Di dalam perbualan saya dengan para pelajar (lama dan baru) selain isu kebajikan hidup di kampus UKM ( penginapan, pengangkutan, makanan dan wifi), isu aktiviti pelajar pasti mengambil tempat. Dalam banyak banyak isu berkaitan aktiviti pelajar, isu kontrak pembelajaran sering disebut-sebut. Nampaknya masih ramai pelajar belum benar benar memahami tranformasi aktiviti pelajar yang sedang diusahakan oleh UKM melalui PAP.
Antara soalan yang sering diajukan ialah, 'Boleh saya buat semua kontrak pembelajaran pada semester 1 dan semester dua supaya saya tidak perlu lagi ambil di semester 3 dan seterusnya? Ada pula yang bertanya " kalau saya dah habis kontrak pembelajaran, bolehkah saya boleh terus menyertai aktiviti? Ada juga soalan seperti, Bolehkah kalau separuh jalan saya tak minat dengan sesuatu aktiviti, saya nak tarik diri? Saya rasa ada baiknya semua soalan ini diajukan pada rakan-rakan di PAP yang sedang memberikan taklimat di kolej-kolej dan fakulti UKM.
Saya lebih tertarik untuk berbincang tentang apa bezanya Kontrak Pembelajaran, Hasil Pembelajaran (Learning Outcomes) dan Output Pembelajaran (Learning Output).
Saya masih ingat ketika di Institute of Education, University of London dulu, semua pelajar wajib menghadiri kuliah khusus berkaitan memahami 'learning outcomes' ini. Mengapa? Jika seseorang pelajar tak faham atau sedar apakah yang ingin dicapai di dalam hasil pembelajaran di awal pengajian, maka proses pembelajaran dari minggu ke minggu akan kabur dan tidak tentu arah. Analoginya, kalau kita diberikan sebuah kereta dan diminta memandu, tanpa dimaklumkan ke mana arah dan tujuannya akan memandulah kita tak berhenti henti,tak tahu ke mana nak dituju.Hal yang sama juga berlaku di dalam hasil pembelajaran. Sebaliknya, jika kita tahu apakah hasil pembelajaran yang perlu dicapai, maka proses pembelajaran kita lebih terarah, jelas dan berkesan.
Apakah itu Kontrak Pembelajaran, Hasil Pembelajaran dan Output Pembelajaran?
1. Kontrak Pembelajaran ialah satu dokumen pembelajaran. Tidak lebih dan tidak kurang. Di dalam dokumen ini disenaraikan perkara perkara berikut. Penerangan berkaiatan aktiviti, penetapan hasil pembelajaran dan juga perakui pematuhan oleh pelajar dan perakuan penyelia. Dokumen hasil pembelajaran adalah bahan bukti berkaitan pengiktirafan kredit pembelajaran. Seseorang yang lengkap semua kontrak pembelajaran bermakna beliau layak mendapat kredit akademik. Misalnya PAP tawarkan 8 kredit, di PPU 12 kredit. CESMED 2 kredit. Oleh itu pelajar harus faham untuk mendapat kredit, mereka mestilah melengkapkan Kontrak Pembelajaran.
2. Hasil Pembelajaran ialah pencapaian kemahiran seseorang pelajar selepas menamatkan sesuatu aktiviti. Seseorang pelajar mungkin telah lengkapkan kontark pembelajaran, tetapi belum tentu beliau telah mencapai semua hasil pembelajaran yang ditetapkan pada peringkat awal. Katakanlah seorang pelajar memilih satu aktiviti khidmat masyarakat. Beliau akan mengisi secara individu kontrak pembelajaran dan setelah berbincang dengan penyelia, maka kontrak beliau diperakukan dan diserahkan pada PAP. Langkah seterusnya beliau mula menjalankan aktiviti. Bermula dengan mesyuarat, berbincang dengan masyarakat setempat, melaksanakan khidmat masyarakat hinggalah menyiapkan laporan akhir. Soalnya adakah setelah semuanya selesai, beliau mencapai hasil pembelajarn yang disasarkan. Jika beliau ingin meningkatkan kemahiran kerja berpasukan, apakah selepas selesai beraktiviti, kemahiran kerja berpasukan beliau meningkat. Adakah beliau sedar berlakunya peningkatan kerja berpasukan tersebut berlaku pada dirinya? Apakah penyelia beliau juga sedar peningkatan kemahiran kerja berpasukan meningkat pada diri pelajarnya? Maka itu sangat penting penyelia dimaklumkan oleh pelajar tersebut tentang semua aktiviti (bersama pembuktian e.g dokumen/minit/foto) berkaitan kerja berpasukan yang telah dilaluinya semasa beraktiviti.
3. Output Pembelajaran merujuk kepada aktiviti itu sendiri. Misalnya jika khidmat masyarakat dianjurkan, projek itu adalah outputnya. Biasanya pelajar lebih mementingkan kepada output ini berbanding hasil pembelajaran. Maka itu bila sesuatu projek dianjurkan, bersungguh-sungguhlah pelajar memastikan projek itu berjaya disiapkan tetapi pada masa yang sama tidak 'aware' apakah kemahiran yang sedang dilalui. Seorang pelajar yang sedang memberikan arahan kepada ajk, biasanya tidak sedar beliau sedang meningkatkan kemahiran kepimpinan, seorang pelajar lain yang sedang berbincang dengan penaja, biasanya tidak sedar beliau sedang meningkatkan kemahiran komunikasi. Jika mereka sedar mereka sedang melakukan kemahiran kepimpinan atau komunikasi, maka sebarang kelemahan diri (biasanya ditandai dengan rasa tidak selesa, resah, tak pasti) akan segera ditambahbaik.Jika ini sudah menjadi amalan, kita akan dapati satu budaya baru akan berlaku bila ramai pelajar mencari jalan bagaimana untuk meningkatkan kemahiran mereka (pasti akan ada bengkel, seminar, perbincangan dengan tenaga akademik, kelas bahasa melayu, kelas bahasa Inggeris, kelas komunikasi berkesan dsbnya di UKM). Sehingga semua itu berlaku, kita akan terus menerus melihat pelajar UKM sentiasa sibuk dengan berbagai aktiviti, bukan untuk meningkatkan hasil pembelajaran tetapi untuk memastikan output aktiviti diselesaikan.
UKM telah berusaha dengan menetapkan 8 hasil pembelajaran yang mesti dicapai oleh pelajar ke tahap yang paling baik. Pelajar disediakan rubrik sebagai panduan (skala pencapaian lemah 1-3, sederhana baik4-7, baik dan cemerlang 8-10). Berusaha meningkatkan tahap hasil pembelajaran harus menjadi teras kepada "mengapa saya beraktiviti'. Bila setiap pelajar berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan hasil pembelajaran daripada tahap lemah kepada memuaskan, secara sendirinya output atau aktiviti akan menjadi lebih baik. Kontrak Pembelajaran? Itu adalah dokumen yang harus sedaya upaya dipatuhi oleh pelajar...tidak lebih dan tidak kurang. Menarik bukan?