Pertama kali dalam sejarah 41 tahun UKM, belum pernah terjadi seperti apa yang telah terjadi pada hari ini. Kepimpinan PMUKM, ISIUKM, ASPIRASI dan IZISH (sebagai pengerusi penganjur dan bertindak sebagai urusetia) bergabung dalam satu agenda kesejahteraan ummah.
Saya pasti rakan rakan saya juga kagum dan pelik bagaimana anak muda UKM hari ini boleh bersama kerana hal ini tidak termampu dilakukan oleh mereka dahulu. Saya dahului dengan ucapan tahniah dan sangat terharu atas keberanian dan kematangan anak-anak muda pimpinan PMUKM, ISIUKM dan ASPIRASI. Pada kepimpinan pelajar IZISH selaku pengerusi dan urusetia, terima kasih kerana usaha ini.
Saya tentunya ingin menyatakan rasa bangga saya secara peribadi pada saudara Pak Lah, exco Kerohanian dan Sivik IZISH yang mempelopori usaha murni ini. Peranan beliau akan dikenang sebagai penemu dua 'musuh' politik kampus di UKM. Pada Pak lah (saudara Abdillah), terima kasih dan tahniah.
Saya selalu berpegang bahawa dalam berpolitik akan ada ada tiga perkara asas yang harus difahami, iaitu homogenity. heterogenity dan equilibrium. Homogenity atau persamaan akan membawa kestabilan, heteroginity atau kepelbagaian akan membawa kepada kedinamikan dan terletak antara keduanya equilibrium atau keseimbangan/kesederhanaan. Dalam makna yang mudah, ada perkara yang kita harus bersama kerana kita perlukan kestabilan, pada ketika yang lain ada perkara yang kita perlukan kepelbagaian untuk mencari kedinamikan dan dalam perkara tertentu kita memilih untuk bersederhana dengan membuat perimbangan.
Lihat alam semesta ciptaan Allah. Planet bersama sama mengelilingi matahari dalam putaran pada arah yang sama. Mereka patuh diorbit yang sama.Ini membina kestabilan cakerawala. Tetapi dijadikan Allah swt planet dan bintang berbagai saiz dan rupa untuk manusia mencari kelebihan setiap satu dan membina kedinamikan. Lihat pula manusia yang diciptakan oleh Allah mempunyai persamaan fitrah lahiriah dan batiniah supaya kehidupan masyarakat stabil tetapi Allah juga menciptakan kepelbagaian keupayaan, kebijakan dan bakat bakat yang berbeza antara seorang dengan yang lain. Tujuannya supaya manusia menjadi dinamik dan maju ke depan.
Politik kampus juga sedemikian rupa. Ada perkara yang harus semua pemimpin pelajar bersama demi membina kestabilan. Soal bersama dalam perjuangan agama, menghormati maruah dan menjaga nama baik 'musuh' politik, kematangan moral dengan menghindari dari perbuatan fitnah, menjaga nama baik UKM, menolak budaya surat layang dan membenci cercaan. Jika semua pimpinan pelajar memahami bahawa dengan memiliki kebersamaan ini adalah penting maka kestabilan politik danm kehidupan kampus akan terhasil, dan sebenarnya mereka adalah pimpinan yang matang dan bijaksana.
Pada ketika yang sama, pimpinan politik pelajar juga boleh berbeza untuk mencari kedinamikan. Manifesto piliharaya misalnya harus berbeza supaya pelajar dapat memilih apa yang mereka fikir terbaik untuk mereka. Begitu juga dengan cara perdebatan, gaya kepimpinan, cara mendekati para pengundi dan sebagainya, mereka boleh berbeza dan dengan itu akan menjadikan pemimpin dan politik pelajar lebih dinamik. Ini semua harus diraikan.
Pada ketikanya pula pemimpin pelajar perlu mencari equilibrium atau berimbang dalam tindakan mereka. Sebagai contoh di dalam membuat tuntutan kepada pihak pengurusan universiti perimbangan adalah yang terbaik. Sebagai pemimpin pelajar, mereka tidak semestinya perlu bersetuju dengan semua idea pengurusan universiti seperti pengetua kolej dan sebagainya. Ada ketikanya mereka boleh berbeza pandangan dan pendapat dengan pihak pengurusan. Itu diraikan kerana kepelbagaian akan membina dinamik.
Maka bersederhana dengan kaedah yang bersopan adalah lebih baik. Sebagai satu contoh, ketika permohonan program Himpun ini diajukan ramai pelajar yang ragu ragu akan kesediaan pihak pengurusan memberikan laluan pada pelajar untuk ikut serta. Tetapi kerana sikap bersederhana dan bertimbang tara di kalangan pimpinan pelajar, pihak pengurusan tidak menolaknya. Terima kasih kerana sikap keterbukaan pengurusan universiti di dalam memahami aspirasi dan inspirasi kepimpinan pelajar UKM.
Harapan kita supaya pimpinan pelajar UKM pada masa depan dapat kekalkan kematangan mereka dalam menguruskan kepolitikan di kampus. Kekalkan kesamaan yang membawa kepada kestabilan (perjuangan agama, nama baik UKM etc), raikan kepelbagaian untuk mencari dinamik (idea, perancangan projek dalam manifesto etc) dan bersedia untuk berimbang dalam mencari kesederhanaan (perbincangan dengan pihak pengurusan etc).
Maka sejarah yang tercatat hari ini akan terus menjadi sejarah besar yang baru bermula kerana akan lebih banyak sejarah baru akan terukir bila pemimpin pelajar UKM yang matang telah bersedia untuk memimpin pelajar UKM.