05 October, 2011

Mengapa Universiti Oxford Cemerlang?



Kali pertama saya mengenali nama Universiti Oxford ialah semasa ayah membeli set peralatan geometri untuk mata pelajaran matematik ketika di darjah empat sekolah rendah. Di luar kotak geometri tersebut terlukis imej dan nama instutusi tersohor ini.
Sejak dari itu cerita kehebatan universiti ini mula saya kutip sedikit demi sedikit. Pernah guru saya berkata universiti Oxford hanya untuk golongan anak raja sahaja. Anak petani dan nelayan walaupun pandai belum layak belajar di sana. Mungkin itu adalah kata-kata dorongan dari seorang guru untuk para pelajarnya supaya terus kuat berusaha.

Minggu lalu penulis berkesempatan ke bandar akademik ini. Ini merupakan lawatan ke empat penulis ke sana. Perjalanan ke Universiti Oxford mengambil masa sejam  daripada stesen Keretapi Paddington, London. Pelawat juga boleh menaiki bas ekspres dari stesen Victoria, London ke bandar Oxford yang mengambil masa sekitar lebih kurang dua jam perjalanan. Malah sekarang lebih mudah kerana pengunjung boleh menunggu bas ke Bandar Oxford setiap setengah jam di beberapa hentian sekitar kota London. Oleh kerana sistem kereta api dan pengangkutan bas yang baik, ramai pelajar yang belajar di universiti Oxford tinggal di kota London.

Semasa di dalam kereta api ke Oxford penulis membayangkan mungkinkah pada masa depan pelajar yang belajar di IPT sekitar Lembah Kelang akan berulang alik dari Ipoh atau Melaka setiap hari sebagaimana pelajar di UK. Jika ini benar -benar berlaku, tentunya sistem pengajian tinggi di Malaysia akan menjadi lebih menarik dan peluang pendidikan akan menjadi lebih terbuka kepada rakyat.

Universiti Oxford merupakan universiti terbaik di UK dan antara lima buah universiti terbaik di dunia selain Universiti Harvard, MIT dan Universiti Cambridge. Universiti ini juga merupakan universiti tertua di dunia barat khasnya di kalangan negara penutur asal bahasa Inggeris. Soalnya, bagaimana institusi akademik yang dibina sejak tahun 1096 ini masih berjaya mempertahankan keunggulan selama lebih 900 tahun. Apakah rahsia dan strategi pihak pentadbir universiti terkemuka ini sehingga mampu berdaya saing dan berjaya menyaingi segala cabaran yang silih berganti sejak ratusan tahun.

Penulis berkesempatan berada di Universiti ini selama beberapa minggu kerana memenuhi jemputan rakan sepengajian dahulu yang belajar di Universiti London, beliau kebetulan mengajar di Oxford. Selama beberapa hari di sana ada beberapa perkara yang boleh dijadikan pengajaran untuk kita gunakan bagi meningkatkan keunggulan universiti di negara kita.

Pertama, Universiti Oxford merupakan universiti yang berteraskan penyelidikan. Malah aktiviti utama para pensyarah di universiti ini ialah menjalankan penyelidikan. Para pelajar juga belajar melalui proses penyelidikan dengan seliaan tutor akademik atau ‘Don’. Hampir semua pensyarahnya mempunyai geran dan dana penyelidikan luar selain yang disediakan oleh pihak universiti.

Melihat kepada senarai bidang penyelidikan yang telah dan sedang dilakukan, kebanyakan kajian mereka bersifat inovasi terutama di dalam bidang-bidang  yang baru diteroka. Pihak universiti dengan kerjasama sektor korporat nampaknya tidak takut untuk memberikan geran penyelidikan kepada bidang kajian yang masih baru dan belum pasti keberhasilan untuk komersial.

Tradisi ini sudah lama di Oxford. Lihat sahaja misalnya bagaimana penciptaan antibiotik penisilin di makmal patologi Universiti ini pada tahun 1928 oleh Sir Alexander Fleming seorang ahli sains yang pakar di dalam bidang anti bakteria.  Ketika mula kajian ini dilakukan, sesiapapun tidak menyangka bagaimana ciptaan ini akan berjaya menyelamat nyawa jutaan manusia di muka bumi ini selepas kematian beliau pada tahun 1955.
Laporan kewangan tahunan pada tahun 2006 menunjukkan penjanaan geran penyelidikan universiti Oxford mencecah lebih RM1.3 bilion, tidak termasuk dana yang disumbangkan oleh pihak kerajaan UK berjumlah hampir RM 700 juta. Pendapatan keseluruhan universiti ini pada tahun 2006 melebihi RM3.8 bilion. Manakala pendapatan keseluruhan tiga puluh lapan kolej pengajian di universiti ini pula berjumlah hampir RM 900 juta.
Kedua, sistem pengajaran di universiti Oxford sangat berbeza budayanya dengan apa yang diamalkan oleh kebanyakan  universiti di negara- negara lain termasuk di negara kita. Universiti Oxford dan Cambridge masih mengekal sejak ratusan tahun kaedah pengajaran tutorial bersemuka seorang pensyarah dengan sekumpulan 1 hingga 4 orang pelajar.
Sejak dahulu secara tradisi, pelajar di universiti ini perlu mempunyai tahap pemikiran yang tinggi untuk membuat penjelasan kepada pensyarahnya tentang  projek penyelidikan yang dilakukan oleh mereka. Para pelajar perlu bersedia mengolah teori, memberikan bukti serta mempertahankan penemuan kajian mereka di hadapan para pensyarah yang menyelia mereka.

Menurut rakan penulis, bilangan helaian tugasan bukan sesuatu yang penting tetapi idea serta keupayaan mempertahankan idea lebih diberikan keutamaan. Budaya intelektual ini sebenarnya menajamkan daya pemikiran para penuntut universiti ini.
Ketiga, Universiti oxford terbina di dalam bandar Oxford. Hubungan universiti dan masyarakat  sangat akrab. Kita hampir tidak dapat membezakan di jalanan antara pelajar dan penduduk bandar ini. Perbezaan yang ketara mungkin dari segi perbezaan umur mereka sahaja. Kedai-kedai kecil di Queen Street misalnya dipenuhi oleh para pelajar di waktu tengah hari dan lewat petang.

Masyarakat sekitar memberikan sokongan kepada aktiviti akademik dan juga aktiviti pelajar. Misalnya persembahan teater dan drama yang diadakan oleh pelajar turut ditonton oleh para pensyarah dan juga penduduk sekitar. Begitu juga program seminar dan diskusi bukan sahaja dihadiri oleh para ahli akademik dan pelajar tetapi juga turut dihadiri oleh penduduk sekitar.

Keempat, Universiti Oxford sebenarnya terdiri daripada  38 buah kolej pengajian. Mungkin berbeza dengan IPTA Malaysia yang menggunakan sistem fakulti atau sekolah pengajian. Melalui sistem desentralisasi pentadbiran kolej pengajian, universiti ini telah berjaya berkembang dengan baik sekali.
Setiap kolej mempunyai sistem pentadbiran autonomi mereka sendiri di dalam menguruskan pentadbiran dan kewangan. Kolej Merton, Kolej St Mary dan Kolej Magdelan merupakan antara kolej yang paling tua di universiti ini. Manakala Kolej St John dikatakan kolej yang paling banyak simpanan dana.
Hampir satu pertiga bangunan yang terdapat di bandar Oxford dikatakan milik kolej ini. Hasil sewaan dan pajakan hartanah ini menjadi punca utama pendanaan bagi Kolej St John untuk menjalankan penyelidikan dan tawaran biasiswa kepada pelajar yang cemerlang.  
Pada yang pernah menonton filem Harry Potter, anda akan sempat melihat adegan di dewan utama Kolej Christ Church, dikatakan merupakan dewan besar yang paling cantik di Universiti Oxford.

Kelima, jika kita berjalan kaki dari kolej ke kolej pengajian di universiti ini, kita akan melihat bagaimana tradisi dipelihara dan dijaga dengan begitu baik sekali. Misalnya hampir semua bangunan kolej pengajian yang berusia ratusan tahun dikekalkan seperti awal pembinaan.

Cuma bahagian dalam bangunan mengalami pemodenan. Kita tidak akan melihat papan tanda bersaiz  besar sehingga melindungi dinding- dinding bangunan kolej pengajian. Cukup sekadar sekeping plak tembaga di sebelah pintu masuk utama kolej sebagai tanda kepada pelawat yang mungkin datang untuk pertama kali.
Bagaimanapun perubahan dilakukan dengan begitu hebat di bahagian dalam bangunan. Hampir semua bangunan dilengkapi dengan sistem keselamatan yang paling terkini. Begitu juga dengan sistem ICT dan juga kemudahan yang disediakan oleh para pensyarah dan pelajar. Mungkin pesanan Presiden UMNO supaya tradisi dijunjung, perubahan dizahirkan menepati sekali dengan apa yang dilakukan oleh pentadbir universiti Oxford!
Seperkara lagi banyak tradisi serta penekanan kepada etika menjadi keutamaan kepada universiti ini. Misalnya jamuan tahunan setiap kolej dihadiri oleh kerabat Diraja Britain dan Duta negara asing. Begitu juga dengan beberapa acara tahunan seperti pertandingan kriket inter kolej serta pertandingan mendayung kayak. Banyak lagi tradisi seumpamanya dikekalkan sejak ratusan tahun dahulu walaupun bertukar kepimpinan tertinggi universiti.
Tidak sah kalau lawatan ke Universiti Oxford ini jika tidak menjejakkan kaki ke kedai buku utama penerbit Blackwell. Sesiapa yang pernah ke kedai buku ini pasti kagum dengan jumlah buku yang dijual. Ratusan ribu buah buku dalam pelbagai bidang ada di sini. Seharian berada di kedai buku ini sememangnya tidak cukup khususnya kepada peminat buku akademik.

Selain ini universiti ini juga mempunyai sistem arkib buku yang dikatakan terbesar di UK. Terdapat gedung stor buku bawah tanah yang dibina di bawah bumi Oxford. Semua penerbit buku terkemuka dunia akan menghantar senaskhah buku untuk disimpan di gedung ini. Pihak arkib terpaksa membina sistem landasan kereta api tersendiri untuk kakitangannya berulang alik  mendapatkan buku yang dipesan oleh pelanggan arkib. Jika anda berhajat untuk meminjam buku di gedung buku ini, anda perlu menunggu di kaunter sekurang-kurang enam jam untuk menerima buku yang dipesan!
Pemerhatian yang terakhir ialah berkaitan aktiviti pelajar. Di luar dewan kuliah para pelajar universiti ini giat menganjurkan pelbagai aktiviti ilmiah seperti debat dan juga seminar. Mereka juga giat menganjurkan teater dan drama di hujung minggu. Selain itu kegiatan amal turut mendapat sambutan di kalangan para pelajarnya.
Sepanjang setahun yang lalu, persatuan pelajar Universiti Oxford telah menganjurkan beberapa siri ceramah oleh ahli politik UK dari pelbagai parti politik, para duta daripada negara-negara luar, bekas perdana menteri dan juga presiden pelbagai negara serta tokoh- tokoh dunia korporat  yang berjaya. Semuanya diuruskan sendiri oleh para pelajar dengan sokongan oleh pihak universiti.

Bagaimana dengan persatuan pelajar di negara kita? Apakah bentuk aktiviti yang dianjurkan? Apakah aktiviti yang dilakukan menyokong pembudayaan intelektual mahasiswa?

Universiti Oxford telah melahirkan begitu ramai tokoh yang mempengaruhi perjalanan sejarah dunia sejak dahulu. Nama-nama seperti Bill Clinton, Indra Ghandi, Stephen Hawking, Rupert Murdoch dan banyak presiden di kalangan negara Eropah, Asia dan juga benua Afrika. Universiti ini juga telah menghasilkan empat puluh tujuh penerima anugerah novel, dua puluh lima perdana menteri England, lebih tiga puluh perdana menteri atau presiden dari berbagai-bagai negara, puluhan sasterawan dunia yang terkenal seperti John Fowles, Evelyn Waugh, Lewis Caroll dan Plum Sykes. Puluhan saintis, pakar ekonomi, usahawan dan jurutera terhebat bertaraf dunia juga berjaya dihasilkan oleh universiti ini.
Usia universiti kita mungkin jauh lebih muda daripada Universiti Oxford. Tidak rugi jika laluan dan pengalaman mereka kita rintis dan analisa kembali. Jika Universiti Oxford berjaya mengekalkan keunggulan mereka hampir 900 tahun, maknanya tradisi yang ada pada institusi itu sememangnya sudah teguh dan terbukti. Tentunya kita juga ingin membina tradisi keilmuan di IPTA negara ini, maka apa salahnya jika sekali sekala menoleh ke barat untuk mempelajari rahsia kejayaan mereka.