Semalam (9 Oktober 2011) telah diadakan satu mesyuarat istimewa di Kolej Antarabangsa Ibu Zain (IZISH). Mesyuarat ini bertujuan untuk anjurkan program menyertai Himpun Sejuta Umat yang dianjurkan oleh NGO pergerakan Islam dan juga NGO politik Melayu dari parti kerajaan dan parti-parti politik yang lain.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh wakil IZISH selaku pelopor program, wakil Aspirasi UKM, wakil ISIUKM dan wakil PMUKM. Inilah kali pertama seingat saya, semua badan persatuan pelajar UKM bersatu di dalam satu bilik untuk satu tujuan yang dikongsi bersama. Mereka menolak politik sempit pelajar dan meletakkan Islam sebagai yang paling utama. Hebat sekali.
Walaupun mereka berbeza pandangan dan sering dilabelkan sebagai suka berpolitik, tetapi mereka masih ada jiwa Islam dan jiwa pejuang. Demi kesucian agama Islam, mereka bersetuju untuk bersatu sebagai suara semua pelajar UKM.
Tahniah pada exco Kerohanian dan Sivik IZISH (sdr Pak Lah) yang menjadi peneraju kepada usaha ini. Percayalah ini satu usaha yang sangat murni, membuka ruang baru kepada cara berpolitik yang lebih matang. Kita bersetuju untuk bersetuju, dan kita juga boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dalam perkara yang lain.
Pemimpin peringkat IZISH diharap akan terus menjadi orang tengah kepada usaha usaha yang lain seperti membina resolusi bersama dengan semua persatuan UKM membuat ketetapan senarai perkara asas yang mana semua persatuan pelajar UKM boleh bersetuju di dalam berpolitik (misalnya mesti bersama mempertahankan Islam, mesti bersama menjaga nama baik UKM, mesti berkerjasama untuk kebajikan pelajar UKM, tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan fitnah ketika berpolitik kampus) dan selain daripada senarai yang dipersetujui itu, para pemimpin pelajar boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. Tidaklah menjadi masalah untuk kita tidak bersetuju dalam hal hal yang berbeza.
Tetapi cabaran menjayakannya sangat besar kerana akan ada orang 'dalam' di dalam setiap persatuan akan menolak usaha ini kerana akan mengugat perencanaan politik sempit mereka. Tetapi apa salahnya kita mencuba. Semoga tahun 2011 menjadi batu tanda kepada tranformasi besar kepolitikan pelajar UKM ke arah yang berwawasan dan penuh kematangan.
Semoga bumi IZISH akan menjadi tempat bermulanya satu usaha membina kematangan berpolitik di kalangan mahasiswa. Kita mohon pada Allah s.w.t moga diberkati usaha ini, supaya pada masa depan bila politik kampus benar benar telah matang, IZISH boleh anjurkan forum politik kampus yang akan menjemput wakil Aspirasi dan ISIUKM sebagai panelnya, berbincang secara berhemah dan penuh adab. Masanya pasti akan tiba...Insyallah..