30 October, 2011

Pada Exco PMUKM, "Awat La Hangpa Jadi Lagu Ni ?"

Terlebih dulu saya mohon maaf jika kali ini nada tulisan saya agak tegas. Tetapi niat saya masih sama, memberikan pandangan dan memberikan teguran. Jika tak bersetuju abaikan sahaja pandangan saya. Tetapi pandangan ini dilakukan agar exco PMUKM lebih cekap dan teliti pada masa depan. PMUKM adalah sebuah organisasi, maka sejauh mana kecekapan berorganisasi, membuat keputusan serta mengagihkan tanggungjawab akan menentukan wibawa atau tidak exco PMUKM. Seperti biasa teguran saya adalah secara terbuka, ikhlas dan bertanggungjawab. Saya ingin mendidik supaya kita bencikan surat layang, fitnah dan sebagainya. Jika diterima dengan ikhlas, walaupun pahit pasti akan menambahbaik PMUKM pada masa akan datang. Bila saya menegur dengan ikhlas maknanya itu tanda saya masih sayang pada PMUKM. Saya sayang pada mereka yang ingin membina kepimpinan dalam diri mereka.

Kisahnya, beberapa hari yang lalu, pihak Yang Berbahagia Dato' Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi telah bersetuju hadir ke majlis ramah mesra dengan pimpinan pelajar PMUKM di kampus Bangi. Beliau sangat berhajat beramah mesra dengan semua pimpinan PMUKM. Antara lain tujuan pertemuaan ini untuk mendapatkan maklumbalas, mendengar aduan, menerima cadangan berkaitan hal ehwal kebajikan pelajar UKM terus daripada PMUKM. Pada masa yang sama exco PMUKM juga akan berpeluang mendapat info terkini berkaitan agenda dan aktiviti kemahasiswaan daripada pihak KPT. Misalnya projek terbaru berkaitan penubuhan Yayasan Sukarelawan Mahasiswa di semua universiti di negara ini. Pelajar yang berminat menjadi sukarelawan akan diberikan latihan dan juga peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat apabila berlakunya bencana seperti banjir, kemarau, runtuhan tanah dan sebagainya di dalam dan luar negara.

Malangnya majlis pada malam Rabu 26 Oktober 2011 yang sebegitu penting hanya dihadiri oleh empat MPP PMUKM sahaja. Terlebih dahulu tahniah dan terima kasih pada sdr Helmi Othman, sdr Wilfred, sdr Mohd Azlan dan sdr Kok Kiong yang 'berusaha' menjaga nama baik PMUKM di mata para jemputan yang hadir. Mana perginya exco PMUKM yang lain? Dimaklumkan program ini telah dimaklumkan lebih awal pada semua exco PMUKM termasuk kepada Presiden PMUKM sendiri oleh pihak JPPEL. Jika Presiden tidak dapat hadir kerana ada hal yang tak dapat dielakkan (dengan kenyataan), mana perginya Timbalan Presiden, Setiausaha Agung dan Ahli Majlis Tertinggi yang lain sehingga tidak hadir ke majlis tersebut. Nasib baiklah pihak kolej kediaman menghantar YDP Jaksa serta para exconya untuk meramaikan majlis pada malam tersebut. Bayangkan kalau YDP dan exco Jaksa tidak hadir, apa pandangan tetamu jemputan melihat ketidakhadiran begitu ramai MPP PMUKM (kecuali Wilfred, Mohd Azlan, Kok Kiong dan Helmi).

Sebagai pimpinan pelajar di peringkat PMUKM, exco tertinggi PMUKM harus sedar mereka mewakili seluruh pelajar di dalam apa juga majlis rasmi UKM yang memerlukan kehadiran mereka. Sesibuk manapun, mereka harus insaf bahawa apabila mereka telah bersetuju menjadi MPP, mereka telah menyatakan kesediaan memberikan komitmen sepenuhnya dan mempunyai tanggungjawab mewakili para pelajar UKM 24/7.

Ketidakhadiran exco tertinggi PMUKM di dalam majlis sepenting ini telah mencalarkan pandangan pihak KPT terhadap wibawa PMUKM pada sesi ini. Pasti akan ada suara suara nanti menempelak exco PMUKM cuba memboikot para pegawai atasan KPT pula. Maka penting untuk Presiden PMUKM menguruskan pentadbiran PMUKM dengan lebih cekap agar tidak nampak PMUKM cuba membelakangkan KPT. Cukuplah dengan tindakan PMUKM membelakangkan pihak pengurusan tertinggi UKM baru baru ini. Sekalipun pihak presiden tidak dapat hadir atas alasan peribadi atau hal yang lebih penting, wakilkanlah tanggungjawab ini pada Timbalan Presiden atau sekurang kurangnya pada Setiausaha Agung PMUKM. Ini amalan yang sering dilakukan oleh semua Presiden Persatuan Mahasiawa Universiti di semua IPT yang lain. Itulah juga amalan selama ini yang dilakukan oleh presiden PMUKM dizaman saya dulu. Janganlah berlaku sampai seorang exco tertinggi PMUKM pun tidak dapat hadir, sedangkan YBhg TNC HEPA yang begitu sibuk dengan tugas seharian beliau masih dapat hadir menghargai tetamu jemputan (KSU KPT) pada majlis tersebut.

Apa lagi yang ingin kita katakan tentang prestasi PMUKM sesi ini jika hal semudah inipun mereka gagal laksanakan sebaiknya. Bagaimana perkara sepenting ini mereka boleh ambil mudah? Atau mereka beramai-ramai memang sengaja tidak mahu hadir pada majlis tersebut? Kita semua tidak tahu tujuan sebenar mereka dan hanya mereka yang lebih memahami keadaan ini. Apa pun majlis malam itu berlangsung dengan lancar dan selesai dengan lancar. Terima kasih tidak terhingga buat YDP dan exco Jaksa Kolej yang telah 'mewakili' PMUKM. Apa yang sebenarnya berlaku dalam kepimpinan PMUKM sesi ini? Kisah PMUKM ini mengingatkan saya pada ibu di kampung yang selalu ucap ayat ini dgn loghat utara bila saya dan aruah adik lelaki saya bergaduh masa kami kanak kanak dulu " Awat la hang pa jadi lagu ni...". Saya sesungguhnya tak ada jawapan mengapa exco tertinggi PMUKM bertindak sedemikian rupa. Jadi saya buat keputusan untuk lupakan sahaja kisah malam rabu lalu..

Politik Kampus UKM...Sempit lagi Menyempitkan

Setiap tahun sejak UKM ditubuhkan, pihak HEPA tidak pernah gagal melaksanakan tugas mereka sebagai Suruhanjaya Pilihanraya Kampus UKM. Kalau SPR kebangsaan melaksanakan pilihanraya umum setiap lima tahun sekali dan sekali sekala melaksanakan piliharaya kecil mengikut keperluan, HEPA UKM pula terpaksa melakukannya pada setiap tahun. Bila ada pilihanraya kampus maka adalah budaya berpolitik di kalangan pelajar UKM.

Budaya politik kampus UKM memang menarik. Bentuk pilihanraya menyebabkan MPP yang dilantik hanya boleh melaksanakan tugasannya untuk setahun sahaja. Itupun tempoh masa 'bersih'  PMUKM mentadbir kurang daripada setahun. Misalnya tahun ini PMUKM hanya benar-benar mentadbir sekitar 7 bulan sahaja. (dilantik pada Mac 2011,  bermula peperiksaan pada April-Mei 2011, sesi dibuka semula pada September). Jika pilihanraya kampus kembali pada Februari 2012, maknanya tempoh pentadbiran PMUKM tahun ini hanya bermula pada bulan Mac, April, September, Oktober, November, Disember dan Januari 2012. Itupun belum ditolak cuti mid semester dan peperiksaan semester pertama nanti. Memang sempit masa yang ada.

Maknanya masa yang diperuntukan untuk berkempen yang penuh diisi semangat permusuhan sebelum pilihanraya, setelah memegang kuasa, tak ada pun yang boleh disumbangkan oleh exco PMUKM dengan masa yang singkat. Pilihanraya kampus seperti 'indah khabar dari rupa' atau 'lebih sudu dari kuah'. Kalau kita melihat bagaimana kuatnya permusuhan politik di kalangan GMUKM dan Aspirasi, seolahnya kuasa yang akan mereka bakal pegang bila berkuasa seperti sangat besar dan berpengaruh dan akan mengubah banyak perkara dalam kegiatan pelajar. Hakikatnya tidak ada apa pun yang berubah. Sedikit pun tidak berubah. PMUKM di bawah kuasa GMUKM tahun ini hanya mampu menjalankan kegiatan untuk kelompok mereka sahaja (sekitar untuk 300 orang penyokong tegar GMUKM), khususnya untuk ahli 'anak emas' mereka bernama ISIUKM.

Selain perhatian untuk ISIUKM, hampir tidak ada langsung usaha dilakukan oleh PMUKM untuk bersama kolej kediaman ataupun persatuan persatuan yang semuanya di bawah naungan PMUKM. Jika diteliti manifesto GMUKM, mereka nampaknya tidak dapat melaksanakan sebahagian besar janji dalam manifesto kerana ketidakmampuan mereka merancang dan melaksanakan dalam masa yang pendek. Maka janji tinggal janji sahaja. Apa boleh dilakukan kerana masa tidak menyebelahi mereka tahun ini. Mereka juga tidak bijak untuk menguruskan masa yang ada dengan lebih berkesan.

Maka piliharaya kampus ini memang sempit masanya sehinggakan tak banyak yang boleh dilakukan oleh PMUKM. Bila mereka bermusuhan terus terusan dengan ASPIRASI, TSB, pelajar Cina dan India, masa yang sempit menjadi berrtambah sempit lagi. Oleh itu janganlah pimpinan pelajar GMUKM-PMUKM treus bermusuhan dengan mana-mana kumpulan pelajar di UKM. Seharusnya mereka kembali bekerjasama dan tolong menolong untuk menjaga kebajikan pelajar, menegakkan syiar Islam dan bersama keluar ke dalam masyarakat untuk membantu.

Malangnya kebaikan seperti ini mustahil akan berlaku. akhirnya politik kampus yang sememangnya sempit ini telah disempitkan lagi oleh sikap dan pemikiran pimpinan pelajar. Mereka lebih berminat untuk bermusuhan, budaya kata-mengata, bersungguh sungguh sebarkan surat layang dengan niat menjatuhkan lawan politik mereka dan segala macam lagi keburukan (kononnya ini dibenarkan atas nama perjuangan Islam). Ayat Al Quran digunakan sewenang-wenangnya supaya lebih ramai pelajar berjaya dipengaruhi untuk memenangkan politik mereka semata-mata. Saya amat bimbang dengan budaya boleh 'menghalalkan cara' atas nama perjuangan menegakkan Islam walaupun apa yang dilakukan telah membawa kemudaratan pada orang lain. Tidak mungkin Islam membenarkan budaya fitnah, kata mengata, sebarkan surat layang, kelakuan mencerca orang lain walaupun atas nama memperjuangkan kesucian Islam. Tetapi demi politik kampus yang sempit, hal ini dilakukan juga.

Maka politik yang telah sedia sempit masanya, disempitkan lagi dengan cara pimpinan pelajar berpolitik. Maka betullah politik kampus UKM sekarang sempit lagi menyempitkan. Pemimpin pelajar GMUKM dan Aspirasi kena berubah. Saya setuju mereka perlu bersaing secara sihat atas nama perjuangan politik dan membina kepimpinan, silakan. Tetapi sedarlah bahawa ada masa-masanya mereka juga harus duduk bersama atas nama Islam dan juga kebajikan pelajar. Cukup-cukuplah dengan 'dendam-dendam politik' masing masing. Masa yang ada semakin pendek. Sekarang sudah hampir bulan November 2011. Jika tiada aral, dalam empat bulan lagi akan berlangsung satu lagi pilihanraya kampus. PMUKM, ISIUKM dan ASPIRASI telah bertindak matang bila bersama menjayakan program HIMPUN dengan inisiatif IZISH baru-baru ini.

Eloklah dianjurkan satu atau dua lagi program bersama atas nama memperkasakan idealisme perjuangan mahasiawa UKM. Misalnya anjurkanlah "Forum Bersama Kita Memperkasa Kebajikan Pelajar UKM" atau bersama membuat cadangan/tuntutan secara baik kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia supaya Pendidikan Islam diangkat menjadi wajib lulus dalam peperiksaan SPM. Semakin hari remaja Islam semakin jauh dari agamanya. Semakin banyak isu buang bayi, isu murtad, isu dadah, isu derhaka pada ibu bapa dan sebagainya semakin meningkat. Apa tindakan mahasiswa UKM ? Tak kan selama lamanya pimpinan pelajar UKM hanya berpolitik kampus sahaja. Bertindaklah sesuatu yang menunjukkan kepedulian mahasiswa terhadap isu masyarakat khususnya isu masyarakat Melayu dan Islam. Bertindak demi membina semula idealisme  mahasiswa UKM. Jika bukan sekarang bila lagi !!

28 October, 2011

Siapakah 'Dalang Politik Kampus' di UKM

Pertelingkahan politik antara ISIUKM-GMUKM, TSB, Aspirasi nampaknya tiada kesudahan. Walaupun banyak suara pelajar atas pagar memohon dan merayu supaya politik lebih matang diwujudkan, hal ini seperti tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam masa terdekat. Ada dua sebab utama yang menyebabkan hal ini seperti mustahil dijayakan.

1. Politik Tanpa Idealisme dalam Perjuangan Mahasiswa- Sekali pandang seolahnya semua kumpulan politik pelajar di UKM ada idealisme perjuangan. GMUKM kononnya dengan perjuangan Islam, TSB dengan perjuangan martabatkan bangsa Melayu dan bersifat pembangunan, Aspirasi dengan perjuangan martabatkan Aspirasi Universiti. Isiukm pula idealisme perjuangannya ialah menjadi tunggangan GMUKM. Walaupun namanya 'Studi Islam' yang membawa maksud di persatuan inilah perbincangan dan pengkajian tentang Islam dikembangkan kepada para pelajar UKM samada muslim atau non muslim, sejarah menunjukkan ISIUKM lebih berminat menurut apa sahaja rentak GMUKM hinggalah mereka bersetuju ISLAM dijadikan alat politik oleh GMUKM. Seharusnya mereka adalah badan yang berwibawa memberikan nasihat pasa semua kumpulan politik pelajar supaya jangan sekali kali mempermainkan Islam untuk politik, tetapi kerana tiada idealisme, ISIUKM ditunggang oleh pemimpin GMUKM bagi memenangi politik kampus.

Selama ini kita selalu menganggap pimpinan pelajar telah mempunyai idealisme perjuangan. Sebenarnya kita salah. Ada bezanya antara idealisme perjuangan mahasiswa dengan apa yang sedang dilakukan oleh pimpinan kumpulan politik pelajar UKM selama ini. Yang paling utama dalam pembentukan idealisme perjuangan pelajar UKM ialah meletakkan Islam sebaga utama. Pada masa yg sama idealisme mahasiswa menghormati agama-agama lain tetapi tidak akan sekali kali mengatakan kumpulan pelajar lain kurang Islam daripada kumpulan mereka. Idealisme mahasiswa meletakkan Islam di atas sekali sebagai perjuangan bersama semua pelajar, melampaui politik kampus. Inilah yang cuba Jaksa IZISH lakukan bila menganjurkan agar semua pelajar UKM bersatu dalam program HIMPUN baru baru ini. Islam juga asas kewujudan falsafah universiti. Maka perjuangan menegakkan syiar Islam adalah tanggungjawab semua pihak pelajar. Bukan hak milik kumpulan tertentu sahaja. Kedua, idealisme perjuangan mahasiswa meletakkan intelektualisme sebagai pegangan dalam amalan berpolitik. Disinilah letaknya amalan kematangan dalam berpolitik. Mahasiswa kena kuat membaca dan berbincang. Bersedia menerima kritikan dan memberi kritikan. Harus kritikan diberikan dengan ikhlas dan bertanggungjawab. Maka amalan surat layang, fitnah, cacian dan pembohongan atas niat menang dalam politik mencalarkan intelektualisme dalam idealisme perjuangan mahasiswa. Ketiga ialah mengutamakan masyarakat dalam perjuangan politik mahasiswa. Maknanya soal kebajikan menjadi tunggak kepada perjuangan mahasiswa di UKM. Kebajikan tidak hanya bermaksud soal jalan berlubang atau makanan mahal di kampus tetapi melampaui sempadan kampus. Isu pendidikan di kalangan masyarakat pendalaman, isu moral dan akhlak generasi muda, bersama SPRM menyedarkan isu rasuah dalam masyarakat, isu murtad, dan berbagai lagi. Termasuklah juga isu kebolehpasaran graduan UKM yang semakin serius beberapa tahun ini. Lihatlah rendahnya reputasi majikan pada graduan UKM pada 2010. Jangan kita hanya pandai bertanya apa yang pihak pengurusn UKM buat, kerana sebagai mahasiswa kita juga menyumbang kepada masalah ini. Soalan sepatutnya ialah apakah kami boleh lakukan untuk meningkatkan kembali reputasi majikan pada graduan UKM. Jika semua pimpina pelajar UKM boleh menerima Islam yang utama, intelektualisme sebagai amalan berpolitik dan kebajikan masyarakat (dalam dan luar UKM) adalah sasaran kerja, barulah politik UKM akan terjelma idealisme kemahasiswaan.

2. Campurtangan Dalang Politik Kampus- Sejak akhir akhir ini politik kampus tidak pernah berdiri sendiri. Ada banyak dalang dalang politik mengajar dan menunjuk-nunjuk apa yang boleh dan apa yang tidak boleh di lakukan oleh pemimpin pelajar. Ada antaranya adalah junior saya masa belajar dahulu. Sebab itu saya selalu memaafkan pelajar yang menggunakan kata kata kasar bila menghina saya apabila memberi teguran terhadap mereka. Tetapi tidak akan sekali kali memaafkan dalang dalang yang menghasut pelajar membelakangkan pihak pengurusan universiti, atau menghasut pelajar agar membina permusuhan sesama pelajar. Jahat sungguh dalang dalang ini pada pelajar. Saya pernah menasihati mereka supaya ikhlas menasihati pelajar. pernah pohon supaya mereka anjurkan para pelajar berbaik baik walaupun mereka dari kumpulan politik yang berbeza. Apa jawab mereka, "kita kena ajar mereka supaya perjuangkan Islam. Dan untuk tegakkan Islam kita kena menang piliharaya kampus". Saya katakan pada mereka apalah sangat untuk kuasai PMUKM yang berkuasa setahun, jika mereka berhajat untuk berpolitik daftarlah dengan cawangan parti politik di luar kampus dan berpolitiklah. Jangan ganggu politik pelajar di UKM. Para pelajar baru ingin belajar sebagai pemimpin. Saya tahu dalang-dalang ini tidak berminat dengan nasihat saya.

Ciri utama para dalang ini ialah mereka bercita cita ingin menjadi pemain 'catur politik' yang berkuasa mengerakkan anak-anak catur (pemimpin pelajar) mengikut nafsu dan cara mereka. Tetapi mereka sangat takut dan bimbang dikenali oleh umum. Mereka secara sembunyi-sembunyi berjumpa dengan pimpinan pelajar yang menjadi boneka mereka. Kita kena faham bahawa ada bezanya antara dalang dan orang yang benar benar ikhlas dan bertanggungjawab memberi pandangan secara terbuka berkaitan politik pelajar. Jika dalang tidak ikhlas dengan tindakan mereka, tidak mengenalkan identiti mereka takut diketahui oleh warga universiti, orang yang secara terbuka memberikan pandangan dengan niat yang ikhlas dan bertanggungjawab pada pandangan mereka akan memperkenalkan nama serta memberikan identiti mereka supaya diketahui oleh para pelajar dan warga UKM. Itu bukti bahawa mereka dengan ikhlas mahu memberi pandangan dengan tujuan mendidik pelajar tentang politik kampus. Soal pelajar terima atau tidak pandangan ikhlas tersebut, itu soal lain. Sebenarnya kewujudan dalang dalang politik inilah yang merosakkan sistem politik pelajar dan meracuni idealisme perjuangan pelajar. Dalang-dalang ini akan menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan. Siapakah dalang ini? Tak perlulah secara terbuka disebut nama mereka tetapi ada diantaranya adalah kalangan ahli akademik sendiri yang cuba 'berseronok' untuk berpolitik dengan menggunakan pemimpin pelajar. Ada antara mereka juga merupakan bekas pelajar UKM yang tidak puas berpolitik semasa di kampus dulu. Ada juga merupakan orang luar yang 'dijemput sebagai penasihat tak rasmi' kepada persatuan pelajar di UKM. Semua pihak tentunya mengalukan usaha mereka memberikan nasihat dan meraikan pandangan mereka tetapi lakukanlah secara ikhlas, bertanggungjawab, secara terbuka dan cuba untuk tidak memecahbelahkan pelajar UKM kepada kumpulan kumpulan yang bermusuhan. Selagi dalang politik kampus wujud, maka selama itulah juga idealisme perjuangan mahasiswa akan dikongkong pemikiran dan cara mereka beraktiviti.

Politik Individu Lebih Baik: Oleh itu sebaiknya piliharaya kampus dilakukan secara individu. Peraturan Pemilihan Pelajar UKM secara jelas telah menegaskan hal ini. Tidak boleh sebarang bentuk perkumpulan diwujudkan oleh mereka yang bertanding dalam pemilihan. Tetapi peraturan tinggal peraturan sahaja. Semakin lama semakin ketara bentuk perkumpulan politik pelajar. Maka penguakuasaan peraturan harus dijalankan mulai pada tahun ini. Sepatutnya jika terdapat sebarang bukti yang menunjukkan ada usaha membentuk perkumpulan, calon yang terlibat perlu disiasat dan jika ternyata ada asas, mereka boleh digantung jawatan (jika menang) atau dilucutkan jawatan (jika kesalahan berat dilakukan. e,g menganjurkan perarakan tanpa kelulusan atau menerbitkan bahan cetak secara haram). Sebagai calon mereka harus memahami bahawa perkumpulan akan membawa kepada perpecahan perpaduan pelajar. Malah lebih buruk lagi bila perkumpulan politik membawa kepada permusuhan atau pergaduhan sesama pelajar.

Maka politik secara individu lebih sihat. Malah menggalakkan lebih ramai pelajar untuk melibatkan diri. Amalan sekarang setiap kumpulan pelajar akan menghantar pasukan calon masing masing masing. Maka kita akan melihat piliharaya pelajar dalam situasi perlawanan dua penjuru di UKM. Jika ada calon bebas bertanding, akan ada pelajar berkata "itu tindakan yang tak masuk akal, sengaja nak kalah dan malukan diri sendiri".

Sepatutnya adalah sangat baik jika lebih ramai pelajar ingin menawarkan diri sebagai ahli MPP PMUKM. Ini akan menggalakan persaingan yang sihat, idea yang lebih dinamik dan piliharaya yang lebih bermakna bagi tujuan pendidikan politik dan kepimpinan.Para dalang politik kampus tentu tidak setuju dengan cadangan ini kerana akan menyebabkan idea dan pengaruh mereka hilang. Mereka tidak akan dihormati atau disegani lagi oleh 'anak anak catur' mereka.

27 October, 2011

Elok Bubarkan Sahaja Aspirasi dan Beri Pula Laluan Pada TSB

Sejak dimulakan pada 2003 dan memegang kuasa selama 7 tahun, akhirnya Aspirasi kehilangan kuasa pada tahun ini. Bahang kekalahan ini seperti tiada kesudahannya. Aspirasi seperti hilang semangat untuk terus berjuang. Sepatutnya bila kalah, berundur sekejap dari petempuran dan kembali bersatu untuk petempuran yang seterusnya. Panglima Perang Amerika, Jeneral Patton pernah berkata " kalah dalam satu petempuran bukan bermakna kalah dalam satu peperangan". Aspirasi baru kalah satu pertempuran sudah tersepuk di tanah. 'Peperangan kepimpinan' masih belum tamat dalam politik kampus. Penyokong Aspirasi juga masih ramai dan mengharapkan pimpinan Aspirasi kembali bangun menegakkan aspirasi universiti. Malangnya Aspirasi seperti terkejut dengan kekalahan sebelum ini dan terus bungkam meratap kuasa yang hilang di Pusanika.

Oleh itu jika sudah tidak bersedia berjuang, elok dibubarkan sahaja Aspirasi UKM. Jangan dibiarkan para pelajar yang menyokong mereka mengharap lagi pada Aspirasi. Di dalam UKM ini ada empat kumpulan pengikut utama politik kampus. Tiga kumpulan yang utama ialah pengikut GMUKM, ASPIRASI dan TSB. Jumlah mereka ini jika dikumpulkansenunya masih tidak boleh mengatasi jumlah kumpulan yang keempat iaitu pengundi atas pagar Melayu dan pengundi kumpulan pelajar Cina dan India.

Statistik piliharaya tahun lepas menunjukan jumlah pengundi atas pagar Melayu, pengundi Cina dan India mewakili hampir 60% pengundi pilihanraya kampus UKM. Maka kalau Aspirasi ingin kembali mencipta kemenangan, usaha bukan sahaja setakat menguatkan semangat penyokong mereka sahaja tetapi sepatutnya sudah mula mendekati pengundi pengundi atas pagar Melayu, Cina dan India.

Sejak semester di buka bulan september lalu, apa yang telah MPP Aspirasi lakukan untuk menarik hati pengundi atas pagar? Saya belum nampak satu usaha yang bersungguh sungguh mendekati hati  pengundi atas pagar. GMUKM pun tidaklah berbeza sangat. Penelitian yang dibuat menunjukan hampir semua program PMUKM dianjurkan atas kapasiti ISIUKM. Yang menghadiri program PMUKM pun adalah orang yang sama setiap kali program dianjurkan. Suara Kampus atau Ummah Talk walaupun berlainan tetapi yang hadir masih kelibat orang yang sama. Bilangannya juga hampir tetap, sekitar 250 ke 300 orang sahaja. Mereka juga masih tidak berupaya menarik perhatian pengundi atas pagar di UKM. malah mereka sekarang menghadapi masalah  dengan sebahagian besar pengundi Cina dan India. Bayangkan dalam satu acara ilmu Suara Kampus IV pada 24 Okt. 2011 yang lalu, forum bertajuk Bajet 2012: Dimanakah Mahasiswa, langsung tidak kelihatan pelajar Cina dan India di dewan kuliah 3B 301 FSSK.

Kalau masih tidak percaya, cuba pembaca teliti dan perhatikan dengan menghadiri beberapa program anjuran PMUKM untuk masyarakat kampus dalam sebulan dua ini. Jumlahnya pasti tidak melebihi 300 orang. Jadi kalau setakat 300 orang berbanding hampir 20 ribu pelajar kampus yang diwakili PMUKM, pengaruh GMUKM ternyata tidaklah besar. Majoriti pengundi adalah di atas pagar. Sebab itu dalam strategi berpolitik, mendaftar keahlian adalah salah satu tindakan paling utama dan sangat penting. Kenapa? Kerana dalam berpolitik secara pilihanraya, mengaum tidak menunjukkan kita hebat, mengiau tidak menunjukan kita lemah. Setiap orang ada satu undi. Sekuat manapun mengaum, hak mengundi tetap satu. Maksudnya seni berpolitik perlulah berpaksi kepada menyakinkan pengundi dan menarik mereka memberikan sokongan.

Perencanaan Aspirasi agak perlahan di sesi ini. Mungkin secara psikologinya mereka telah berjaya dilemahkan oleh GMUKM. Pimpinan Aspirasi menjadi ragu ragu dengan kebolehan mereka dan ragu ragu dengan kekuautan sokongan terhadap mereka. Mereka berjaya dilabelkan sebagi anti Islam oleh GMUKM, satu label yang ditakuti oleh setiap orang yang beragama Islam. Label ini membawa maksud pemimpin aspirasi jahil agama, lemah iman dan pembawa kemungkaran. Lantas secara psikologinya pemimpin Aspirasi menjadi takut dan akan lari 'bersembunyi' bila berhadapan dengan pimpinan GMUKM.

Sebenarnya, pemimpin aspirasi bukanlah anti Islam, mereka adalah lawan kepada politik GMUKM. BuktinyaAspirasi juga telah banyak menganjurkan program mensyiarkan Islam semasa berkuasa dahulu. Tetapi perang saraf politik GMUKM bertemakan 'anti Islam' pada kumpulan Aspirasi telah berjaya melemahkan pimpinan Aspirasi sepenuhnya. Lantas sikap berdiam diri dirasakan jalan yang terbaik buat masa ini pada Aspirasi. Mereka mungkin merancang akan mula bergerak bila hampir dengan pilihanraya kampus nanti. Sebab itu ada pelajar menyebut Aspirasi adalah persatuan bermusim, bila ada musim pilihanraya maka akan adalah aspirasi. Nampaknya kalau itu hasrat mereka, mereka sengaja menempah kegagalan buat kali yang kedua berturut turut. Jadi lebih baik sebelum kalah lagi, mansuhkan sahaja Aspirasi. Ibarat orang main tenis, kalau dah rasa nak kalah, lebih baik tarik diri kerana kecederaan.

Jika aspirasi dimansuhkan siapa pula akan menjadi pesaing kuat kepada GMUKM ? Saya rasa Tindakan Siswa Bersatu ada kekuatan tersebut. Walaupun sejak kewujudan Aspirasi pada 2003 seolahnya TSB memberi laluan kepada kejayaan Aspirasi, tahun ini sudah sampai masanya TSB kembali secara terang terangan dalam arena politik kampus UKM. Dengan sejarah kepemimpinan yang paling lama (kumpulan TSB sahaja masih kekal sejak tahun 1980an di UKM), saya percaya mereka mempunyai ramai pemimpin muda yang boleh diketengahkan pada piliharaya kampus nanti. Mereka juga masih mempunyai jentera yang berpengalaman dalam pilihanraya kampus. Cumanya mereka tidak lagi boleh bergerak secara berselindung di dalam berpolitik. Mereka harus keluar bersemuka dengan GMUKM-ISIUKM tahun ini.

Mereka harus mempertingkatkan kefahaman pelajar tentang kedudukan bumiputera, kedudukan Islam dan memperjuangan kemajuan bangsa Melayu sebagainya yang tertakluk di dlaam perlembangaan. Mereka juga harus kembali mengujudkan hubungan 'menang menang' dengan pelajar Cina dan India. Mereka harus mula mempelopori agenda politik matang dan politik mesra pelajar. Mereka harus bersedia menentang amalan menggunakan agama sebagai alat politik di UKM. Saya yakin pengundi yang di atas pagar dan pelajar bukan melayu akan cenderung memberikan undi mereka pada TSB pada tahun ini. Tetapi apapun TSB harus kembali dengan satu pakej serba baru untuk membina pengaruhnya di mata pelajar UKM.

GMUKM, ASPIRASI mahupun TSB adalah kumpulan kumpulan pelajar UKM yang mencari cari ruang untuk menjadi pemimpin. Melalui politik kampus mereka berpeluang berlatih menjadi pelapis pemimpin. Tetapi asas kepada politik kampus harus matang dan bertanggungjawab. Saya tidak bermaksud atau berniat mencampuri politik pelajar di UKM. Politik pelajar adalah hak pelajar. Saya sekadar memberikan pandangan. Pandangan yang baik ambil, kalau tak bersetuju sila tolak pandangan tersebut. Analoginya, dalam sebuah perkahwinan, apabila sang suami dan sang isteri selalu bertelingkah, menjadi tanggungjawab si ayah dan si ibu memberikan pandangan dan nasihat kepada mereka. Tetapi sangat salah tingkah sang bapa dan ibu jika pandangan mereka bertujuan menyebelahi atau memenangkan salah satu pihak sahaja. Tujuan nasihat harus ke arah menyealmatkan perkahwinan anak anaknya.

Begitu juga halnya di dalam politik kampus UKM ini. Bila pelajar (GMUKM dan Aspirasi) bertelingkah dan tak selesai selesai sejak sekian lama, sebagai pengetua, pendidik dan orang yang hampir dengan kehidupan pelajar dalam kampus, saya bertanggungjawab memberikan pandangan dan nasihat. Tidak pula berniat untuk saya menyebelahi mana-mana kumpulan pelajar.Nasihat saya bertujuan menyelamatkan idealisme perjuangan mahasiswa yang sebenar dan jangan sampai politik kampus sewenang-wenangnya menggunakan Islam sebagai alat politik oleh mana mana kumpulan pelajar semata-mata kerana ingin kuasa yang hanya setahun  di UKM ini. Akibatnya amat buruk sekali pada pembangunan insan, membina budaya bebalisme di kalangan mahassiawa dan masa depan mahasiswa UKM. Selain membentuk permusuhan sesama Islam, ada yang menggunakan ayat Al Quran untuk berpolitik sempit dan para pelajar ditanamkan budaya takut berfikir dan menkritik, bimbang dilabelkan anti Islam.

Lagi Contoh Bagaimana Islam Dipolitikkan Oleh PMUKM-GMUKM

Saya masih ingat dengan jelas satu peristiwa di Kolej Dato Onn sekitar awal 1990an. Dalam satu majlis perasmian program sempena minggu Suaikenal (sekarang BMP), telah diadakan tarian tradisional Melayu sebagai penyeri majlis. Ketika itu majlis tidaklah sehebat hari ini. Seingat saya dulu untuk mencari pelajar yang bersedia menubuhkan pasukan tarian sangatlah sukar. PMUKM ketika itu dikuasai oleh kumpulan Islam Penyelamat Ummah (IPU).

Ketika itu hanya pelajar sabah dan sarawak dan pelajar bukan Islam sahaja yang bergiat aktif dalam kesenian di kolej. Pelajar Melayu akan dipulaukan jika mereka cuba menjadi penari atau pengiat keseniaan (band muzik,nyanyian) di kolej. Pusat kebudayaan ketika itu tidak mempunyai hubungan kerjasama dengan pihak kolej. Mereka hanya bertugas menganjurkan program universiti dan juga kursus kursus keseniaan fakulti. Pengarah unit kebudayaan ketika itu ialah Dr Inon Shaharudin (kini telah bersara).

Pusat Kebudayaan sering kali menjadi sasaran kelompok IPU kerana dikatakan sebagai 'pusat maksiat' di UKM. Di kolej program kesenian agak malap dan hampir mati. Mana mana pelajar kolej yang berminat dengan kesianan terpaksa terus pergi ke Pusat Kebuadayan untuk menjalankan aktiviti mereka samada tarian, teater, nyanyian, band muzik dan sebagainya. UKM juga tidak begitu terkenal dengan program kebudayaan seperti mana sekarang di peringkat MAKUM IPTA..

Berbalik kepada majlis tadi, sebaik sahaja selesai ucapan dan persembahan, pelajar bertepuk tangan sebagai tanda meraikan ucapan dan juga persembanan yang telah diadakan. Selesai majlis malam itu pihak penganjur (Jaksa KDO) di datangi oleh beberapa pimpinan IPU pusat (PMUKM) bersama naqib IPU KDO. Antara teguran yang diberikan selain jangan lagi menganjurkan persembahan tarian yang melibatkan wanita sebagai penari, pimpinan IPU juga menasihati jaksa KDO supaya elakkan budaya bertepuk tangan kerana itu dikatakan meniru budaya orang jahiliah, Yahudi dan Nasrani. Mungkin kerana segan dan juga menghormati teguran tersebut, para jaksa tidak menunjukkan apa apa reaksi melawan dan akur. Ini kisah hampir 20 tahun yang lalu. Minggu ini muncul kembali isu bertepuk ini.

Ini sesuatu yang agak menarik. Semua tahu bahawa IPU, MAMPU dan GMUKM adalah kumpulan yang sama. Sebab itu bila IPU hilang dijenamakan pula MAMPU dan MAMPU juga senyap bila diganti menjadi GMUKM. Berbeza dengan TSB yang masih kekal sehingga hari ini walaupun dikatakan TSB itu Aspirasi. Maknanya TSB dan Aspirasi adalah dua badan yang berbeza kerana kedua duanya masih wujud sekarang.

Hari ini semua kita tahu bahawa hukum bertepuk tangan di kalangan ramai ulama adalah harus jika di lakukan di luar solat. Tetapi mengapa dulu pimpinan IPU menyatakan amalan bertepuk tangan itu  amalan yahudi dan nasrani dan hukumnya haram. Jawabnya, kerana ketika itu amalan bertepuk tangan menjadi identiti kepada kumpulan TSB. Saya masih ingat lagi bahawa bagaimana setiap acara anjuran kumpulanTSB, mereka akan minta para pelajar bertepuk tangan sekuat dan selama yang boleh, tujuannya sebagai pembina semangat kumpulan dan pembentukan identiti. Maka kalau sekarang ini kita mendengar 'perang Dectar', itu sebenarnya adalah warisan yang dilakukan sejak begitu lama oleh pelajar kumpulan TSB. Maka bagi mengurangkan persaingan dan melemahkan semangat TSB, pimpinan IPU mengatakan bertepuk tangan adalah haram, tujuannya supaya pelajar bimbang dan takut berdosa jika mereka mengamalkan budaya bertepuk tangan dalam program di UKM. Strategi IPU berkesan kerana dengan menggunakan hukum Islam mereka berjaya mengurangkan semangat dan kesatuan musuh politiknya- TSB. Agak lama juga budaya bertepuk tangan hilang di UKM. Sehinggalah pada tahun 2003, apabila kumpulan Aspirasi mengambialih daripada MAMPU, barulah budaya bertepuk tangan hidup semula dan aktiviti keseniaan juga bernyawa semula. Menarik bukan, bagaimana perkara semudah itu boleh menjadi satu 'dogma' politik dalam kampus UKM.

Tetapi hari ini, GMUKM (warisan IPU) telah mengharuskan budaya bertepuk tangan. Tak kiralah samada bertepuk dengan tapak tangan atau belakang tapak tangan. soalnya mengapa sekarang hukumnya telah berubah menjadi harus? Tidak lain kerana tepukan itu 'senjata' ampuh untuk menunjukan penghormatan dan meraikan karisma pimpinan GMUKM dan sekaligus berperanan mengukuhkan kesatuan kumpulan GMUKM.

Jika kita menjadi agen syarikat insuran, perkara pertama yang akan diajarkan ialah mestilah bertepuk tangan sebagai tanda kesatuan sesama agen insuran dalam kumpulan. Semakin kuat kita bertepuk maka itu menunjukkan komitmen dan kesatuan kita adalah kuat. Tepukan memberikan semangat pada ahli dan juga pada pemimpin kumpulan. Pada masa yang sama GMUKM tidak lagi bimbang untuk menggunakan budaya bertepuk tangan kerana TSB sudah tidak lagi menonjol dalam amalan bertepuk tangan kecuali semasa 'perang dectar' setahun sekali. Maka sekarang amalan bertepuk tangan menjadi harus atas dalil hukum boleh berubah mengikut keadaan.Kita terimalah keharusan ini. Malah sejak dahulu pun ketika IPU kata bertepuk tangan haram, bacaan yang saya lakukan menjurus kepada hukumnya adalah harus. Tetapi pandangan saya tidaklah penting sebagaimana pandangan para naqib dan pimpinan IPU ketika itu.

Jadi isu bertepuk tangan jelas menjadi modal politik, dari haram menjadi harus atas nas-nas yang telah diberikan. eloklah kita kena  terima dan sokong akan hal ini.

Tetapi bagaimana pula dengan hukum tarian oleh wanita yang diadakan di malam pesta konvo baru baru ini? Saya berkesempatan memenuhi jemputan ke malam perasmian penutup konvo dan tahu ada tarian yang dipersembahkan oleh para penari wanita Pusat Kebudayan UKM. Di tahun tahun sebelumnya, GMUKM menentang sekeras kerasnya sebarang acara kebudayaan terutama yang melibatkan tarian oleh wanita. Mereka melabelkan acara kebudayan sebegini sebagai maksiat dan haram. Bumi UKM tak akan selamat kerana membenarkan maksiat bermaharajalela, ujar mereka.

Saya terdiam dan berfikir. UKM ini ada pelbagai latar pelajar. Ada Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak. Bila ada aktiviti di UKM, pelajar bebas memilih mengikut minat dan keperluan masing masing. Pihak UKM bertanggungjawab pada semua pelajarv dan perlu sediakan berbagai bentuk aktiviti untuk pelbagai jenis pelajar. Kita tidak boleh nafikan hak untuk pelajar yang ingin menghadiri acara acara persembahan selagi persembahan tersebut tidak bercanggah dengan tatasusila masyarakat Timur. Malangnya GMUKM tidak begitu, pada mereka haram tetap haram. Tarian wanita adalah maksiat dan mesti dihentikan. Saya dimaklumkan Pengarah Pusat Kebudayaan sendiri beberapa kali diingatkan oleh kumpulan ini supaya jangan anjurkan program yang mereka labelkan sebagai 'maksiat' di UKM.

Tetapi tahun ini berbeza, apabila GMUKM telah menguasai PMUKM , mereka menganjurkan pesta konvo yang juga mempunyai persembahan tarian wanita di khalayak ramai. Malah saya melihat pimpinan PMUKM sendiri berada di pentas utama menyaksikan tarian tarian tersebut sambil makan-makan. Apakah sekarang ini apa yang dilabelkan sebagai maksiat dan haram oleh GMUKM sudah juga menjadi harus? Saya pasti ramai pelajar semakin keliru. Saya fikir ada bezanya antara hukum berubah mengikut keperluan (darurat) dengan hukum berubah mengikut kepentingan politik.

Mengapa 'diharuskan' oleh GMUKM supaya ada tarian di konvo kali ini? Kita tahu program kebudayaan mempunyai kekuatan untuk menarik 'crowd' di kalangan pelajar kampus. Tanpa program sebegini pasti tapak pesta akan sunyi dan hambar. Ini akan dikatakan satu kegagalan pada PMUKM dalam memeriahkan pesta konvo. Maka perlu ada program yang boleh mearik bilangan pengunjung walaupun dulunya dilabelkan sebagai 'maksiat' oleh mereka  demi menjayakan pesta konvo tahun ini. Sebagai menghalalkan acara ini, arahan dikeluarkan supaya dipisahkan tempat duduk antara pelajar lelaki dan wanita. Itu satu usaha yang baik tetapi acara tarian wanita itu sendiri bagaimana? Bolehkah pemisahan antara lelaki dan wanita itu menghalalkan sesuatu yang dulunya ;dilabelkan sebagai maksiat oleh GMUKM ?

26 October, 2011

Aspirasi Perlu Pulang Ke Pangkal Jalan Jika Ingin Menang Pilihanraya Kampus UKM

Kata orang tua-tua, bila kita hilang arah, segera kembali ke pangkal jalan. Mungkin inilah yang perlu pimpinan Aspirasi UKM lakukan sekarang. Mengapa saya katakan demikian ?

1. Aspirasi dimulakan di UKM oleh sekumpulan pelajar yang telah hilang kepercayaan pada kepimpinan PMUKM sebelumnya. Mereka merupakan pimpinan kolej kediaman yang merasakan sesuatu harus dilakukan untuk mengembalikan semula semangat sebenar perjuangan mahasiswa UKM. Mereka bukan sahaja tidak rela pimpinan politik pelajar UKM diperkudakan oleh orang politik dari luar UKM tetapi juga meletakkan matlamat untuk mencuba sedaya upaya membina reputasi yang lebih baik untuk graduan UKM di mata para majikan terutama di sektor swasta.

3. Maka pada tahun 2003, mereka mula membina satu barisan kepimpinan yang mendapat sokongan padu pelajar di kolej kediaman untuk bertanding dalam piliharaya kampus. Nyata langkah mereka tepat. Mereka berjaya menguasai PMUKM dan seterusnya melaksanakan pelbagai program untuk meletakan pelajar UKM di tempat yang lebih baik di mata masyarakat dan juga pihak majikan swasta. Malah pada tahun itu juga Pesta Konvo berjaya memperolehi keuntungan yang besar dan sebahagiannya disumbangkan kepada urusetia konvo pada tahun seterusnya. Amalan itu diteruskan setiap kali pesta konvo mendapat keuntungan. Tapi tahun ini, dikhabarkan Pesta Konvo telah mengalami kerugian yang besar, mungkin sukar untuk mereka meneruskan amalan baik ini. Sama-sama kita tunggu laporan kewangan yang sedang disediakan oleh pihak urusetia pesta konvo tahun ini. Kita tengok berapa kerugian yang telah direkodkan dan siapa yang akan menanggung kerugian tersebut. Harapnya janganlah pula kita terpaksa menggunakan wang dari yuran pelajar UKM. Saya juga mendengar khabar pihak pengurusan UKM juga tidak berminat untuk menjadi penanggung kepada kerugian yang dilakukan oleh urusetia pesta konvo kali ini.Harapnya khabar ini adalah berita yang benar. Seperti yang kita semua tahu kerugian pesta konvo tahun ini bukan kerana masalah seperti adanya bencana besar atau dasar universiti yang berubah tetapi sepenuhnya disebabkan oleh kelemahan perancangan dan urustadbir pihak urusetia. Mereka juga gagal mencari penaja utama seperti tahun tahun yang lalu. Buat sementara ini kita tunggu sahaja laporan kewangan dan laporan post mortem urusetia pesta konvo dengan sabar.

4. Mengapa Aspirasi boleh menang pada tahun 2003 dan terus memimpin sehingga 2010?.Pertama mereka kuat berpegang kepada 3 teras utama aspirasi UKM iaitu (1) memperjuangkan aktiviti yang menyokong UKM adalah universiti rakyat, (2) aspirasi UKM yang mendukung dan mempertahankan perlembagaan negara (kedudukan agama Islam, Bahasa Melayu, hak asasi dll) dan (3) aspirasi UKM yang meraikan perpaduan kaum yang berasaskan kontrak sosial masyarakat Malaysia. Atas 3 teras aspirasi ini mereka membina konsep pelajar sayang UKM, pelajar sayangkan demokrasi, rukunegara dan kenegaraan dan pelajar sayangkan keamanan dan toleransi bermasyarakat. Nampaknya pelajar UKM cenderung untuk menerima 3 teras ini dan mula memberikan sokongan pada pimpinan aspirasi.

5. Pimpinan aspirasi meneruskan kesinambungan kuasa di PMUKM dengan usaha yang sama selama beberapa kali pilihanraya. Mereka berjaya membina barisan pelapis pimpinan Aspirasi dan aktif menjaga kebajikan pelajar. Pihak pelajar kolej terutamanya memberikan sokongan padu pada PMUKM dan sehinggalah mereka menwujudkan kelab Aspirasi di kolej kediaman.

6. Malangnya mulai tahun 2008, pimpinan Aspirasi mula hilang arah perjuangan mereka. Mereka tidak lagi menekankan tiga teras aspirasi yang diperjuangkan di fasa awal penubuhan Aspirasi. Malah pimpinan Aspirasi mula tersilap langkah kerana termakan strategi GMUKM supaya Aspirasi 'bermain di padang' mereka. Inilah kesilapan terbesar Aspirasi dalam seni berpolitik di kampus UKM. GMUKM menggunakan agama Islam sebagai modal politik. Saya tegaskan berkali kali, Islam telah digunakan untuk GMUKM menang pilihanraya kampus UKM. Kalau tidak masakan semasa PMUKM Aspirasi menganjurkan konsert dan tarian wanita mereka labelkan sebagai maksiat tetapi bila PMUKM tahun ini anjurkan pesta konvo, GMUKM telah izinkan konsert dan tarian oleh wanita. Saya tahu Islam agama yang dinamik tetapi bagaimana sanggup GMUKM 'memfatwakan halal' kepada maksiat yang mereka telah labelkan haram adalah sesuatu yang sungguh mengelirukan. Mungkin mereka ada dalil tentang hal ini. Tetapi haram tetap haram dalam Islam, kecualilah itu sesuatu yang difatwakan sebagai darurat. Maka ini saya sangat yakin bahawa semua ini adalah permaian politik semata-mata, dan nampaknya srategi politik ini memakan diri tahun ini.

7. Aspirasi harus kembali ke pangkal jalan. Mereka harus kembali kepada 3 teras aspirasi yang telah diterima oleh pelajar UKM pada 2003 dulu. Buktinya para pelajar telah memberi undi yang besar pada pimpinan Aspirasi. Mungkin pimpinan Aspirasi tidak sedar, bila GMUKM gunakan Islam sebagai modal politik, maka mereka merencanakan perang saraf supaya pelajar UKM akan melihat apabila Aspirasi menentang GMUKM, seolahnya Aspirasi menentang Islam. Maka tentunya tiada sesiapa akan berani menyokong aspirasi kerana akan merasa bersalah dan dilihat seperti menentang agama Islam. Ini strategi politik yang digunakan oleh GMUKM supaya mereka dilihat sinonim dengan Islam dan sesiapapun yang menentang GMUKM termasuk pihak pengurusan UKM akan dilabelkan menentang agama Islam dan menjadi musuh Allah. Bijak strategi sebegini. Akhirnya GMUKM berjaya menguasai PMUKM pada tahun ini.

8. Oleh itu jika Aspirasi ingin kuasai kembali PMUKM, mereka harus mula bermain di padang mereka sendiri. Mereka harus bangunkan segera pimpinan aspirasi yang baru, memberikan perhatian kepada kebajikan pelajar UKM, bersikap proaktif kepada masalah pelajar dan membentangkan perancangan yang menyakinkan para pengundi bahawa Aspirasi lebih layak diundi daripada calon GMUKM.

9. Malangnya Aspirasi belum sedar tentang hal ini. Mereka juga belum tersedar dari kejutan bila kalah dalam piliharaya yang lepas. Semangat mereka juga belum pulih sepenuhnya. Tetapi jika hari ini mereka belum kebah, alamatnya demam mereka akan berterusan di tahun hadapan.Aspirasi perlu keluar dari kepompong bahawa perjuangan untuk pelajar hanya di musim piliharaya kampus sahaja. Perjuangan pelajar adalah tanggungjawab 24/7. Itulah makna pemimpin dan kepimpinan. Jika belum bersedia, ingatlah pesanan orang tua kita.. kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

25 October, 2011

Tulis blog perlu ikhlas dan bertanggungjawab. Terima Kasih Sdr. Khairul Shazwan

Berikut adalah komen sebuah blog tanpa nama penulis dan profile  yang mengulas berkaitan penulisan blog Ilmu Mutu dan Budi. Saudara Khairul Shazwan telah post blog ini... terima kasih. Sebagai pembaca, kita tentu tertanya tanya mengapa seseorang tidak bersedia memperkenalkan dirinya bila beliau menulis sesuatu. Apakah beliau menulis dengan niat yang tidak baik, adakah beliau takut dan tidak mahu bertanggungjawab dengan tulisannya. Maka jangan kita mudah percaya dengan tulisan manusia sebegini. ini bukan amalan yang Islam anjurkan pada umatnya. Bimbang tulisan tanpa nama penulis akan menjadi satu fitnah yang terpaksa ditanggung dosanya. Pada pembuat fitnah memang akan terasa puas nafsunya, tetapi pada yang difitnah akan terasa sakit dan malu. Maka bila Allah samakan dosa fitnah sepert dosa membunuh, kita ambillah pengajarannya. Mulalah menulis dengan identiti diri yang sebenar. Islam meraikan berbeza pandangan demi kebaikan ummah, maka mari kita amalkan.



Ayuh baca,ini baru btol, fakta vs fakta !!

pena....
change-is-eternal.blogspot.com

 ·  ·  ·  · 4 hours ago · 

    • Anuar Ahmad 

      Salam, Bila saya menulis saya paparkan nama dan gambar sebenar tanda saya ikhlas menasihati PMUKM. Saya juga bersedia kalau ada yang tak bersetuju atau marah dengan pandangan saya. Exco PMUKM adalah pemimpin pelajar, mereka sudah cukup matang dan tahu mana pandangan yg sesuai, dan mana pandangan yang mereka tak setuju. Tetapi blog ini ditulis oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Tiada nama, tiada gambar dan tiada profile sebenar. Penulis ini jelas ada niat yg tak baik dan tindakan ini tidak bermoral dalam penulisan. Jika kita benar dan berniat baik, kita kena katakan kebenaran tersebut dengan terbuka dan ikhlas. Mengapa kita perlu bersembunyi jika kita benar benar berjuang atas nama kebenaran dan kesucian agama. Apa pun terima kasih kerana penulis blog ini sudi membuat analisis penulisan saya, itu satu penghormatan buat seorang penulis blog seperti saya. Saya juga sudah maafkan semua kata kata beliau yang berniat tak baik ditujukan pada saya. Terima kasih.

      3 hours ago · 

    • Khairul Shazwan Mengapakah tuan tidak mewujudkan analisis sebegini rupa 2-3 tahun sebelum ini?syg skali mgkin byk bnde yg nak dibtolkan lebih2 kpmpinan sblum ini mnginjak usia 7 thun kpmpinan..
      about an hour ago · 

    • Anuar Ahmad 

      Saya setuju dengan sdr Khairul bahawa kepimpinan pelajar perlu diperbaiki sejak dahulu lagi. Saya dah lama teliti dan ketika itu lebih suka membenarkan pelajar sendiri yang mengubah cara berpolitik mereka. Tetapi tak pernah berubah. Jadi saya fikir 'better late than never'. saya tak sebelahi mana-mana pihak dalam politik pelajar UKM. Saya pensyarah dan pendidik yang memandang semua pelajar saya di UKM adalah sama. Yang baik saya puji, yang lemah saya nasihati. dan saya meletakkan pandangan saya lebih atas daripada pemikiran politik kampus sedia ada. Saya sokong perjuangan meletakkan Islam sebagai cara hidup di kampus dan saya sokong agenda pembangunan bangsa melayu. Tetapi pada saya perjuangan menegakkan Islam harus yang paling utama bukan kerana tujuan utk politik sempit kampus. Islam dibangunkan oleh Rasullah bukan atas asas politik tetapi atas akidah dan nilai-nilai baik. Politik hanya wujud selepas wafatnya Nabi Muhammad s.a.w. Malah kutbah kubra yang terakhir pun baginda pun tak sebut tentang siasah dalam Islam secara langsung. Politik dalam Islam hanya wujud di zaman khulafa. Sebab itu berpolitik tidak salah dalam Islam. Dipersilakan sesiapa yang berminta tetapi wajib dengan nilai-nillai Islam yang baik dan murni. Mana mana pelajar yang nak berpolitik teruskan. Itu hak masing masing. tetapi berpolitiklah dengan cara yang sihat dan matang. Kalau pelajar mengikut budaya politik di luar kampus yang semakin mengila, Islam pasti tak akan kuat, melayu pun tak akan gagah. anak cucu kita akan salahkan kita kerana sikap kita hari ini. Mahasiswa kena tunjuk angin perubahan dengan cemerlang akademik, tunjuk contoh kepimpinan dan jadi model terbaik dalam berpolitik. pasti masyarakat akan terkesan dengan idealisme perjuangan mahasiswa.

      4 minutes ago · 

Rupanya GMUKM Lebih Kuat 'Semangat Melayu' dari Tindakan Siswa Bersatu (TSB)

Malam tadi di Dewan Kuliah 3B301 FSSK, saya sempat menghadiri satu program PMUKM 'Suara Kampus Siri IV membincangkan Bajet 2012: Di manakah mahasiswa. Terima kasih pada sdr presiden PMUKM yang maklumkan program ini di facebook saya. Tiga panel di kalangan tenaga akademik UKM dan juga UIA telah dijemput. Kerana merekalah juga saya mengambil keputusan untuk hadir bagi mendengar perbincangan tentang bajet. Tahniah pada PMUKM yang menjayakan program ini.

Cumanya agak terkilan bila tajuk forum Bajet 2012: Di Manakah Mahasiswa? sedangkan tidak ada pula pimpinan PMUKM atau pelajar terbaik di FEP yang turut diundang sebagai panel pada malam ini. Sekurang -kurangnya ingin juga mendengar analisis mahasiswa tentang bajet 2012. Juga sedikit terkilan kerana tiada wakil pihak pemerintah  yang dijemput. Sepatutnya elok dijemput kerana pihak pemerintah  adalah pencadang kepada bajet ini. Semua panel malam ini adalah mereka diluar badan pentadbiran kerajaan. Tetapi kita tinggalkan dulu soal diskusi dan juga soal siapa panel program ini. Ada perkara lain yang tidak kurang menariknya untuk saya tulis sepanjang pemerhatian saya di situ.

******
Semua orang tahu orang Cina menguasai segmen ekonomi negara. Sehingga 2009, kuasa ekomoni orang Cina telah mencecah hampir 60% ekuiti kekayaan negara ini. Sebut sahaja apa juga bidang berkaitan ekonomi dari pembinaan, pengangkutan, teknologi pertanian, perdagangan, tekonologi maklumat, kesihatan, malah pasukan  yang menarik masuk FDI juga penjana DDI (domestic direct Investment), semuanya dikuasai oleh masyarakat Cina. Bukan sahaja di Malaysia tetapi hampir di seluruh dunia, diaspora Cina merupakan penguasa ekonomi dunia yang paling utama. Rujuk dan bacalah buku Profesor Dr Amy Chua dari Universiti Yale yang bertajuk "World of Fire: How Exporting Free Market Democracy Breeds Ethnic Hatred and Global Instability (2004) yang membincangkan kuasa ekonomi orang Cina dan budaya kuat mereka tentang "ringgit dan sen".

Maka sangat pelik bilamana PMUKM (baca; GMUKM)  menganjurkan program Suara Kampus IV pada malam tadi tidak ada kumpulan pelajar Cina yang kelihatan di Dewan 3B 301 FSSK. hairan memikirkan bagaimana perbincangan tentang ekonomi yang menjadi agenda besar masyarakat Cina tidak dipedulikan oleh pelajar pelajar Cina UKM. Dewan yang boleh mengisi sekitar 300 orang hanya dipenuhi oleh orang Melayu. Semuanya orang Melayu. Nampaknya persis forum khusus untuk pelajar Melayu. Hendak dikatakan forum orang Islam pun tidak juga kerana tidak juga kelihatan saudara Cina yang beragama Islam atau pelajar Timur Tengah yang beragama Islam. Yang ada hanya pelajar melayu. Semata-mata Melayu.

Maka anjuran forum ini nampaknya sangatlah kelihatan semangat kemelayuannya. Panelnya juga semuanya orang Melayu. Apakah tiada pakar ekonomi berbangsa Cina atau India atau Punjabi yang boleh mengupas isu bajet 2012. Setahu saya ramai alumni UKM sekarang sudah menjadi ketua jabatan analisis ekonomi di beberapa bank utama, termasuk yang bersama saya memimpin Jaksa KDO dulu, Puan Jasbir Kaur  di Maybank Kuala Lumpur. Itulah ruginya bila PMUKM tidak berminat merujuk pada Pejabat Perhubungan Alumni UKM apabila ingin mendapatkan tenaga pakar di luar UKM.

Sebahagian peserta IZISH Corporate Seminar bersama Mr.Manjit Singh
dan En Rosly Head, HRD Mercedes Benz Company (M) dan Head, HRD Hitachi (M)
Panel yang telah dijemput untuk program ini  semuanya orang Melayu. Apa salahnya pandangan pakar bukan Melayu turut disertakan jika mereka mempunyai merit dan kepakaran dalam bidang ini. Sebab itu saya ambil kesempatan ini untuk ucap tahniah pada Jaksa Keusahawanan IZISH yang baru anjurkan IZISH Corporate Seminar: Importance of Soft Skills and Proficiency for Graduate in Job Market. Dihadiri oleh ramai pelajar Melayu, Cina, India dan sebagainya. Penceramahnya ialah  Mr. Manjit Singh dan En. Rosly, merupakan Ketua Jabatan Sumber Manusia Syarikat Multinasional Mercedes Benz (Malaysia) dan Hitachi (Malaysia). Mereka ialah pakar tentang kebolehpasaraan graduan. Mereka yang membuat ambilan graduan, dan merekalah yang sebenarnya tahu mengapa graduan UKM masih menganggur dan gagal bekerja. Saya pun tidak boleh memberikan jawapan yang paling tepat jika ditanya mengapa graduan UKM ramai yang menganggur. Mengapa skor Times Higher Education untuk reputasi majikan terhadap pelajar UKM sangat rendah pada tahun 2010. Saya rasa semua tenaga akadeamik di UKM pun tidak dapat memberikan jawapan tepat tentang hal ini. Kita kena tanya pakarnya. Kita kena tanya majikan yang ambil graduan UKM berkerja.

Lebih menarik, mereka  (wakil Mercedes dan Hitachi) juga telah bersetuju untuk terlibat sepenuhnya sebagai penceramah, penemuduaga dan membuka pameran dalam program "UKM Career Fair 2012 yang akan dianjurkan oleh IZISH pada semester depan. Kerana keberkesanan seminar ini, sudah ada cadangan daripada pelajar IZISH supaya diadakan siri 2 seminar ini  dalam masa terdekat. Insyaallah akan diusahakan nanti.

Maka itu jika program bajet 2011 PMUKM ini dijadikan ukuran, jelas sekali semangat Melayu yang ditunjukkan oleh GMUKM-PMUKM mengalah perjuangan Melayu TSB. Kalau TSB yang anjurkan program berteraskan identiti Melayu, semua orang akan terima dan faham kerana perjuangan mereka ialah perjuangan bangsa. agama Islam dan Bahasa Melayu, Itupun sepanjang sejarah TSB kumpulan ini menghargai kewujudan pelajar Cina dan India di UKM. Kerjasama TSB, CCC dan PAH adalah baik dan harmoni sekali.(kepada kumpulan pelajar India; semakin ramai mula tetanya-tanya ke mana hilangnya PAH, setelah dipinggirkan oleh PMUKM sesi ini)

Mengapakah PMUKM hanya memberikan perhatian kepada pelajar Melayu. Semakin ramai yang keliru dengan cara GMUKM mentadbir PMUKM tahun ini. Mereka berkata perjuangan mereka perjuangan Islam, tetapi hakikatnya perjuangan mereka ketara sebagai perjuangan hanya untuk orang Melayu.

Jadi bila saya lihat tidak ada  pelajar Cina (pelajar India juga) di dalam program suara Kampus malam tadi; tiga andaian boleh saya buat;

a. Andaian 1: Pelajar Cina UKM sudah tidak berminat dengan diskusi ekonomi.
b. Andaian 2: PMUKM tidak menjemput kumpulan pelajar Cina untuk datang ke program ini.
c. Andaian 3. Pelajar Cina UKM sudah tidak berminat dengan kepimpinan PMUKM.

Andaian pertama sangat lemah. Sejarah membuktikan ekonomi adalah teras kehidupan masyarakat Cina di mana-mana juga dalam dunia ini. maka diskusi ekonomi pasti mendapat perhatian pelajar Cina di UKM. andaian ini boleh kita tolak.

Andaian kedua juga lemah. Saya sendiri dapat melihat jemputan terbuka telah dikeluarkan oleh PMUKM pada semua pelajar melalui facebook dan web. Program ini terbuka untuk semua warga UKM. Jadi andaian kedua juga kita tolak.

Andaian ketiga iaitu Pelajar Cina dan India sudah tidak berminat dengan program PMUKM serta kepimpinan PMUKM. Sejak dibentuk PMUKM pada Mac 2011 sehingga hari ini, PMUKM jelas tidak memberikan perhatian kepada kebajikan serta peluang pemimpin pelajar bukan Islam untuk menyumbang kepada program PMUKM. Pesta Konvo adalah contohnya. Begitu juga dengan program program lain yang lebih dijuruskan kepada orang Melayu-Islam dan secara khusus progarm ISIUKM. Jadi andaian bahawa pelajar Cina sudah tidak berminat dengan kepimpinan PMUKM dan juga semua program PMUKM ada benarnya. Ini juga dapat menjelaskan mengapa program Suara Kampus dipandang sepi oleh pelajar Cina dan India. PMUKM harus sedar ini 'signal' yang kuat tentang pandangan pelajar Cina dan India terhadap kepimpinan PMUKM sesi ini. Janganlah PMUKM berkata, peduli apa dengan pandangan pelajar Cina dan India terhadap PMUKM, kerana kami di PMUKM telah menguasai kerajaan PMUKM. Saya fikir jika itulah jawabnya.. PMUKM semakin hanyut di bawa jauh dari tujuan sebenar penubuhannya...Penting untuk PMUKM kembali kepada perjuangan yang asal tanpa perlu mengurangkan sedikitpun perjuangan menegakkan Islam. Islam itu adil untuk semua.. Islam memberikan kesejahteraan untuk semua, Islam bukan untuk Melayu sahaja.

* cuba baca sejarah pembentukan Piagam Madinah, bila disebut ummah (community) makna asalnya bukan hanya untuk orang Islam di Madinah sahaja tetapi ummah membawa maksud masyarakat termasuk juga bukan Islam di Madinah ketika itu. Islam untuk ummah. .Di UKM kebajikan untuk ummah bukan sahaja khusus untuk pelajar Melayu tetapi juga untuk pelajar Cina, India serta pelajar antarabangsa samada mereka Islam ataupun tidak...PMUKM terkhilaf lagi...

* malam tadi tujuan saya dan ramai pelajar hadir forum ilmu Suara Kampus ialah untuk mendengar dan memahami secara akademik tentang bajet 2012, tetapi tersentak bila forum bertukar menjadi ceramah politik. Sebagai badan rasmi pelajar, PMUKM sepatutnya lebih berhati hati dengan perlakuan dan tutur kata para penceramah yang dijemput. Adalah sangat tidak manis misalnya salah seorang penceramah berkata " Tahu BN tu apa? peserta menjawab Barisan Nasional, penceramah berkata bukan, pelajar memekik lagi 'barang naik', penceramah kata bukan. jawapannya kata penceramah sambil tersenyum "Bini Najib". Setahu saya program Suara Kampus adalah program yang sangat baik untuk membina intelektual pelajar.

Mengapa perlu ada cercaan kepada pemimpin negara atau ahli politik  yang tidak ada kena mengena dengan isu bajet 2012? Bukankah Islam tidak pernah membenarkan hinaan dan cercaan dilakukan pada orang lain. Lebih sedih melihat kata kata 'BN itu bini Najib' disambut dengan tepukan dan ketawa para pelajar yang semuanya Islam dan kononya memperjuangkan Islam. Saya rasa tak salah para pelajar tidak bersetuju dengan apa juga perancangan dan dasar pemimpin negara asalkan ditolak dengan ilmu dan hujah yang lebih kuat dan baik. Tetapi bertepuk tangan dan meraikan cercaan pada orang lain adalah sesuatu yang agak tidak baik. Saya masih ingat pada tahun tahun IPU memerintah dulu, mereka haramkan penyokong mereka bertepuk tangan di dalam majlis kerana dikatakan tidak Islamik, tetapi hari ini saya agak terkejut melihat kumpulan yang sama telah membenarkan penyokongnya bertepuk tangan. Mengapa dulu tak boleh dan sekarang boleh? Hukum Allah tak pernah berubah, tetapi fatwa manusia selalu berubah kerana nafsu mereka.

Saya tak pelik dengan kenyataan salah seorang penceramah "... saya dulu pada tahun 1974 adalah aktivis pelajar, hari-hari kerja saya di universiti masa itu adalah berdemontrasi" kerana itu adalah haknya untuk berkata kata asalkan tidak mencerca orang lain.

Pada PMUKM tahniah sekali lagi diucapkan. pada CCC dann PAH, tiada apa yang boleh saya bantu untuk memberi peluang yang lebih baik pada anda, kecuali anda adalah sebahagaian dalam PMUKM pada masa depan. Tetapi apa yang jelas, imej PMUKM sekarang sangat kuat semangat Melayu dari Islamnya...

23 October, 2011

Mansuh Sahaja Pilihanraya Kampus UKM Mulai Tahun Ini.

Pasti ramai pelajar yang tak setuju dengan cadangan ini. Saya juga sangat tak setuju. Pasti pihak pengurusan Hepa UKM juga tidak bersetuju. Maknanya semua orang harap pilihanraya kampus UKM berjalan seperti biasa.

Tapi apa salahnya kalau kita cuba teliti mengapa piliharaya pilihanraya kampus elok dimansuhkan dan digantikan dengan kaedah yang lain. Misalnya secara konvensyen atau perwakilan. Konvensyen mahasiswa bermakna setiap persatuan pelajar yang berdaftar di UKM (sekitar 170 buah semua) menghantar pemimpin mereka ke dalam satu konvensyen mahasiswa yang bersidang setiap bulan. Hasil konvensyen dijadikan laporan yang akan dilaksanakan pada semua peringkat. Semua ahli konvensyen (wakil 170 persatuan dalam UKM) akan mengundi untuk memilih pengerusi konvensyen dan mengaturkan sidang ucapan untuk setiap wakil yang ingin mengutarakan pandangan serta usulan mereka. Setelah itu semua ahli perwakilan akan mengundi bagi pihak persatuan masing masing samada setuju, menolak atau berkecuali setiap usul setelah meneliti isi ucapan dan baik buruknya.

Bagaimana pula dengan penganjuran Pesta Konvo, Majalah Aspirasi dan sebagainya yang sebelum ini dilakukan oleh PMUKM jika PMUKM sudah wujud sebagai konvensyen mahasiswa UKM (KMUKM). Ini boleh dilakukan dengan konvensyen pelajar boleh memutuskan untuk melantik satu jawatankuasa khas penganjuran pesta konvo  berdasarkan kebolehan, kepimpinan yang ada pada mana mana pelajar yang dikenalpasti. Sepertimana konsep pembentukan sekretariat seperti UNDP, WHO, Unicef yang dilakukan oleh PBB.

LIMA sebab utama mengapa piliharaya kampus UKM harus dimansuhkan;

1. Politik yang diamalkan dalam pilihanraya kampus UKM semakin sempit, semakin memecah belahkan pelajar serta 'permusuhan poltik' berlangsung tanpa had dan merosakkan idealisme kemahasiswaan. Budaya berpiliharaya kampus sepatutnya membina kematangan kepimpinan berpolitik di kalangan pemimpin pelajar. malangnya kerana taksub politik melebihi kepentingan yang lain, semua hal yang haram dan tidak beretika 'dihalalkan' kononnya atas nama perjuangan agama. Maka sumpah nista, kebiadapan terhadap orang lain, budaya menfitnah melalui surat layang, risalah haram dan facebook tanpa identiti sebenar menjadi amalan di kalangan pemimpin pelajar UKM. Mereka menjadi 'buta dan pekak' kepada politik yang membina intelektual  dan tertawan mengamalkan politik 'membunuh'. Selagi ada pilihanraya kampus maka budaya berpolitik 'membunuh' ini akan menjadi barah kepada kepimpinan pelajar yang akan mewarisi kepimpinan negara.

2. Amalan piliharaya kampus berasaskan fakulti mengikut kerusi tahun satu, dua tiga/akhir nampaknya merencatkan aktiviti PMUKM sejak beberapa tahun ini. Bayangkan pelajar tahun satu yang belum ada pengalaman menganjurkan projek telah diletakkan dalm kepimpinan PMUKM. Akibatnya banyak aktiviti yang dianjurkan oleh PMUKM gagal menjadi projek yang berjaya kerana kurangnya pengalaman di kalangan MPP PMUKM yang masih baru dalam penganjuran projek. Ini agak berbeza dengan JAKSA kolej yang semuanya dipilih dari tahun dua dan ke atas.Mereka sekurang-kurang pernah menjadi pengarah atau MT di dalam projek Jaksa di tahap tahun satu. Bila pihak kolej nampak kewibawaan serta keupayaan mereka, maka mereka ditawarkan sebagai JAKSA di tahun dua atau tiga. Jelas proses pilihanraya membantutkan usaha mengerakkan program program yang baik di peringkat persatuan induk mahasiswa. Begitu juga dengan MPP tahun akhir yang bila dilantik sebagai MPP PMUKM, tak sampai beberapa bulan mula bergraduan dan akhirnya meninggalkan PMUKM. Sesi ini difahamkan beberapa ahli MPP yang telah bergraduan terpaksa meningggalkan PMUKM dan tidak lagi mempunyai mandat menganjurkan aktiviti bagi PMUKM. Pelajar yang rugi kerana selepas mengundi, exco PMUKM yang diundi tiada kemampuan menganjurkan aktiviti.

3. Sistem piliharaya jelas menafikan hak pelajar UKM di kalangan bukan melayu dan bukan Islam. Pilihanraya kamopus walaupun meraikan demokrasi tetapi telah menyebabkan pelajar Cina dan India, Sabah Sarawak serta pelajar antarabangsa hilang suara mereka sepenuhnya. malah tahun ini lebih kritikal, pesta konvo bukan sahaja tidak memberikan peluang kepada kumpulan pelajar Cina, India, Sabah Sarawak dan antarabangsa menyumbang sebagai AJK induk malah program program pesta konvo menafikan terus kewujudan kiumpulan minoriti di UKM.

Saya tak fikir agama Islam menganjurkan kita supaya menafikan hak dan kebolehan orang bukan Islam. Malah Islam menganjurkan kita sentiasa meraikan dan menjaga hak dan kebajikan mereka. Piagam Madinah adalah contohnya. Lainlah kalau ada agenda di kalangan orang bukan Islam cuba mengugat kesucian agama Islam. Maka program seperti HIMPUN mesti disokong sepenuhnya. Tetapi pelajar bukan Islam di UKM adalah mereka yang sentiasa bersama UKM dan menghormati pelajar Islam. Jadi mengapa PMUKM meminggirkan hak dan kebajikan mereka? Salah satu sebabnya piliharaya hanya memenangkan kumpulan majoriti. Memanglah ada wakil pelajar Cina dalam PMUKM tetapi sekadar ada untuk dipinggirkan apalah gunanya. Pelajar India lebih terkesan dengan situasi ini. Mereka seperti terus hilang dalam arus perdana kepimpinan PMUKM tahun ini.

Ada dua lagi sebab yang lebih 'terlindung sifatnya'. 

4. Samada kita setuju atau tidak pilihanraya kampus UKM walaupun bersifat halal dan dibenarkan oleh pengurusannya universiti, sebenarnya diurus sepenuhnya oleh gerakan yang tidak ada dalam senarai persatuan sah di UKM. Kumpulan yang menggunakan nama GMUKM, MAMPU, IPU, TSB, KAMI dan beberapa lagi kumpulan politik kecil inilah yang mengerakkan kepimpinan pelajar UKM. Misalnya kumpulan GMUKM adalah yang menentukan bagaimana PMUKM harus beroperasi. Kumpulan inilah yang menentukan siapa harus jadi Presiden, Setiausaha Agung dan jawatan jawatan yang lain dalam kabinet PMUKM. Saya juga dimaklumkan kumpulan inilah yang akan 'menapis' dan mengajar apa yang boleh dan tidak boleh disebut oleh Presiden PMUKM. Pilihanraya telah menjadi platform untuk mereka menjadi 'abang besar' kepada siapapun yang akan menjadi presiden PMUKM. Mereka pasti akan berang besar jika piliharaya dimansuhkan di UKM.  Konvensyen pasti akan mengurangkan pengaruh kumpulan sebegini kerana setiap persatuan akan bertindak mengikut keperluan persatuan masing-masing. Konvensyen memberikan peluang para pemimpin pelajar UKM dari setiap persatuan bergerak atas kapasiti mereka yang sebenar sebagai pemimpin pelajar UKM.

5. Pembentukan kabinet melalui piliharaya menyebabkan suara para pelajar gagal sampai sepenuhnya kepada pihak pengurusan UKM melalui PMUKM. Tetapi hari ini pelajar UKM beruntung kerana pihak pengurusan UKM khususnya HEPA begitu bersungguh sungguh untuk mendekati pelajar. Selain perjumpaan yang kerap diadakan, pihak HEPA UKM juga sering menggunakan facebook sebagai saluran kedua berhubungan dengan pelajar. Tetapi kita harus faham bahawa pilihanraya telah menyebabkan aduan, cadangan atau input yang diberikan oleh kumpulan yang tidak pro-PMUKM akan ditolak oleh exco PMUKM sebelum sempat sampai kepada pengurusan universiti. Maka konvensyen lebih sesuai agar semua pendapat dan buah fikiran semua kumpulan pelajar dapat disatukan dan dijadikan resolusi konvensyen.

Saya tetap dengan pendirian bahawa piliharaya kampus terus diadakan kerana sifatnya yang memberi peluang pelajar belajar menjadi pemimpin. Tetapi jika budaya politik pelajar UKM menjadi semakin sempit, semakin berpuak dan semakin 'membunuh', elok mansuh sahaja piliharaya kampus dan gantikan dengan kaedah konvensyen yang lebih produktif.

22 October, 2011

Mahasiswa UKM Pasca Pemansuhan ISA

Seluruh rakyat Malaysia gembira dan ada yang terkejut apabila ISA yang mula dipekenalkan sejak era penjajahan dimansuhkan pada 16 September 2011 yang lalu. Ada yang berkata ini hadiah sempena hari Malaysia tahun ini. Tapi saya yakin idea pemansuhan ISA ini sudah lama dipertimbangka oleh pihak kerajaan.ISA atau penuhnya Internal Security Act merupakan akta pra kemerdekaan yang digunakan untuk membuat kawalan keselamatan pada masyarakat di negara ini. ISA ketika awal pengenalannya banyak digunakan untuk pembasmian gerakan komunisme di Tanah Melayu. Sehinggalah pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Dato Seri Najib mengambil keputusan memansuhkannya dan dikatakan akan digantikan dengan peraturan kawalan keselamatan negara yang lebih sesuai dengan keperluan serta situasi masyarakat Malaysia hari ini dan mada depan.

Persoalanya, Jika dahulu terdapat sebilangan kepimpinan pelajar begitu lantang menentang ISA, tapi kini setahu pelajar UKM, tiada apa yang telah dilakukan oleh kepimpinan persatuan induk UKM (PMUKM) untuk memberikan kefahaman kepada pelajar tentang implikasi, faedah serta natijahnya pemansuhan ISA kepada gerakan mahasiswa di negara ini. Apakah PMUKM masih ragu ragu tentang pemansuhan ISA atau masih takut-takut untuk bercakap soal ISA? Atau PMUKM tidak sedar bahawa pemansuhan ISA akan membawa kesan yang besar kepada cara serta gaya kepimpinan kemahasiswaan masakini dan pada masa mendatang.

Kisah demontrasi ubi gadong di Baling oleh gerakan mahasiawa satu ketika dulu pernah menjadi idealisme perjuangan kemahasiswaan di negara ini. Ketika itu ramai pemimpin pelajar dikenakan ISA kerana tindakan mereka telah mengugat keselamatan negara. Zaman zaman seterusnya memperlihatkan gerakan mahasiswa lebih sederhana dan terarah mengunakan meja perundingan di dalam membuat tuntutan tuntutan untuk kebajikan dan kamajuan masyarakat.

Pemimpin mahasiswa era ini sedar dengan melakukan demonstrasi walaupun nampaknya seolah olah bersungguh sungguh, agresif dan sesuai dengan nafsu muda para pejuang, hasilnya tidaklah begitu menyakinkan. Lebih baik di bawa berbincang demi kesejahteraan semua pihak. Sikap agresif hanya memberikan keuntungan kepada satu dua pemimpin pelajar sahaja sedangkan kerugiannya ditanggung oleh ramai pelajar lain termasuk juga para petani atau nelayan yang kononnya ingin dibela. Maka pada era 1990a gerakan mahasiawa sudah mula berubah dan memberikan fokus kepada kebajikan rakan rakan di kampus. Ada sesetengah masyarakat yang berkata mahasiswa mulai lesu, itulah kata kata daripada kumpulan pemimpin pelajar jenis yang suka kepada agresif dan suka berkonflik. Sedangkan pemimpin pelajar sebenarnya bukanlah lesu cuma kaedah perbincanagn dilihat tidak agresif. Tetapi hasil perbincangan kadang kala lebih berjaya daripad berdemonstrasi atau tunjuk perasaan di jalanan.

Bagaimanapun ada juga terdeagar Sekali sekala terdapat segelintir mahasiswa yang dipergunakan oleh ahli politik luar untuk menjadi jurucakap politik mereka di kampus. Tetapi rata rata mahasiswa mula menaganjakkan pandangan kepada konsep turun padang dan bersama masyarakat dengan menganjurkan program khidmat masyarakat,gotong royong atau kem kem motIvasi pendidikan untuk anak anak dari keluarga miskin yang memerlukan.

Apakah pula akan berlaku kepada gerakan mahasiswa pada era pemansuhan ISA. Tiada siapapun yang dapat memebrikan jawapan. Tinggal lagi yang pasti pihak keraajn hari ini telah bersikap terbuka, berhemah dan mesra kepada semua golongan masyarakat termasuk mahasiswa. Adakah keraguan masih menyelubungi para pimpinan mahasiswa, atau gerakan kemahaiswaan akan kembali menggunakan kaedah lama seperti berdemontrasi dan membuat desakan kepada pihak kerajaan dan pihak pengurusan universiti. Atau adakah para pimpinan mahasiswa akan mengambil sikap yang lebih sederhana dengan menggunakan kaedah perundingan secara harmoni dengan pihak kerajaan untuk tuntutan.

Untuk memahami impak pemansuhan ISA kepada gerakan mahasiswa, pelajar UKM perlukan forum dan perbincangan yang bersifat akademik dengan ahli politik, pakar undang undang dan kepimpinan mahasiswa yang berkaliber...Sehingga tibanya tarikh tersebut, kita semua terpaksalah menunggu dengan penuh sabar.