05 October, 2011

Sudah Berlakukah Tranformasi Politik Pelajar di Kampus UKM?

Kita baru hampir sebulan melepasi 16 September, hari jadi Malaysia. hari yang sama ISA dimansuhkan. Undang undang yang diperkenalkan sejurus selepas tamat era darurat. Ada yang berkata, 'Mengapa baru sekarang selepas 50 tahun sejak diperkenalkan? Salah satu jawapan yang boleh kita terima ialah Mengapa tidak sekarang dan lebih baik sekarang daripada tidak langsung. Pemansuhan ini akan membawa tranformasi besar-besaran di dalam cara masyarakat berpolitik dalam PRU 13 nanti. Dijangkan akan mengubah cara dan pemikiran masyarakat tentang maksud demokrasi dan pilihanraya.


Di dalam kampus, kita juga mengharapkan hal yang sama berlaku. Pemikiran tentang politik juga harus berubah malah momentumnya harus lebih laju lagi berbanding masyarakat di luar. Ada TIGA bentuk utama pemikiran politik di dalam kampus. Pertama "politik membunuh", kedua "politik AUKU" dan ketiga "politik intelektual atau politics of ideas". Biar saya jelaskan maksud ketiga-tiganya.

Politik membunuh sama maksudnya dengan zero-sum game. Bila satu parti bersaing dengan parti lawan maka politiknya bersifat permusuhan sepenuhnya. Apa sahaja yang dilakukan oleh satu kumpulan akan ditentang oleh satu kumpulan lain. Kaedah politik ini memfokuskan kepada lawan bukannya idea lawan. Malah diperingkat yang lebih hina, provokasi, fitnah, surat layang, menghasut, memanipulasikan agama (e.g ayat suci Al quran) dan sebagainya dilakukan. Gaya politik ini sangat disukai oleh pemimpin di kalangan negara dunia ketiga dan sebahagian negara membangun yang belum bersedia untuk berubah. Segala tenaga dan usaha difokuskan untuk menjatuhkan reputasi musuh politik sedangkan mereka sendiri tidak mempunyai kemampuan untuk memajukan 'pengikut setia' yang memberikan sokongan. Oleh itu kaedah yang paling mudah dan berkesan untuk menutup kelemahan sendiri ialah dengan melemahkan reputasi musuh dengan berbagai cara. Di kampus kaedah ini diamalkan secara meluas di kalangan pelajar. maka surat layang, tohmahan dan tuduhan tanpa asas sering kita lihat di Facebook dan blog (termasuk di masjid UKM). Pada pemain politik ini, apa yang ditulis tidak penting, yang penting ialah reputasi musuh politiknya berjaya dijatuhkan. Pernah lama dulu ada seorang calon pelajar di'serang' peribadinya kerana memiliki kereta di kampus ketika semua pelajar hanya bermotosikal dan berjalan kaki, Tujuannya supaya ini akan menimbulkan rasa benci para pengundi mengapa hanya dia ada kereta? mengapa bapanya kaya dan kami miskin? Malah ada yang 'menyerang' hanya kerana bentuk dan cara calon wanita bertudung yang berbeza daripada bentuk tudung biasa. Hal seperti ini segera mendapat perhatian pengundi yang rendah akal budinya. Mereka gemar kepada gossip, surat layang, provokasi bersifat peribadi dan sesuatu yang mengaibkan. Mereka jarang tertarik dengan idea untuk membangunkan pelajar, menanggapi persediaan menghadapi cabaran luar seperti isu bahasa Inggeris atau sebagainya.

Politik AUKU pula merujuk kepada amalan berpolitik sepertimana yang digambarkan melalui dokumen AUKU dan juga kemudiannya diterjemahkan melalui Dokumen Peraturan Pemilihan Pelajar di kampus. Bentuk politik ini ialah membenarkan pelajar secara individu  berpolitik dalam kampus tetapi tidak dibenarkan secara berkumpulan. Tujuannya baik, supaya tidak wujud politik kepartian yang dibimbangi menjurus kepada politik membunuh atau zero-sum game. Politik AUKU juga meraikan kepelbagaian pandangan kerana setiap individu yang berhajat menjadi calon mempunyai hak untuk mengutarakan pendiriannya. Politik bentuk ini juga menghalang berlakunya politik membunuh kerana tiada ada musuh parti politik yang ketara. Malangnya politik AUKU kurang digemari oleh pelajar dan akhirnya tidak berjaya dilaksanakan. Memanglah sukar bila sebagai pelajar mereka tidak dibenarkan berpolitik secara berkumpulan tetapi selepas menang mereka pula terpaksa membentuk kabinet. Mana-mana amalan politik pun segala perundingan dan konsensus di putuskan sebelum berlakunya pilihanraya. malah kabinet bayangan pun telah dipersetujui sebelum piliharaya dilaksanakan. Tentulah sukar selepas menang jika masing masing berhajat menjadi presiden? Dan biasanya jika konsensus tidak dilakukan sebelum pilihanraya, pertikaian ini berlanjutan dalam tempoh yang lama untuk diselesaikan. Maka amalan politik AUKU ini walaupun baik tetapi kurang praktikal dari segi amalan.

Amalan ketiga ialah politik intelektual. Kedudukannya di antara dua amalan politik sebelum ini. Politik intelektual membenarkan wujud konsep kepartian dalam politik tetapi meraikan kepelbagaian sebagai sesuatu yang harus dihormati. Negara negara maju seperti US (Demokrat dan Republican) dan UK (Labour dan Conservatif) adalah contohnya.Mereka berparti tetapi apabila ada idea yang baik, kedua dua parti itu boleh bersetuju dan meluluskan agenda tersebut di dlm kongres mereka, maka bukan pelik untuk melihat Obama dan Hillary dari dua parti berbeza boleh berkerjasama di dalam mentadbir negara. Begitu juga dengan Cameron dan beberapa kabinetnya di UK. Tidak dinafikan dalam negara maju itu pun masih juga ada segelintir ahli politik yang menggunakan politik membunuh kerana mereka cuba mendapat sokongan daripada pengundi yang naif serta terdesak. Politik intelektual mendepani idea bukannya diri musuhnya. Masa, tenaga dan pemikiran mereka ditumpukan kepada "Apa yang boleh kami buat untuk anda (pengundi), anda bandingkan idea kami atau idea parti lawan.. dan pilihlah mana yang lebih baik." dan bukannya berkata "mereka musuh kami dan musuh anda, mari kita musnahkan mereka". politik ini menghormati pengundi sebagai masyarakat yang boleh berfikir, membandingkan serta mampu membuat keputusan dengan baik. Mereka tidak perlu menunjuk-nunjuk keburukan atau kelemahan lawan dan minta/merayu pengundi mempercayai mereka tanpa data dan fakta. masyakara juga telah dibudayakan membenci parti yang melampau, mengunakan ajaran agama, semangat kaum untuk modal politik dan seringkali menyatakan orang lain semuanya salah, hanya mereka sahaja yang betul.

Sudah sampai masanya UKM menjadi model kepada amalan politik yang mengutamakan idea. Amalan yang meraikan kepelbagaian sebagai satu kekuatan dan bukannya satu ancaman. Dari segi politik,  pelajar UKM bukanlah berbeza, tetapi mereka telah diyakinkan bahawa mereka sangat berbeza dan tak mungkin boleh berkompromi dalam sesetengah hal dan boleh mengamalkan 'bersetuju untuk tidak bersetuju' di dalam hal-hal yang lain. Ambil contoh isu meletak kenderaan sebagai contoh, bolehkah PMUKM, persatuan fakulti atau JAKSA memberikan cadangan bagaimana masalah ini dapat diselesaikan dalam kerangka pelajar daripada sering mencari jalankan menyalahkan pengurusan universiti tidak cekap menyelesaikan masalah tersebut. Begitu juga denagn isu serangan binatang liar ke atas pelajar, isu Bulan Mesra Pelajar yang lebih berkesan, isu penempatan pelajar di kolej kediaman, isu pinjaman PTPTN, isu kebajikan pelajar antarabangsa, isu vandalisme, isu keselamatan pelajar di kampus dan luar kampus dan berbagai isu lain yang lebih besar sifatnya seperti isu penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar bumiputera dan isu meningkatkan kecekapan bahasa melayu di kalangan pelajar Cina, india dan antarabangsa. Bagaiamana pula dengan isu kebolehpasaran graduan UKM terutama di sektor swasta dan isu penglibatan pelajar di peringkat antarabangsa samada berkaitan bantuan kemanusiaan, mewakili UKM ke persidangan antarabangsa. Di dalam begitu banyak permohonan perstuan pelajar di kolej dan fakulti memohon peruntukan mobility outbound ke luar negara, ada persatuan induk yang masih belum memohon untuk menganjakkan kepimpinan mereka  ke persada antarabangsa.Mengapa hal ini berlaku.. kerana budaya politik membunuh masih membelenggu dan merantai pemikiran dan amalan berpolitik di kampus..