Selalu orang berkata, pemimpin pelajar di universiti adalah pemimpin negara masa depan. Saya juga bersetuju dengan kata-kata tersebut. Setuju sepenuhnya. Tetapi mestilah ada syaratnya.
Untuk menjadi pemimpin negara masa depan, pemimpin pelajar universiti mestilah dilatih sebagai penyelesai masalah, bukan sekadar penyampai atau pengadu masalah. Sebagai pemimpin pelajar, mereka juga perlu melatih diri mereka sebagai seorang pemikir untuk menyelesaikan masalah pelajar di kampus. Setelah melalui latihan yang panjang sebagai pemikir dan penyelesai kepada masalah pelajar di kampus barulah mereka layak dan bersedia dikatakan sebagai pelapis kepimpinan negara.
Pengalaman sebagai pengetua kolej sejak beberapa tahun lalu memberi peluang kepada saya mendengar, melihat serta memahami cara pemimpin pelajar berkerja sebagai pemimpin pelajar di kampus. Paling ramai ialah jenis pemimpin pelajar yang hanya mahir sebagai pengadu masalah pelajar kepada pihak pengurusan universiti. Penulis setuju adalah menjadi tanggungjawab pemimpin pelajar sebagai orang tengah antara pelajar dan pengurusan universiti. penulis sangat setuju. Tetapi apakah itu sahaja yang mampu dilakukan oleh pemimpin pelajar? Hanya sebagai penyampai (posmen) masalah. Apakah selamanya sehinggalah jika berpeluang nanti menjadi pemimpin di peringkat negara itu sahaja kemahiran yang diperolehi oleh pemimpin pelajar semasa di kampus?
Pemimpin pelajar harus keluar dari kepompong sebagai pengadu masalah pelajar kepada peranan yang lebih tinggi martabatnya iaitu sebagai penyelesai masalah pelajar. Penulis setuju tidak semua masalah pelajar di kampus boleh diselesaikan oleh pemimpin pelajar. Ada masalah yang memerlukan komitmen yang lebih besar daripada pihak pengurusan universiti. Sebagai contoh jika kurang bas, pemimpin pelajar tiada kemampuan membeli bas untuk pelajar UKM, di sini adalah peranan pihak pengurusan UKM. Begitu juga apabila melibatkan kawalan keselamatan kampus, yuran pengajian atau sebagainya. Tetapi ada juga masalah pelajar kampus yang boleh diselesaikan atau sekurang kurang cuba diselesaikan oleh pemimpin pelajar. Isu mengurangkan kes kemalangan jalanraya dalam kampus, isu mengurangkan masalah gangguan binatang liar seperti monyet di dalam kampus, isu mengurangkan karenah birokrasi berkaitan permohonan kelulusan aktiviti pelajar, isu meningkatkan kelestarian kampus, isu meningkatkan kesedaran keselamatan diri dan barangan oleh pelajar, isu perpaduan kaum, isu meningkatkan kecekapan bantuan kebajikan kepada pelajar yang memerlukan, isu penguasaan bahasa Inggeris, isu kemudahan kolej, isu meningkatkan kebolehpasaran graduan UKM dan sebagainya.
Malangnya kotak pemikiran pemimpin pelajar UKM lebih menjurus kepada mengadu dan terus mengadu. Itu lebih mudah dan lebih baik dari terpaksa berfikir bagaimana untuk menyelesaikan masalah pelajar. Kemalasan untuk berkreativiti dan berfikir amat ketara di kalangan pemimpin pelajar kampus. Bayangkan ada pemimpin pelajar kampus yang sekadar mampu menyampaikan aduan misalnya sampah lambat dikutip, bilik air di kolej lambat dibersihkan, makanan kafetaria mahal, tetapi bila ditanya kembali apakah cadangan untuk menyelesaikan masalah sebegini kebanyakan pemimpin pelajar akan terdiam, tanda minda mereka kosong!
Bagaimanakah mereka akan menjadi pelapis negara jika kepimpinan pelajar yang ada hari ini sekadar terlatih sebagai pengadu dan bukan mahir sebagai penyelesai kepada masalah. Malah sebenarnya kemahiran sebagai penyelesai masalah pun bukanlah kemuncak kepada kemahiran kepimpinan kerana pemimpin yang berkualiti bukan setakat boleh menyelesaikan masalah tetapi juga berkeupayaan membuat perancangan, mempunyai wawasan dan gagasan besar untuk masa depan para pengikutnya.
Oleh itu, dalam pertemuaan-pertemuan pemimpin pelajar dengan pengurusan UKM, acapkali kedengaran pemimpin pelajar dipelbagai peringkat termasuk PMUKM lebih cenderung menjadi pengadu/penyampai masalah semata-mata. Mereka tidak ada kemampuan berfikir ke arah mencadangkan penyelesaian kepada masalah yang diadukan apatah lagi mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Maka itu, penulis berazam untuk mula menggerakan kumpulan pimpinan pelajar di IZISH supaya mula berfikir dalam ruang yang baru, bukan sebagai pengadu masalah tetapi bertindak sebagai penyelesai masalah pelajar. Mungkin tidak sepenuhnya semua masalah pelajar dapat diselesaikan, sekurang-kurangnya sebagai pemimpin pelajar mereka telah mencuba untuk belajar menyelesaikan masalah pelajar.
Sebagai comtoh di IZISH, gangguan monyet menjadi isu yang tidak pernah selesai sejak lima enam tahun yang lalu. Pembukaan lebih banyak kawasan hutan dalam kampus untuk tujuan pembinaan bangunan menyebabkan gangguan monyet di IZISH semakin ketara sejak dua tahun kebelakangan ini. Masalah monyet juga dihadapi oleh kebanyakan kolej berhampiran hutan hinggalah turut dirasai kehadirannya di bangunan Pusanika.
Di IZISH atas inisiatif felo dan JAKSA, satu program yang dinamakan IZISH Food Waste Management Program (IZISH-FWM) telah diperkenalkan dan mula dilaksanakan dalam semester ini. Ini adalah idea dan inisiatif felo dan JAKSA, cuba untuk menyelesaikan masalah gangguan monyet di IZISH. Pihak kolej memberikan sokongan penuh untuk menjayakan program ini. Dua fokus utama dilakukan dalam program ini. Pertama, untuk mengelakkan gangguan monyet di dalam blok, semua tong sampah dalam blok telah direkabentuk semula untuk menghalang monyet atau binatang liar seperti anjing menyelongkar tong sampah tersebut. Sistem pembuangan sisa makanan oleh pelajar di dalam blok juga diperkemaskan. Kesannya begitu ketara kerana dalam semester ini belum ada aduan di terima oleh pihak kolej berkaitan gangguan monyet di dalam blok pelajar. Monyet tidak lagi menganggu di dalam blok pelajar kerana tiadanya sisa makanan di sana.
Fokus kedua ialah mengurangkan kehadiran monyet di persekitaran kolej dengan menyediakan 'feeding area' antara sempadan IZISH dan hutan. Oleh kerana usaha ini masih di peringkat rintis, kesannya masih belum dapat dijelaskan di sini. Objektif diwujudkan feeding area ialah, dengan adanya sisa makanan disediakan di kawasan berkenaan, monyet-monyet tidak lagi perlu bekeliaran di dalam kawasan kolej untuk mencari makanan. Usaha penyelesaian ini diharap dapat mengurangkan masalah gangguan monyet di IZISH, jika pun tidak mampu menghapuskan masalah tersebut sepenuhnya dalam masa terdekat.
Apa yang penting ialah isu dan masalah ganguan monyet telah menjadi 'kes' kepada Jaksa IZISH menjalani latihan sebagai pemimpin, di mana mereka sekarang dilatih berfikir untuk menyelesaikan masalah berbanding hanya berfungsi sebagai pengadu masalah semata-mata.
Sebenarnya sangat banyak masalah pelajar yang boleh dijadikan sebagai bahan "kes" untuk pemimpin pelajar UKM gunakan untuk berlatih berfikir di dalam meningkatkan kemahiran kepimpinan mereka. Sebagai contoh bagaimana caranya untuk memberikan kesedaran supaya pelajar turut mengikuti program atau aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan pelajar tanpa perlu dipaksa ? Bagaimana untuk mengurangkan harga makanan di kafetaria tanpa perlu mengadu pada pengurusan UKM supaya 'memaksa' peniaga menurunkan harga makanan ? Bagaimana pula caranya untuk memastikan maklumat aktiviti pelajar sampai pada setiap pelajar di UKM dengan kos publisiti yang paling murah? Bagaimana untuk mendidik pelajar kolej agar tidak selalu tertinggal kunci di dalam bilik ? bagaimana untuk mendidik pelajar supaya tidak terlalu banyak menghabiskan masa di internet untuk tujuan yang kurang berfaedah? bagaimana untuk menggalakan penjimatan air dan letrik di kolej ?
Semakin banyak 'kes' yang dapat diselesaikan oleh pemimpin pelajar semakin baik dan berkualitilah kepimpinan mereka. Maka akan semakin berwibawa dan semakin tajamlah cara mereka berfikir. Jika pemimpin pelajar UKM hanya mahir membuat aduan dan tidak mampu berfikir sebagai penyelesai masalah pelajar, layakkah mereka nanti menjadi pemimpin pelapis kepada negara? Saya seperti juga orang lain pasti sangat musykil dengan keupayaan mereka...