13 July, 2013

Meritokrasi Dan Orang Melayu...


  1. Isu meritokrasi antara isu yang paling lama di dalam pendidikan negara. isu ini bermula bila istilah Bumiputera diwujudkan selari dengan pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970. 
  2. DEB diperkenalkan sebagai mekanisme mengelakkan tragedi 13 Mei 1969 berulang. Dalam usaha menjernihkan hari malang 13 Mei, DEB dibangunkan sebagai mekanisme ekonomi, manakala pengenalan konsep Barisan Nasional pula adalah mekanisme politik. Alhamdullilah walaupun tidak menyeluruh, kedua duanya berjaya dilaksanakan seadanya (tidak sepenuhnya berjaya sehingga 1990).
  3. Sejak itulah (1970), isu meritokrasi menjadi isu besar dalam menyatupadukan masyarakat Malaysia. Orang melayu diberikan sedikit keistimewaan bumuputera sesuai dengan perlembagaan persekutuan, manakala orang bukan Melayu juga mendapat keistimewaan dalam bentuk kerakyatan pukal.
  4. Adalah salah jika dikatakan dengan keistimewaan bumiputera, orang Melayu sudah berjaya. hakikatnya bukan Melayu sejak merdeka terus menguasai ekonomi Tanah Melayu. 
  5. Data pendapatan 2012 menunjukkan pendapatan bulanan orang Melayu secara purata sekitar RM3,500, India RM4,500 manakala orang Cina sudah menjangkau lebih RM6,000 sebulan. Pemilikan ekuiti juga menunjukkan oarng Melayu jauh di belakang berbanding orang Cina. 
  6. Oleh itu memegang status bumiputera tidak memberikan apa apa kelebihan ekonomi kepada orang Melayu. Dan jika kita selidiki data pendapatan orang Melayu, kita akan lihat jurang Melayu kaya dan Melayu miskin masih sangat besar. Tetapi kerana sibuk dengan politik merebut kuasa, usaha merapatkan jurang ini tidak pernah dilakukan secara besar besar di kalangan pimpinan Melayu.
  7. Jangan kita lupa, perpecahan orang Melayu juga boleh berlaku bila orang miskin Melayu merasakan ketidakadilan pada mereka disebabkan oleh orang melayu kaya. Perpecahan bangsa kerana isu ekonomi kadangkala lebih sukar ditangani berbanding perpecahan politik.
  8. Sebab itu isu meritokrasi harus ditangani dengan bijak. Saya setuju meritokrasi dilaksanakan pada orang Melayu. Tetapi hanya pada Melayu kaya, Melayu bijak dan Melayu cemerlang. 
  9. Pada Melayu miskin, meritokrasi hanya akan menjauhkan mereka dalam arus perdana negara. Mereka akan tersisih dan ketinggalan. Mereka perlukan bantuan sepertimana DEB dahulu.
  10. Orang bukan Melayu juga bukan semuanya kaya dan berjaya. Ramai yang miskin dan daif. Ada penanam sayur kecilan, pemandu lori, pekerja kilang atau mengambil upah harian. Mereka juga harus dibantu. Meritokrasi tidak akan menjayakan masa depan mereka dan anak anak mereka. 
  11. Makanya, melaksanakan meritokrasi adalah sesuatu baik, demi kesinambungan kecermerlangan individu dan kehebatan bangsa, tetapi melaksanakannya pada yang tidak berupaya adalah satu ketidakadilan yang harus dielakkan.