13 July, 2013

Bukan Mudah Siswa Universiti Untuk Menjadi Usahawan


  1. Di dalam akhbar minggu lepas, Menteri 2 KPM mengesyorkan graduan mula mencipta pekerjaan dan tidak lagi mencari pekerjaan. Saya setuju ini syor yang baik dan seharusnya di sokong. Bila fikir lagi di lapis kedua, Apa maksudnya mencipta pekerjaan? Apakah graduan mencipta pekerjaan sekadar untuk diri sendiri atau juga bermaksud mencipta pekerjaan untuk orang lain?
  2. Mencipta pekerjaan mungkin bermaksud menjadikan graduan seorang usahawan, peniaga barangan atau penyedia perkhidmatan. Maksudnya, untuk menjayakan saranan menteri ke 2 KPM ini, kita sebenarnya mula bercakap soal modal dan pengalaman yang diperlukan oleh graduan. Sekarang, cabaran (baca: masalah) bermula. 
  3. Tiga jenis perniagaan di Malaysia yang boleh diceburi oleh graduan iaitu franchise, IKS dan pengerai. Jika ingin memulakan franchise modal permulaan bagi franchise tempatan antara 150K -450K (rujuk web 7eleven, Chatime, Oldtown) manakala yang bertaraf antarabangsa (1.2m-4m). Rata rata graduan (baca graduan melayu) tidak mampu sediakan modal sebesar itu dan tidak ada bank yang sanggup membiayai pinjaman mereka). 
  4. Maka franchise jelas bukan untuk mereka dan mereka harus berfikir beralih ke bentuk perniagaan yang kedua iaitu IKS. Untuk memulakan IKS (termasuklah cafe atau kedai makan), modal permulaan antara 25k hingga 500k. IKS boleh bermula di belakang rumah hingga ke tahap kilang. Berbeza dengan franchise yang peratus kejayaan sangat tinggi, IKS penuh dengan persaingan khususnya dari kalangan yang telah lama dan telah berjaya. 
  5. Untuk memulakan perniagaan IKS kerepek bersaiz sederhana sekalipun, modal yang diperlukan mencecah 25k, itu juga bergantung kepada jenama barangan/perkhidmatan dan pengalaman pemasaran. Masalah utama perniagaan IKS selain persaingan kualiti pembuatan, juga persaingan pemasaran dan harga yang sangat kompetetif. Ilmu usahawan ini tidak diajarkan di universiti kecuali kepada kalangan graduan ekonomi dan perniagaan. 
  6. Jika franchise dan IKS sukar dilakukan, graduan akan mula pula berfikir ke bentuk perniagaan yang ketiga, berniaga gerai. Ini yang paling murah kosnya (1k-15k), tidak perlukan pengalaman dan ilmu pengurusan yang tinggi. Tetapi persaingan sangat banyak. Rata rata mereka juga tidak memiliki ilmu pengurusan. 
  7. Memang ramai graduan yang sudah melakukannya, kita boleh jumpa mereka di pasar malam, pekan hari atau di uptown berniaga berbagai barangan dan makanan. 
  8. Soalnya inikah yang disyorkan oleh KPM untuk graduan kita? Apa strategi KPM untuk memberikan pendedahan supaya lebih ramai graduan memulakan franchise dan IKS?