1. Apa pun 'parti' pilihan pelajar dalam plihanraya kampus, saya pasti perjuangan mana mana 'parti' ini masih pada hal hal yang sama. Masing masing akan ketengahkan isu penginapan, pengangkutan, ptptn, jalanraya pecah berlubang, keselamatan moto, masalah air etc. Bentuk pengurusan projek pun sama saja, cumanya berbanding pesta konvo tahun lepas, pesta konvo tahun ini sangat mengecewakan ramai orang. Lain pula dengan majalah Aspirasi yang tahun ini begitu baik sekali.(sayangnya edisi tahun ini majalah ini 'cacat' kerana tidak bernama apabila telah diarahkan 'dibuang'). Ini satu kecetekan berfikir kerana tak kan seumur hidup mereka akan terus menerus fobia dan membuang perkataan aspirasi.
2. Oleh kerana hampir semuanya sama, mengapa perlu ada perpecahan? Apakah kerana perpecahan itu satu keperluan untuk berpilihanraya ? Kalau tiada perpecahan, maka tiadalah pilihanraya kampus lagi. Atau kita masih terikat dengan pemikiran lama barat di mana kemajuan dan pembangunan sesuatu perkara perlu berasaskan konflik seperti yang digagaskan oleh pemikiran Karl Marx.Mengapa pula tidak kita berfikiran fungsionalisme yang dibangunkan oleh Emile Durkheim, di mana setiap dari kita adalah saling berkongsi dan berkaitan untuk menjayakan sesuatu. Mengapa politik kampus perlu mengikut model persaingan kapitalis sedangkan kita boleh menggunakan model kekeluargaan. Idea kapitalis mengajar kita 'membunuh' pesaing jika ingin berjaya, maka dalam politik kampus politik membunuh diamalkan. Maka budaya kata mengata, tuduh menuduh serta merendah rendah lawan diamalkan. Jika kita memilih model kekeluargaan untuk berpolitik, di mana dalam satu keluarga kita saling membantu sesama ahli keluarga, maka politik kekeluargaan akan membawa kita rasa saling hormat menghormati, bantu membantu dan membenarkan pengundi memilih di kalangan yang terbaik. Tidak perlu ada usaha untuk merendahkan orang lain kerana semuanya adalah keluarga kita dalam UKM.
3. Sebenarnya perpecahan pandangan pelajar tu semuanya kerja orang politik di luar yang cuba untuk 'divide and rule' pelajar universiti. Ini memberikan keuntungan pada mereka. Tapi pelajar tak sedar sebab disumbat dengan kata peransang, wadah perjuangan dan segala macam doktrin politik. Kita belajar sejarah Inggeris tentang amalan pecah perintah tanah melayu, kita tahu buruknya budaya pecah dan perintah, dan kita tahu lemahnya orang yang dipecah dan diperintah sehingga mereka akur sahaja dengan apa juga arahan 'penaung' mereka, tapi kerana kita tak pernah atau tak ada kebijaksanaan untuk guna akal untuk berfikir maka ramai antara kita yang masih tak sedar bahawa sekarang pun pelajar IPT tengah hebat dipecah perintah oleh orang lain (yakni orang politik).
4. Ada satu kumpulan selalu mengaku kononya "Kami ada perjuangan, kami perjuangkan Islam" Betul kah? Dulu masa pelajar aspirasi pegang PMUKM, kumpulan ini mengamuk dan 'bantai' pesta konvo tahun lalu penuh dengan maksiat dan sebagainya sebab dalam pesta konvo ada tarian guna wanita dan mini konsert. Apakah pesta konvo tahun ini (2011) tak ada tarian oleh wanita? Apakah tahun ini tak ada lagu lagu kumpulan band? Setahu saya ada juga.
5. Kita kena faham ini semua adalah mainan politik. Tentu akan ada yang marah dengan tulisan ini. Memang patut mereka marah kerana hal ini akan menganggu matlamat dan perancangan mereka. Cumanya pelajar harus faham bahawa ini adalah maianan politik bukannya perjuangan agama pun. Matlamatnya ialah menggunakan agama untuk memenangi politik pilihanraya kampus. Saya setuju mereka bijak dalam berpolitik dan ini juga satu pengalaman yang harus diraikan semasa di kampus. Malah negara ini pada masa depan pun memerlukan ahli politik yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga dari kalangan mereka yang bijak berpolitik. Ini tidak menjadi kesalahan dalam berpolitik. Sama juga ada ahli politik yang selalu gunakan sentimen kaum, ada pula yang guna sentimen kemiskinan atau sentimen penjajahan. Ini semua dibenarkan dalam berpolitik.
6. Tetapi pengundi haruslah bijak dengan politik dan mainan politik halus sebegini. Pengundi akan dibuai dengan pelbagai perasaan untuk diraih sokongan. Ada mainan politik yang akan cuba timbulkan kemarahan pada orang lain, kecintaan pada pemimpin kumpulan, ketakutan melulu pada agama, harapan kosong dan sebagainya. Semakin tinggi kebijakan mainan politik semakin sukar untuk kita berpeluang membuat keputusan sendiri. Lihat sahaja bagaimana Hitler dan Stalin menguasai rakyatnya, juga Saddam dan Mubarak mengukuhkan kuasa mereka puluhan tahun. Pada peringkat mikro, pelik kita lihat bagaiman ada yang boleh percaya dan taksub kepada ajaran Ayah Pin atau perjuangan al Maunah.
7. Bila fokusnya adalah politik kampus dan bukan untuk perjuangan agama yang sebenar, hal hal yang benar benar menganggu gugat agama tidak begitu disemarakkan. Siapa peduli melayu murtad? siapa peduli muslim melayu buang anak ikut tingkat atau baling bayi dalam telaga? Siapa peduli anak melayu Islam berkeliaran di Chow Kit tidak ke sekolah atau langsung tidak tahu bersolat. Siapa juga peduli kebajikan saudara baru? Mudah sahaja untuk kita faham, sebab semua itu tiada kepentingan dalam politik kampus.
8. Kalau benar benar ingin perjuangkan agama, bantulah dan sedarkanlah pelajar muslim tentang isu Palestine, cari dana untuk bantu semua pelajar UKM yang miskin tanpa mengira agama, kaum dan latarbelakang, imarahkan surau dan masjid, galakkan budaya ilmu dengan sediakan bahan bacaan tentang dunia dan akhirat. Sokong dan bantu kawan kawan semuslim mencapai kejayaan akedemik terbaik. Sediakan 'bank nota' dan 'bank soalan' tahun tahun lalu untuk dikongsi. Kongsi dan fahamkanlah non muslim tentang Islam dan keamanannya (salam) yang dibawanya. Ini tidak berlaku..langsung. Apa yang kelihatan ialah mereka berkongsi sesama kumpulan mereka yang dirangkum sebagai sahabat satu perjuangan. Maka duduklah mereka di dalam kelompok mereka dan cuba memisahkan diri mereka dari arus perdana UKM. Jarang sekali dapat melihat kumpulan ini di majis rasmi universiti atau syarahan akademik yang di buka pada pelajar. jauh sekali untuk melihat mereka terlibat dalam dialog dan forum yang dianjurkan oleh universiti. Tetapi kalau forum politik, mereka sedaya upaya datang walaupun terpaksa ponteng kuliah!. Mudah juga untuk kita faham, kerana kerangka pemikiran mereka adalah politik..politik dan politik.
9. Pelajar kita jadi berpuak-puak kerana merasakan 'aku lebih hebat' dan kononnya 'aku lebih Islam' 'Kalau sesiapa yang nak jadi lebih Islam ikut kumpulan kami'. Sebenarnya urusan menilai takwa atau siapa lebih Islam adalah urusan Allah. Kita harus berusaha untuk mendapat apa yang paling baik.
10. Itulah sebabnya yang penting bukan nama kesatuan atau kelab, samada ada pangkal perkataan Islam atau tidak tapi yang penting isi dan programnya. Kecemerlangan Islam bukan pada kopiah, janggut atau apa sahaja, walaupun itu digalakkan. Islam hebat pada amalannya. Islam hebat atas minda umatnya yang mencari kedamaian dan persaudaraan. Budaya politik mengata dan menggalakkan permusuhan bukanlah teras kepada politik Islam tetapi lebih kepada 'politik menggunakan Islam sebagai modal politik' untuk mencapai matlamat berkuasa semata-mata. Ramai orang yang suka menyeru orang lain buat kebaikan tetapi banyak kelemahan diri disembunyikan. Maka itu kita perlu lebhi ramai Prof Ungku Aziz yang memikirkan tentang Tabung Haji, Prof Naquib Al attas yang memikirkan tentang perkembangan Islam di alam Melayu dan bagaimana harus diperhebatkan lagi, Prof Syed Hussein al attas yang memikirkan kemiskinan melayu dan kesan penjajahan terhadap minda melayu.