Dalam diam rupa-rupanya masih ramai pelajar yang tidak jelas mengapa mereka beraktiviti di kolej, fakulti atau persatuan yang begitu banyak diwujudkan di UKM. Seolahnya mereka melakukannya sekadar untuk mengisi masa lapang dan ingin 'berseronok' melepaskan tekanan bersama rakan rakan setelah seharian di bilik kuliah atau di makmal. Pastinya tentu ada yang telah jelas dan faham benar mengapa mereka beraktiviti. Terutamanya di kalangan pimpinan persatuan, JAKSA dan sebagainya.
Begitu juga, ramai pelajar yang tidak dapat 'menangkap' dan melihat betapa pengurusan UKM sudah melakukan tranformasi dengan meletakkan aktiviti pelajar sebagai sesuatu yang sangat penting. Bayangkan UKM adalah satu satunya IPTA di negara ini yang menawarkan 8 kredit untuk aktiviti pelajar. Sedangkan rata rata IPTA lain sekadar menawarkan 2 hingga 6 kredit sahaja.
Malah di UKM, pembelajaran berasaskan minat dan kecenderungan pelajar diutamakan sehingga pembelajaran berasaskan Kontrak pembelajaran dijadikan sebagai asas pembelajaran berpusatkan kepada pelajar. Maknanya pelajar yang memilih, merancang, melaksanakan dan menentukan apa yang ingin dicapai dalam proses pembelajaran ini.
Sepanjang bertemu dan berbincang dengan pelajar, saya cenderung melihat mereka seperti 'terperangkap' dengan cara yang agak salah di dalam menterjemahkan aktiviti berkredit berasaskan kontrak pembelajaran. Mereka seperti tergesa tergesa untuk melengkapkan 8 kredit tanpa menghiraukan sangat soal hasil pembelajaran. Saya sudah beberapa kali menulis hal ini pada masa lalau dalam blog ini dan sebaiknya tidak lagi mengulangi untuk kali ini. Intipati yang harus difahami oleh pelajar ialah fokusnya bukan kontrak pembelajaran tetapi mencapai hasil pembelajaran.
Kali ini biar saya utarakan isu yang berkaitan aktiviti juga tetapi bersifat untuk masa depan. Jika terus diulang ulang tentang isu kontrak pembelajaran, kita pasti tidak akan ke hadapan dengan cepat terutamanya dalam usaha bergerak bersama dalam tranformasi UKM. Izinkan kali ini saya berdiskusi soal aktiviti berimpak tinggi.
Apakah aktiviti pelajar yang berimpak tinggi?
Pada tahun lepas, saya pernah memberikan ceramah saya pada semua felo di Port Dickson tentang konsep dan bentuk aktiviti berimpak tinggi. Dalam sesi tersebut, saya dapat menangkap secara intuitif bahawa masih ramai juga rakan rakan felo yang agak kurang jelas maksud serta bentuk aktiviti berimpak tinggi (high impact activities). Bunyinya memanglah agak sedap di dengar tetapi tanpa kefahaman yang mendalam, usaha untuk menjayakannya pasti akan menemui kegagalan.
Secara umum aktiviti impak tinggi membawa maksud selepas sesuatu aktiviti di lakukan oleh pelajar kesannya mestilah berjaya meningkatkan sekurang kurang satu dari tiga komponen di bawah. Jika sesuatu aktiviti berjaya meningkatkan ketiga tiga komponen di bawah sekaligus, maka itulah aktiviti paling tinggi impaknya.
a. Meningkatkan keperibadian pelajar yang bermaksud meningkatkan empat perkara berikut;
- kemahiran insaniah (komunikasi, kerja sepasukan, membuat keputusan etc)
- akhlak dan moral (kerohanian, amanah, bantu membantu etc)
- jatidiri kebangsaan (Bahasa Melayu, sejarah bangsa, toleransi, perpaduan, memahani interbudaya)
- kebolehpasaran (bahasa inggeris, hubungan industri etc)
b. Meningkatkan Citra UKM
- mempromosi imej universiti sebagai sebuah universiti berstatus kebangsaan
- kecemerlangan dalam semua bentuk pertandingan dalam dan luar negara
- pembinaan rasa sayang pada UKM dan program alumni.
c. Meningkatkan aktiviti yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat kampus, masyarakat dalam dan luar negara.
- Program khidmat masyarakat secara konsisten berasaskan bidang yang dipelajari di UKM.
- Mengerakkan Kesukarelawanan secara segera bila diperlukan dalam dan luar negara (e.g bencana)
Bagi setiap komponen ini ada rubrik (e.g: skala pencapaian 1-10) yang harus dibina. Setahu saya ini belum ada pada di UKM kecuali rubrik bahagian Kemahiran Insaniah (hanya salah satu dalam komponen keperibadian pelajar). Tanpa rubrik tidak mungkin kita dapat membuat penilaiaan pencapaian para pelajar UKM.
Di mana kita?
Saya yakin kita masih ada banyak ruang untuk penambahbaikan di dalam menguruskan aktiviti yang berimpak tinggi. Secara kasar pada saya kita baru mencapai 1/3 daripada keseluruhan konsep aktiviti berimpak tinggi. Aktiviti berimpak tinggi memerlukan satu dasar yang jelas, juga penyediaan perancangan strategik yang di kongsi bersama antara pengurusan universiti, kepengetuaan dan kedekanan, tenaga pengajar, pemimpin pelajar dan juga seluruh warga pelajar.