2.Umumnya, apabila universiti ditubuhkan, kemudahan kolej kediaman kan disediakan untuk penginapan pelajar. Sejak tahun 1960an sehingga kini kewujudan kolej kediaman sangat sinonim dengan fungsi tradisinya iaitu menyediakan penginapan untuk para pelajar institusi pengajian tinggi.
3.Secara puratanya dalam sehari seseorang pelajar akan menghabiskan masa hampir dua pertiga waktunya di kolej kediaman manakan bakinya di fakulti pengajian untuk menghadiri kuliah, tugasan di makmal atau tutorial. Maka itu, untuk mengisi masa yang terluang di kolej kediaman kebanyakan kolej kediaman mempunyai jawatankuasa pelajar yang diberikan dengan berbagai nama seperti Jawatankuasa kebajikan, majlis perwakilan pelajar atau jawatankuasa penghuni kolej. Badan ini diwujudkan sebagai wadah mewakili pelajar di dalam berhubungan dengan pihak pengurusan kolej dan juga menjaga kebajikan para penghuni kolej berkenaan. Kolej pula biasanya akan ditadbir oleh seorang pengetua, penggawa atau pengarah dan dibantu oleh sepasukan kakitangan pentadbiran. Di beberapa buah universiti diwujudkan jawatan felo penghuni untuk meningkatkan lagi keberkesanan menguruskan para penghuni di kolej-kolej kediaman.
4.Fungsi kolej kediaman sebagai kemudahan penginapan sememangnya penting dan telah dilaksanakan dengan baik oleh ke semua kolej kediaman. Bezanya ada kolej kediaman yang memiliki kemudahan yang lebih baik manakala ada pula kolej kediaman yang hanya menyediakan kemudahan asas penginapan sahaja. Sebagai contoh, di UKM kolej kediaman bukan sahaja menyediakan kemudahan penginapan tetapi juga menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti kemudahan ‘wifi’ sepenuhnya, kedai runcit, perkhidmatan dobi, kafeteria, bilik rawatan, pusat siber, kemudahan sukan, bilik sumber, bilik aktiviti pelajar, bilik mesyuarat, bilik muzik dan gimnasium untuk kegunaan pelajar. Malah di beberapa buah kolej turut disediakan gelanggang skuasy, bola tampar, gelanggang futsal dan bola keranjang untuk kemudahan beriadah para penghuni kolej.
5.Manakala di beberapa buah kolej khususnya di kalangan universiti baru, kemudahan kolej masih agak terhad kepada kemudahan asas sahaja. Masih ada kolej yang menggunakan ruang rumah di taman-taman perumahan yang disewa oleh pihak universiti untuk dijadikan kolej kediaman pelajar.
6.Sememangnya pihak universiti sudah melihat kepentingan kolej kediaman sebagai satu landasan pembelajaran di luar dewan kuliah. Tinggal lagi masih belum memulakan tindakan meningkatkan fungsi kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran. Bagaimanapun UKM telah menghasilkan perancangan jangka panjang bagi tujuan ini dengan menghasilkan dokumen Dasar Pembelajaran Menyeluruh UKM dengan mengambil kira kolej kediaman sebagai salah satu entiti utama di mana proses pembelajaran berlaku di dalam kampus. Entiti lain ialah fakulti pengajian, perpustakaan dan pembelajaran maya. Selaras dengan itu juga aktiviti- aktiviti pelajar di kolej kediaman telah diberikan pengiktirafan dan dijadikan sebagai aktiviti ko-kurikulum yang berkredit.
7.Pelajar di kolej melalui jawatan kuasa perwakilan pelajar digalakkan menjalankan pelbagai aktiviti sama ada yang berkaitan akademik dan bukan akademik. Aktiviti seperti khidmat masyarakat, pertandingan pendebatan, aktiviti kebajikan, program kerohanian, acara sukan dan kesenian sentiasa dianjurkan oleh para pelajar apabila mereka mempunyai waktu senggang ketika berada di kolej kediaman.
8.Sesuai dengan itu peranan kolej kediaman perlu diteliti semula dan dikembangkan serta diberikan perhatian demi menggalakkan pembangunan kemahiran insaniah pelajar IPT. Pihak universiti seharusnya mula melihat kepentingan kolej kediaman bukan sekadar sebagai sebuah institusi penginapan semata-mata tetapi mula merangka bagaimana kolej kediaman boleh berperanan sebagai sebuah institusi pendidikan khasnya membangunkan kemahiran insaniah para pelajar IPTA.
9.Situasi sekarang menunjukkan kebanyakan aktiviti pelajar di kolej kediaman IPT dilakukan sebagai acara untuk memenuhi masa senggang para pelajar khusus di waktu malam. Malah di dalam kebanyakan masanya semua aktiviti ini di fikir, dilaksanakan serta disediakan sepenuhnya oleh para pelajar tanpa bantuan kewangan serta bimbingan sepenuh masa oleh pihak pegawai universiti. Sudah tibanya masa untuk para pentadbir universiti memberikan perhatian untuk mula membina dokumen-dokumen penting yang dapat menjayakan kolej kediaman sebagai pusat perkembangan pelajar. Sebagai contoh aktiviti pelajar seharusnya mula dipetakan ke arah menghasilkan hasil pembelajaran berkaitan kemahiran insaniah. Para pelajar yang menjalankan aktiviti harus diberikan latihan serta pendedahan bagaimana mereka boleh meningkatkan kemahiran insaniah melalui aktiviti di kolej kediaman. Seorang pelajar yang diberikan tanggungjawab sebagai pemimpin projek oleh rakan-rakan tentunya memerlukan latihan menjalankan mesyuarat dengan betul, berlatih berfikir sebagai seorang pemimpin pelajar serta kemahiran berkomunikasi yang baik. Jika seseorang pelajar diberikan tanggungjawab mencari dana untuk menjayakan program maka beliau sangat memerlukan latihan menyediakan proposal, membentangkan serta meyakinkan para penaja untuk memberikan sumbangan kepada programnya. Semua ini memerlukan latihan, modul serta tenaga pakar yang berpengalaman di kalangan para ahli akademik, pegawai universiti ataupun dari luar universiti.
10.Alangkah baik jika seseorang pelajar apabila masuk ke universiti beliau disediakan eko- sistem pembelajaran yang menyeluruh. Di fakulti belajar dengan menghadiri kuliah, tutorial atau di makmal, di kolej kediaman beliau melaksanakan aktiviti meningkatkan kemahiran insaniah manakala di padang permainan beliau meningkatkan kesihatan fizikal. Di alam maya pula pelajar berpeluang melakukan pengayaan pembelajaran melalui pencarian maklumat yang pelbagai.
11.UKM nampaknya terkehadapan di dalam merencanakan pembangunan pelajar di kolej kediaman kerana telah menjadikan program dan aktiviti pelajar di kolej kediaman sebagai aktiviti ko-kurikulum berkredit. Sejajar dengan itu, kolej sebenarnya telah diiktiraf sebagai satu institusi akademik. Malah penubuhan bahagian Akademik Kolej di UKM sejak tiga tahun lalu telah berjaya menjadikan kolej kediaman sebagai sebuah entiti akademik. Imej kolej kediaman sebagai sekadar tempat menginap telah berubah di UKM dengan penubuhan bahagian akademik kolej ini. Bahagian akademik kolej di UKM juga telah berjaya menganjurkan Syarahan Umum Akademik Kolej dengan kerjasama semua kolej kediaman. Selain itu bahagian ini juga telah berjaya menganjurkan program Mobiliti Pelajar keluar negara. Hasilnya seramai 58 orang pelajar kolej kediaman UKM telah berjaya menjalankan program mobiliti (outbound) ke Universiti Oxford, Universiti Nottingham, Australian National University, dan Universiti Christchurch New Zealand.
12.Para penghuni kolej kediaman IPTA juga boleh terus menerokai pengalaman baru jika kolej kediaman diberikan peranan yang lebih besar seperti menganjurkan program peringkat antara bangsa. Misalnya terdapat kolej kediaman di Universiti Malaya yang saban tahun menganjurkan persidangan Aids bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar bagaimana untuk menguruskan gaya hidup sihat.
13.Pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak pengurusan tertinggi IPTA seharusnya mula meneliti dan mendalami strategi untuk memaksimumkan fungsi kolej kediaman agar setiap saat seseorang pelajar berasa di kampus dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Malah penelitian kepada perancangan ini menjadi semakin penting agar pihak kolej juga dapat memberikan sumbangan kepada meningkatkan kebolehpasaran serta jati diri kemahasiswaan yang di dihasilkan oleh institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta.