1. Malam ini biro kerohanian Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) IZISH anjurkan majlis berbuka puasa, solat jemaah maghrib dan isyak serta bacaan yassin. Gembira melihat dalam kesibukan berkuliah, ramai pelajar IZISH yang masih beribadat puasa sunat khamis. Menarik bila jemputan berbuka juga dipanjangkan kepada pelajar non-muslim termasuk pelajar antarabangsa dari Cina. Meriah persis di bulan ramadan.
2. Sambil menikmati nasi goreng juadah utama berbuka, sempat bertanya khabar dengan pelajar tahun satu, tentang bilik penginapan, tentang kewangan juga tentang perkuliahan. Sempat juga berbual tentang bulan mesra pelajar yang baru selesai seminggu yang lalu. Menarik bila seorang siswi berkata " bagus jugak ada kak dan abnag pc yang banyak bantu kami, kalau tidak susah juga kan pengetua? Saya mengangguk tanda setuju, sampai pandang matanya saya berkata, dah ucap terima kasih pada kak dan abang pc? Mungkin kerana serba salah, beliau segera menjawab, "ye la kan..nanti bila saya jumpa kak dan abang PC, saya nak ucap terima kasih bantu kami". Saya mengangguk lagi, tanda setuju dan gembira bila pelajar ini tahu nilai pengorbanan orang lain dan ingin beri ucapan terima kasih.
3. PC adalah satu tanggungjawab yang diberikan oleh UKM kepada pelajar senior. Semua orang layak memohon. Mereka perlu isi borang yang perlu diperolehi di JPPEL dan kembalikannya sebelum tarikh tutup. JPPEL kemudiannya akan menawarkan pemohon yang berjaya kr kursus PC yang diadakan semasa cuti. Ini pengorbanan yang pertama. Di kala semua orang lain di rumah bersama keluarga, bakal bakal PC wajib ke kem BTN untuk kursus.
4. Bila dah dilantik mereka akan mula diberikan taklimat oleh berbagai pihak, dari jabatan bendahari, JPP, Kaunseling, pengangkutan, kesihatan, PAP, unit perumahan, kebudayaan, sukan dan kolej kediaman. Setiap satu takimat harus difahami kerana mereka nanti bertanggungjawab menjelaskan pada pelajar baru pula. Ini juga satu pengorbanan di kala kawan kawan yang lain selesa di rumah bersama keluarga.
5. Dua hari sebelum pelajar baru tiba, maka bermulalah kerja para kakak dan abang PC di kolej atau di pusat. Semua dokumen arahan dikemaskini, begitu juga daftar pelajar baru serta menyelaraskan semua perkara di peringkat kolej dan pusat.
6. Bila pelajar baru tiba, PC adalah orang yang paling gembira. Mereka bekerja siang dan malam memastikan adik-adik dibantu sepenuhnya. Ada PC yang tidur jam 4 pagi dan bangun jam 6 pagi setiap hari sepanjang minggu pertama BMP. Menarik bila ada PC Tiong Hua dan India bangun seawal 6 pagi dan mengejutkan pelajar muslim untuk bersolat subuh. Murni sekali pengorbanan mereka. Bila malam, adik adik mula masuk tidur, mereka baru mula mesyuarat untuk program esoknya. Di kala adik-adik nyenyak tidur, abang abang PC mengawal dan meronda demi memastikan semua aman dan sejahtera.
7. Kerana kurang tidur, ramai PC yang deman dan selsema. Muka yang licin pun mula tumbuh jerawat kerana tak cukup tidur. Tapi demi tanggungjawab, mereka masih terus tersenyum menguruskan pelajar baru. Pada mereka bila semua pelajar baru gembira, itu kepuasan mereka. Selain pengetua dan felo yang melihat siang dan malam pengorbanan PC-PC, mungkin ada yang sangka menjadi PC bukanlah satu soal yang besar atau penting.
8. Sebab itu bila ada sekumpulan pimpinan pelajar di UKM tuduh macam macam tentang PC, hati semua PC terguris. Sedih bila ada pihak cuba adu domba pada pihak pengurusan universiti kononnya PC kaki sabotaj, PC dituduh paksa dan buli pelajar baru. Para PC tak minta apa apa balasan atas pengorbanan murni mereka membantu pelajar baru. Mereka tak dapat elaun atau saguhati, tak minta apa-apa pun. Malah mereka tak minta pun ucapan terima kasih dari sesiapa, termasuklah pelajar baru.
9. Tetapi sebagai insan yang sayang pada universiti dan tahu menilai pengorbanan PC, saya bangga bila ada pelajar baru yang nak beri ucapan sedemikian. Bagi seluruh warga IZISH dan mewakili para pelajar kolej lain di UKM saya ingin katakan.....Terima kasih abang dan kakak PC, jasa anda dikenang selamanya.