Di zaman pelajar, penulis sempat mendekati, memahami dan diberikan peluang oleh Allah s.wt untuk membantu saudara baru. Satu pengalaman yang banyak memberikan kesan baik dalam kehidupan peribadi. Pada orang Melayu, Islam datang tanpa dicari, walaupun belum tentu hidayahnya diperolehi. Setiap yang mengaku Melayu adalah beragama Islam di negara ini. Lahir dari kandungan ibu terus disambut dengan azan oleh bapa atau waris terdekat.
Kanak kanak Melayu membesar tanpa perlu berfikir tentang bagaimana mencari Islam. Mereka diajarkan Al Quran, ibadat solat dan puasa. Tanyalah diri sendiri sebagai orang Melayu, seingatnya bila kita buat kali pertama mengucapkan dua kalimat syahadah dalam hidup secara sedar dan khusyuk, menyatakan penyaksian kita sebagai seorang hamba kepada Pencipta dan Rasulnya. Apakah anda ingat tarikh keramat ini dalam hidup anda? Bila haribulan anda kali perama mengucap dua kalimah syahadah. Bolehkah anda ingat waktu waktunya sebagaimana anda ingat detik detik indah menerima akad nikah dari Kadi ketika mendirikan rumah tangga. Atau tarikh hari lahir ? Pasti ramai yang tidak ada ingatan tersebut. Itu tandanya orang Melayu bertuah kerana lahirnya sudah sebagai Islam. Pada saat insan bangsa lain di negara ini mencari cari keEsaan Tuhan Pencipta alam. Mereka ini ada yang menerima hidayah menjadi saudara baru tetapi masih ada yang terus mencari cari nur keimanan.
Jelas sekali orang Melayu belum teruji keimanannya jika dibandingkan dengan saudara saudara baru. Sebab itulah saudara baru (mereka yang memeluk Islam bermula dengan diri sendiri bukan diwarisi dari keluarga) adalah sebaik baik insan. Mereka mencari agama yang benar, berjumpa dan memeluk Islam. Mereka diduga dengan cabaran yang bukan sedikit, dari keluarga, rakan taulan dan saudara mara. Sedih bila mereka dianggap pengkhianat bangsa asal kerana memeluk Islam. Adakalanya ujian yang mereka terima mengegar keimanan yang baru hendak bermula. Merekalah hamba Allah yang benar benar pejuang agama walaupun tidak didendang. Berani meninggalkan yang batil untuk mencari yang hak (kebenaran) tanpa rasa takut dan bimbang.
Apakah ada iman yang kuat sebegitu pada seluruh umat Melayu Islam. Sesungguhnya benarlah bahawa ketakwaan diukur bersandarkan ujian Allah pada perbuatan diri sendiri dan bukannya pada hasil usaha kumpulan atau jamaah. Jika mulia diri, maka akan mulialah jamaah, jika rosak diri maka musnahlah jamaah.
Hari ini saudara baru semakin bangun membela Islam. Perkim di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menjadi semakin maju dan berjaya. Hasil pemikiran dan keupayaan Tun dan pasukannya di dalam Perkim, kini di seluruh pelusuk negara sudah ada cawangan Perkim buat menjaga kebajikan saudara-saudara baru. Tokoh seperti inilah pejuang Islam yang sebenar yang diperlukan oleh umat Islam sejagat.
Pagi ini, sempat ke DECTAR menyertai Seminar Perpaduan & Ekonomi Ummah anjuran DPMM dan Perkim Malaysia. Berdoa semoga program sebaik ini akan dapat dijayakan oleh kepimpinan pelajar UKM suatu hari nanti bila mereka sudah bersedia. Bukannya bercakaran untuk hal hal yang remeh temeh.Insyaalah..