihanraya kampus tidak membenarkan sesiapapun untuk mencampuri urusan pilihanraya kampus. Tetapi sesiapa yang ingin memberikan pandangan, teguran atau nasihat dipersilakan demi kemaslahatan dan menambahbaik kepimpinan mahasiswa. Itu dibenarkan.

Kewujudan politik kampus melalui perlaksanaan piliharaya kampus membuka ruang untuk pimpinan pelajar menyuarakan pandangan mereka tentang apa sahaja isu samada di peringkat global, nasional lebih lebih lagi isu dalam kampus dari perspektif mereka sebagai mahasiswa. Malah politik kampus memberikan satu dimensi untuk masyarakat umum melihat keberadaan mahasiswa di dalam arus pembangunan negara ini. Masyarakat akan dapat menggunakan pandangan mahasiswa untuk membuat 'check and balance' tentang apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan pembangkang. Kepimpinan mahasiswa adalah dimensi ketiga yang diperlukan oleh masyarakat selain kerajaan dan pihak pembangkang.

AUKU sebelum dan selepas pindaan 2009, melindungi politik kampus dari 'diganggu' oleh politik partisan dari luar kampus. Jika AUKU tidak diadakan, sudah lama politik kampus akan 'dibaham' sepenuhnya oleh politik partisan luar yang ingin membina pengaruh mereka di seluruh pelusuk negara, termasuk dalam kampus. Jika sebelum ini kita telah mendengar penularan pengaruh kepolitikan partisan di dalam jawatankuasa masjid, di dalam JKKK, di dalam persatuan sukan, kini kampus juga akan dilanda oleh gejala kepolitikan partisan.

Ada kalangan mahasiswa yang mengatakan AUKU menyekat hak dan peluang mereka untuk berpolitik atau menunjukkan sokongan pada parti politik luar kampus. Itulah intipati bantahan mereka. Ada yang saya setuju dan ada yang saya tidak setuju. Saya setuju dengan keputusan mahkamah bahawa AUKU jangan digunakan untuk menyekat pelajar berpolitik. Saya juga setuju dengan saranan agar AUKU untuk disemak semula. Tetapi saya tidak bersetuju tiada undang-undang langsung yang menyekat pengaruh politik luar dari masuk ke dalam kampus.

Pada kumpulan yang anti AUKU di UKM, khususnya pimpinan GMUKM-ISIUKM dan PMUKM 2010-2011, mereka juga harus sedar dan bersedia bila AUKU dimansuhkan. Akan wujud tiga implikasi besar bila tiadanya AUKU untuk melindungi politik kampus;

1. Politik kampus akan terhapus dengan sendirinya dan digantikan sepenuhnya oleh politik partisan luar kampus. Pemansuhan peraturan yang berkaitan melarang pelajar terlibat dengan politik luar kampus secara langsung akan memberi ruang seluas luasnya untuk parti politik berada di dalam kampus. Maka akan tiba masanya jentera parti UMNO, PAS, PKR, KITA, MCA, MIC, PBS, PPP dan belasan parti yang lain masuk dan mengupayakan politik partisan di dalam kampus. Setiap parti ini akan berpolitik secara hebat di dalam kampus demi membina pengaruh masing masing. Akan ramai mahasiswa direkrutkan sebagai mewakili parti parti ini di dalam kampus. Oleh kerana mahasiswa tiada pengalaman berpolitik sebagaimana mereka di luar sana, pastilah mahasiswa akan menjadi 'boneka politik', ditunjuk-tunjuk, diajar dan kadang kala akan 'dipergunakan sewenang-wenangnya'. Apa yang penting pada politik partisan ialah mereka bukan sahaja ingin berkuasa di kampus tetapi juga mesti dilihat oleh masyarakat umum mempunyai kuasa di kampus. Idealisme perjuangan mahasiswa akan dilihat sebagai 'sampah' kerana perjuangan politik partisan akan lebih penting dan perlu diutamakan. Apa yang ingin disuarakan oleh mahasiswa, adalah apa yang diizinkan oleh penguasa politik partisan. Kumpulan mahasiswa anti AUKU yang begitu ingin AUKU dihapuskan jangan terlupa bahawa apabila AUKU telah dimansuhkan, bermakna semua parti politik boleh berpolitik di kampus dengan hak yang sama. Mereka mungkin berkata, pihak berkuasa UKM janganlah benarkan parti politik masuk ke kampus, apa masalahnya? Tetapi bukankah itu sudah bercanggah dengan tujuan dan semangat memansuhkan AUKU seperti yang dilaungkan oleh kumpulan anti AUKU ini? Hari ini, GMUKM tidak berpuashati mengapa AUKU melarang mereka memberikan sokongan pada parti pakatan pembangkang, tetapi bila benar benar pindaan dilakukan atau AUKU dimansuhkan terus, jangan pula nanti GMUKM membantah jika parti pemerintah turut masuk ke kampus untuk berkempen dan berpolitik. Jangan pula mereka berkata itu tidak adil dan itu adalah penyalahgunakan kuasa oleh parti yang memerintah. Jangan pula nanti bila GMUKM merasakan bila mereka sudah tidak mampu bersaing kumpulan mahasiswa yang disokong dengan parti yang memerintah, mereka minta AUKU diwujudkan kembali. Demi melindungi perjuangan mahasiswa!

2. Tiada AUKU maknanya politik kemahasiswaan akan terhapus dan akan digantikan secara radikal oleh politik partisan. Jika politik kampus hingga hari ini masih murni, walau ada kalanya tercalar dengan budaya surat layang dan fitnah, sekurang kurangnya sifatnya masih bagi tujuan pendidikan. Ketiadaan AUKU akan menghilangkan semuanya apa yang kita katakan sebagai pendidikan dalam politik kampus. Apa yang ada ialah budaya berpolitik secara partisan, yang berterusan tanpa henti berpolitik walaupun bukan di musim pilihanraya kampus. Jika perpecahan pelajar UKM pada hari ini sekadar perbezaan pandangan, pasti akan berubah kepada permusuhan politik yang sebenar dengan sokongan parti politik luar kampus. Kata mengata, fitnah, surat layang dan sebagainya akan berleluasa dengan 'didikan sifu' masing masing. Pelajar akan sentiasa bermusuhan kerana dijolok oleh 'sifu' politik luar kampus.

3. Idealisme politik kampus biasanya memperjuangkan kebajikan pelajar di dalam kampus. Soal kenaikan yuran, soal harga makanan yang mahal, soal keselamatan, pengankutan dan sebagainya. Dengan ketiadaan AUKU, semua ini akan ditinggalkan. Isu kebajikan pelajar bukan lagi terpenting  pada pimpinan mahasiswa berbanding bekerja untuk memenangkan parti politik yang menaungi mereka di dalam piliharaya umum atau kecil di luar kampus. Pimpinan mahasiswa akan lebih terarah dengan isu  atau konflik antara parti kerajaan dan parti pembangkang. Kebajikan pelajar UKM bukan lagi keutamaan politik kampus sebagaimana sekarang.

Seperkara yang bermain di fikiran saya, agak lama juga ialah pimpinan GMUKM sering menyatakan mereka adalah kumpulan yang ingin idealisme perjuangan mahasiswa dipertahankan. Slogan pro-mahasiswa menjelaskan keinginan mereka. Tetapi mereka juga adalah kumpulan yang ingin AUKU dimansuhkan supaya GMUKM boleh secara terang-terangan bekerja di bawah telunjuk parti politik di luar kampus. Di satu pihak, GMUKM bercita-cita ingin berdiri sendiri sebagai peneraju kepemimpinan mahasiswa, tetapi di sisi yang lain mereka lebih berminat untuk terikat di bawah kongkongan dan naungan parti politik luar kampus. Seakan ada dualisme di dalam perjuangan mereka untuk menegakkan idealisme perjuangan mahasiswa.

Saya sangat maklum sebagai pimpinan mahasiswa UKM, mereka sebenarnya ingin berdiri sendiri, berjuang dengan cara mereka sendiri. Mereka ingin letakkan Islam sebagai mercu perjuangan mereka, mereka ingin syiar Islam diperkasakan, dan mereka ingin lakukannya dengan cara mereka sendiri. Tetapi 'dalang dalang' politik kampus yang mempunyai pengaruh ke atas GMUKM tidak membenarkan hal ini berlaku. 'Dalang-dalang' ini ingin GMUKM supaya tunduk kepada arahan parti politik di luar kampus. Dalang-dalang ini adalah orang hubungan antara GMUKM dan parti politik di luar sana. Jika idealisme mahasiswa tertegak secara sendiri, itu alamat yang tak baik buat 'dalang dalang' ini. Mereka hilang pengaruh ke atas pimpinan GMUKM dan kewujudan mereka tidak lagi penting kepada pihak parti di luar kampus. Ini sangat mereka khuatirkan. Mungkin pihak pimpinan GMUKM akan menafikan kewujudan dalang-dalang yang telah 'menggunakan' mereka, malah saya juga tidak minta mereka mengiyakannya. Tetapi sebagai seorang yang sudah lama dalam perjuangan kemahasiswaan di UKM, saya memahami situasi dan keberadaan 'dalang dalang' ini di dalam politik kampus di UKM.

Maka pada tahun 2013, bila beberapa peraturan dalam AUKU sudah tiada lagi, janganlah kita harapkan politik perjuangan mahasiswa akan ada seperti hari ini dan sebelumnya. Politik kampus tidak akan ada lagi dalam makna yang sepatutnya. Mahasiswa akan hilang idealismenya dan digantikan dengan perjuangan politik partisan sepenuhnya. Politik kampus akan terhapus sepenuhnya. Yang tinggal hanya namanya..'politik kampus, dari mahasiswa untuk mahasiswa'.