13 July, 2013

Pendidikan Islam: Apakah Kita Sudah Benar-Benar Menjayakannya?


  1. Universiti Islam pertama adalah Universiti Al Azhar di Mesir yang ditubuhkan pada tahun 970M. University Oxford pula ditubuhkan pada tahun 1026M dan merupakan universiti pertama di kalangan negara penutur bahasa Inggersis. Maksudnya, setengah abad selepas Al Azhar di tubuhkan barulah University Oxford dibangunkan. 
  2. Di Malaysia, sistem pendidikan Inggeris hanya bermula pada tahun 1826 di Pulau Pinang. Sedangkan sistem pendidikan Islam telah bermula di Tanah Melayu sejak tahun 1421 bila guru guru agama mula mengajar ilmu Islam di perkarangan istana Sultan Muhammad Syah di Melaka. 
  3. Begitulah saya ingin gambarkan betapa pendidikan Islam jauh lebih maju dan awal kewujudannya berbanding pendidikan Inggeris pada masa dahulu. Malangnya bangsa Melayu dan orang Islam di negara ini tidak yakin dengan sistem pendidikan Islam apatah lagi cuba mempertahankannya. 
  4. Hari ini tanpa ragu ragu kita telah menerima amalan pendidikan barat sebagai teras pendidikan kebangsaan. Pun begitu di sana sini, ditampalkan istilah insan, syumul, kurikulum bersepadu dan nilai murni sebagai memenuhi hasrat Islamnya pendidikan kita. 
  5. Hakikatnya pendidikan kita masih kukuh warisan Inggeris. Kerangka ilmu kolonial masih menjiwai teras ilmu pendidikan kita. Displin ilmu psikologi pendidikan, sosiologi pendidikan, perancangan kurikukum, amalan penilaian, ilmu pedagogi dan amalan pentadbiran pendidikan kita tekal patuh berteorikan pemikiran pendidikan barat.
  6. Tanpa kita eedar, istilah pendidikan Islam telah kita sempitkan kepada pendidikan agama Islam semata mata, juga hanya dirujuk berkaitan ilmu fardu ain dan kifayah, serta ilmu ilmu hadis, fekah dan sebagainya. Sudah tidak lagi merujuk kepada bidang ilmu pendidikan yg lebih besar dan luas.
  7. Untuk kembali menjiwai ilmu pendidikan Islam yang sebenar, kita akan terpaksa mengambil puluhan tahun lagi. Rasanya tidak termampu di lakukan dengan masa yang singkat. Malah masyarakat Islam di negara ini pun sudah selesa dengan ilmu pendidikan warisan kolonial, ramai juga antara mereka yang sudah tidak dapat membayangkan lagi apa itu konsep pendidikan Islam....apatah lagi membezakannya dengan ilmu pendidikan barat...