Felo kolej diperkenalkan sejak era pentadbiran HEPA dibawah tanggungjawab YBhg Prof. Dato Dr Abdul Halim Othman. Sebelumnya felo dikenali sebagai tutor yang bertanggungjawab membantu pihak pengetua kolej menguruskan penginapan pelajar.
Tutor atau felo ketika itu hanya bertanggungjawab kepada tiga perkara iaitu kunci bilik pelajar, disiplin dalam blok dan kecemasan pelajar. Hal hal lain pelajar biasanya tidak merujuk kepada felo termasuklah hal hal yang berkaitan penganjuran aktiviti di kolej kediaman. Bukanlah pelik ketika itu seorang pelajar yang akan bergraduan tidak pernah bersemuka atau kenal secara rapat dengan felo di kolej mereka menginap.
Di era Prof Dato Abu Hasan Othman sebagai TNC Hepa, institusi felo mula digerakkan sebagai penasihat aktiviti pelajar. Maka felo mula diberikan peranan baru sebagai pembimbing kepada aktiviti pelajar. Masih ingat ketika itu salah satu soalan lazim yang selalu di tanya oleh Prof Dato Abu Hasan bila bertandang ke kolej ialah TUJUH ETIKA MAHASISWA yang diperkenalkannya.
Hari ini institusi felo bukan sahaja semakin dinamik, tetapi peranannya juga semakin siknifikan kepada perkembangan pelajar kolej kediaman. Terdapat serami 160 orang felo di kolej kolej kediaman termasuk di kampus KL. Mereka ada yang terdiri di kalangan kakitangan UKM dan ada juga di kalangan pelajar pasca siswazah.
Setiap felo dilantik oleh TNC Hepa, diberikan elaun saguhati , rumah/bilik penginapan percuma lengkap dengan perabot. Bagi mengemaskinikan institusi felo satu draf "Term of Reference" (TOR) telah disediakan semasa saya bertugas di Bahagian Akademik Kolej (PPP). Begitu juga saya berkesempatan menghasilan dokumen draf TOR Timbalan Pengetua dan juga Felo Kanan.(Kini dalam proses semak semula oleh pihak HEPA dan Majlis Pengetua
Sejarah membuktikan institusi felo sangat penting dan relevan kepada pelajar UKM. Hari ini felo diberikan berbagai tanggugjawab khususnya berkaitan kebajikan pelajar, membimbing perkembangan kemahiran insaniah pelajar, fasilitator projek pelajar dan kekal bertanggungjawab berkaitan disiplin, kecemasan serta menguruskan kunci pendua bila ada pelajar yang tertinggal kunci di dalam bilik.
Maka jika ada kolej yang aktif penganjuran aktivitinya, meriah dan berjaya projek pelajarnya, pujian harus diberikan juga pada para felonya.Memang ada sumbangan yang besar oleh felo bagi menjayakan sesuatu projek pelajar di kolej kediaman. Malah data di JPPEL juga menunjukkan hampir 60 peratus projek pelajar di UKM datangnya daripada kolej kediaman dan semuanya mendapat sentuhan dari felo kolej kediaman.
Pun begitu masih ada keluhan daripada pelajar yang mengatakan ada felo kolej mereka yang masih 'tertidur'. Maksudnya di saat felo-felo lain begitu komited membantu pelajar kolej, ada segelintir felo yang melaksanakan tanggungjawab sekadarnya sahaja. Dan ada juga yang langsung tidak memberikan komitmen mereka kecuali terdesak. Misalnya sekadar menghadiri program pelajar bila ada perasmian atau kehadiran pegawai kanan UKM termasuklah pengetua. Selebihnya mereka tidak melibatkan diri dengan usaha pelajar menganjurkan program. Ada juga felo yang terlalu naif tentang penganjuran aktiviti pelajar kerana tidak aktif semasa di zaman pra siswazahnya dulu. Semasa ditemuduga, mereka ini seperti boleh melakukan apa sahaja demi pelajar, tetapi kemudiannya gagal memanfaatkan peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak UKM.
Felo yang sebegini sememangnya tidak sesuai dan seharusnya memikirkan dengan serius untuk melepaskan jawatan. Tetapi kerana tertarik dengan imbuhan elaun dan kemudahan penginapan yang disediakan agak baik, mereka terus menerus menjawat jawatan felo dan 'tertidur'. Pelajar kolej yang sebenarnya rugi kerana sepatutnya tempat felo tersebut boleh diisi oleh orang lain yang lebih berminat dan berpengalaman untuk membantu pelajar kolej.
HEPA telah membelanjakan peruntukan yang besar pada kebajikan felo. Bayangkan selain rumah atau bilik yang disediakan, elaun berbentuk saguhati sebanyak RM 300 untuk 160 orang felo boleh mencecah lebih setengah juta ringgit setahun.Semoga felo-felo ini insaf dan segera bangun dari 'tidur', mula kenalpasti kebolehan mereka, mula kenalpasti kepakaran dan mula mengerakkan pembanguna pelajar kolej semaksima mungkin. Semoga sinergi HEPA, kepengetuaan, institusi felo, JAKSA dan pelajar kolej secara seluruhnya akan membina persekitaran kolej yang kondusif untuk pelajar merasai 3S (seronok, selesa dan selamat) semasa tinggal di kolej kediaman UKM.
Pada felo felo Kolej, harap jangan 'tertidur' lagi....