2,690 total pageviews !!
Itu jumlah pelawat yang melawat blog Ilmu Mutu dan Budi yang baru dibina kurang 90 jam yang lalu. Angka ini amat menarik kerana penulis blog ini bukanlah selebriti atau tokoh politik. Pemikir besar pun jauh sekali. Setiap hari menjalankan tugasan memberi kuliah dan berulang alik menghantar anak-anak ke sekolah. Itulah yang dilakukan setiap hari hinggalah ke hari ini.
Beliau juga bukan nama besar dalam tokoh perjuangan mahasiswa di UKM dan jauh sekali di peringkat negara. Tetapi menarik bila apa yang ditulis beliau mendapat perhatian khususnya di kalangan pimpinan dan penyokong tegar PMUKM sesi ini.
Ramai yang beranggapan beliau cuba 'berperang' dengan PMUKM. Atau dalam istilah lebih politik beliau cuba membuat 'provokasi'. Maka kesannya nyata sekali. Beliau menerima berbagai e-mail, messages, comments facebook yang hampir semuanya memberikan respon yang positif.
******
Penulis katakan ini semua respons positif kerana pengirim e-mail, messages, dan comments facebook cuba mempertahankan apa yang mereka yakin betul. Sebagai anak muda yang bakal menguruskan masyarakat, pemimpin mahasiswa harus ada keberanian menyatakan apa yang dirasakannya betul sehinggalah mereka bertemu dengan sesuatu yang lebih betul. Misalnya hari ini mereka merasakan adalah betul atas nama perjuangan pelajar untuk berdebat, membelakangkan dan memusuhi pengurusan universiti, satu hari nanti mungkin mereka akan bertemu dengan sesuatu yang lebih betul iaitu adalah lebih baik bersama dan berbincang secara konstruktif dengan pihak pengurusan universiti untuk menjayakan sesuatu demi kebajikan pelajar.
Ini berlaku dalam semua keadaan kehidupan. Seorang kanak-kanak merasakan adalah betul untuk dia memberontak bila ibubapa tidak memenuhi permintaannya untuk membeli sesuatu yang sangat diingini, tetapi satu hari nanti bila sudah remaja, beliau akan bertemu dengan sesuatu yang lebih betul mengapa ibubapanya tidak membelikan apa yang diinginkannya dulu, bila dia mula tahu kemiskinan ibubapanya atau bila dia mula tahu duit yang ada lebih baik digunakan untuk keperluan keluarga yang lebih penting. Dia bertemu dengan sesuatu yang lebih betul berbanding sifat memberontak yang difikirkannnya adalah tindakan yang betul satu ketika dulu. Masa akan menentukan.
Blog ini merupakan satu ujikaji awal penulis. Penulis di dalam bidang sosiologi pendidikan. Secara khusus meneliti politik dalam pendidikan. Oleh sebab itu jangan pula disalahfaham penulis ingin berpolitik pula dengan pelajar kerana fokus penulis ialah membuat penelitian sejauh mana impak politik kampus terhadap pembangunan kepimpinan pelajar IPT. Pada penulis, hal berkaitan kepimpinan dan politik kampus ini sangat penting. Semakin berkualiti bakal pemimpin pelajar yang dihasilkan oleh IPT, maka semakin berkualitilah bakal pemimpin negara akan datang. Jika hal sebaliknya berlaku maka mudaratlah masyarakat masa depan.
Sebelum ini penulis sering kali dimomokkan bahawa mahasiswa sekarang sudah lesu, sudah lembab, tiada karisma, tiada idealisme perjuangan dan sebagainya. Penulis terkilan dan kecewa dengan semua tuduhan ini. Sedih bila anak muda yang akan mewarisi negara diletakkan tahap yang begitu rendah pada mata masyarakat.
Soalnya dalam UKM ini benarkah mahasiswa khususnya pemimpin PMUKM juga sedemikian? Jika sekali dengar dan sekali lihat rasanya benar. Melihatkan kepada pengaruh dalam PMUKM sahaja sudah jelas dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja. Merekalah yang membuat keputusan dan menentukan segalanya. Aura PMUKM juga tidak menyeluruh dan programnya tidak kelihatan ke semua fakulti dan di kolej kediaman apatah lagi program yang bersifat antarabangsa. Itu gambaran kasar yang boleh dilihat. Malah berbanding dengan pengaruh kepimpinan Jaksa Kolej Kediaman pun, pemimpin PMUKM masih kurang menyerlah di mata pelajar.
Tetapi penulis boleh berbangga kerana mereka masih ada jiwa anak muda. Mereka melenting bila diasak, marah bila dikata, melatah bila diusik. Bertahan bila diserang. Mereka ada rasa dan semangat perjuangan. Itu penting dalam menjadi pemimpin mahasiswa. Buktinya lihatlah kelakuan mereka dan kata kata mereka selepas membaca rencana di dalam blog ini sejak beberapa hari yang lalu di facebook PMUKM 2010-2011.
Cumanya penulis sedih, cukup sedih kerana mereka tidak menjelma menjadi pemimpin sebenar yang diperlukan oleh seluruh mahasiswa. Cantiknya semangat membara mereka harus disulam dengan sopan dan santun. Petah bicara harus diisi dengan adab dan ilmu. Ini yang mereka kurang.
Maka tidaklah benar sama sekali PMUKM diprovokasi. Hal yang sebenarnya ialah mendapat pendidikan. Tentulah pada tahap pemimpin pelajar, kuliah kepimpinan dalam kursus Pembangunan Pelajar bukan lagi pentasnya. Pemimpin PMUKM perlukan 'api' yang panas untuk memperolehi ilmu tentang kepimpinan. Pasti akan sukar untuk pemimpin pelajar faham makna sabar, syukur dan hemah dalam kepimpinan dan berpolitik kalau setakat mendengar kuliah kursus pembangunan pelajar semata-mata. Harus diperkukuhkan dalam bentuk amali. Pendidikan (provokasi?) secara amali untuk kepimpinan PMUKM sangat diperlukan.
Pemimpin yang hebat belajar dari pengalaman. Mencari pengalaman perlukan situasi sebenar atau sekurang-kurang simulasi. Di dalam hal ini di mana pengalaman akan diperolehi oleh pimpinan pelajar? Dewan kuliah..? Makmal komputer..? PTSL..? surau dan masjid..? tentulah tidak. Jawabnya pengalaman kepimpinan itu kita perolehi dari orang yang kita anggap 'pesaing' atau mudahnya 'musuh dalam politik'. Sebab itu jangan kita benci pesaing atau musuh politik kita, kerana kalau mereka hilang maka akan hilanglah tempat kita mencari pengalaman menjadi pemimpin.
Jika tiada pendidikan (provokasi?) akan kekallah sifat pemimpin pelajar yang layu, lembab, kaku seperti yang dimomokkan dalam media. Pemimpin pelajar yang layu merugikan UKM. Semakin banyak pendidikan (provokasi) berlaku akan semakin mantaplah PMUKM.Umpama kata orang orang tua Inggeris "like a tea bag- you never know how strong it is, until it is in hot water". Tak kisahlah siapapun yang memegang kuasa politik pelajar di pusanika, ASPIRASI atau ISIUKM (kedua-duanya persatuan yang sah di UKM). Penulis akan tetap memberi pendidikan (provokasi) yang sama sahaja. Sebab yang penting ialah pemimpin pelajar UKM mesti dibangunkan, bukan sahaja dalam UKM tetapi di kalangan IPT. UKM perlu kembali memjenamakan imej mahasiswanya. Ini sepatutnya menjadi agenda utama PMUKM. Jika kaedah memprovokasi itu sesuatu yang berkesan untuk mencapai matlamat pembelajaran membangunkan kepimpinan pelajar, apa salahnya dipraktikkan ? Menarik bukan....