Awal bulan November 2011 nanti, PMUKM sesi ini akan mencecah hampir 300 hari berkuasa di Pusanika. Maknanya tidak lama selepas itu, piliharaya kampus akan sekali lagi diadakan. Pihak JPPEL sebagai urusetia akan kembali sibuk. Pelajar pula akan mula merasai bahang piliharaya bila setiap kumpulan sekarang sudah mula berkempen secara 'tidak sah'. Apa pun usaha kempen mereka, kita harus raikan asalkan tidak menggunakan cara-cara yang tidak beretika. Kempen dengan menyatakan 'kami sedang bekerja untuk anda' dan menunjukkan hasil kerja di blog dan facebook adalah baik. Setiap kumpulan berhak memaklumkan semua usaha mereka untuk menarik perhatian pengundi akan datang.
Sejarah Politik Kampus UKM
Di UKM, ada dua front utama politik pelajar. Pertama kumpulan yang menggunakan agama Islam sebagai wadah perjuangan dan keduanya yang menggunakan wadah pembangunan berasaskan persefahaman kontrak sosial. Sebenarnya tidak banyak bezanya antara mereka kerana semuanya dipelopori adalah pelajar Melayu dan Islam . Cara mereka berfikir juga tidak jauh berbeza kerana budaya Melayu, ajaran Islam serta sistem pendidikan yang membentuk mereka adalah sama. Tetapi sebagai meraikan idealisme kemahasiswaan, maka wujudlah perbezaan wadah perjuangan. Maka akan ada kalangan mereka yang berkata "kami Islam, kamu kurang Islam", begitu juga sebaliknya kumpulan yang satu lagi akan pula berkata "kami berjuang membawa kemajuan dan pembanguan, anda tidak, anda anti-establishsment". Kita perlu raikan perbezaan ini untuk tujuan meningkatkan motivasi berpolitik di kampus UKM. Kalau tidak diraikan, apa pula yang ingin mereka gagaskan untuk diperjuangkan.
Kumpulan yang menggunakan agama Islam pada peringkat awal dulu diterajui oleh Islam Penyelamat Ummah (IPU). IPU terkenal dengan cara berpolitik mereka yang agak agresif, suka mengambil sikap menentang pengurusan universiti dan kesannya IPU tidak digemari oleh pengundi atas pagar serta kumpulan pelajar Cina dan India. Mereka seringkali kalah dalam pilihanraya kampus sekitar tahun 1990an kerana cara mereka yang kurang disenangi oleh para pengundi. Walaupun kalah, ukhwah mereka sangat kuat dalam kelompok atau jamaah. Hal ini menyebabkan IPU memang tidak mempunyai masa depan yang cerah dalam politik kampus UKM yang mempunyai kepelbagaian latar pelajar.
Menyedari hakikat ini, akhirnya keputusan dibuat oleh pimpinan IPU supaya dijenamakan semula IPU agar lebih mesra kepada pengurusan universiti, mesra pengundi atas pagar serta mula berkerjasama dengan pelajar Cina dan India dengan syarat tidak meninggalkan dasar perjuangan yang sedia ada. IPU kemudian dtukar namanya kepada MAMPU. Pertelagahan terus berlaku antara kumpulan yang setia pada IPU dengan kumpulan MAMPU berkaitan penjenamaan semula ini. Beberapa pimpinan IPU menolak pendekatan berlembut yang cuba di bawa oleh MAMPU. Bagaimana pun atas kepentingan untuk menang dalam piliharaya kampus UKM, pimpinan IPU mengalah dan sedia membubarkan IPU untuk memberi laluan kepada perjuangan MAMPU.
Penjenamaan semula IPU kepada MAMPU memberi fokus kepada usaha kerjasama dengan pihak pelajar bukan Islam serta menarik pengundi atas pagar di UKM. Rancangan mereka berjaya bila akhirnya MAMPU berjaya menguasai PMUKM pada sesi 1992-93. Mereka berjaya mengambilalih PMUKM daripada kumpulan TSB. Maknanya strategi mendekati pengundi Melayu atas pagar, pengundi pelajar Cina dan India adalah sangat penting dalam politik kampus UKM. Mana- mana kumpulan yang cuba meminggirkan ketiga tiga kelompok ini akan menghadapi kesukaran untuk menang dalam piliharaya kampus UKM. Jika pengundi atas pagar menggunakan persepsi sebagai asas memilih sebelum mereka mengundi, pengundi bukan melayu pula melihat kepada apa akan mereka perolehi jika kumpulan yang mereka sokong menang. Adakah mereka akan ditawarkan sebarang jawatan exco dalam PMUKM atau jawatan majlis tertinggi dalam Pesta Konvo. Semakin baik jawatan dan peluang yang ditawarkan maka akan semakin tinggilah undi bukan melayu pada kumpulan berkenaan. Keadaannya masih kekal sehingga hari ini.
Bagaimanapun bila berlaku gerakan besar tsunami politik negara pasca 1998 hingga 2008, kesannya sampai ke kampus sehingga membawa kepada pembentukan Gabungan Mahasiawa UKM (GMUKM). MAMPU adalah salah satu komponen utama dalam pakatan GMUKM. Selain MAMPU terdapat juga beberapa kumpulan kecil yang bersetuju bernaung di bawah GMUKM. Oleh kerana kumpulan -kumpulan ini terlalu kecil dan kurang sambutan, GMUKM dikuasai sepenuhnya oleh pimpinan MAMPU. Bagi tujuan penyelarasan gerakan GMUKM, ISIUKM bertindak sebagai 'abang besar' dalam GMUKM. Maka itu PMUKM dan ISIUKM adalah 'satu' walaupun sebenarnya mereka adalah dua persatuan yang berbeza. Malah akhir- akhir ini PMUKM dilihat lebih cenderung untuk menjadi 'patuh' kepada ISIUKM walaupun sebenarnya PMUKM adalah sebuah badan induk pelajar UKM. Walaupun PMUKM bertanggungjawab pada lebih 170 kelab dan persatuan di UKM, hanya ISIUKM sahaja yang menonjol di dalam penganjuran program kerana mendapat sokongan serta perhatian sepenuhnya dari pimpinan PMUKM.
Apa peluang ISIUKM-GMUKM dalam piliharaya kampus 2012?
Berdasarkan statistik undi piliharaya yang lalu, pelajar UKM telah memberikan undi protes yang besar pada GMUKM. Selain itu sentimen mendapatkan undi simpati kerana memperjuangkan Islam turut menyumbang kepada kejayaan GMUKM. Sistem jaringan pemimpin GMUKM dengan para pengikutnya juga kukuh dan dilakukan secara konsisten.Sistem usrah misalnya walaupun bertujuan untuk meningkatkan perkongsian ilmu agama tetapi juga berperanan sebagi satu mekanisme yang ampuh untuk meningkatkan sokongan pada GMUKM. Bak kata orang dalam IPU dulu " Usrah ni macam kata peribahasa Melayu "sambil menyelam minum air". Maksudnya sambil beribadat, usrah untuk politik juga. Saya pernah juga bertanya mereka "Macam mana kalau menyelamnya cetek saja, tetapi air yang diminum banyak". Sampai sekarang belum ada jawapan!
Undi kemenangan GMUKM datang 'sepenuhnya' dari kubu kuat di Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Pendidikan. Manakala mendapat undi majoriti besar dari pelajar FST, tetapi gagal menguatkan pengaruh di beberapa buah fakulti lain seperti FEP, FSSK, FUU dan FTSM. Walaupun ada antaranya mereka menang tetapi dengan undi majoriti yang agak kecil.Walaupun mereka berjaya menguasai Pusanika, mereka kurang berjaya meluaskan pengaruh kepada sebahagian besar 170 persatuan pelajar yang ada di UKM dan ditolak oleh Jaksa Kolej Kediaman.
Mereka berjaya menubuhkan kerajaan pelajar sesi 2010-2011 pada Januari 2011. Nasib tidak menyebelahi mereka kerana cuti semester yang panjang, Beberapa agenda tidak dapat dilaksanakan. Oleh kerana mereka menggunakan pemikiran dan acuan lama untuk bekerja, perubahan takwim pengajian IPTA menyebabkan mereka tidak bersedia untuk mengubahsuai strategi mendekati pelajar UKM semasa cuti semester berjalan. Mereka rugi besar bila gagal mencuri peluang mengunakan masa cuti semester selama 5 bulan (April-Ogos). Maknanya 45% tempoh penggal yang diperuntukan untuk kerajaan PMUKM sesi ini dibuang begitu sahaja.
Kesannya, mereka menjadi agak agresif apabila sesi bermula pada bulan September 2011. Mereka menuntut supaya dilibatkan dalam BMP sempena pendaftaran pelajar baru. Mereka tahu BMP hanya berlaku untuk tempoh tiga hari sahaja tetapi menuntut supaya PMUKM diberikan masa dan ruang yang lebih. Seterusnya mereka juga mula bertindak agresif bila diberikan nasihat oleh pihak tertinggi pengurusan universiti. Masa nampaknya tidak meyebelahi PMUKM tahun ini.
Tindakan agresif ini sebenarnya akan menyebabkan persepsi di kalangan pengundi Melayu atas pagar, pengundi Cina dan India mula berubah pada PMUKM berbanding pilihanraya yang lalu. Mereka adalah undi penentu untuk pilihanraya kampus akan datang. Misalnya pelajar Cina mempertikaikan mengapa wakil Cina tidak diberikan peluang dalam Majlis Tertinggi Pesta Konvo. Hanya seorang pelajar Cina dan tiada langsung pelajar India dalam MT Pesta Konvo tahun ini. Pengundi Melayu atas pagar pula tidak setuju dengan cara PMUKM mengeruhkan hubungan dengan pihak pengurusan universiti. Mereka juga tidak gembira kerana penganjuran Pesta Konvo yang agak kurang menarik dan hambar pada tahun ini.
PMUKM tahun ini mempunyai beberapa isu yang belum selesai dan menyebabkan mungkin berlakunya pengurangan undi yang agak besar pada pilihanraya akan datang. Mereka masih berpeluang untuk meneruskan tampuk kekuasaaan di Pusanika.jika tiada lagi isu besar lain yang akan berlaku dalam masa yang terdekat sehingga berlangsung piliharaya kampus 2012. Jika mereka ingin menarik kembali sokongan pelajar, mereka perlu lakukan sesuatu yang terbaik dalam masa yang terdekat. Sebagai contoh penerbitan majalah Aspirasi edisi ke-34 baru baru ini memberi imej yang baik kepada PMUKM. Selain itu, keadaan itu juga bergantung kepada sejauh mana kuatnya kumpulan 'musuh politik' mereka bekerja untuk meraih sokongan pengundi atas pagar, pengundi Cina dan India.
Kumpulan kedua ialah kumpulan yang membawa wadah pembangunan berasaskan kontrak sosial sebagai wadah perjuangan. Mulanya diasaskan oleh Tindakan Siswa Bersatu (TSB). Selepas agak lama berkuasa di Pusanika, tiba-tiba dalam piliharaya kampus pada sesi 1992-93 TSB ditewaskan oleh MAMPU dan kemudiannya berjaya mempertahankan penguasaan Mampu dalam PMUKM untuk satu tempoh masa yang agak lama. Sehinggalah pada tahuan 2003 (10 tahun kemudian), muncul front kepimpinan pelajar yang baru dikenali sebagai Aspirasi UKM. Sebagai rekod, UKM merupakan universiti pertama di mana wujudnya front Aspirasi di negara ini.
Kepimpinan Aspirasi pada masa itu diisi oleh kumpulan pelajar yang menolak cara perjuangan Mampu dan juga mengambil sikap tidak menyebelahi TSB. Aspirasi pada peringkat awalnya merupakan kumpulan yang cuba memberikan alternatif ketiga kepada politik kampus selain Mampu dan TSB. Kewujudan Aspirasi juga dilihat sebagai usaha pelajar UKM untuk memprotes politik kampus yang yang tidak membantu kepada pembangunan kebajikan pelajar. Dua fokus utama Aspirasi ialah menjadi model kepimpinan pelajar di UKM dan bersama UKM membina kecermerlangan.
Pimpinan Aspirasi merupakan kumpulan pelajar dari kalangan kepimpinan Jaksa Kolej Kediaman UKM yang secara jelas berusaha menggerakkan UKM sebagai universiti terbaik di negara ini. Salah satu ciri jelas pemimpin Aspirasi ketika itu, mereka memiliki pencapaian akademik yang tinggi, berpengalaman dalam penganjuran aktiviti pelajar dan mempunyai dasar menggunakan saluran yang betul dan rasmi di dalam menyuarakan aduan pelajar, memberikan pandangan dan menyuarakan kritikan pada pihak pengurusan UKM.
Hasilnya Aspirasi berjaya menewaskan Mampu pada tahun 2003 dengan jumlah majoriti yang besar. Kemenangan Aspirasi sekali lagi membuktikan pentingnya undi yang diberikan oleh para pengundi atas pagar, pengundi Cina dan India. Sejak 2003 aspirasi telah menguasai PMUKM sehinggalah GMUKM pula mengambialih PMUKM pada tahun 2011.
Apa peluang ASPIRASI untuk menang piliharaya kampus 2012?
Seperti GMUKM, Aspirasi juga mempunyai peluang yang cerah. Kemenangan Aspirasi sangat bergantung kepada sejauh mana mereka berjaya meraih undi pengundi melayu atas pagar, pengundi Cina dan India. Kemenangan mereka juga akan dipengaruhi oleh sebaik mana mereka dapat menggunakan isu kelemahan di pihak PMUKM tahun ini. Sebagai contoh ;
a.Sejauh mana mereka dapat menyedarkan pelajar tentang kelemahan kepimpinan Presiden PMUKM di dalam menguruskan PMUKM. Walaupun PMUKM menaungi 170 persatuan pelajar, nampaknya PMUKM lebih cenderung hanya mengikut arahan ISIUKM sahaja dan membiarkan kelab dan persatuan lain bersendirian.
b. Tindakan PMUKM meminggirkan pelajar bukan Melayu dalam penganjuran program Pesta Konvo dan juga program program yang lain anjuran PMUKM.
c. 'Keretakan" hubungan pihak pengurusan universiti dengan kepimpinan PMUKM (sehingga kini dimaklumkan PMUKM tidak berminat untuk memohon maaf pada pengurusan UKM).
d. Isu penganjuran program yang dilabelkan 'maksiat' oleh PMUKM satu ketika dahulu tetapi sebaliknya dianjurkan pula oleh Pesta Konvo tahun ini.
e. Isu penganjuran Pesta Konvo yang lemah (tiada tajaan utama, kurang pengunjung, kurang gerai yang menarik) dan di anggap gagal oleh ramai pelajar di kalanagan pengundi atas pagar.
Aspirasi juga ada kelemahan yang ketara, misalnya pelajar melihat front pimpinan Aspirasi tidak mempunyai perancangan yang menyakinkan di dalam meraih undi mereka. Selain itu tiadanya sistem komunikasi dan penyampaian maklumat yang baik dan berkesan di pihak Aspirasi (melalui facebook, web dan bersemuka). Aspirasi juga tiada pengisian program yang menarik undi pelajar, semua web pro-aspirasi juga masih kucar kacir, perbincangan pimpinan Aspirasi dalam facebook rasmi Aspirasi juga yang tidak begitu membina. Aspirasi juga kurang jentera untuk menggerakkan program yang mendekati pelajar.
Walaupun Aspirasi mempunyai persepsi yang baik pada mata pelajar Melayu atas pagar dan juga pelajar bukan melayu, kerana dilihat lebih sederhana, MPP PMUKM pro Aspirasi pula tiada agenda tersendiri sebagai 'check and balance" kepada PMUKM. Misalnya 'kabinet bayangan' PMUKM pro aspirasi gagal mengerakkan program untuk menjadi pesaing kepada PMUKM. Sebenarnya Aspirasi lebih mudah untuk mendapat kerjasama pelajar bukan melayu kerana acuan kontrak sosial yang sudah difahami oleh semua pelajar bukan Melayu. Malah secara psikologi pun pimpinan pelajar bukan Melayu lebih selesa untuk bekerja dengan front Aspirasi.Malangnya pimpinan Aspirasi tidak menggunakan peluang ini dan terlepas peluang tersebut. Aspirasi juga dilihat masih tidak kuat bekerja untuk meraih sokongan pengundi sehingga hari ini.
Jika Aspirasi berhasrat mencabar GMUKM dalam piliharaya kampus akan datang, mereka perlu melakukan post- mortem besar besaran dan melakukan tranformasi sesegera mungkin. Bermula membina kepimpinan yang mantap, membina jaringan komunikasi yang aktif hinggalah mengerakkan program dan projek untuk kebajikan pelajar. Aspirasi mempunyai kekuatan yang tidak ada pada GMUKM iaitu penerimaam yang baik di kalangan pelajar Cina dan India pada wadah pembangunan yang dibawa oleh ASPIRASI.
Aspirasi juga mengambil sikap yang bijak dengan tidak mewujudkan permusuhan dengan pihak pengurusan universiti dan lebih sinonim mengambil sikap berbincang. Hal ini juga disenangi oleh kumpulan pengundi melayu atas pagar dan kumpulan pengundi Cina dan India.
Kini terserahlah pada para pelajar UKM pada siapa yang ingin mereka berikan undi. Pelajar akan menentukan siapa yang akan menang pada piliharaya kampus UKM pada tahun 2012 nanti. Undi milik individu. Buatlah pilihan yang bijak demi menjamin PMUKM akan datang bersedia memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Pilihanraya kampus akan datang adalah tempat memberikan latihan dan pendidikan kepada pelajar UKM yang ingin menjadi pemimpin PMUKM. Saya selalu berjumpa dengan rakan rakan lama yang dulunya bekas pimpinan TSB dan juga IPU. Ada yang bekerja di jabatan kerajaan, swasta atau bekerja sendiri. Semuanya sudah berumur sekitar pertengahan 40an. Pernah sekali semasa bermain golf seorang rakan bertanya kepada saya " Ante dah maafkan ana ke bila ana mengata ante masa election campus dulu". saya jawab "bila hang mengata aku?, aku tak ingat, tapi kalau aku ingat pun aku dah maafkan hang dunia akhirat". Kami terus ketawa sambil memecut buggy yang dikongsi berdua.
Sekarang, kami kalangan pimpinan pelajar dari berbagai front semasa di UKM dulu dah pun bekerja. Hari ini kami rakan, dulunya kami 'musuh politik' yang kalau boleh tidak mahu bertemu walaupun di akhirat. Hari ini kami boleh ketawa, bermain golf bersama, saling ziarah menziarahi bila ada kenduri dan keraian. Perkara yang sama juga akan berlaku pada pemimpin pelajar hari ini di UKM. Selepas bergraduan nanti masing masing akan sibuk dengan kerjaya dan keluarga masing masing. Politik kampus akan tinggal dalam kenangan.
Malah ada satu kisah kerana jodoh yang kuat dari Allah, ada seorang pimpinan TSB dulu yang berumahtangga dengan muslimat IPU. Semoga mereka bahagia dan jangan marah pada saya kerana kisah mereka saya nukil disini. Pada mereka, jika diizinkan Allah kita akan terus berjumpa tiga Syawal depan seperti tahun tahun yang lalu. Menarik bukan...politik kampus UKM.