Sejak dimulakan pada 2003 dan memegang kuasa selama 7 tahun, akhirnya Aspirasi kehilangan kuasa pada tahun ini. Bahang kekalahan ini seperti tiada kesudahannya. Aspirasi seperti hilang semangat untuk terus berjuang. Sepatutnya bila kalah, berundur sekejap dari petempuran dan kembali bersatu untuk petempuran yang seterusnya. Panglima Perang Amerika, Jeneral Patton pernah berkata " kalah dalam satu petempuran bukan bermakna kalah dalam satu peperangan". Aspirasi baru kalah satu pertempuran sudah tersepuk di tanah. 'Peperangan kepimpinan' masih belum tamat dalam politik kampus. Penyokong Aspirasi juga masih ramai dan mengharapkan pimpinan Aspirasi kembali bangun menegakkan aspirasi universiti. Malangnya Aspirasi seperti terkejut dengan kekalahan sebelum ini dan terus bungkam meratap kuasa yang hilang di Pusanika.
Oleh itu jika sudah tidak bersedia berjuang, elok dibubarkan sahaja Aspirasi UKM. Jangan dibiarkan para pelajar yang menyokong mereka mengharap lagi pada Aspirasi. Di dalam UKM ini ada empat kumpulan pengikut utama politik kampus. Tiga kumpulan yang utama ialah pengikut GMUKM, ASPIRASI dan TSB. Jumlah mereka ini jika dikumpulkansenunya masih tidak boleh mengatasi jumlah kumpulan yang keempat iaitu pengundi atas pagar Melayu dan pengundi kumpulan pelajar Cina dan India.
Statistik piliharaya tahun lepas menunjukan jumlah pengundi atas pagar Melayu, pengundi Cina dan India mewakili hampir 60% pengundi pilihanraya kampus UKM. Maka kalau Aspirasi ingin kembali mencipta kemenangan, usaha bukan sahaja setakat menguatkan semangat penyokong mereka sahaja tetapi sepatutnya sudah mula mendekati pengundi pengundi atas pagar Melayu, Cina dan India.
Sejak semester di buka bulan september lalu, apa yang telah MPP Aspirasi lakukan untuk menarik hati pengundi atas pagar? Saya belum nampak satu usaha yang bersungguh sungguh mendekati hati pengundi atas pagar. GMUKM pun tidaklah berbeza sangat. Penelitian yang dibuat menunjukan hampir semua program PMUKM dianjurkan atas kapasiti ISIUKM. Yang menghadiri program PMUKM pun adalah orang yang sama setiap kali program dianjurkan. Suara Kampus atau Ummah Talk walaupun berlainan tetapi yang hadir masih kelibat orang yang sama. Bilangannya juga hampir tetap, sekitar 250 ke 300 orang sahaja. Mereka juga masih tidak berupaya menarik perhatian pengundi atas pagar di UKM. malah mereka sekarang menghadapi masalah dengan sebahagian besar pengundi Cina dan India. Bayangkan dalam satu acara ilmu Suara Kampus IV pada 24 Okt. 2011 yang lalu, forum bertajuk Bajet 2012: Dimanakah Mahasiswa, langsung tidak kelihatan pelajar Cina dan India di dewan kuliah 3B 301 FSSK.
Kalau masih tidak percaya, cuba pembaca teliti dan perhatikan dengan menghadiri beberapa program anjuran PMUKM untuk masyarakat kampus dalam sebulan dua ini. Jumlahnya pasti tidak melebihi 300 orang. Jadi kalau setakat 300 orang berbanding hampir 20 ribu pelajar kampus yang diwakili PMUKM, pengaruh GMUKM ternyata tidaklah besar. Majoriti pengundi adalah di atas pagar. Sebab itu dalam strategi berpolitik, mendaftar keahlian adalah salah satu tindakan paling utama dan sangat penting. Kenapa? Kerana dalam berpolitik secara pilihanraya, mengaum tidak menunjukkan kita hebat, mengiau tidak menunjukan kita lemah. Setiap orang ada satu undi. Sekuat manapun mengaum, hak mengundi tetap satu. Maksudnya seni berpolitik perlulah berpaksi kepada menyakinkan pengundi dan menarik mereka memberikan sokongan.
Perencanaan Aspirasi agak perlahan di sesi ini. Mungkin secara psikologinya mereka telah berjaya dilemahkan oleh GMUKM. Pimpinan Aspirasi menjadi ragu ragu dengan kebolehan mereka dan ragu ragu dengan kekuautan sokongan terhadap mereka. Mereka berjaya dilabelkan sebagi anti Islam oleh GMUKM, satu label yang ditakuti oleh setiap orang yang beragama Islam. Label ini membawa maksud pemimpin aspirasi jahil agama, lemah iman dan pembawa kemungkaran. Lantas secara psikologinya pemimpin Aspirasi menjadi takut dan akan lari 'bersembunyi' bila berhadapan dengan pimpinan GMUKM.
Sebenarnya, pemimpin aspirasi bukanlah anti Islam, mereka adalah lawan kepada politik GMUKM. BuktinyaAspirasi juga telah banyak menganjurkan program mensyiarkan Islam semasa berkuasa dahulu. Tetapi perang saraf politik GMUKM bertemakan 'anti Islam' pada kumpulan Aspirasi telah berjaya melemahkan pimpinan Aspirasi sepenuhnya. Lantas sikap berdiam diri dirasakan jalan yang terbaik buat masa ini pada Aspirasi. Mereka mungkin merancang akan mula bergerak bila hampir dengan pilihanraya kampus nanti. Sebab itu ada pelajar menyebut Aspirasi adalah persatuan bermusim, bila ada musim pilihanraya maka akan adalah aspirasi. Nampaknya kalau itu hasrat mereka, mereka sengaja menempah kegagalan buat kali yang kedua berturut turut. Jadi lebih baik sebelum kalah lagi, mansuhkan sahaja Aspirasi. Ibarat orang main tenis, kalau dah rasa nak kalah, lebih baik tarik diri kerana kecederaan.
Jika aspirasi dimansuhkan siapa pula akan menjadi pesaing kuat kepada GMUKM ? Saya rasa Tindakan Siswa Bersatu ada kekuatan tersebut. Walaupun sejak kewujudan Aspirasi pada 2003 seolahnya TSB memberi laluan kepada kejayaan Aspirasi, tahun ini sudah sampai masanya TSB kembali secara terang terangan dalam arena politik kampus UKM. Dengan sejarah kepemimpinan yang paling lama (kumpulan TSB sahaja masih kekal sejak tahun 1980an di UKM), saya percaya mereka mempunyai ramai pemimpin muda yang boleh diketengahkan pada piliharaya kampus nanti. Mereka juga masih mempunyai jentera yang berpengalaman dalam pilihanraya kampus. Cumanya mereka tidak lagi boleh bergerak secara berselindung di dalam berpolitik. Mereka harus keluar bersemuka dengan GMUKM-ISIUKM tahun ini.
Mereka harus mempertingkatkan kefahaman pelajar tentang kedudukan bumiputera, kedudukan Islam dan memperjuangan kemajuan bangsa Melayu sebagainya yang tertakluk di dlaam perlembangaan. Mereka juga harus kembali mengujudkan hubungan 'menang menang' dengan pelajar Cina dan India. Mereka harus mula mempelopori agenda politik matang dan politik mesra pelajar. Mereka harus bersedia menentang amalan menggunakan agama sebagai alat politik di UKM. Saya yakin pengundi yang di atas pagar dan pelajar bukan melayu akan cenderung memberikan undi mereka pada TSB pada tahun ini. Tetapi apapun TSB harus kembali dengan satu pakej serba baru untuk membina pengaruhnya di mata pelajar UKM.
GMUKM, ASPIRASI mahupun TSB adalah kumpulan kumpulan pelajar UKM yang mencari cari ruang untuk menjadi pemimpin. Melalui politik kampus mereka berpeluang berlatih menjadi pelapis pemimpin. Tetapi asas kepada politik kampus harus matang dan bertanggungjawab. Saya tidak bermaksud atau berniat mencampuri politik pelajar di UKM. Politik pelajar adalah hak pelajar. Saya sekadar memberikan pandangan. Pandangan yang baik ambil, kalau tak bersetuju sila tolak pandangan tersebut. Analoginya, dalam sebuah perkahwinan, apabila sang suami dan sang isteri selalu bertelingkah, menjadi tanggungjawab si ayah dan si ibu memberikan pandangan dan nasihat kepada mereka. Tetapi sangat salah tingkah sang bapa dan ibu jika pandangan mereka bertujuan menyebelahi atau memenangkan salah satu pihak sahaja. Tujuan nasihat harus ke arah menyealmatkan perkahwinan anak anaknya.
Begitu juga halnya di dalam politik kampus UKM ini. Bila pelajar (GMUKM dan Aspirasi) bertelingkah dan tak selesai selesai sejak sekian lama, sebagai pengetua, pendidik dan orang yang hampir dengan kehidupan pelajar dalam kampus, saya bertanggungjawab memberikan pandangan dan nasihat. Tidak pula berniat untuk saya menyebelahi mana-mana kumpulan pelajar.Nasihat saya bertujuan menyelamatkan idealisme perjuangan mahasiswa yang sebenar dan jangan sampai politik kampus sewenang-wenangnya menggunakan Islam sebagai alat politik oleh mana mana kumpulan pelajar semata-mata kerana ingin kuasa yang hanya setahun di UKM ini. Akibatnya amat buruk sekali pada pembangunan insan, membina budaya bebalisme di kalangan mahassiawa dan masa depan mahasiswa UKM. Selain membentuk permusuhan sesama Islam, ada yang menggunakan ayat Al Quran untuk berpolitik sempit dan para pelajar ditanamkan budaya takut berfikir dan menkritik, bimbang dilabelkan anti Islam.