12 October, 2011

Siapa Sebenarnya Yang Bebal Politik Kampus di UKM ?

Saya teringatkan dan rindu pada Allahyarham Profesor Dr  Syed Hussein Al Attas yang pernah berbicara pada kami (para pemimpin pelajar UKM) satu ketika dulu tentang bebalisme Melayu untuk menguasai ilmu. Kisah bagaimana susahnya Kaum Muda pada tahun 1920an dimusuhi hanya kerana mereka cuba keluar dari kebebalan berfikir masyarakat Melayu di dalam mencari ilmu. Mereka dikatakan perosak agama Islam kerana mengutarakan perkara perkara baru dalam kehidupan masyarakat Melayu Islam pada era tersebut. Hari ini kita pasti tersenyum dan tidak percaya lagi bila ada orang berkata 'haram hukumnya menggunakan kereta yang dicipta oleh orang barat"atau "tidak sah sembahyang jika memakai tali leher". Kita mampu tersenyum kerana kita telah keluar dari bebalisme pemikiran yang lama, tetapi satu masa dahulu hal yang sama sangat menakutkan masyarakat Melayu. Bimbang dituduh terpesong agama dan akan dihumban ke dalam neraka jika menafikannya.


Bagaimana pula dengan kata orang dulu-dulu bahawa "mendengar lagu lagu arab kita akan dapat pahala" (walaupun sejak dulu hingga kini kebanyakkan orang melayu tak begitu faham bahasa Arab). Maka dulu sewaktu kecil setiap hari saya selalu mendengar lagu lagu arab (bukan bacaan al Quran) beralunan menggunakan LP (piring hitam) di rumah pak haji-pak haji di kampung saya. Hari ini orang Melayu ramai yang melanggan ASTRO, mereka sudah boleh menonton klip lagu lagu lagu Arab di saluran ART. Kita pasti akan beristifar melihat gelagat penyanyinya. Tak pasti di mana pahalanya mendengar lagu lagu arab sedemikian..alangkah baiknya kalau perkara ini diketahui lebih awal oleh pak pak aji di kampung saya dulu. Selepas adanya ASTRO, baru ramai yang sedar kebebalan mereka tentang pahala dan lagu-lagu Arab. Oleh kerana tiada ilmu bahasa Arab, sekian lama hidup dalam kebebalan. Bukan sedikit anak anak yang dimarahi pada masa dulu hanya kerana membuat bising ketika si ayah diulit dengan kemerduan suara Oum Kalthoum, Darwish, Feiruz danWadi Essafi menyanyi. Dikatakan anak anak yang bising tidak hormatkan lagu lagu Arab, nanti berdosa! 


Kita tinggalkan kisah mereka kerana saya ingin kongsi isu ini dalam bentuk yang berbeza, budaya bebalisme dalam politik kampus UKM.


Setiap tahun UKM adakan pemilihan pelajar untuk mengisi kabinet PMUKM. Arahan ini terkandung di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Pun begitu, AUKU tidak menyatakan secara jelas  bagaimana proses pemilihan ini perlu diadakan. Terserah kepada badan berkuasa universiti untuk menentukannya.Terdapat universiti melakukan melalui proses pilihanraya pelajar, ada juga universiti melakukan melalui proses temuduga dan ada yang menggunakan kaedah perwakilan dari setiap persatuan dan kelab utama pelajar di universiti.


UKM sebagai sebuah universiti perdana dan paling utama di negara ini memilih kaedah pilihanraya sebagai mekanisme pemilihan pemimpin pelajar. Harapnya, kaedah ini bukan sahaja memenuhi keperluan AUKU, tetapi juga proses pilihanraya pelajar akan memberi pendidikan berpolitik dan kepimpinan pada yang bertanding dan pengetahuan tentang etika, tanggungjawab dan hak sebagai pengundi pada pelajar lain.


Bila ada pilihanraya, maka akan adalah amalan berpolitik. Malangnya kalangan pelajar, mereka meniru bulat-bulat amalan politik luar. Kesannya sangat jelas, pelajar UKM berpecah kepada beberapa kumpulan mengikut fahaman politik yang ditiru dari arus politik negara. Maka hilanglah ruang untuk idealisme mahasiswa berkembang kerana terkongkong dengan cara dan pemikiran ahli politik di luar kampus.


Maka ada kumpulan pelajar yang menggunakan agama Islam sebagai modal politik. Sekumpulan yang lain pula menggunakan semangat kebangsaan sebagai formula berpolitik. Jarang kita dengar pemimpin mahasiswa mempunyai idealisme politik mereka sendiri. Misalnya memperjuangkan budaya intelektual, budaya persefahaman, kerjasama antarabangsa, kebolehpasaran pelajar atau memperjuangkan pembasmian kemiskinan dalam masyarakat.


Jika hal ini berlaku, pasti masyarakat luar terutamanya pihak kementerian 'terpaksa' menjemput pemimpin pelajar di universiti di dalam acara acara perancangan negara kerana mereka perlukan input daripada idealisme mahasiswa. Malangnya ini tidak berlaku. Mahasiswa hari ini tidak lagi dijemput sebagai panel atau pembicara dalam acara berkaitan perancangan negara kerana mereka tiada idealisme sendiri. Mereka hanya dijemput sebagai peserta untuk meramaikan atau dijemput untuk diberikan taklimat.


Tentulah hal ini kita mudah fahami, jika pemimpin pelajar sekadar berfikir berasaskan pemikiran politik luar, tiada siapa pun yang akan berminat. Sudah ramai ahli politik di luar sana yang boleh memberikan pemikiran yang sama atau lebih baik daripada apa yang akan diberikan oleh pemimpin mahasiswa. Apa yang diperlukan ialah input berasaskan perjuangan atau idealism mahasiswa yang tulen.


Bila agenda untuk memenangi politik kampus diutamakan, agama dijadikan pertaruhan, maka para pemimpin pelajar tertentu dan orang yang bersekongkol dengan mereka akan mula membina kerangka kononnya agamalah sebagai wadah perjuangan. Maka diasakkan wadah perjuangan sebagai senjata mengawal pemikiran pelajar lain. Ditakut-takutkan pelajar tentang pembalasan Allah jika ada yang tidak bersama dalam perjuangan politik mereka. Pelajar tidak lagi dapat membezakan apa itu Islam yang sebenar dan Islam yang dipolitikan. Bagi mengukuhkan kumpulan politik mereka, dibentuknya rasa bersama dengan berbagai slogan dan cogankata. Ditekan bertalu-talu pemikiran pelajar sehingga tiada lagi kemampuan untuk pelajar berfikir. Akhirnya usaha mereka berjaya.


Pelajar yang menjadi pengikut sentiasa takut untuk lari dari perjuangan politik kumpulan tersebut, kononnya bimbang akan dikatakan lari dari perjuangan menegakkan agama yang suci. Pelajar yang tekal dengan agenda perjuangan politik mereka akan diberikan ganjaran jawatan yang lebih tinggi dalam jamaah. Pelajar yang agak tercicir ditarbiah semula sehingga kembali bersama dalam perjuangan politik. Mereka berjaya mengongkong pemikiran serta menutup pemikiran pelajar kepada perkara perkara yang baru dan berguna di universiti.


Sesiapa juga yang di luar jamaah perjuangan politik mereka dilabelkan sebagai musuh Allah. Akhirnya demi kepentingan politik yang sempit, mereka berjaya menjadikan pelajar bebal...yang bermaksud membentuk budaya malas berfikir dan menolak pemikiran -pemikiran yang baru, dan ditanamkan pada pelajar rasa bersalah pada agama jika cuba lari dari perjuangan politik kumpulan mereka. Pelajar akan dikatakan mengkhianati kesucian agama. Wal hal ini adalah agenda politik semata-mata. Bebalisme berjaya dibina bila berleluasa sikap ignorance di kalangan pelajar kampus. Malah ada pemikir bersetuju bebalisme (ignorance) lebih buruk dan bahaya jika dibandingkan dengan kebodohan (stupidity). Jika kebodohan merujuk kepada maksud kecetekan ilmu tetapi boleh dididik, bebalisme merujuk kepada bukan sahaja cetek ilmu tetapi juga menolak sebarang usaha untuk dididik.


Apakah maksudnya agama dipolitikkan ? dulu bila kerajaan pelajar UKM dikuasai oleh musuh politik mereka, diasak dan dicerca Pesta Konvo yang lepas lepas kononnya ada nyanyian dan tarian kebudayaan, yang dilabel sebagai maksiat dan melalaikan. Mereka bantah dan boikot program kebudayaan anjuran universiti yang dikatakan merosakkan. Peliknya, pada tahun ini (2011) Pesta Konvo yang dianjurkan oleh mereka masih tetap juga ada tarian oleh wanita dan ada juga mini konsert. Mengapa acara ini mereka setuju untuk dianjurkan jika dulu mereka labelkannya sebagai 'maksiat'.


Mudah untuk kita fahami, ini semua adalah modal untuk memenangi politik. Jika agama boleh digunakan untuk memenangkan mereka, akan digunakan sepenuhnya. Mereka gunakan Islam sebagai alat untuk mereka berpolitik, apabila mereka menang dan kuasai pusanika, mereka tidak pula berminat memansuhkan apa yang mereka tentang dan boikot dulu.


Kini nada mereka berubah, daripada menentang hiburan kerana maksiat, hari ini mereka katakan "biarlah diadakan, kami akan perlahan-lahan fahamkan orang yang sukakan hiburan tentang Islam. Kami tak boleh tergesa-gesa memansuhkan nanti orang yang berminat dengan Islam akan takut dan lari".  Mengapa hal yang sama tidak mereka katakan sejak dulu bahawa dakwah dan pesan memesan demi kebaikan harus secara perlahan-lahan dan penuh sabar. Mengapa mereka serang dan burukkan program yang sudah sudah walaupun program yang dianjurkan berasaskan kebudayaan kebangsaan. Bila mereka sendiri anjurkan program hiburan, dikatakan usaha untuk mendekatkan orang kepada Islam. Bila kumpulan lain yang anjurkan dikatakan maksiat dan melalaikan. Jawabnya kerana niat perjuangan mereka hanyalah untuk berpolitik dan menang pilihanraya kampus. Tidak sama sekali untuk memperjuangkan agama Islam yang suci.


Minda pelajar mereka tutup, hati pelajar mereka kunci dan jiwa pelajar mereka kongkong dari menerima perkara yang baru. Sebaliknya diasak sedalam mungkin bahawa apa sahaja yang dikatakan oleh pemimpin kumpulan mereka adalah benar belaka, apa yang dikatakan oleh orang di luar jamaah akan dianggap penghasut, pembohong, pemutar belit kebenaran dan musuh Allah. Ayat suci Al Quran digunakan secara terpilih pilih, mana mana yang sesuai dengan kehendak mereka akan sentiasa digunakan, mana yang tidak sesuai dan bertentangan dengan keperluan mereka akan dipinggirkan.


Sebagai mahasiwa yang berakal dan berjaya memasuki sesebuah universiti yang baik seperti UKM ini,  pelajar perlu mendedahkan diri mereka kepada banyak perkara dan pemikiran baru asal sahaja membawa kebaikan pada diri, keluarga, agama dan negara. Ini dianjurkan dalam Islam. Pelajar digalakkan bertanya, berdialog, berforum dan berdiskusi tentang semua hal kehidupan, tentang kesyumulan agama, tentang ekonomi, tentang institusi kekeluargaan, tentang politik antarabangsa, semua tentang keilmuan. Pendek kata apa sahaja yang menjadi minat dan keghairahan pelajar dalam mencari ilmu harus digalakkan.


Malangnya bila budaya bebalisme (ignorance) berjaya diterapkan lebih awal sebelum sempat pencambahan ilmu berlaku, kekallah pelajar seperti sebelum masuk ke universiti. Pelajar ditakut-takutkan dan dilatih secara perlahan-lahan supaya hanya percaya dengan  apa yang mereka diperdengarkan, yakin dengan hanya apa yang diperlihatkan oleh kumpulan ini. Kerana bimbang dikatakan lari dari agama Islam (sebenarnya lari dari politik kelompok yang menggunakan agama) pelajar tidak lagi boleh berfikir dengan baik, malah mereka semakin hampir hilang logik di dalam mencari makna. Logikkah orang tua diherdik dan direndah-rendahkan martabatnya hanya kerana kita tidak bersetuju dengan nasihat mereka? Logikkah pengurusan universiti dituduh 'musuh Allah' hanya kerana memberikan nasihat yang baik walaupun tidak selari dengan kehendak kumpulan mereka dan logikkah hanya di dalam kelompok mereka sahaja yang betul, sedangkan sifat manusia pasti ada kelemahan dan kekurangannya.


Sehingga ini gerakan 'senyap' kumpulan ini telah berjaya membina bebalisme di dalam masyarakat pelajar UKM, dan ini harus dihentikan. Pelajar harus diberikan peluang mendekati agama Islam yang sebenar, bukan Islam yang telah dipolitikan oleh segelintir manusia. Pelajar harus diberikan peluang untuk berfikir dan menyoal bukannya sekadar terus patuh tanpa soal apa sahaja yang dikatakan oleh pemimpin kumpulan tersebut. Bila agama Islam yang suci dipolitikkan, syurga dan neraka dijadikan alat peringatan untuk tujuan memenangkan pengaruh politik mereka, sesiapapun di kalangan orang yang mengakui keEsaan Allah akan merasa lemah, bersalah, bimbang dituduh engkar suruhan agama.. tetapi benarkah begitu ? atau mereka sebenarnya telah berjaya membebalkan kita dari mencari kesucian Islam yang sebenarnya...


Marilah kita semua kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.....