Pasti ramai pemimpin pelajar UKM hari ini mengenali Datuk Razali Ibrahim, Dato Seri Liow Tiong Lai, Datuk Shafie Abu Bakar tetapi pelajar sangat kurang atau langsung tidak mengenali Datuk Rahman Bakar, Dali Husin, Abdul Ghani Ahmad, Datuk Ramli Noh atau Wan Ali Wan Jusoh. Mereka adalah bekas pemimpin PMUKM satu masa dulu. Banyak lagi bekas pemimpin PMUKM yang ada di luar sana, dan ada di antaranya telah kembali ke rahmatullah.
Jika pemimpin pelajar UKM hari ini 'buta sejarah' tentang perjuangan pemimpin pelajar UKM dahulu, mereka tidak tahu tentang idealisme, bentuk pergerakan serta kaedah perjuangan bekas bekas pemimpin pelajar dulu. Misalnya bagaimana pemimpin dahulu merangka strategi mengambil hati dan bekerjasama dengan pelajar Cina dan India di UKM atau bagaimana pemimpin pelajar dulu menyatakan bantahan dalam berbagai bentuk kepada pengurusan UKM. Apakah dengan membuat bantahan secara keras dan agresif semua tutntuan mereka berjaya dipenuhi oleh pengurusan, atau apakah semua tuntutan yang dilakukan secara sopan dan berhemah tidak memberikan hasil yang baik. Apabila pemimpin pelajar hari ini tahu kaedah yag terbaik untuk mencapai matlamat kepada sebarang tuntutan mereka, mereka akan dilihat lebih berkesan dan berkarisma sebagai pemimpin.
Seingat saya kebanyakan tuntutan yang dibuat secara perbincangan mendatangkan hasil yang lebih memuaskan berbanding tuntutan yang dibuat secara agresif dan tidak bersopan. Banyak tuntutan seperti isu pengangkutan bas, isu air di beberapa kolej, isu penangguhan kenaikan yuran kolej, isu meningkatkan kemudahan untuk pelajar di UKM, isu meletak motosikal pelajar telah berjaya diselesaikan secara berperingkat melalui cara perbincangan yang berhemah dan bersopan. Jika pemimpin pelajar celik sejarah, maka mereka akan memelih untuk berbincang denagn pihak pengurusan UKM dan tidak berminat untuk berkonfrantasi.
Hari ini masih ramai pemimpin pelajar UKM bermula dari PMUKM, JAKSA, ISIUKM, Persatuan Anak Negari, Persatuan Pelajar Fakulti yang terpilih atau dilantik menjadi pemimpin pelajar tidak mempunyai pengetahuan tentang sejarah UKM dan juga sejarah perjuangan pelajar UKM. Pada mereka apa perlunya mengetahui sejarah UKM dan sejarah perjuangan pemimpin pelajar UKM dahulu. Pada mereka "bila dilantik tugas kami ialah menganjurkan aktiviti, selepas setahun orang lain pula yang akan mengambilaliah tugas daripada kami"Jika ditanya bila UKM ditubuhkan pun belum tentu semua pemimpin pelajar UKM dapat memberikan jawapan spontan dan menyakinkan. Kalau masih ragu ragu, cubalah bertanya secara rawak pada mereka. Bagaimana dengan siapa peneraju awal pengurusan UKM, senarai sumbangan UKM kepada kemajuan negara, siapa YDP PMUKM terdahulu?, apa sumbangan pemimpin pelajar UKM dahulu? dan sebagainya.
Pemikiran 'buta sejarah' ini adalah tidak sesuai dengan peranan mereka sebagai pemimpin pelajar di semua peringkat dalam UKM. seorang Presiden atau YDP persatuan pelajar UKM misalnya harus tahu apakah teras aspirasi UKM, sejarah perjuangan masyarakat Melayu di dalam menubuhkan UKM, apakah idealisme kepimpinan pelajar sebelum beliau. Malah beliau juga sepatutnya boleh menamakan nama-nama tokoh kepimpnan pelajar PMUKM sejak tahun 1970an hinggalah kini. Mereka perlu menguasai semua itu agar benar benar berjiwa UKM.
Apabila seseorang pemimpin pelajar tidak menguasai sejarah UKM dan sejarah pejuangan pemimpin pelajar UKM terdahulu, mereka menjadi pemimpin dengan minda yang longgar. Walaupun mereka ada semangat yang kuat, komitmen kerja yang tinggi terhadap tanggungjawab yang diberikan tetapi mereka tidak mempunyai semangat dan aspirasi UKM. Sejarah UKM dan sejarah perjuangan pemimpin UKM adalah input yang diperlukan oleh pemimpin pelajar UKM hari ini.
Pengetahuan sejarah UKM dan perjuangan pemimpin pelajar UKM inilah yang akan membantu mereka menjadi rasional dan bertindak matang bila perlu membuat keputusan. Meeka yang ada latar sejarah juga akan mempunyai keupayaan dan karisma bila bercakap tentang perjuangan mahasiawa. Tentulah selain sejarah UKM dan sejarah perjuangan, pemimpin peljar juga perlukan pengetahuan yang baik dalam hal hal pengurusan organisasi supaya PMUKM menjadi lebih berkesan.
Pemimpin pelajar yang buta sejarah dan tidak menghayati aspirasi UKM cenderung untuk melatah bila dikritik, mudah disogok dengan pandangan pandangan yang retorik serta mudah membuat keputusan yang tidak menguntungkan pelajar dan universiti. Mereka mudah dijadikan boneka, ditunjuk tunjuk apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh orang lain yang ingin menggunakan mereka. Oleh kerana 'buta sejarah' mereka sanggup membelakangkan pihak pengurusan universiti yang bertanggungjawab membangunkan kecemerlangan universiti dan para pelajar di dalamnya.
Maka sudah sampai masanya seseorang yang bakal menjadi pemimpin pelajar di semua peringkat persatuan pelajar UKM wajib menghadiri kursus pembangunan kepimpinan pelajar UKM. Kursus ini jangan pula dibentuk bertujuan untuk mendoktrinisasikan pemimpin pelajar tetapi harus lebih terbuka dan dibentuk supaya memberikan input yang tepat tentang sejarah UKM, sejarah kepimpinan pelajar UKM pada para peserta. Pentingnya kursus ini agar bakal pemimpin pelajar menghayati UKM sebagai sebuah universiti kebangsaan.
Kursus ini juga perlu dibentuk secara dinamik, di mana bakal bakal pemimpin pelajar boleh berbincang secara bersemuka dan secara bijaksana dalam usaha penuh mesra dengan semua entiti yang bertanggungjawab kepada hal ehwal pelajar UKM. Di sinilah selain input sejarah UKM dan sejarah perjuangan pelajar diberikan pada bakal pemimpin UKM, pada masa yang sama para bakal pimpinan UKM berpeluang memberikan pandangan dan input kepada entiti pentadbiran UKM berkaitan pelajar. Ini juga adalah latihan awal kepada bakal pemimpin pelajar UKM bahawa semua masalah boleh diselesaikan dengan cara berbincang secara baik.
Menjadi pemimpin bukan sekadar menganjurkan projek dan menguruskan pejabat persatuan tetapi jauh lebih daripada itu bertanggungjawab menaikkan nama dan imej UKM di mata masyarakat luar serta menjadi pengerak hadapan kepada tiga tunggak aspirasi UKM; (a) UKM universiti rakyat, (b) UKM mempertahankan identiti kebangsaan berlandaskan perlembagaan negara dan (c) UKM mengukuhkan perpaduan kaum berasaskan kontrak sosial).